Insurans kini menjadi suatu keperluan asas kepada manusia dalam menjalankan kehidupan harian mereka. Apabila berdepan dengan kecelakaan seperti terbabit dalam kemalangan, masalah kesihatan dan lain-lain, mangsa bukan saja mengalami kesakitan akibat kecederaan atau kesakitan, tetapi juga menghadapi masalah kewangan yang besar.

Dalam situasi sebegini tanpa disedari, insurans memainkan peranan yang penting sebagai jalan keluar daripada permasalahan ini. Walaupun terdapat pelbagai jenis insurans seperti perubatan, pendidikan atau bermacam lagi, namun masih ramai yang belum menyedari kepentingannya.

Justeru, memiliki insurans ketika masih muda dan sihat boleh mendapat pulangan lebih tinggi apabila tamat tempoh matang insurans.

Amalan memiliki insurans kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ini mungkin disebabkan oleh faktor kewangan, seseorang perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk membawa premium insurans pada setiap bulan. Ini sekali gus menjadikan insurans sebagai bebanan, sedangkan mereka tidak tahu bila faedah bakal dinikmati.

Dengan dilindungi insurans, seseorang itu yang mengalami kemalangan boleh mendapatkan rawatan lanjut di hospital swasta serta menerima insentif bantuan kewangan sepanjang tempoh rawatan.

Selain itu, dengan memiliki insurans, seseorang diberikan kad insurans yang membolehkan mereka mendapat rawatan lanjutan iaitu kemasukan ke wad rawatan di hospital swasta terpilih dengan mudah. Ini sekali gus membolehkan mereka mendapat rawatan pakar. Insurans memberi kelebihan cukup besar kepada individu serta keluarganya pada waktu sekarang dan masa depan.

Selain daripada memberi perlindungan dari segi nyawa dan perubatan, insurans juga berperanan sebagai suatu tabungan kepada individu itu sendiri pada waktu tua kelak. Sesuatu pakej insurans yang baik biasanya merangkumi 10 peratus nilai daripada jumpah pendapatan bulanan. Pakej itu tertakluk kepada skim perlindungan yang dikehendaki sama ada untuk simpanan, perubatan ataupun kedua-duanya sekali. Anda perlu mengetahui jenis pakej insurans yang ditawarkan sebelum melanggani sesuatu jenis insurans. Selidiki latar belakang syarikat insurans serta kelebihan yang bakal dinikmati daripada pelaburan yang kita lakukan.

Semua pengguna yang masih belum mengambil sebarang insurans, dinasihatkan supaya mengambilnya demi untuk memastikan masa depan yang lebih selamat dan sejahtera.


Mageswaran Senderal
ERA Consumer Malaysia

84% golongan muda menghabiskan masa lapang mereka di internet. Ini menunjukkan gaya hidup orang muda pada masa kini tidak dapat diasingkan lagi dengan dunia internet. Mereka melayari internet untuk pendidikan dan juga keseronokan mengisi masa lapang.

Rangkaian sosial seperti Facebook, Youtube atau Twitter telah menjadi cara baru untuk mereka berkenalan dengan kawan baru dan berkomunikasi antara satu sama lain.

Namun begitu, timbul persoalan sama ada dunia internet yang kian rapat dengan kehidupan anak-anak kita ini selamat? Satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) menunjukkan bahawa 60% daripada responden kajian berkata mereka pernah menemui sesuatu yang mereka rasa menjijikkan, membimbangkan dan menakutkan ketika melayari internet. Ini menunjukkan risiko di internet yang sedia ada boleh mengganggu golongan muda.

Adakah semua bank membuat panggilan telefon kepada pelanggan yang menggunakan kad kredit untuk meminta pengesahan transaksi?

Terdapat juga bank yang memanggil pelanggan mereka untuk pengesahan transaksi sebelum pemindahan wang kepada pihak ketiga. Amalan ini sangat penting untuk mengelakkan enipuan. Bank sepatutnya mengambil pelbagai langkah keselamatan bagi melindungi pelanggan mereka daripada penipuan.

Sebagai pengguna yang bijak, pengguna hendaklah bertanya kepada bank, sama ada bank tersebut melaksanakan amalan pengesahan kad kredit, sebelum memohon kad kredit. Jika bank tersebut tidak mengamalkan langkah sedemikian, pilih bank lain yang mempunyai amalan tersebut. Pengguna juga perlu berwaspada apabila menerima panggilan daripada pihak bank untuk pengesahan.

Bagaimanakah untuk mengetahui sama ada panggilan tersebut adalah daripada pihak bank? Ramai pengguna yang menerima panggilan palsu daripada pihak yang mendakwa daripada bank sehingga menyebabkan mereka hilang wang yang banyak.

Untuk mengelakkan perkara ini, pengguna hendaklah memberi soalan dan jawapan rahsia kepada pihak bank sebelum memberikan pengesahan. Jangan memberikan soalan dan jawapan rahsia kepada sesiapa sahaja walaupun dengan ahli keluarga.

Bank Negara Malaysia perlu mewajibkan amalan pengesahan transaksi kad kredit kepada kepada semua bank pengeluar kad kredit bagi melindungi keselamatan pengguna kad kredit.


Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Banyak aduan yang telah diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional yang berkaitan penjamin. Ini menunjukkan terdapat banyak kelemahan berkaitan dengan penjamin ini disebabkan oleh pengguna yang tidak sedar mengenai liabiliti dan tanggungjawab mereka sebagai penjamin. Begitu juga pihak bank gagal memberi pengetahuan yang secukupnya kepada penjamin.

Penjamin adalah orang ketiga dalam sesuatu pinjaman atau kontrak. Namun penjamin mempunyai tanggungjawab yang sama seperti peminjam jika peminjam gagal melunaskan pinjaman mengikut tempoh yang ditetapkan. Apabila seseorang menjadi penjamin, ia bermaksud seseorang itu bersedia untuk mengambil tanggungjawab ke atas pinjaman berkenaan dan akan ditanggungjawabkan sekiranya pinjaman itu yang tidak dibayar.

Seringkali seseorang itu terpaksa menjadi penjamin atau `guarantor” kerana akur kepada permintaan rakan ataupun saudara mara. Namun anda perlu menyedari bahawa apabila mnejadi penjamin, anda terikat dengan liabiliti pinjaman tersebut.

Tahukah anda tentang kelayakan dan masalah sebagai seorang penjamin?

Anda perlu terlebih dahulu layak untuk menjadi penjamin iaitu seperti di bawah;

Berumur 18 tahun ke atas
Bukan seorang bankrap
Berfikiran waras dan berkeupayaan dari segi mental untuk memahami dokumen jaminan dan tanggungjawab serta kewajipan seseorang penjamin
Telah bersetuju secara suka rela untuk menjadi penjamin (iaitu tidak dipaksa atau menandatangani kontrak kerana dipengaruhi secara tidak wajar, penipuan, salah representasi atau akibat kesilapan)
Masalah yang bakal menimpa..

Peminjam mungkin tidak membayar pinjaman dan penjamin terpaksa membayarnya.
Peminjam mungkin diisytihar bankrap jika tidak membayar pinjaman. Penjamin juga akan diisytiharkan bankrap jika tidak mampu membayar pinjaman yang dijaminnya.
Peminjam mungkin menghilangkan diri dengan wang dan peminjam terpaksa mengharungi kesulitan dengan bank.
Kemungkinan besar peminjam mempunyai niat untuk menipu.
Pengguna hendaklah bersikap berwaspada dan bertanggungjawab atas segala komitmen berkaitan perjanjian atau pinjaman. Di Malaysia terdapat pelbagai saluran bantuan khidmat nasihat, kaunseling pengurusan kewangan dan pusat aduan yang sedia membantu anda sekiranya menghadapi masalah berkaitan dengan penjamin. Hubungilah mereka untuk mendapatkan khidmat nasihat bagi melindungi diri anda.

 

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Terdapat berbagai-bagai rupa bentuk jalan raya. Ada yang diturap tar seperti di lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri. Begitu juga jalan tanah merah, kawasan pedalaman dan ada yang lebih teruk lagi jalan yang berlopak dan berlubang-lubang.

Keadaan permukaan jalan boleh memberi kesan kepada kereta. Antaranya, kesan kepada prestasi bahagian suspensi pada kereta tersebut.

Adakalanya, ia akan mengeluarkan bunyi yang kurang menyenangkan ketika memandu apabila melalui kawasan yang tidak rata. Keadaan ini pasti menimbulkan kegusaran sekiranya secara tiba-tiba kereta rosak di tengah jalan.

Kebiasaannya bahagian suspensi tidak hanya tertumpu pada komponen penyerap hentakan semata-mata. Terdapat peralatan lain juga berkait rapat dengan bahagian terbabit jika berlaku sebarang kegagalan fungsi di situ. Antara komponen sokongan yang saling bersangkutan dengan bahagian ini ialah termasuk absorber top mounting, absorber top mounting plate, pelapik getah bahagian getah bahagian atas dan bawah spring, stabilizer link dan getah pada batang stabilizer.

Dengan hanya menggantikan penyerap hentakan apabila bunyi mula kedengaran ketika kereta dipandu, masih tidak mencukupi. Pemeriksaan terhadap komponen sokongan juga dianggap penting untuk memastikan ia tidak rosak atau haus. Komponen-komponen terbabit berkemungkinan turut mengalami kerosakan disebabkan sistem suspensi yang gagal berfungsi membuat serapan bunyi dan gegaran. Sekiranya pemilik kereta hendak membuat penggantian terlalu banyak komponen di dalam sistem berkenaan, mereka dinasihati supaya menukar keseluruhan bahagian sistem suspensi yang dikenali sebagai set penyerap hentakan bagi mengelakkan pembaziran masa, kerosakan yang berterusan, dakwaan kerosakan palsu oleh mekanik yang tidak bertanggungjawab kerana mementingkan wang dan lain-lain.

Walaupun kos untuk menukar keseluruhan suspensi agak tinggi, tetapi ia adalah murah jika menukarnya satu persatu. Sehubungan dengan itu, pemandu perlu berhati-hati dalam membuat keputusan apabila membuat perbaikan membabitkan komponen dan peralatan pada kereta supaya memastikan kereta sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

 


Mageswaran Senderal
ERA Consumer Malaysia

Cadangan Puspakom supaya motosikal terpakai perlu melalui pemeriksaan terlebih dahulu perlu dipertimbangkan.

Ini merupakan langkah pencegahan bagi memastikan pembeli motosikal terpakai tidak teraniaya apabila motosikal yang dibeli itu adalah motosikal palsu.

Dalam hal ini, penjual motosikal diwajibkan untuk menghantar motosikal terpakai tersebut ke Puspakom sebelum dibenar untuk dijual.

Langkah ini dilakukan supaya tidak membebankan para pengguna. Tambahan pula jika pengguna sendiri yang perlu menghantarnya dikhuatiri ramai yang tidak akan berbuat sedemikian.

Peraturan mewajibkan penjual motosikal terpakai menghantar ke Puspakom untuk membuat pemeriksaan juga selaras dengan peraturan dikenakan terhadap penjual kereta terpakai. Pemeriksaan ini perlu dilakukan untuk mengelak daripada kejadian kereta terpakai yang dijual itu adalah kereta potong.

Berdasarkan statistik dikeluarkan oleh pihak berkuasa, secara purata sebanyak 42 motosikal dicuri pada setiap hari atau 51,830 unit setahun. Motosikal ini kemudiannya akan dijual semula atau dileraikan untuk dijadikan sebagai alat ganti motosikal.


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia

Wanita sering dikaitkan atau sinonim dengan kasut tumit tinggi. Siapa yang tidak mahu kelihatan anggun dan menawan? Kasut bertumit tinggi (high heels) adalah satu cara yang biasa digunakan agar kelihatan anggun, seksi dan menawan.

Sedarkah kaum wanita bahawa  pemakaian kasut bertumit tinggi ini sebenarnya mempunyai elemen negatif untuk kesihatan. Menambah ketebalan/ketinggian tumit kasut boleh menambah ketidakstabilan pada kaki.

Menggunakan kasut bertumit tinggi akan menyebabkan pinggul miring ke depan dan menambah lengkungan pada tulang belakang. Tulang belakang akan condong ke belakang untuk menyokong keseimbangan dan menyebabkan pemampatan pada punggung bahagian bawah.

Bila komputer lembab, kita pun menjadi malas membuat sesuatu kerja menggunakan komputer. Apa tidaknya, hendak menjalankan sesuatu program memakan masa yang agak lama dan kadang-kadang seperti tidak berfungsi ”hang”. Kadar kelembabannya pula mengalahkan siput yang bergerak walaupun komputer kita sebenarnya memang POWER!

Sebenarnya, banyak perkara yang menjadikan komputer lembab dan 90% adalah disebabkan oleh virus dan spyware yang terdapat dalam komputer. Tambahan pula komputer bersambung dengan talian jalur lebar.

Terdapat tiga sebab utama komputer menjadi tidak responsif dan perlahan, iaitu kekurangan ruangan cakera keras dalam komputer, komputer dijangkiti virus dan spyware serta registry / ingatan komputer terlalu banyak dengan entri-entri yang sama ada hilang atau tidak sah / tepat.

Spyware adalah satu program yang dibuat bertujuan menyelinap masuk ke dalam komputer dan menjadi “spy” rahsia yang tidak diketahui oleh pemilik komputer peribadi atau komputer riba.

Program ini bukanlah suatu ancaman biasa, sebaliknya ia boleh memudaratkan pengguna komputer dengan mengancam privasi dan merosakkan sesuatu sistem komputer atau jaringan komputer.

Bermula pada tahun 1994, antara spyware yang terkenal digunakan adalah Gator yang masih wujud sehingga sekarang.

Sebagai permulaan, spyware digunakan untuk tujuan perniagaan periklanan, namun telah disalah guna dan diprogramkan bagi tujuan merosakkan atau memudaratkan pengguna komputer.