Trend aduan yang diterima di NCCC sejak kebelakangan ini jelas menunjukkan tentang wujudnya kelemahan terhadap isu kualiti barangan dan perkhidmatan di negara kita.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana sepatutnya kualiti barangan dan perkhidmatan yang menjadi lambang kemegahan pengeluar dan penyedia perkhidmatan tidak lagi dititikberatkan. Hanya pembeli yang perlu bimbang kerana bakal membeli barangan yang tidak berkualiti ataupun telah menerima barangan yang rosak.


Boleh dikatakan hampir semua jenis barangan yang terdapat di pasaran menyumbang kepada masalah kurang berkualiti tidak kira barangan kecil, murah, besar ataupun mahal. Cuma pengguna risau apabila barangan berkenaan melibatkan perbelanjaan yang tinggi kerana potensinya tinggi untuk penjual tidak memulangkan ataupun menukarkan barang berkenaan.

Barangan seperti kereta, komputer riba, kamera, telefon bimbit, perabot, barangan elektrik dan lebih banyak lagi boleh disenaraikan merupakan jenis barang yang diadukan oleh pengguna. Manakala aduan tentang perkhidmatan yang banyak diterima adalah perkhidmatan selepas jualan kereta, perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan pengangkutan awam dan sebagainya.

Walaupun terdapat undang-undang yang berkaitan kualiti barangan dan perkhidmatan, namun kesedaran dan komitmen pengeluar, pengedar dan penjual masih tidak memuaskan. Ini adalah kerana penguatkuasaan dan tindakan yang diambil berdasarkan undang-undang yang sedia agak lemah.

Sekiranya sesuatu tindakan undang-undang dilakukan ataupun penalti dikenakan ke atas pengeluar setiap kali laporan dibuat terhadap barangan yang cacat dan pengesahan mandatori dikenakan untuk memastikan barangan yang dijual di pasaran telah melepasi pemeriksaan yang dibuat oleh badan piawaian.

Hak pengguna untuk mendapatkan ganti rugi ataupun penukaran barangan harus diberikan keutamaan dan tidak harus dipertikaikan sekiranya kerosakan ataupun masalah terhadap barangan disebabkan oleh kualiti barangan ataupun perkhidmatan yang tidak memuaskan. Pengeluar perlu memberikan perhatian yang serius terhadap jaminan kualiti barangan dan perkhidmatan, bukan sekadar memberikan perhatian kepada iklan dan promosi barangan sahaja.

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
9 Jun 2010

 

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (Australia Competition & Consumer Commission) telah mengisytiharkan penarikan balik kereta Volvo dan Mitsubishi daripada pasaran Australia.

Kereta Volvo yang ditarik balik adalah model S80, XC70 and XC60 disebabkan oleh kerosakan pada belt tensioner. Kerosakan ini akan menyebabkan kereta mengalami kehilangan kuasa semasa dipandu akibat kehilangan kestabilan dan kehilangan kuasa stering.

Kebanyakan aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) yang berkaitan dengan urusan pembelian dalam talian, walaupun berunsurkan penipuan dan perkhidmatan yang tidak memuaskan, namun secara jelas menunjukkan kecuaian daripada pihak pengguna sendiri.

Promosi, iklan yang menarik perhatian serta pemberian diskaun sudah mencukupi untuk melesapkan wang pengguna.


Analisis daripada aduan yang diterima itu menunjukkan pengguna kerap kali cepat terpedaya dan sering membuat keputusan dengan tergesa-gesa tanpa melakukan kajian yang rapi. Ramai pengguna yang tidak mengamalkan sikap berwaspada.

Boleh dikatakan hampir semua aduan menunjukkan pengguna tidak mencari komen-komen melalui laman web forum, tidak berusaha untuk mengumpul maklumat seperti nombor telefon ataupun alamat syarikat berkenaan, syarikat berdaftar atau tidak dan sebagainya.

Memang tidak dinafikan bahawa teknologi semakin canggih. Namun kita juga harus sedar bahawa penipuan pun semakin meningkat dan taktik penipuan pun semakin berbeza. Oleh yang demikian sebagai pengguna yang bijak dan lestari, kita harus memantapkan diri kita dengan maklumat yang berfaedah agar kita tidak boleh ditipu dengan sewenang-wenangya.

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
2 Jun 2010

ISO telah menerbitkan beberapa siri standard berkaitan perlabelan eko. Kesemua standard ini telah diterima pakai (adopted) oleh Jabatan Standard Malaysia (STANDARDS MALAYSIA) sebagai standard kebangsaan (Malaysian Standards –MS)

Dalam siri MS ISO 14020, label eko boleh wujud dalam pelbagai bentuk: penyataan, simbol, grafik pada produk atau label tersendiri pada produk tersebut, buletin teknikal dan juga iklan. Standard ISO juga menerangkan 3 jenis pelabelan alam sekitar seperti berikut:

Jenis I pelabelan alam sekitar ( MS ISO 14024) adalah program pelabelan yang memerlukan pensijilan pihak ketiga untuk satu set criteria yang menunjukkan pilihan terhadap sesuatu produk. Contoh Jenis I pelabelan eko adalah seperti Japan Ecomark, Korea Eco-label, China Eco-label, Canada Eco- label, Thai Green Label and EU Flower.(Rajah 1)

 

 

 

Jenis II pelabelan alam sekitar ( MS ISO 14021 ) merangkumi pengakuan yang dibuat mengenai alam sekitar tanpa pensijilan pihak ketiga. Contoh: kitar semula, mengandungi bahan kitaran semula. Banyak syarikat besar sepert Panasonic, Toshiba, Ricoh dan NEC mempunyai label eko mereka yang tersendiri untuk mewakilkan pelbagai aspek untuk alam sekitar yang berkenaan produk mereka. (Rajah 2)

 

 

 

Jenis III pelabelan alam sekitar (MS ISO 14025) adalah berkenaan data analisa kitar hidup alam sekitar untuk sesuatu produk dan lebih dipraktikkan dalam transaksi bidang perniagaaan.

 

 

 

Label Jejak Karbon

Label jejak karbon ini sedang mendapat perhatian hangat di kalangan kerajaan yang membangun dan juga organisasi – organisasi sektor swasta, termasuk entiti perniagaan untuk menunjukkan bahawa mereka juga prihatin terhadap isu- isu alam sekitar dan cara- cara untuk menangani perubahan iklim serta bencana alam. Label tersebut menunjukkan nilai nombor amaun gas rumah hijau yang dikeluarkan untuk penghasilan produk tersebut. Label ini dijangka menjadi satu label yang prominen pada masa akan datang. Rajah 4 menunjukkan 3 jenis label yang dikeluarkan di negara Korea, Jepun, dan United Kingdom.

Terdapat banyak program pelabelan eko yang sedang dijalankan di serata dunia, seperti yang telah ditunjukkan dalam keahliaan Global Eco- Labeling Network (GEN), yang merupakan suatu badan bukan kerajaaan yang dikaitkan dengan pensijilan pihak ketiga, pengiktirafan prestasi terhadap alam sekitar, organisasi pensijilan dan pelabelan. Malaysia sedang dalam proses untuk mewujudkan program pelabelan eko Nasional yang merupakan satu keperluan untuk menjadi ahli GEN. SIRIM Berhad melalui SIRIM QAS International Sdn Bhd telah memperkenalkan SIRIM Eco- labeling Scheme (Skim Pelabelan Eko SIRIM) sejak tahun 2006. Skim Pelabelan Eko SIRIM sedang dalam proses untuk mendapat pengiktirafan sebagai Skim Pelabelan Eko Nasional untuk Malaysia.

 

 

 

Mohanapriya
Malaysian Association of Standards Users

Sejumlah aduan yang diterima kerana kesulitan yang berpunca daripada "kemudahan auto debit", NCCC terus menyarankan pelanggan untuk bijak menggunakan kad kredit kerana kad kredit adalah sesuatu yang peribadi dan berisiko tinggi.

Kita harus belajar untuk mengatakan tidak pada waktu-waktu tertentu untuk perkhidmatan yang boleh kita membayar dengan cara lain. Kami bimbang yang ramai pengguna sebenarnya terpengaruh kerana "kemudahan auto debit" yang dipandang mudah ini demi kepentingan beberapa peniaga tidak bertanggungjawab yang akhirnya mengambil kesempatan keatas pengguna. Apabila pengguna mendapat perkhidmatan yang tidak seperti yang di janjikan ataupun ingin menarik diri dari perkhidmatan berkenaan barulah mereka sedar akan kemusykilan yang terlibat.

Pengangkutan merupakan salah satu perkara yang amat penting bagi pengguna bagi menjalankan kegiatan harian. Terdapat pelbagai jenis pengangkutan yang digunakan oleh pengguna untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Salah satu jenis pengangkutan yang paling lazim digunakan oleh pengguna adalah pengangkutan kereta, van, dan motosikal. Perkembangan ekonomi, peningkatan pendapatan per kapita, kemudahan pinjaman dan kewangan membolehkan seseorang membeli sesebuah kenderaan dengan mudah.

Di pasaran kini, terdapat pelbagai pilihan untuk memenuhi citarasa pengguna. Menurut Persatuan Automotif Malaysia, pada tahun 2010 sahaja dijangka terdapat sebanyak 536,905 kenderaan yang telah berdaftar. Adalah mudah untuk seseorang pengguna untuk memiliki kenderaan tetapi keupayaan untuk memastikan kenderaan yang dibeli sentiasa berada dalam keadaan selamat bagi kesemua penumpang di dalam kenderaan adalah sesuatu yang boleh dikatakan mencabar.

Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia membuat pengesahan bahawa tidak terdapat sebarang bukti saintifik yang menunjukkan bahawa produk alternatif yang dijual di negara ini yang boleh merawat masalah Mata seperti rabun, kerosakan saraf kerana kencing manis, Mata berselaput, glaukoma Dan sebagainya.

Pengesahan ini dibuat bagi menangkis dakwaan melalui iklan dalam media cetak dan elektronik yang dibuat oleh syarikat yang mengeluarkan produk yang boleh merawat masalah mata.


Memang kebelakangan ini kian berleluasa wujudnya pelbagai produk, khususnya produk alternatif yang membuat pelbagai dakwaan boleh mengubat bermacam-macam penyakit kronik seperti Mata, hati, kanser dan sebagainya. Produk ini, dalam pelbagai bentuk seperti kapsul, jus, penapis air dan sebagainya, diiklan secara meluas melalui media popular seperti radio, akhbar, majalah dan sebagainya.

Namun begitu, dakwaan tersebut tidak disertai dengan kajian secara saintifik oleh pihak yang berautoriti dalam bidang tersebut. Semua orang tahu tentang khasiat tanaman herba tertentu dari segi kesihatan dan sebagainya. Tetapi jika kandungan tanaman tersebut dalam produk itu terlalu sedikit dan selebihnya adalah bahan lain seperti bahan aditif, maka keberkesanan produk tersebut amat diragui.

Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan agensi kerajaan yang lain perlu memantau gejala ini. Pengguna dikelirukan dengan bermacam-macam produk dengan pelbagai dakwaan. Usaha KPDNKK untuk meminta Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk mewujudkan jawatankuasa pemantauan iklan amat wajar sekali dan perlu disegerakan.

Begitu juga Kementerian Kesihatan perlu menggunakan peruntukan di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 bagi memastikan tidak Ada pihak yang sewenang-wenangnya membuat iklan yang mengelirukan pengguna dengan membuat dakwaan yang keterlaluan.

MOHD YUSOF BIN ABDUL RAHMAN
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

21 Mei 2010

 

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang wanita. Suaranya dalam ketakutan seolah-olah kehidupannya tiada bermakna lagi.

Apakah terjadi kepadanya? Wanita tersebut telah kehilangan wang simpanan KWSPnya berjumlah RM40,000 kepada sindiket “Gores dan Menang”.

Sering kali apabila kita meletakkan kereta di parkir kereta berbayar, terdapat notis yang menyatakan “park at your own risk” (parkir atas risiko sendiri). Ini bermakna syarikat parkiran kereta tersebut tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kecurian atau kerosakan ke atas kereta yang diletakkan di situ.

Pihak yang menggunakan perkhidmatannya (contoh pemilik kereta) tidak mempunyai sebarang pilihan melainkan terpaksa menerima syarat-syarat tersebut. Dalam situasi seperti ini, syarikat parkiran kereta telah mengenakan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh pemilik kereta untuk menggunakan perkhidmatan mereka.


Apabila syarikat parkiran kereta meletakkan syarat tersebut, bermaksud ia ingin menafikan atau mengecualikan diri daripada tanggungjawab tertentu. Terma “park at your own risk” merupakan salah contoh fasal pengecualian. Ini adalah salah satu cara bagi syarikat parkiran kereta mengelak risiko dikenakan liabiliti dan seterusnya dikenakan membayar ganti rugi atau pampasan.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima aduan daripada pengguna yang mempertikaikan fasal pengecualian itu. Sebenarnya, berdasarkan undang-undang, pengguna yang menggunakan perkhidmatan untuk kegunaan diri sendiri, masih berhak untuk mendapat ganti rugi daripada syarikat parkiran kereta jika berlaku kecurian atau kerosakan semasa dalam kawalan syarikat tersebut.

Secara logiknya, syarikat parkiran kereta hendaklah mengadakan kawalan keselamatan yang ketat untuk menjaga tempat tersebut. Mereka perlu memasang lampu yang mempunyai alat pengesan untuk mengawal parkiran kereta.

Namun begitu, apa pula yang berlaku sekiranya kecurian berlaku disebabkan oleh kecuaian pemilik kereta?

Jika kecurian berlaku disebabkan oleh kecuaian pemilik kereta, maka syarikat parkiran kereta boleh mengecualikan diri mereka daripada liabiliti. Pemilik kereta perlu memastikan kereta sentiasa dikunci, memasang kunci tambahan untuk stereng, gear, roda dan clutch. Mereka hendak meletak kereta di tempat yang mudah dilihat. Sekiranya pada waktu malam, parkir kereta di kawasan yang terang dan berlampu. Akhir sekali. jangan serahkan kunci kepada jockey kereta.

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
18 Mei 2010