Tribunal Tuntutan Pengguna adalah satu badan yang telah ditubuhkan di bawah Seksyen 85 Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan mula berkuatkuasa pada 15 November 1999. Semasa pendengaran, pihak penuntut dan penentang tidak boleh diwakili oleh peguam.
Jika pihak yang menuntut adalah seorang belum dewasa atau seorang yang tidak berupaya, ia boleh diwakili oleh sahabat wakil atau penjaganya. Jika pihak penentang adalah sebuah firma atau syarikat, ia boleh diwakili oleh seorang pekerjanya yang digaji sepenuh masa.
Pendengaran tuntutan dalam Tribunal akan dijalankan di hadapan seorang anggota Tribunal yang digelar sebagai 'Presiden' semasa pendengaran.
Prosiding tribunal bermula apabila Pengguna (selepas ini dirujuk sebagai “pihak menuntut”) memfailkan Borang 1 iaitu pernyataan tuntutan.
Borang 2 iaitu pernyataan pembelaan dan tuntutan balas difailkan oleh Syarikat/Firma (selepas ini dirujuk sebagai “pihak penentang”). Jika pihak penentang mengakui atau mempertikai tuntutan, ia perlu mengisi butir-butir di ruang pernyataan pembelaan. Jika pihak penentang mempunyai apa-apa tuntutan balas hendaklah mengisi di ruang tuntutan balas. Borang 2 perlu diserahkan dalam masa 14 hari selepas penyerahan pernyataan tuntutan.
Borang 3 iaitu pembelaan kepada tuntutan balas perlu difailkan oleh pihak penuntut jika terdapat tuntutan balas. Jika mengakui tuntutan balas pihak penuntut hendaklah menyatakan diruang pembelaan kepada tuntutan balas. Jika mempertikai tuntutan balas hendaklah memberi butir-butir mengapa mempertikaikan.
Borang 4 adalah notis pendengaran dikeluarkan oleh Setiausaha atau Penolong Setiausaha Tribunal yang menyatakan tarikh, masa dan tempat pendengaran tuntutan kepada pihak yang menuntut dan penentang sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh pendengaran.
Borang 5 adalah award bagi pihak yang menuntut jika penentang tidak memfailkan pernyataan pembelaan iaitu Borang 2. Tribunal juga menurut budi bicara menangguhkan pendengaran bagi membolehkan penentang memfailkan pembelaannya.
Borang 6 untuk award jika pihak penentang dalam pernyataan pembelaannya mengakui tuntutan.
Borang 7 untuk award bagi penentang jika pihak yang menuntut tidak hadir untuk pendengaran. Presiden boleh menolak tuntutan jika penentang tidak mempunyai tuntutan balas atau membuat suatu award bagi tuntutan balas jika penentang mempunyai tuntutan balas.
Borang 8 untuk award bagi pihak yang menuntut jika penentang tidak hadir untuk pendengaran. Presiden boleh meneruskan pendengaran tanpa kehadiran penentang atau menangguhkan pendengaran ke suatu tarikh kemudian.
Borang 9 untuk award dengan persetujuan. Semasa pendengaran, jika wajar, Tribunal hendak membantu untuk membuat suatu penyelesaian tuntutan melalui persetujuan.
Borang 10 untuk award selepas pendengaran. Semasa pendengaran, pihak yang menuntut berhak untuk mengemukakan keterangan, memangil mana-mana saksi atau mengemukakan apa-apa dokumen, rekod atau benda bagi menyokong kesnya.
Borang 11 adalah saman kepada saksi untuk menghadiri pendengaran atau untuk mengemukakan apa-apa dokumen, rekod atau benda lain dalam miliknya.
Borang 12 untuk permohonan mengetepikan award bagi sesuatu pihak yang tidak hadir semasa pendengaran. Borang 12 hendaklah diserahkan dalam masa 30 hari selepas award diterima.
Tribunal boleh menurut budi bicaranya menawarkan kos tidak melebihi dua ratus ringgit kepada mana-mana satu pihak.
Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
Hanya dengan klik butang tetikus pengguna tidak perlu pergi ke pusat membeli belah, sebaliknya boleh mendapatkan barang-barang yang dikehendaki dengan melayari laman sesawang seperti Ebay.com atau Mudah.com. Pembelian dalam talian mendapat sambutan yang baik daripada pengguna sehingga mereka mendapat pengalaman tersendiri sebagaimana yang dialami oleh beberapa orang pengadu.
“Saya telah ditipu oleh M, setelah membuat pembelian dalam talian. Pembayaran sebanyak RM5000 telah dimasukkan ke dalam akaun M pada 20 Ogos 2010 bagi urusniaga membeli sebuah kamera jenis Canon 5d Mark II. Namun setelah menerima wang melalui perbankan internet, M terus berdalih dan tidak menghantar barang kepada saya. Laporan polis telah dibuat pada 23.08.2010”.
“Saya telah membuat pembelian sebuah beg dalam talian dengan harga RM199. Namun apabila menerima beg tersebut, saya dapati ciri-ciri pada beg itu berbeza dengan apa yang dipapar di laman sesawang. Kualiti beg juga tidak memuaskan. Beg tersebut terdapat kesan kemek (bukan disebabkan pos) dan jahitan yang tidak kemas. Isi tali beg juga kelihatan. Apabila saya menuntut hak saya, penjual tidak mengendahkan permintaan saya. Ada juga unsur-unsur penipuan kerana pihak tersebut mendakwa dia yang mengambil gambar beg itu sendiri, sedangkan beg yang saya terima lain bentuknya. Dalam terma dan syarat dia juga ada menyatakan tentang pengembalian wang penuh jika produk cacat. Tapi dia terus ingin menghilangkan diri”.
Demikian dua contoh aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) tentang pembelian dalam talian. Walaupun terdapat kebaikan pembelian dalam talian seperti barang-barang yang dijual adalah murah disebabkan hanya melibatkan pengeluar dan pengguna sahaja. Namun begitu terdapat juga keburukannya seperti tiada penghantaran selepas menerima wang, barang berkualiti rendah atau cacat dan sebagainya.
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diketahui oleh pengguna sebelum melibatkan diri dalam pembelian dalam talian:
Sebelum membeli sesuatu barang, layari lebih daripada satu laman sesawang yang menawarkan barangan yang sama untuk membuat perbandingan harga;
Setiap pembelian barang perlu disertakan dengan invois daripada penjual;
Dapatkan data peribadi dan nombor telefon penjual;
Pembelian dalam talian memerlukan data peribadi pembeli seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun atau nombor kad kredit yang dianggap sulit. Pastikan laman sesawang yang dikunjungi diiktiraf dan memiliki sistem sekuriti yang baik;
Pastikan alamat laman sesawang berkenaan tertera `https://’ berbanding `http://.’ Ini kerana `https’ merupakan pangkalan data dan sistem sekuriti yang menjaga segala maklumat peribadi pengguna;
Simpan resit pembayaran;
Berhati-hati apabila membayar menggunakan kad kredit. Jangan dedahkan empat nombor kad kredit yang terakhir;
Faham terma dan syarat sebelum membuat transaksi.
Jadilah pengguna yang bijak, jangan kesal nanti.
Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
Pada musim perayaan tahun ini, semua warga kota dan desa sedang bersiap sedia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh gembira dan berseronok. Cuti yang panjang sempena perayaan tahun ini memberi peluang kepada semua rakyat yang beragama Islam untuk berkampung di kampung halaman mereka dengan keluarga tersayang.
Semasa ingin pulang ke kampung, semua warga kota mahupun desa dinasihatkan membuat pemeriksaan ke atas kenderaan mereka bagi memastikan keselamatan mereka dan tidak menghadapi sebarang gangguan semasa dalam perjalanan. Antaranya, angin dalam tayar, enjin, brek, tayar simpanan, bateri dan komponen penting yang lain. Selain itu, komponen lain yang juga perlu diberikan perhatian alat pengilap cermin.
Berikut adalah beberapa panduan cara penjagaan pengilap cermin supaya ia tahan lama atau memanjangkan tempoh guna sebelum ia diganti baru.
Langkah pertama ialah pastikan getah pengilap itu dibersihkan bagi mengelakkan habuk halus atau pasir terlekat padanya akan menyebabkan cermin kenderaan bercalar apabila ia bergerak. Elakkan getah pengilap terkena bahan yang boleh mencairkan atau mengeraskan getah seperti turpentin, minyak tanah atau sebarang jenis asid.
Pada masa sama, pemandu dinasihatkan supaya memastikan semburan air untuk mengilap cermin turut berfungsi untuk mengilap cermin. Semburan air campuran syampu yang disyorkan oleh kedai aksesori perlu digunakan setiap kali pengilap itu berfungsi. Ia bertujuan bagi melicinkan permukaan cermin, sekali gus memudahkan tugas mencuci kekotoran yang terlekat pada cermin.
Pemilik tidak perlu mendapatkan bantuan orang lain untuk menukar pengilap cermin ini kerana ia mudah dilakukan sendiri. Yang penting mereka mendapatkan alat pengilap baru dari mana-mana kedai aksesori mengikut saiz yang sesuai dengan kereta. Untuk memudahkan orang ramai, cara memasang dan menanggalkan alat pengilap ini juga disediakan di belakang pembungkusnya.
Alat pengilap cermin juga menyediakan pelbagai jenama sama ada diimport atau buatan tempatan. Melindungi kenderaan daripada pancaran sinaran matahari juga dianggap langkah bijak untuk memberi ketahanan kepada getah pengilap. Penjagaan rapi terhadap alat pengilap cermin dapat memastikan hayat ketahanan alat pengilap cermin itu panjang dan selesa digunakan ketika hujan. Semua pemandu diharap dapat memeriksa kenderaan mereka sebelum tayar kenderaan bergolek ke kampung halaman dengan selamat.
Mageswaran A/L Senderal
ERA Consumer Malaysia
Kesunyian malam kini telah bertukar dengan bunyi “boom” letupan mercun. Di mana-mana sahaja kita berada sama ada di kota atau desa, kemeriahan bermain mercun dapat dirasai.
Mercun dan perayaan bagai tidak dapat dipisahkan dengan musim perayaan. Di Malaysia, pembakaran mercun adalah diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991.
Namun saban tahun kita digemparkan dengan kes kecederaan akibat bermain mercun, tetapi masyarakat masih tidak peduli akan bahana bermain mercun. Mercun bukan sahaja boleh mengakibatkan kecederaan, malah boleh mengakibatkan kematian dan kerosakan harta benda.
Sejurus selepas promosi pelancongan MATTA Fair diadakan, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional mulai menerima pelbagai aduan daripada pengguna tentang pakej pelancongan yang dipromosikan.
Berdasarkan banyak aduan yang diterima itu, maka agensi-agensi pelancongan sewajarnya memberikan maklumat yang beteul, perkhidmatan yang lebih terancang dan mengotakan apa yang dijanjikan. Ini kerana sebarang perubahan pada saat terakhir walaupun dapat diterima oleh sebilangan pengguna, namun sebahagian besar pengguna tidak berpuas hati dan sukar untuk menghadapi kenyataan yang keinginan mereka untuk melancong di beberapa destinasi yang tertentu tidak tercapai.
Apabila kita melihat kepada justifikasi pengguna, ia adalah munasabah kerana wang yang dibelanjakan adalah hasil titik peluh mereka dan simpanan dalam jangkamasa yang lama. Selain itu kita sebagai pengguna berhak untuk membuat pilihan dan mendapatkan perkhidmatan seperti yang dijanjikan. Setiap kita mempunyai pilihan dan impian terhadap percutian.
Selain aduan tentang pertukaran destinasi pelancongan dan tempat penginapan pengguna, terdapat juga aduan tentang penjualan kad keahlian pelancongan. Pengguna disarankan agar tidak tertipu dengan promosi-promosi yang dijalankan di tempat awam dengan menjanjikan manfaat yang menarik. Kebanyakan syarikat yang mengambil bayaran daripada pengguna akhirnya menghilangkan diri serta tidak mempunyai premis. Sekiranya ada premis pun tidak tetap kedudukannya. Risiko penipuan yang tinggi ini menyebabkan pengguna mengalami kerugian dan kehilangan wang simpanan yang tinggi.
Sudah tiba masanya untuk pengguna menjadi lebih proaktif, berfikir panjang sebelum menandatangani sebarang perjanjian. Mereka juga perlu sentiasa sedar bahawa tiada sebarang perkhidmatan percuma di dalam aspek perniagaan. Oleh itu carilah maklumat di dalam forum dan internet sebelum membuat sebarang pembayaran kepada syarikat, simpan segala maklumat dan dokumen dengan sebaik mungkin.
Terdapat juga beberapa agensi pelancongan yang tidak berdaftar dan menjalankan perniagaan ini sebagai perniagaan sampingan. Dalam keadaan seperti ini, pengguna disaran supaya melaporkan epada Kementerian Pelancongan Malaysia ataupun NCCC untuk mendapatkan bantuan dan tindakan lanjut.
Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
Adakah anda menyapu sos strychnine di atas stik anda? Menggunakan cyanide untuk roti anda? Menambah ais krim dengan thallium.
Jika anda berbuat sedemikianhentikan segera kebiasaan tersebut. Ini kerana ketiga-tiga bahan ini merupakan racun. Strychnine dan thallium adalah racun tikus dan serangga yang membawa maut, manakala cyanine pula akan merosakkan sistem saraf manusia.
Semua orang menikmati telur dalam pelbagai bentuk - telur dadar, telur setengah masak dan telur goreng. Tidak ada orang yang inginkan telur yang ditabur dengan arsenik.
Namun satu kajian yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Utah Amerika Syarikat mendapati bahawa kewujudan arsenik dalam telur merupakan satu keadaan yang biasa dalam kehidupan kita.
Arsenik wujud secara semula jadi dalam kehidupan kita. Ia muncul dalam bentuk organik dan dalam kuantiti yang kecil di udara, air bawah tanah, tumbuhan dan haiwan.
Walaupun arsenik wujud secara semula jadi, tetapi ini bukan sebabnya kita perlu menambah arsenik ke dalam makanan ayam. Arsenik yang dimakan akan ditukar menjadi sebatian bukan organik yang beracun dan bersifat kasinogen.
Perdagangan penternakan, persatuan penternakan dan penternak menyatakan bahawa arsenik adalah baik untuk bidang penternakan. Setiap tahun penternak ayam di Amerika Syarikat akan menambah 1 juta kilogram aditif yang mengandungi arsenik ke dalam makanan ayam. Bahan ini digunakan untuk 70 peratus ayam di Amerika Syarikat untuk mempercepatkan pertumbuhan, menangani penyakit dan menghasilkan ayam yang lebih besar serta sedap.
Ayam yang tercemar dengan arsenik akan turut mencemari kesihatan manusia. Menurut kajian daripada Institute for Agriculture and Trade Policy (IATP) pada tahun 2004 mendapati kandungan arsenik sangat tinggi dalam ayam yang dijual pada rantaian makanan segera. Selain itu arsenik juga dikesani dalam lebih daripada 50 peratus ayam yang dijual dalam kedai.
Jadi kita menghadapi risiko yang tinggi pada pendedahan arsenik.
Jabatan Kesihatan Utah mendapati tahap arsenik yang tinggi dalam tubuh dua orang adik-beradik di Mapleton, Amerika Syarikat. Mereka telah makan telur yang dihasilkan oleh ayam ternakan sendiri yang diberikan makanan berarsenik.
IATP dan Pusat Keselamatan Makanan telah memohon kepada US Food and Drug Administration (FDA) untuk mengeluarkan arsenik daripada senarai aditif makanan haiwan. Penemuan daripada Jabatan Kesihatan Utah membuktikan bahawa perkara ini harus diberi perhatian yang segera.
Pegawai FDA menyatakan bahawa agensi mereka sedang mengumpul data yang berkenaan untuk menunjukkan isu kesihatan ini. Buat sementaranya demi kesihatan dan keselamatan awam makanan ternakan yang mengandungi aditif arsenik perlu diharamkan.
US Environmental Protection Agency telah mengharamkan penggunaan arsenik dalam pengawet kayu dan racun perosak. Namun mengapakah arsenik terus dibenarkan dalam makanan ternakan?
Di Malaysia, tiada satu kajian yang dilakukan ke atas arsenik. Oleh itu kita memang tidak tahu sama ada ternakan kita telah dicemari dengan arsenik dan seterusnya boleh mencemari kesihatan kita. Peraturan-Peraturan Makanan Malaysia menetapkan tahap pengambilan arsenik harian pada 1mg/kg. Namun kita tidak pasti sama ada kita telah mengambil arsenik yang berlebihan ataupun tidak.
Pengguna mempunyai hak untuk keselamatan, tetapi keselamatan pengguna biasanya tidak diutamakan.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
Apabila seseorang ingin menuntut sesuatu ganti rugi dalam kes sivil, beliau harus memfailkan kes tersebut di mahkamah sivil dalam satu jangka masa yang tertentu. Mengikut Seksyen 6(1), Akta Had Masa 1953, sesuatu tindakan yang terbit daripada kontrak dan tort haruslah dibawa ke mahkamah dalam tempoh masa enam tahun.
Selepas tamat tempoh had masa, sebarang tuntutan tidak boleh difailkan di mahkamah, kecuali, mengikut seksyen 29, di bawah Akta tersebut, ada bukti seperti fraud atau salah (mistake) yang menyebabkan pihak yang ingin menuntut tidak dapat mengenali hak tuntutannya.
Tempoh had masa enam tahun mula dikira daripada tarikh sesuatu insiden seperti hari kemalangan atau hari pengingkaran mematuhi peraturan-peraturan yang telah dipersetujui di antara kedua-dua pihak. Sebagai contoh, dalam satu kemalangan jalan raya, tarikh dan masa kemalangan jalan raya di antara dua kenderaan adalah titik permulaan had masa tuntutan oleh pihak yang ingin menuntut ganti rugi terhadap pihak yang bersalah.
Begitu juga, dalam satu perjanjian kontrak, misalnya dalam perjanjian pinjaman kewangan di antara bank dan peminjam. Apabila si peminjam ingkar dalam membuat bayaran balik pinjaman kepada bank, maka tarikh pengingkaran adalah titik permulaan enam tahun bagi bank untuk memfailkan satu tindakan mahkamah terhadap si peminjam.
Adakalanya pihak menuntut tidak tahu bilakah tarikh permulaan dan penamatan had masa untuk membawa satu tindakan mahkamah terhadap pihak bersalah. Misalnya, mangsa yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Pada hari dan masa kemalangan itu, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan yang nyata dan merasakan sebarang kesakitan. Tetapi, selepas 2 tahun dari tarikh kemalangan tersebut, mangsa mulai menderitai kesakitan tubuh dalaman yang boleh dihubungkaitkan dengan kemalangan yang berlaku itu. Jadi, dalam situasi ini, titik had masa mula berjalan dari tarikh mangsa merasakan kesakitan atau pengenalan kecederaan dalam tubuh berikutan kemalangan tersebut. Had masa ini juga dikenali sebagai defektif tiada nyata / latent defect.
Selain daripada had masa umum ini, ada juga had masa yang tertentu mengikut Akta-Akta tertentu. Umpamanya, Seksyen 99, Akta Perlindungan Pengguna 1999, menghadkan masa tindakan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia kepada 3 tahun dari tarikh kemungkiran sesuatu perjanjian. Begitu juga, Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966, menentukan had masa 2 tahun bagi pembeli rumah supaya mengambil tindakan mahkamah terhadap pemaju rumah untuk membaik pulih kecacatan perumahan jika pemaju enggan membaik pulih rumah tersebut mengikut Akta ini.
Jadi sebagai pengguna, khususnya pihak yang ingin membawa sesuatu tuntutan ke mahkamah ataupun kepada badan-badan penyelesaian tertentu, jangan terjerumus ke dalam arus perbincangan atau tawar-menawar dengan pihak dituntut dan bersedia memfailkan satu kes tuntutan di mahkamah sebelum had masa tamat. Di sini pengguna harus memahami bahawa pihak menuntut boleh meneruskan tawar-menawar / perbincangan di luar mahkamah untuk satu penyelesaian, walaupun kes telah difailkan di mahkamah.
P. Vasudavan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
Dapur merupakan bahagian penting bagi sebuah rumah. Tetapi, dapur merupakan satu tempat yang tidak begitu selamat untuk kanak-kanak terutamanya kanak-kanak kecil. Di dapur terdapat pelbagai bahaya seperti peralatan memasak yang tajam, bahan kimia seperti pencuci pinggan mangkuk, bahan masakan dan sebagainya.
Selain menyimpan dan mengunci semua bahan kimia beracun, terdapat beberapa tindakan pencegahan keselamatan lain yang penting dan perlu diberi perhatian di dapur. Paling penting untuk diingati bahawa kanak-kanak tidak boleh ditinggalkan bersendirian walaupun untuk beberapa saat di dapur.
Keselamatan Umum
Jangan biarkan terdapat kabel elektrik yang menjuntai di tepi meja. Alat-alat kecil seperti pengadun, pembuat kopi, ketuhar gelombang dan seumpamanya hendaklah dicabut apabila tidak digunakan dan disimpan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.
Simpan semua peralatan masak selepas digunakan, terutama pisau yang tajam atau peralatan yang hujungnya runcing. Jauhkan semua pisau di luar jangkauan anak anda.
Sampah hendaklah diletakkan di bakul sampah dengan tudung yang tidak mudah untuk dibuka atau menyimpannya di bawah sinki dan kuncikan.
Peralatan dapur
Ketika membeli peralatan baru, cari model yang bersuis dan butang-butang di luar jangkauan anak kecil.
Ajarkan anak pada usia awal lagi untuk mengenai erti "panas" dan sebarang butang pada peralatan tidak boleh disentuh.
Pastikan bahawa anak anda tidak berada di bawah kaki anda apabila anda sedang memasak atau memegang bekas makanan yang panas. Ketika memasak, minyak yang mungkin tumpah atau berhamburan juga membahayakan anak anak jika berada berdekatan.
Jika kemalangan berlaku, kawasan tubuh yang melecur itu hendaklah diletakkan di aliran air sejuk sehingga rasa sakit reda (Jangan gunakan ais, yang boleh menyebabkan radang dingin).
Ketuhar Gelombang
Pastikan ketuhar gelombang mikro sudah diletakkan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.
Peti sejuk
Beberapa makanan boleh menjadi racun bagi kanak-kanak, terutamanya jika makan tersebut telah rosak . Makanan-makanan lain seperti sos-sos atau makanan yang belum dimasak boleh membawa bahaya kepada kanak-kanak jika mereka memakannya. Atau, mereka mungkin boleh tercekik atau botol kaca tersebut boleh pecah dan mencederakan mereka.
Untuk mengelakkan kanak-kanak daripada membuka pintu peti sejuk, anda boleh memasang kunci peti ais di bahagian atas pintu. Tapi anak-anak yang kecil ini biasanya tidak mempunyai kekuatan untuk membuka pintu peti sejuk . Jika anda meletakkan hiasan bermagnet pada peti sejuk, pastikan mereka terlalu besar agar tidak boleh masuk ke dalam mulut anak kecil. Pastikan magnet itu sendiri tidak longgar atau tidak mudah tercabut..
Mesin pencuci pinggan mangkuk dan mesin pencuci kain
Kanak-kanak suka menekan butang dan panel kawalan kerana ia boleh menarik perhatian mereka. Cara paling mudah untuk menjaga anak anda daripada bermain dengan kawalan mesin basuh pinggan dan mesin pencuci kain adalah untuk membeli mesin yang sukar bagi kanak-kanak anak untuk mengendalikan dan membukanya. Anda juga boleh mengunci pintu mesin dengan pengikat perkakas sedia ada.
Serbuk dan cecair pencuci pula harus diletakkan di tempat yang tinggi supaya kanak-kanak tidak boleh mencapainya.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia
Tidak kira di mana jua kita berada dan apa juga status kehidupan kita, kita semua adalah pengguna kerana kita membeli dan mengunakan perkhidmatan. Tiada ada sesiapa pun yang terkecuali daripada menjadi pengguna. Namun begitu, masih ramai yang berpendapat bahawa isu dan masalah pengguna adalah sesuatu yang tidak penting bagi mereka sehinggalah apabila mereka menghadapi sesuatu masalah.
Adakah semua pengguna mengetahui tentang lapan hak pengguna, misalnya hak untuk mendapatkan keperluan asas, mendapatkan keselamatan, mendapatkan maklumat, membuat pilihan, bersuara , mendapatkan ganti rugi, mendapatkan pendidikan pengguna dan akhirnya untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat.
Berdasarkan aduan yang sering diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), jelas menunjukkan bahawa banyak masalah yang dihadapi oleh pengadu tersebut, kegagalan mereka mengetahui tentang hak-hak dan tanggungjawab pengguna. Inilah masalah utama pengguna di Malaysia. Kebanyakannya tidak sedar akan kesilapan dan kecuaian mereka sendiri dan hanya mempersoalkan kesilapan penjual sahaja.
Oleh itu, pengguna perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu kepenggunaan. Apabil mereka ini dapat menjadi pengguna yang bijak dan lestari, maka mereka mampu untuk menangani masalah akan bakal mereka hadapi dan dapat bertindak dengan bijak. Pengetahuan seperti meneliti tarikh luput sesuatu barang, keadaan dan kualiti sebelum membawanya balik dan sebagainya, akan membantu mereka untuk menggunakan barang yang selamat. Di samping itu mereka juga perlu bertindak menegur penjual yang melakukan kecuaian.
Satu lagi kelemahan besar pengguna ialah kegagalan mereka untuk berkata, “Tidak” dan cepat mengambil keputusan membeli walaupun tidak mahukan perkhidmatan ataupun produk berkenaan. Akhirnya, selepas menandatangani suatu perjanjian atau kontrak perkhidmatan, mereka menghadapi banyak kesulitan untuk membatalkanya. Ini kerana sebarang perjanjian ataupun kontrak yang ditandatangani adalah sah di sisi undang undang.
Pengguna perlu sentiasa sedar bahawa hak untuk membuat pilihan adalah di tangan mereka sendiri. Hak tersebut perlu digunakan dengan berwaspada dan setiap keputusan yang dibuat harus dipikul bebannya. Sekiranya penjual yang memberikan layanan yang tidak memuaskan, tidak seperti yang dijanjikan, maka pengguna berhak untuk bersuara dan mendapatkan ganti rugi ataupun mendapat perlindungan yang sewajarnya!.
Kuasa Pengguna Di Tangga Anda. Jangan Abaikannya !!!
Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
16 Jun 2010
Page 10 of 13