Kandungan logam berat seperti plumbum Pb merupakan satu bahan campuran kimia yang boleh membawa banyak kemudaratan terhadap kesihatan. Ia boleh menyebabkan masalh kesihatan kepada semua jenis golongan termasuklah bayi yang belum lahir kanak-kanak, wanita mengandung dan warga tua.
Kandungan plumbum boleh berkumpul di dalam badan, walaupun dalam jumlah yang sedikit, namun ia boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami masalah kesihatan yang serius dalam jangka masa yang panjang.
Plumbum biasanya digunakan dalam penghasilan permukaan nipis berkilat yang digunakan sebagai penyalut permukaan sesetengah pinggan mangkuk seramik dan perkakasan memasak.
Pinggan mangkuk yang tidak dihasilkan dengan cara yang baik akan menyebabkan lapisan permukaan yang berkilat tersebut terkeluar sedikit demi sedikit. Apabila pinggan mangkuk dan perkakasan memasak tersebut digunakan untuk menghidang, menyimpan atau memasak, kandungan Plumbum yang terdapat pada permukaan tersebut boleh terkeluar dan mencemari makanan serta masuk ke dalam sistem penghadaman manusia.
Sesetengah perkakasan memasak dan pinggan mangkuk mempunyai cukup kandungan plumbum yang boleh membawa kepada keracunan plumbum yang serius. Perkakasan dan pinggan mangkuk yang mempunyai kandungan plumbum yang sedikit juga boleh membawa kepada masalah kesihatan jika terdedah kepada kandungan plumbum dalam suatu jangka masa yang panjang.
Plumbum boleh terkeluar dari lapisan berkilat atau lapisan perhiasan apabila perkakas tersebut dijerapkan. Penjerapan berlaku apabila kita membasuh pinggan mangkuk dan perkakasan dengan sabun atau sabun pencuci yang kuat.
Jumlah kandungan plumbum yang keluar dari lapisan permukaan tersebut pula bergantung kepada jenis corak hiasan, cara perkasas tersebut digunakan, apakah jenis makanan yang di simpan atau dimasak dan berapa lama ia digunakan.
Semua faktor ini memainkan peranan dalam mengakibatkan penjerapan plumbum ke dalam makanan, seterusnya masuk ke dalam system badan. Pinggan mangkuk yang mempunyai hiasan yang banyak, corak yang terang dan berkilat mempunyai risiko dalam mempunyai kandungan plumbum yang tinggi.
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia bertanggungjawab dalam memainkan peranan sebagai pembela kualiti dan keselamatan produk dan perkhidmatan kepada pengguna.
Menyedari hakikat bahaya kandungan plumbum ini kepada konsumer, Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia telah menjalankan satu kajian kecil di mana sampel-sampel pinggan mangkuk telah dibeli dari pasaraya besar dan telah menghantarnya ke makmal untuk menjalankan ujian untuk mengesan kandungan plumbum dalam seramik.
Sampel-sampel pinggan mangkuk dan cawan yang diperbuat daripada seramik telah dipilih secara rawak dan dihantar ke dua jenis makmal yang berbeza yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.
Sampel- sample pinggan mangkuk tersebut bukan sahaja dihantar untuk mengesan kandungan plumbum tetapi juga untuk mengesan kandungan logam berat yang lain seperti Arsenic, Ar, Antimony, Sb, dan Cadmium, Cd.
Standard dan Peraturan Keselamatan
Standard adalah satu dokumen atau panduan yang menggariskan cirri- cirri keselamatan dalam penghasilan dan pembuatan sesuatu produk dan perkhidmatan yang digunakan oleh industri dan syarikat bagi memastikan barangan mereka berkualiti.
Di Malaysia, terdapat dua jenis peraturan dan standard yang digunakan sebagai panduan dalam mengesan kandungan logam berat .
Dokumen tersebut ialah Akta & Peraturan Makanan 281, Ogost 2007, 13th Schedule dan Malaysian Standard MS 1817: 2005 Ceramic Tableware Specification
Sampel-sample tersebut telah dikaji di makmal dengan menggunakan panduan tersebut.
Akta & Peraturan Makanan 281, Ogos 2007, 13th Schedule ini menetapkan nilai nilai berikut untuk kandungan maksimum untuk logam-logam berat:
Malaysian Standard MS 1817: 2005 Ceramic Tableware Specification ini menetapkan nilai nilai berikut untuk kandungan maksimum untuk logam-logam berat:
Nasihat kepada pengguna
Para pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati apabila hendak membeli perkakasan dan pinggan mangkuk. Elakkan membeli perkakasan yang mempunyai warna-warna yang sangat terang atau yang mempunyai hiasan yang banyak.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
17 Jun 2010
Memiliki kenderaan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan pengguna. Pertumbuhan ekonomi yang pesat, pendapatan masyarakat yang meningkat, perkembangan industri kereta, standard hidup yang lebih tinggi dan skim pembiayaan yang menarik serta promosi hebat oleh institusi kewangan menjadi faktor penarik kepada pengguna untuk memiliki kenderaan persendirian dengan mudah.
Di pasaran kini, terdapat pelbagai kenderaan untuk memenuhi citarasa pelanggan dengan pilihan yang berbeza dan keperluan masing-masing, contohnya kenderaan super utiliti (SUV), kenderaan serba guna (MPV), sedan, sukan dan banyak lagi. Menurut Persatuan Automotif Malaysia, pada tahun 2010 dianggarkan bahawa terdapat 536,905 kenderaan yang telah berdaftar di Malaysia, yang meliputi kenderaan penumpang dan kenderaan perdagangan.
Memang mudah untuk memiliki kereta, namun untuk menjamin keselamatan kenderaan tersebut pada setiap masa merupakan satu cabaran.
Menurut Laporan Dunia tentang Pencegahan Kecederaan Aliran Lalu Lintas, lebih daripada 1.2 juta orang meninggal dunia, manakala seramai 50 juta orang pula mengalami kecederaan di jalan raya di seluruh dunia setiap hari. Jumlah ini dijangka akan meningkat sekitar 65 peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang kecuali jika ada langkah-langkah efektif diambil untuk mencegah kemalangan berlaku.
Di Malaysia sahaja, terdapat 397,330 kemalangan jalan raya pada tahun 2009, yang mengorbankan 6,745 nyawa (sumber PDRM).
Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kecacatan akibat kemalangan jalan raya. Antaranya, kecuain pengguna jalan raya itu sendiri, faktor persekitaran, sikap pemandu, reka bentuk jalan dan banyak lagi. Satu masalah utama yang kita harus beri perhatian ialah ciri-ciri keselamatan dalam kenderaan itu sendiri.
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima aduan sebanyak 314 tentang industri kereta. Pengguna tidak berpuas hati terhadap kenderaan yang mereka beli kerana tidak mematuhi standard. Selain itu, beberapa ciri keselamatan pada kereta mereka tidak berfungsi dengan baik. Ini boleh menimbulkan risiko keselamatan serius kepada mereka yang menaiki kereta tersebut.
Di beberapa negara, disebabkan oleh kurangnya penguatkuasaan undang-undang dan ketiadaan undang-undang, maka beberapa aspek keselamatan dalam kenderaan tidak diambil serius sehingga menyebabkan banyak nyawa terkorban dalam sebuah kemalangan di jalan raya.
Tali pinggang keselamatan merupakan cara yang sangat berkesan untuk mengurangkan kecederaan serius dan kematian bagi penumpang di dalam kereta. Tali pinggang keselamatan berfungsi untuk menahan kedudukan penumpang daripada tempat duduknya apabila berlaku kemalangan. Tanpa tali pinggang keselamatan, jika kemalangan, walaupun pada kelajuan 48km/h, seseorang penumpang mempunyai risiko untuk tercampak ke hadapan dengan kekuatan antara 30 dan 60 kali berat badan. Tali pinggang keledar, booster dan kerusi khas untuk kanak-kanak dan bayi merupakan cara yang sangat berkesan untuk mengurangkan kecederaan serius dan kematian kanak-kanak dalam kereta.
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah melakukan satu kajian tentang aksesibiliti tali pinggang keselamatan di Malaysia. Kajian dan pemerhatian telah dilakukan di beberapa lokasi di seluruh Malaysia untuk mewakili situasi di negara ini. Daripada 4,994 buah kenderaan penumpang yang telah dikaji melalui pemerhatian, didapati penumpang di tempat duduk belakang adalah seramai 7,465 orang, dan 57% daripadanya adalah kanak- kanak dan 43% orang dewasa.
Menurut sebuah kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, kerusi keselamatan kanak-kanak telah berjaya mengurangkan risiko kecederaan serius dan kematian sebanyak 71% untuk bayi (lebih muda daripada setahun) dan sebanyak 54% untuk kanak-kanak (1 hingga 4 tahun) di dalam kereta penumpang. Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA), Amerika Syarikat mengesyorkan bahawa kanak-kanak yang berada dalam kerusi keselamatan yang menghadap belakang tidak boleh ditempatkan di kerusi depan kenderaan yang dilengkapi beg udara sisi penumpang. Kesan daripada air bag boleh menyebabkan kecederaan pada kanak-kanak.
Contoh kerusi yang menghadap belakang mengurangkan impak kecederaan pada kanak-kanak, tetapi ia tidak sesuai diletakkan di kerusi hadapan.
Menurut Majlis Keselamatan Pengangkutan Eropah (ETSC), kemalangan pada kelajuan 50 km / h adalah sama kesannya seperti seorang kanak-kanak yang terjatuh sejauh 10 meter. Seorang anak berusia 8 tahun dengan berat 30 kg akan dilempar ke depan dengan kekuatan 25 kali berat tubuhnya. Jika kanak- kank tidak memakai tali pinggang keselamatan, mereka tercampak merata-rata dan melanggar mana-mana bahagian dalam kereta. Seringkali pintu kereta atau tingkap adalah tempat kanak-kanak akan terhentam.
Contoh kerusi yang menghadap ke hadapan
Tanpa kerusi keselamatan kanak-kanak, walaupun pada kelajuan 15 km / h, ia sangat berbahaya. ETSC juga menerangkan dengan jelas bahawa kanak-kanak memerlukan ciri-ciri keselamatan dalam kenderaan mengikut saiz tubuh yang berbeza. Seorang anak kecil mempunyai jisim kepala sekitar 25% daripada jisim seluruh tubuh, sedangkan jisim kepala orang dewasa sekitar 6 % daripada seluruh tubuh. Ini bermakna bahawa kekuatan relatif di kepala dan leher akan jauh lebih besar pada kanak-kanak di depan yang menghadapi tinkap hadapan.
Kanak-kanak kecil yang berumur sehingga 18 bulan dinasihatkan supaya diletakkan di dalam kerusi keselamatan khas kanak-kanak dengan menghadap tingkap belakang.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna – Pengguna Standard Malaysia
Kajian menunjukkan bahawa bahan kimia yang bertoksik yang terdapat pada pelekat pelabelan produk boleh meresap dan seterusnya mencemarkan makanan.
Bahan kimia ini dikategorikan sebagai bahan toksik kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Biasanya ia boleh dikesan pada pelekat pelabelan di bungkusan daging segar, pakej sos dan makanan lain.
Di Eropah terdapat akta keselamatan yang mengawal penggunaan bahan kimia dalam pembungkusan makanan supaya tidak mencemari makanan. Namun begitu, tidak terdapat standard bagi bahan kimia yang digunakan dalam pelekat yang digunakan pada pelabelan makanan.
Laporan kajian tentang bahan kimia pelekat ini telah dikemukakan oleh Royal Society of Chemistry. Hasil kajian menunjukkan bahawa empat sebatian bahan kimia yang biasa digunakan itu akan meresap sepenuhnya melalui pembungkusan dan mencemari makanan.
Salah satu bahan kimia yang dikesan itu sangat bertoksik dan berada dalam kategori yang sama dengan merkuri, asbestos dan asid hidroklorik. Bahan kimia yang bertoksik ini akan mengakibatkan kegagalan organ pada kepekatan yang tinggi.
Valerie Guillard, seorang pakar dalam bidang teknologi makanan di University Montpellier Francis menyatakan bahawa kajian ini menwujudkan perkembangan yang signifikasi dalam bidang bahan pembalut makanan. Beliau menunjukkan bahan kimia pada kepekatan yang tinggi dalam pelekat sememangnya akan menimbulkan masalah kesihatan.
Kajian masih dijalankan untuk mengetahui kesannya kepada keselamatan dan kesihatan. Walaupun kadar resapan adalah rendah, tetapi bahan kimia dalam pelekat ini masih dapat dikesan dalam makanan. Pada masa ini, para saintis masih berusaha untuk membuktikan penemuan ini.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
2 Jun 2010
Syarikat Blacksmith telah menarik balik semua unit ubat batuk kanak-kanak Pediacare yang dihasilkan oleh McNeil Consumer Healthcare, pengilang untuk produk Tylenol dan Motrin yang telah ditarik balik pada bulan lalu.
Walaupun tiada sebarang kes kecederaan dilaporkan, tetapi syarikat Blacksmith masih mengeluarkan notis penarikan balik untuk ubat tersebut. Ini adalah kerana ubat ini dihasilkan di loji Fort Washington, Pa. Yang telah ditutup. Loji yang sama ini juga menghasilkan produk Tylenol dan Motrin yang telah ditarik balik.
Hewlett-Packard Co sedang berusaha menarik balik 54,000 unit bateri lithium-ion yang digunakan pada komputer riba model Pavilion dan Compaq. Pemanasan terlampau pada bateri ini akan menyebabkan kebakaran.
Sejak penarikan balik 70,000 unit bateri pada Mei 2009, HP telah menerima 38 laporan tentang pemanasan terlampau dan pemecahan pada bateri. Akibatnya, 11 kes kecederaan ringan dan 31 kes kebakaran telah berlaku.
Read more: PENARIKAN BATERI KOMPUTER RIBA HP AKIBAT PEMANASAN
Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA) telah mengesan kandungan plumbum yang berlebihan dalam pil Zhongya Tzepao Sanpien. Ini dikesan daripada pemeriksaan berkala yang dilakukan oleh HSA ke atas produk kesihatan yang dijual di Singapura.
Pil Zhongya Sanpien dikilangkan di China, iaitu Yantai Zhongya Parmaceutical dan diedarkan di Singapura oleh Sea Gull Trading Pte Ltd.
Satu batch produk yang bernombor siri B/N 551001 telah diuji di makmal farmaseutikal HSA, dan mendapati kandungan plumbum di dalam produk tersebut melebihi tahap normal, iaitu sehingga 40ppm (parts per million).
Apabila seseorang terdedah kepada plumbum pada jangka masa yang lama, ia akan menyebabkan keracunan plumbum. Pada tahap kepekatan yang rendah, bagi kanak-kanak yang berumur satu hingga lima tahun, tanda-tanda awal yang ditunjukkan ialah rasa kurang selera makan. Masalah lain yang mungkin dihadapi ialah rasa gelisah, kerap muntah dan tidak minat bermain. Kesan yang lebih serius termasuk muntah-muntah yang berlarutan, rasa lemah urat saraf, sawan dan koma.
Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap Pil Zhongya Sanpien ini. Sekiranya nombor siri produk yang dilaporkan, iaitu 551001 ada dijual di pasaran Malaysia dan mereka yang mengambil pil ini mengalami kesan sampingan seperti yang dinyatakan, maka mereka hendaklah melaporkan kepada pihak berkuasa Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
13 Mei 2010
Sejak kebelakangan ini, penggunaan telefon bimbit set AP berleluasa dalam kalangan pengguna tanpa menyedari kelemahannya. Pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli telefon bimbit set AP kerana ia dijual oleh pengedar yang tidak sah. Set AP diedarkan oleh pengedar yang tidak diiktiraf oleh pengeluar jenama tersebut manakala set ORI pula diedarkan oleh pengedar yang diiktiraf oleh pengeluar. Pengedar yang tidak sah ini mendapat set telefon bimbit AP dari sumber dalam negara dan luar negara.
Telefon bimbit set AP tidak mempunyai waranti daripada pengeluar jenama sah tersebut. Jikalau terdapat kerosakan atau memerlukan perkhidmatan servis untuk membaiki telefon bimbit, pengguna tidak dapat merujuk kepada pengedar jenama sah kerana warantinya diberikan oleh pengedar yang tidak sah.
Hasil daripada kajian yang dilakukan oleh Sekolah Perubatan Mount Sinai, New York, menunjukkan bahawa seseorang wanita yang terdedah kepada phenols, phthalates dan phytoestrogens akan mengalami masalah pembangunan balighnya. Ini memberikan risiko yang besar pada kesihatan mereka pada masa hadapan.
Kajian ini juga mendapati bahawa tahap baligh wanita yang awal akan mendatangkan kesan-kesan sosial dan kesihatan. Di samping itu, ia akan menyebabkan penyakit yang serius pada golongan wanita, seperti penyakit diabetis dan kanser.
Read more: BAHAN KIMIA YANG MENAKUTKAN DALAM PRODUK KEGUNAAN HARIAN
Jabatan Kesihatan Hong Kong telah meminta para pengguna supaya tidak mengguna atau membeli produk pelangsingan badan yang berjenama LAMI. Produk ini didapati mengandungi formulasi daripada Barat yang tidak diisytihar, dan akan mengakibatkan kesan-kesan yang buruk pada kesihatan.
Kajian makmal pada produk tersebut telah mengesan kewujudan sibutramine dan spironolactone selepas menerima laporan daripada hospital.
Seorang wanita telah dimasukkan ke hospital selepas menggunakan produk pelangsingan badan ini. Beliau mempunyai gejala psikiatris termasuk halusinasi auditori dan visual, paranoid dan perasaan yang tidak stabil (psychiatric symptoms including auditory and visual hallucinations, paranoid ideas and low mood) selepas minum produk ini pada bulan lalu.
Sibutramine adalah formulasi untuk mengawal nafsu makan pada seseorang bagi tujuan pelangsingan badan dan memerlukan kawalan perubatan yang ketat. Kesan sampingan termasuk penambahan tekanan darah dan degupan jantung (increased blood pressure and heart rate, symptoms of psychosis and possibly convulsion). Orang yang mempunyai masalah jantung dinasihatkan tidak mengambil sibutramine.
Spironolactone pula merupakan sejenis dadah yang digunakan untuk mengurangkan kandungan air dalam badan. Ia juga digunakan untuk dalam penyakit oedema dan kegagal jantung. Ia akan mengakibatkan kesan sampingan seperti sakit kepala, mengantuk dan gangguan gastro-intestinal (headache, drowsiness and gastro-intestinal disturbances).
Pengawalan berat badan hendaklah dilakukan melalui diet yang baik dan latihan yang sesuai. Pengguna mendapat nasihat daripada pakar kesihatan sebelum menggunakan ubat untuk melangsingkan badan.
Pengguna dinasihatkan supaya memeriksa produk pelangsingan badan yang dijual di pasaran. Sekiranya produk berjenama ‘LAMI’ ada dijual atau terdapat kesan sampingan akibat penggunaan produk pelangsingan badan, laporkan kepada pihak berkuasa Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
5 Mei 2010
Page 9 of 11