Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat memberi amaran tentang ubat baru yang baru dilancarkan. Ubat tersebut didakwa telah menyebabkan kerosakan hati. 

Pihak Berkuasa Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) mengatakan mereka telah menerima beberapa laporan tentang kerosakan hati yang disebabkan oleh tablet Multaq yang dikeluarkan oleh Sanofi-Aventis.

Dua kes berlaku pada pesakit yang telah menjalani pembedahan hati. Kedua-dua pesakit wanita itu berusia lebih kurang 70 tahun. Mereka telah mengambil ubat ini dalam tempoh antara 4 setengah bulan hingga 6 bulan.

Daripada ’walkman’ pada tahun 80-an sehingga MP3 pada zaman sekarang, kebanyakan orang menggunakan MP3 ketika menunggu bas dan LRT, semasa berjalan, semasa membaca, bekerja, berlari dan malah semasa tidur.

Hampir semua orang terutama golongan remaja akan memiliki satu MP3 atau MP4, iPod, atau pemain CD. Tambahan pula, kebanyakan telefon bimbit sekarang dilengkapkan dengan fungsi MP3. Ini memudahkan kaum remaja untuk mendengar kepada MP3 pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Mereka akan menghabiskan masa selama beberapa jam dalam sehari untuk mendengar kepada lagu kegemaran mereka. Adakalanya lagu tersebut dimainkan dengan bunyi yang kuat.

Pengguna di Malaysia perlu berhati-hati terhadap wujudnya sindiket yang menjual telefon bimbit jenama Nokia E71 dan E72 palsu.

Menurut pengalaman yang dialami oleh penulis sendiri yang dihampiri oleh penjual telefon bimbit palsu ini, kegiatan ini didalangi oleh warga Indonesia berdasarkan dialek percakapan mereka.

Biarnya, penjual telefon bimbit palsu ini bergerak secara berkumpulan, tetapi mencari mangsa secara bersendirian.

Pengalaman penulis sendiri yang telah dihampiri sebanyak tiga kali dalam tempoh dua minggu di tempat yang berasingan, iaitu di pasar malam, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta pusat membeli-belah di sekitar Puchong dan Lebuhraya.

Pada mulanya, ahli sindiket ini akan mengenal pasti mangsa mereka terlebih dahulu akan mengekori mangsa dari belakang. Mereka akan menghampiri mangsa dan menunjukkan telefon bimbit palsu yang ingin dijual itu. Apa yang menghairankan penulis ialah kegiatan ini disertai oleh golongan muda dalam lingkungan usia 18 tahun hingga 23 tahun.

Mereka menghampiri penulis dan menunjukkan dua model telefon bimbit tersebut. Mereka akan menerangkan fungsi dan harga telefon bimbit ini yang didakwa sebagai masih baru.

Harga yang ditawarkan kepada penulis bagi E 71 ialah RM 300.00 dan E72 pula RM 450.00. Bukan itu sahaja, mereka juga mengatakan bahawa harga itu masih boleh dirunding.

Penulis berlagak seolah-olah berminat untuk memiliki telefon bimbit tersebut dan berunding harga. Apabila penulis meminta harga sebanyak RM 100.00, dia berkata tidak mendapat untung jika dijual RM 100.00. Sementara itu, penulis juga memeriksa telefon bimbit tersebut sama ada ia “original” atau tidak dan diluluskan oleh SIRIM (CE). Penulis mendapati kedua-dua model telefon bimbit itu tidak mempunyai kriteria tersebut.

Penulis berharap pengguna Malaysia berhati-hati dengan ejen penjualan model telefon bimbit palsu tersebut. Jangan sesekali terperdaya dengan sindiket ini.

“Jadi Pengguna yang Bemaklumat”


Mageswaran Senderal
FOMCA

Akhbar Nanyang Siang Pau melaporkan bahawa Persatuan Pedagang Makanan dan Alat Mainan Malaysia (Malaysia Foodstuff and Toys Merchants’ Association) meminta kerajaan bahawa menangguhkan lagi tarikh penguatkuasaan standard alat mainan yang bermula pada 1 Februari 2011. Sekiranya permintaan ini diterima, ini merupakan satu amaran kepada pengguna pada isu keselamatan.

Masih terdapat banyak alat mainan yang dijual di pasaran masih belum mempunyai label Pematuhan Malaysia (Malaysian Conformity, MC). Tarikh penguatkuasaan telah ditangguh dari tahun 2010 kepada 2011. Alasan yang diberikan bagi penangguhan ini adalah sama, iaitu masih banyak stok alat mainan yang ada di pasaran.

Apa yang membimbangkan ialah alat mainan stok lama ini mungkin tidak mematuhi garis panduan standard keselamatan. Oleh itu, ia boleh membahayakan pada kanak-kanak. Jika stok lama ini masih dijual di pasaran, apakah jaminan terhadap keselamatan kanak-kanak?

Tidak sewajarnya alat mainan yang tidak berlabel dengan MC ini terus dijual kepada pengguna, kerana kualiti dan keselamatannya tidak dapat dipastikan. Jika berlaku sebarang kecederaan kanak-kanak akibat daripada alat mainan ini, siapa akan menanggung kosnya? Siapakah yang akan bertanggungjawab pada kemalangan itu?

Sekiranya penangguhan ini berterusan, tidak ada makna pendidikan yang diberikan kepada pengguna agar memilih alat mainan yang bertanda MC. Pengguna akan bertanya apakah alat mainan yang perlu saya pilih? Kenapa alat mainan tanpa label MC masih dijual di pasaran?

Kerajaan telah menyatakan bahawa mereka tidak akan berkompromi lagi mengenai perkara ini kerana telah memberi masa lebih satu tahun untuk membolehkan pengilang dan pengimport mematuhi standard keselamatan mainan kanak-kanak, dengan meletakkan label MC di setiap alat permainan tersebut (Utusan Malaysia, 20 Disember 2010).

Pengeluar dan pengimport alat mainan perlu mematuhi arahan yang telah dibuat oleh kerajaan tentang pelaksanaan standard alat mainan ini. Mereka tidak sepatutnya meminta supaya penguatkuasaan akta ini ditangguhkan. Terdapat cara alternatif yang boleh dilakukan oleh pengilang dan pengimport terhadap stok lama alat mainan ini, iaitu dengan mengitarnya semula. Ia bukan bermaksud alat mainan itu dikitar untuk kegunaan semula, tetapi dikitar semula di kilang untuk menghasilkan produk yang lain.

Jabatan Standard Malaysia telah membangunkan standard khusus untuk alat mainan, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula telah menguatkuasakan standard mandatori bagi alat mainan. Pengguna telah lama menunggu untuk mendapatkan penguatkuasaan terhadap standard itu. Oleh itu, janganlah mengecewakan pengguna sekali lagi.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Masyarakat Malaysia mulai sedar tentang kepentingan penjagaan kesihatan. Peningkatan kesedaran tersebut menyebabkan wujudnya pelbagai produk kesihatan di pasaran. Antara yang paling banyak diiklankan di dada akhbar adalah produk pelangsingan, pemutihan kulit wajah dan penyingkiran toksin (detox).

Setelah membaca tentang pendedahan sebuah blog tentang ketidakberkesanan sejenis produk penyingkiran toksin , saya terpanggil untuk melakukan eksperimen (menjadikan diri sebagai tikus makmal, kadang-kala mengujakan) mengenai f pelekat kaki detox. Kebanyakan pelekat kaki detox yang dijual di pasaran berharga murah dan mendakwa dapat menyingkirkan toksin, logam dalam badan dan mengurangkan berat badan.

Saya telah membeli sepaket pelekat kaki detox ini dengan harga RM15. Terdapat 10 pelekat kaki detox dalam paket tersebut yang boleh digunakan untuk lima malam.

Pada malam pertama, saya menggunakan pelekat kaki detox seperti yang disarankan. Pada keesokan paginya, saya dapat melihat pelekat kaki detox tersebut berwarna hitam. Ini menunjukkan bahawa toksin dalam badan saya telah dikeluarkan. Saya tidak merasai apa-apa perbezaan setelah memakainya.

Ini berbeza semasa saya mencuba satu produk pelekat kaki dari Jepun yang mendakwa produknya mengeluarkan ion-ion yang tidak diperlukan oleh badan. Produk tersebut, yang lebih mahal harganya bertindak seperti koyok yang dapat mengurangkan rasa sengal-sengal badan. Apabila bangun keesokannya, saya rasa sengal badan saya telah berkurangan.

Saya kemudian mencuba dengan eksperimen sebagaimana yang dinyatakan dalam blog tersebut, dengan meletakkan pelekat kaki detox baru di atas permukaan air suam. Hasilnya sama seperti kesan diletak pada kaki saya.Adakah ini menunjukkan air suam itu mempunyai toksin?

Nyata sekali pelekat kaki detox yang mendakwa boleh menyingkirkan toksin daripada badan ini adalah satu penipuan. Saya berharap para pengguna lebih berhati-hati dan tidak tertipu dengan produk-produk yang seperti ini pada masa hadapan. Beringatlah sebelum terkena.

Pastikan apabila anda ingin membeli produk pelekat kaki detox, semak nombor MAL yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan. Jika anda telah terbeli pelekat kaki detox seperti ini, buat aduan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di talian: 1-800-886-800 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional, di talian: 03-7877 9000.


Azwa Abd Rahman
ERA Consumer Malaysia

 

Berikutan dengan pencemaran melamin yang telah memberikan kesan yang serius kepada kanak-kanak dua tahun yang lalu, Organisasi Standardisasi Antarabangsa (ISO) dan International Dairy Federation (IDF), telah membangunkan satu standard untuk menguji kandungan melamin dan asid cyarunic dalam susu, susu tepung dan susu bayi.

Pada tahun 2008, ramai kanak-kanak dan bayi telah menjadi mangsa akibat pencemaran melamin dalam produk berasaskan tenusu. Melamin digunakan dalam bahan pembuatan plastik yang bertujuan untuk menahan api.

Tetapi melamin ini telah digunakan oleh sesetengah syarikat untuk menjadikan susu tersebut mempunyai kandungan protein yang tinggi. Pengambilan melamin dalam badan telah menyebabkan ramai kanak-kanak yang merana disebabkan oleh batu karang dan kegagalan fungsi ginjal.


Untuk mengelakkan produk tenusu yang telah tercemar memasuki pasaran, ISO dan IDF telah menyediakan (TS) ISO/TS 15495 | IDF/RM 230:2010, Milk, milk products and infant formulae – Guidelines for the quantitative determination of melamine and cyanuric acid by LC-MS/MS

Dokumen ini telah disediakan oleh kumpulan teknikal ISO ISO/TC 34, Food products, subcommittee SC 5, Milk and milk products, dengan kerjasama IDF, iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang mewakili sektor tenusu di seluruh dunia.

 

 

Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (US CPSC) telah mengeluarkan kenyataan tentang sebanyak 23,000 buah kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan telah ditarik balik dari pasaran oleh syarikat Britax Safety Inc.

Agensi tersebut menyatakan bahawa penarikan balik itu disebabkan oleh klip keselamatan pada kerusi tersebut boleh patah sehingga boleh menyebabkan kecederaan. Bahagian-bahagian kecil yang patah itu boleh menyebabkan risiko tercekik pada kanak-kanak dan bayi sekiranya tertelan dengan tidak sengaja. Model-model kerusi yang telah ditarik balik seperti berikut:

- E9L95P2, E9L95P3,
- E9L95P5, (dijual di Kanada)
- E9L69N9, E9L69P2, E9L69P3, and E9L69P5 (Dijual di Amerika Syarikat)

Setakat ini, US CPSC telah menerima tiga aduan mengenai kerusi ini yang telah menyebabkan kecederaan pada kanak-kanak dan seorang bayi telah menelan klip yang patah tersebut.

Pengguna-pengguna di Malaysia dinasihatkan supaya tidak membeli produk tersebut dan sekiranya terjumpa produk ini dijual di pasaran, maka anda dikehendaki untuk membuat laporan di Pusat Khidmat Aduan Pengguna di talian 03-78779000.

 

 

MOHANA PRIYA
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Majlis Pengguna Hong Kong mendesak pengeluar bateri supaya tidak menggunakan merkuri dan Kadmium dalam bateri untuk kegunaan tunggal.

Bateri digunakan secara luas dalam peralatan elektrik dan elektronik. Selain daripada hayat bateri, pengguna perlu memberikan perhatian pada masalah kebocoran pada bateri dan kandungan logam berat dalam bateri.

Majlis Pengguna Hong Kong telah menjalankan kajian terhadap 40 jenis jenama bateri kegunaan tunggal saiz AA dan AAA, iaitu  22 model alkali dan 18 jenis model karbon-zink. Ciri-ciri yang diuji termasuk hayat bateri, kebocoran elektolit dan analisis logam berat.

Menurut tahap yang ditetapkan oleh Direktif Kesatuan European (European Union, EU Directive) pada perlindungan persekitaran, semua model alkali lulus dalam ujian analisis logam berat.

Kumpulan pembela pengguna di Beijing, China telah melakukan pemeriksaan terhadap produk penjagaan rambut yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat di Zhejiang. Tindakan ini dilakukan selepas produk syarikat ini di Singapura dan Hong Kong didapati mengandungi bahan kimia yang dilarang.

Pihak berkuasa Zhejiang memeriksa produk keluaran syarikat Zhangguang 101. Minoxidil telah dijumpai dalam sesetengah produk Zhangguang yang dipasarkan di Singapura dan Hong Kong. Minoxidil merupakan bahan yang dilarangkan penggunaan dalam kosmetik.

Minoxidil pada asasnya digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi. Kajian klinikal mendapati bahawa bahan ini boleh merangsangkan pertumbuhan rambut dan melambatkan proses kebotakan. Namun, ia juga mengakibatkan kesan sampingan yang serius, termasuk kesakitan pada dada, kepeningan, menambah degupan jantung dan reaksi alergi yang teruk.

Oleh itu, minoxidil hanya boleh digunakan di bawah pengawasan doktor ataupun dijual oleh ahli farmasi untuk rawatan masalah keguguran rambut. Ia tidak dibenarkan untuk digunakan dalam produk atau dijual di salon atau pusat kecantikan.

Dalam konteks Malaysia, di bawah Garis Panduan untuk Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia, minoxidil merupakan bahan yang tidak dibenarkan sebagai sebahagian daripada komposisi dalam produk kosmetik.

Semua produk yang disyaki mengandungi minoxidil telah ditarik balik daripada pasaran Singapura dan Hong Kong. Tetapi, tiada produk di China ditemui mengandungi minoxidil. Selain itu, tiada drnstsmh data daripada Malaysia tentang produk ini.

Zhanguang 101 menyatakan bahawa pemeriksaan ini merupakan satu kaedah biasa yang perlu dijalankan untuk produk kosmetik. Mereka juga mengatakan bahawa produk yang tercemar itu merupakan produk yang dieksport sahaja.

Dalam kenyataan medianya di negara China, Syarikat menyatakan bahawa cecair alkohol yang mengandungi minoxidil telah dicampur dengan cecair alkohol yang biasa. Mereka tidak mencampurkan minoxidil dalam pemprosesan produk mereka.

Namun, pada bulan Mac tahun 2010, produk krim rambut daripada syarikat Zhangguang 101 yang dijual di Guangzhou, didapati mengandungi bahan toksik penyebab kanser – lentine.

Penguatkuasa daripada Guangzhou, Go Yuhua menyatakan bahawa jika bahan kimia ini meresap ke dalam kulit, ia akan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati. Kesan sampingan lain adalah kegatalan kulit, kebengkakan dan tanda keguguran rambut bagi sesetengah orang.

Di Singapura, Health Science Authority telah menasihatkan rakyatnya supaya berhenti menggunakan produk yang telah dicemari dengan minoxidil, sebagaimana yang telah ditemui dalam produk keluaran Zhangguang 101.

Dua produk lain yang dikenal pasti adalah formulasi pertumbuhan rambut D-2653-B dan tonik pertumbuhan rambut E-0583-D.

Di Malaysia, pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dengan produk keluaran syarikat Zhangguang 101 dan dua produk yang tersenarai di atas. Sekiranya terdapat sebarang jenama atau gejala penyakit yang dinyatakan, laporkan segera kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia