Sebanyak 2,900 unit telefon bimbit mainan kanak-kanak telah ditarik balik dari pasaran Amerika Syarikat dan 700 unit lagi di Kanada.

Alat mainan Toddler Talk Toy Mobile Phone buatan China ini telah diimport oleh Discovery Toys LLC, or Livermore, Calif. 

Telefon mainan ini mempunyai antena yang mudah patah sehingga menyebabkan kanak-kanak tertelan dan tercekik sehingga boleh membawa maut kepada kanak-kanak.

Label merupakan satu perkara yang amat penting pada alat mainan. Anda haruslah membeli alat mainan yang mempunyai pelabelan yang baik.

Sebagai contoh, anda harus melihat kepada label yang memberikan maklumat mengenai kesesuaian umur kanak-kanak untuk bermain dengan alat mainan tersebut.

 

Jika alat mainan yang dikhaskan untuk kanak–kanak yang lebih tua diberi kepada kanak-kanak kecil atau bayi, ia boleh menyebabkan kecederaan.

Label yang baik juga harus menyatakan nama, alamat dan nombor telefon pengedar atau pengilang.

Kini, pengguna-pengguna harus melihat label MC pada alat mainan kanak-kanak. Label MC merupakan Conformity Mark yang bermaksud alat mainan tersebut mematuhi standard keselamatan yang telah dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

 

Tercekik
Kanak-kanak kecil, terutamanya kanak-kanak yang berumur 3 tahun ke bawah mempunyai kecenderungan untuk memasukkan alat mainan ke dalam mulut. Alat mainan yang mempunyai tayar seperti kereta, lori, motosikal harus dipastikan supaya tidak mudah tertanggal. Alat mainan juga tidak harus mempunyai bahagian-bahagian lain yang mudah dikeluarkan atau tertanggal kerana kanak-kanak boleh tercekik jika tertelan.

Bagi bayi, alat mainan yang bertujuan untuk digigit haruslah berukuran besar supaya bayi tersebut tidak akan tercekik.

 

Tali Panjang
Alat mainan dengan tali yang terlalu panjang juga harus dielakkan kerana tali tersebut boleh tersimpul di leher kanak-kanak dan bayi. Ini boleh menyebabkan masalah tercekik yang serius.

 

Belon juga merupakan sejenis alat mainan yang diperbuat daripada getah. Belon yang belum ditiup boleh ditelan oleh kanak-kanak. Oleh itu, belon yang belum ditiup harus dijauhkan daripada kanak-kanak.

Jika terdapat belon yang meletup, sisa-sisa belon tersebut hendaklah dikutip dan dibuang dengan serta-merta.

 

Magnet-magnet dan bateri kecil
Bagi alat mainan yang mempunyai magnet, anda harus memastikan bahawa magnet tersebut adalah kuat dan tidak mudah tertanggal daripada alat mainan tersebut.

Kecederaan pada salur penghadaman dan bahaya tercekik mungkin terjadi pada kanak- kanak yang menelan magnet. Jauhkan alat-alat permainan yang mempunyai magnet daripada kanak-kanak yang berusia di bawah enam tahun.

Sesetengah alat mainan akan mempunyai label yang menyatakan bahawa alat mainan tersebut mempunyai magnet

Sesetengah alat mainan menggunakan bateri untuk berfungsi. Bateri-bateri tersebut mempunyai pelbagai saiz. Ibu-bapa tidak harus membenarkan kanak-kanak kecil untuk memasang bateri atau bermain dengannya. Ini kerana kanak-kanak boleh tertelan dengan bateri yang bersaiz kecil.

 

Terdapat pula kanak-kanak yang suka meletakkan bateri ke dalam mulut. Ini boleh menyebabkan bahan kimia yang terdapat pada bateri masuk ke dalam mulut kanak-kanak tersebut di mana ia boleh membawa keracunan logam berat.

Tempat memasang bateri juga harus dipastikan ditutup dengan ketat supaya kanak-kanak tidak boleh membukanya.


Bunyi yang kuat
Alat-alat mainan dengan bahagian dan hujung yang tajam tidak sesuai untuk dibeli.

Telinga kanak-kanak adalah sangat sensitif kepada bunyi.Alat permainan dengan muzik yang kuat adalah tidak baik untuk kanak-kanak kecil kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada sistem pendengaran mereka.

 

Bahan Kimia Toksik
Beberapa alat mainan atau bahan kosmetik kanak-kanak mengandungi bahan kimia toksik.

Kanak-kanak tidak harus dibenarkan untuk mamasukkan Alat mainan seperti cincin, rantai, gelang dan sebagainya ke dalam mulut kerana mainan seperti ini biasanya mempunyai bahan kimia seperti plumbum dan kadmium yang boleh terkeluar disebabkan air liur dan diresap masuk ke dalam badan melalui mulut.


Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Bisphenol A (BPA) ialah bahan kimia  yang ditambah dalam botol susu bayi polikarbonat untuk menjadikannya keras dan lutsinar. Manakala Polikarbonat pula merupakan sejenis plastik yang digunakan dalam pembuatan produk pengguna.

BPA digunakan oleh industri kimia dalam pembuatan plastik polikarbonat yang bertujuan untuk menghasilkan botol susu bayi, bekas makanan dan minuman serta dalam pembuatan epoksi resin yang digunakan sebagai pelapis dalaman bagi makanan dan minuman tin.

Kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan dengan penggunaan BPA. Namun begitu BPA merupakan unsur yang akan mendatangkan kesan negatif pada kesihatan manusia.

Bateri dan magnet merupakan satu alat yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Bateri boleh wujud dalam pelbagai bentuk, saiz dan kegunaan.

Antara kegunaan yang paling lazim ditemui adalah dalam barangan pengguna. Tetapi jika bateri dan magnet tidak digunakan dengan betul dan tidak dijaga dengan baik, ia boleh membawa kemudaratan terutamanya kepada bayi dan kanak-kanak kecil.

Saiz bateri dan magnet yang kecil ini biasanya boleh dijumpai pada alat mainan kanak-kanak.

Isu Keselamatan:
Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Toby Litivitz dari National Capital Poison Center, mendapati bahawa kecederaan yang disebabkan oleh bateri telah meningkat sebanyak 7 kali ganda semenjak tahun 1985. Majoriti kes yang dilaporkan adalah bateri yang berbentuk ‘butang’ yang berukuran diameter 20mm, dan bateri 3 volt.

Kanak-kanak dan bayi mempunyai satu sifat yang lazim iaitu memasukkan apa-apa alat ke dalam mulut. Selain itu, mereka juga mempunyai kecenderungan untuk mengunyah alat tersebut apabila bermain. Ini kerana mereka mudah tertarik dan tidak mempunyai kematangan untuk berfikir tentang baik buruknya. Menurut pakar trauma dari The Montreal Children's Hospital, bateri yang berbentuk butang ini akan kelihatan seperti gula-gula kepada kanak-kanak kecil. Oleh sebab itulah terdapat ramai kanak-kanak yang menjadi mangsa apabila tertelan bateri-bateri seperti ini.

Apabila kanak-kanak ini menelan bateri, ia akan memasuki sistem pencernaan kanak-kanak. Bateri yang tersangkut pada tekak atau usus boleh mengeluarkan hidroksida yang boleh menyebabkan lecuran pada bahagian tersebut.

 

 

 

 

Selain bateri, satu lagi benda yang boleh membawa maut kepada kanak-kanak adalah apabila mereka menelan magnet. Magnet-magnet kecil boleh dijumpai pada alat-alat mainan kanak-kanak. Perkara yang lebih membimbangkan atau serius adalah apabila seorang kanak-kanak menelan lebih dari satu magnet. Usus dalam badan akan mula tertarik antara satu sama lain disebabkan oleh sifat magnet tersebut. Oleh itu, usus ini juga akan berpintal dan berbelit. Ini boleh menyebabkan kematian kepada kanak-kanak.

 

Kadang-kala terdapat situasi yang seseorang penjaga atau ibu bapa yang tidak tahu bahawa kanak-kanak mereka telah tertelan bateri atau magnet. Apabila kanak-kanak menunjukkan simptom-simptom seperti demam, muntah dan cirit-birit dan dibawa ke hospital, baru masalah ini dapat dikesan. Dalam kebanyakan kes, mereka tidak dapat diselamatkan kerana terlalu lambat tindakan diambil. Menurut Journal of Pediatric Surgery, Volume 42 Issue 12,2007 pula, terdapat pula kes-kes yang doktor tidak dapat mengesan atau diagnosis untuk mengetahui masalah ini sehingga menyebabkan komplikasi yang lebih teruk. Menurut Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (US CPSC), dalam satu kajian menunjukkan bahawa lebih daripada 60 % kes yang diterima pada mulanya telah dirawat dengan tidak tepat disebabkan oleh komplikasi yang telah menyukarkan doktor untuk mengesan punca masalah kanak-kanak tersebut. Terdapat pula kes-kes kanak-kanak dan bayi tidak menunjukkan sebarang simpton dan meninggal dunia .

Kepentingan Standard:
Dokumen standard memainkan satu peranan penting dalam memastikan sesuatu barangan dan perkhidmatan adalah selamat kepada pengguna.
Dokumen standard MS ISO 8124-1: 2001 Safety of Toys: Part 1: Safety Aspects Related to Mechanical and Physical Properties yang telah dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia, telah menyenaraikan ciri-ciri dan keperluan keselamatan yang penting bagi alat mainan yang menggunakan magnet bagi memastikan alat mainan ini adalah selamat.
Terdapat satu lagi standard iaitu standard MS 1774:Part 6 : 1998 Safety of Toys- Part 6: Graphical Symbol for Age Warning Labelling. Standard ini menerangkan cara meletakkan label pada alat mainan kanak kanak mengikut kesesuaian umur. Standard ini boleh membantu industri dalam memastikan alat mainan yang dihasilkan adalah selamat untuk kesesuaian umur kanak-kanak dan mematuhi standard keselamatan yang lain.

Nasihat kepada pengguna:
Berikut adalah beberapa tip untuk mengelakkan kecederaan yang melibatkan bateri dan magnet:

Jangan menyimpan bateri di merata-rata tempat. Setelah digunakan, bateri haruslah dibuang ke dalam tong pembuangan khas seperti tong kitar semula, dan bukannya di dalam tong sampah di rumah.
Jangan membenarkan kanak-kanak membuka tempat meletak bateri dan sentiasa mengawasi anak anda daripada mencapai alat-alat yang menggunakan bateri yang mudah dibuka.
Sebelum membeli sesuatu alat mainan, pastikan anda membaca label untuk memastikan alat mainan yang mempunyai magnet-magnet kecil adalah sesuai mengikut umur anak-anak anda.
Jika boleh, elakkan dari membeli alat mainan yang mempunyai bateri atau magnet yang mudah tertanggal.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
31 Mac 2011

Pengguna dan ibu bapa hendaklah membuat persediaan awal dan bijak dengan menukarkan penggunaan botol susu bayi polikarbonat yang mengandungi Bisfenol A (BPA) kepada botol tanpa BPA.

Botol yang mangandungi BPA mempunyai kod kitar semula 3, 6 dan 7, manakala botol yang tidak mengandungi BPA biasanya mempunyai kod kitar semula 1, 2, 4 dan 5. Namun begitu, terdapat pertikaian tentang kod kitar semula ini. Oleh itu, kod kitar semula hanya boleh digunakan sebagai rujukan. Pengguna dinasihatkan supaya menggunakan pertimbangan mereka apabila memilih botol susu bayi.

Jika kod kitar semula adalah 3, 6 dan 7, kelihatan ringan, tahan lasak, serta mempunyai tahap kejelasan optik yang tinggi, maka ia besar kemungkinan mengandungi BPA.

Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat dengan kerjasama syarikat Subeam Products Inc, Boca Raton Fla telah menarik balik sebanyak 5,700 buah seterika daripada pasaran Amerika Syarikat. Produk ini dikatakan boleh mengalami kepanasan yang melampau sehingga boleh menyebabkan kebakaran. 

Masalah ini berpunca daripada sistem pendawaian pada seterika tersebut. Sehingga kini, firma tersebut telah menerima 17 aduan, iaitu 3 aduan melibatkan kes kebakaran.  Model yang terlibat dalam penarikan balik tersebut adalah “Sunbeam® Convertible Iron model number of GCSBRS – 103”. Nombor model tersebut boleh dilihat pada bahagian bawah seterika tersebut dan ia juga mempunyai kod data C235 or C237 pada soket.

 

Pengeluar kereta Toyota memaklumkan bahawa mereka telah menarik balik lebih daripada 1.7 juta kenderaan di peringkat global. Penarikan balik kali ini menambah penarikan balik kereta Toyota menjadikan jumlahnya hampir 16 juta sejak 2009. 

Penarikan balik yang kerap berlaku ini telah menjejaskan reputasi kualiti kereta keluaran Toyota. Pengisytiharan ini juga menyebabkan saham Toyoto mengalami penurunan sebanyak 2%.

Toyota menarik balik keretanya secara besar-besaran pada kali ini bagi mengatasi masalah pada pam minyak dan paip saluran pada 1.34 juta kenderaan, termasuk Noah minivan dan model lain yang dijual di Japan serta 141,000 unit Avensis yang dijual di luar Japan.

Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat telah mengarahkan penarikan balik produk kanak-kanak Refreshing Rings Infant Teethers/Rattles di pasaran Amerika Syarikat disebabkan produk ini boleh menyebabkan bahaya tercekik. 

Menurut Suruhanjaya ini, bahagian-bahagian kecil yang terdapat pada bola produk kanak-kanak tersebut boleh tercabut dan menyebabkan kanak-kanak boleh tercekik. Setakat ini , sebanyak 37000 buah produk kanak-kanak buatan Negara Cina ini telah ditarik balik Suruhanjaya tersebut setelah menerima satu laporan daripada pengguna. Tidak terdapat sebarang laporan kecederaan yang diterima setakat ini.

Apakah yang dimaksudkan dengan penarikan balik produk?

Penarikan balik produk pengguna ialah pengeluaran produk dari pengedaran, penjualan atau dari digunakan oleh pengguna kerana tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh sesebuah negara. 

Produk tersebut juga dikenal pasti mempunyai risiko yang boleh memudaratkan kesihatan dan keselamatan pengguna yang menggunakan produk tersebut.. 

Penarikan balik boleh meliputi pelbagai jenis produk seperti produk pengguna seperti barangan kegunaan dan perkakasan rumah, makanan, alat permainan, kosmetik, barangan farmaseutikal ,produk terapi, peralatan kebun dan kenderaan.