Sebarang perubahan yang berlaku kepada ekosistem di tanah tinggi akan menjejaskan ekosistem lain yang bergantung kepadanya di kawasan kaki tanah tinggi. Perubahan ini juga akan menyebabkan lebih banyak flora dan fauna kehilangan habitatnya. Pembangunan kawasan tanah tinggi sering dikaitkan dengan hakisan tanah dan tanah runtuh. Tambahan pula, ini akan mengakibatkan penambahan sedimen yang tinggi di hilir sungai dan seterusnya menyebabkan banjir berlaku.


Mengapa kita perlu memelihara kawasan tanah tinggi?

Tanah tinggi bagi kebanyakan negara merupakan sumber air. Anak-anak sungai akan menjadi sungai dan menjadi sumber air kepada satu kawasan berpendudukan yang besar. Kebanyakan empangan didirikan di kawasan tanah tinggi. Air yang diperoleh di kawasan ini biasanya lebih bersih daripada air dari sungai di kawasan hilir.

Industri perladangan membersihkan kawasan tanah tinggi yang besar untuk tujuan perladangan. Untuk mendapatkan lebih banyak kawasan penanaman, kawasan paya di sekeliling tanah tinggi akan dikeringkan melalui pengaliran air paya. Pengeringan seperti ini akan menyebabkan pengurangan aras air bawah tanah bagi kawasan tanah tinggi dan menyebabkan hasil yang kurang. Jika kita lihat kawasan perladangan dari Negeri Sembilan ke Johor, kita dapati wujudnya kesan daripada aktiviti ini. Adalah ini yang dikatakan Pembangunan Lestari?

Tanah tinggi yang dibangunkan senantiasa memerlukan perlindungan cerun tanah tinggi. Cerun-cerun menjadi lebih berat dan menakung banyak air dalam strukturnya. Tanpa adanya akar-akar pokok untuk memegang struktur ini ataupun saliran yang baik, cerun ini akan menyebabkan tanah runtuh. Insiden seperti ini semakin berleluasa pada masa kini.

Melihat kepada isu-isu berkaitan tanah tinggi yang kian meruncing, WECAM meminta agar Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan, Unit Perancang Ekonomi dan agensi-agensi kerajaan lain yang berkaitan untuk mewujudkan peraturan pembangunan tanah tinggi yang lebih ketat dan diikuti dengan perlaksanaan yang cekap. Peraturan ini juga perlu mengambil kira kelulusan daripada pihak-pihak berkepentingan yang mungkin mengalami kesan daripada  pembangunan ini.

Laporan Impak kepada Alam Sekitar yang Terperinci (Detailed Environment Impact Assessment-DEIA) mesti melihat kepada skop yang lebih luas sehingga ke kawasan hilir. Tanah tinggi adalah warisan kepelbagaian bio dan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menjaganya. Masa depan di tangan anda. Layari www.bukitlarut.com.my untuk melihat karenah Kerajaan Negeri Perak yang ingin menodai Bukit Larut (Maxwell Hill), Taiping, Perak. Bukit ini merupakan kawasan tadahan yang mempunyai keluasan kawasan tadahan primer melebihi 20 kilometer persegi. Projek pembangunan yang dicadangkan juga tanpa melalui proses DEIA.

Adakah anda ingin membayar tarif air yang tinggi kerana kegagalan Kerajaan Negeri menjaga kawasan tadahan air?

PIARAPAKARAN SUBRAMANIAM
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
10 Mac 2010

 

FOMCA akan meneliti laporan Impak Alam Sekitar (EIA) kilang Magnesium yang terletak di Taiping, Perak. Demikian menurut Datuk N. Marimuthu, Presiden FOMCA, ketika mengulas rungutan penduduk yang mendiami di kawasan persekitaran kilang tersebut, yang didakwa mengeluarkan bahan cemar yang berbahaya. Satu laporan akan dikeluarkan selepas penelitian EIA telah dilakukan.

Kilang magnesium tersebut, Commerce Venture Magnesium Sdn. Bhd, yang merupakan kilang yang pertama seumpama itu di Malaysia, terletak di Kawasan Perindustrian Kamunting Raya 111, Taiping, seluas 26 hektar.  Majlis pecah tanah kilang tersebut telah dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali pada 26 Februari 2008.

Menurut Datuk Marimuthu lagi, kebimbangan penduduk adalah berasas kerana kedudukan kilang tersebut yang berdekatan dengan kawasan kediaman dan Pusat Latihan Teknologi Maju (Adtec), iaitu sebuah pusat latihan di bawah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia. Kilang tersebut sepatutnya terletak jauh daripada kawasan berpenduduk kerana ia mengeluarkan bahan kimia yang boleh membahayakan kesihatan.

Antara bahan kimia tersebut ialah Dioxin, Furan, Hexaclorobenzene (HCB) dan Poly Chlorinated Biphenyls (PCB). Mereka yang terdedah kepada bahan kimia ini bakal menghadapi risiko kanser kerana bahan-bahan kimia ini akan berkumpul dalam badan dan memasuki badan melalui pernafasan, air dan bahan makanan.

Kerajaan sewajarnya mengadakan sesi perundingan dengan penduduk dan agensi yang berkaitan terlebih dahulu sebelum meluluskan projek yang berisiko tinggi, ujar Datuk Marimuthu lagi.

Datuk Marimuthu Nadason
Presiden FOMCA
12 Mac 2010

 

 

Ramai pengguna di Malaysia yang belum mempunyai kesedaran tentang pentingnya rawatan air sisa kumbahan yang mereka hasilkan. Sering kali mereka tidak mengendahkan tanggungjawab yang perlu dilakukan terutamanya perkhidmatan pembentungan tangki septik secara  individu.

Di Malaysia, dianggarkan seramai 1.2 juta pengguna (Sumber : MWIG, 2009) telah menggunakan perkhidmatan pembentungan tangki septik individu. Tangki septik individu (ITS) ini merupakan perkhidmatan pembentungan yang paling ringkas. Oleh sebab itu, pengguna lazimnya akan mengambil sikap tidak peduli untuk tidak melakukan pengenyahan enap cemar.


Bagi pengguna perkhidmatan pembentungan ITS, pengenyahan enap cemar bermaksud bahawa mereka mereka pelu mengosongkan tangki septik sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi memastikan tangki septik individu dapat berfungsi dengan sempurna. Demikian menurut Cik Syarina Mohd Yusof, Pengurus, Forum Air Malaysia.

Tambah beliau lagi, sekiranya proses pengenyahan enap cemar itu tidak dilakukan, ia akan menyebabkan enap cemar itu tidak boleh mendak ke dalam tangki septik, dan seterusnya akan mengalir terus ke longkang atau saliran. Enap cemar ini kemudiannya akan bercampur dengan sumber air sehingga boleh menjejaskan kualiti air. Selain itu, kegagalan pengguna untuk melakukan pengenyahan enap cemar juga akan menyebabkan masalah kesihatan dan bau.

Cik Syarina seterusnya berkata, pengguna yang gagal mengenyahkan enap cemar sebenarnya telah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Jika disabit kesalahan, maka mereka boleh didenda sebanyak RM 50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya akan dilaksanakan.

Sehubungan itu, Cik Syarina menasihatkan agar  para pengguna, khususnya yang menggunakan perkhidmatan pembentungan tangki septik individu, yang merupakan 19% daripada pengguna perkhidmatan pembentungan di Malaysia (Sumber : MWIG, 2009),  supaya melakukan penyelenggaraan atau pengenyahan enap cemar secara berkala bagi memastikan air sisa kumbahan tidak mencemarkan sumber air. Pencemaran sumber air ini bukan hanya akan menjejaskan kualiti air tetapi memerlukan kos yang tinggi untuk merawatnya.

Syarina Mohd Yusof
Forum Air Malaysia
18 Mac 2010

 

Kerajaan negeri Perak berharap dapat mengaut keuntungan melalui kunjungan pelancong yang meningkat di negeri tersebut, khususnya di Bukit Larut.

Namun begitu, harapan untuk mengaut keuntungan itu telah menyebabkan banyak kawasan tadahan air di Malaysia yang telah dinodai. Lambakan pelancongan ini menyebabkan banyak kawasan pelancongan yang telah rosak dan tercemar.  Mass tourism atau pelancongan lambak telah menyebabkan kebanyakan kawasan pelancongan ini telah mengalami kerosakan dan kian tercemar.

 


Menurut S. Piarapakaran, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), WECAM dan Forum Air Malaysia telah melakukan membuat pemantauan secara berterusan ke atas projek pembangunan di Bukit Larut semenjak tahun lalu. Kini WECAM sedang menyiapkan laporan pemantauan tersebut untuk diserahkan kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Tambah beliau lagi, antara dapatan yang diperolehi daripada pemantauan tersebut ialah masalah hakisan, tanah runtuh, perubahan pengaliran air, aktiviti pembersihan hutan sekitar kawasan tadahan air dan pemusnahan bangunan bersejarah (warisan).

Piarapakaran juga menegaskan bahawa isu kawasan tadahan air mempunyai kaitan dengan tarif air. Apabila kualiti air semakin kurang disebabkan oleh keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri, sepatutnya kenaikan tarif tidak boleh dibenarkan. Dalam hal ini kerajaan negeri yang sepatutnya dipersalahkan. Rakyat perlu memastikan kerajaan negeri memainkan peranan mereka dengan betul dan melindungi bekalan air kepada rakyat.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak memberikan sebarang ulasan ke atas projek ini berpandukan Laporan Kajian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment-EIA). Piarapakaran berkata, ”Bagaimana projek di kawasan Hutan Simpanan boleh berjalan tanpa EIA? JAS tidak boleh memberikan komen atau ulasan tanpa sebarang kajian terperinci.”

Isu Bukit Larut masih terus berlarutan, walaupun berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan kerajaan negeri. Malah ada yang menyamakan projek ini dengan Gunung Mat Cincang di Langkawi. Dalam hal ini, perbandingan tersebut adalah tidak tepat kerana  struktur tanah dan komposis hutan bagi kedua-dua projek adalah jauh berbeza.

Di Malaysia, keutamaan tidak diberikan kepada perwartaan kawasan tadahan air sebagai kawasan simpanan tetap. Banyak contoh seperti ini di setiap negeri dan akhirnya apabila kualiti air semakin teruk, tarif akan dinaikkan.

Layari www.bukitlarut.com.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu Bukit Larut (Maxwell Hill).

Piarapakaran Subramaniam
Persatuan Tenaga dan Air Malaysia (WECAM)

 

Walaupun kerajaan negeri Perak menyatakan bahawa rakyat Taiping menyokong projek kereta kabel dan pembangunan di Bukit Larut, namun berdasarkan maklum balas penduduk, keadaan adalah sebaliknya.

Tinjauan yang dilakukan oleh  Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) mendapati sebenarnya ramai penduduk yang menentang projek ini.


“Kami tak sokong, ini mesti yang datang mengunjung. Kami selalu datang ke sini, nak naik Bukit Larut, jalan kaki atau naik jeep”, kata sepasang suami isteri yang telah agak berusia.

Setiausaha Agung, En Piarapakaran Subramaniam yang turut sama dalam aktiviti gotong royong bulanan di Bukit Larut berkata, “Walaupun kami berjaya mengurangkan sampah di kawasan Bukit Larut, tetapi masih banyak lagi sampah yang tidak dapat kami kutip kerana kedudukannya yang jauh untuk dicapai. Pengunjung ke Bukit Larut kadangkala tidak prihatin. Kami jumpa banyak bekas polisterin, plastik, botol minuman, pembalut makanan segera dan sebagainya.”

Bukit Larut merupakan kawasan tadahan air dan telah diwartakan sebagai hutan simpan pada tahun 1910. Hutan simpan ini merupakan sumber air bagi hampir 200,000 penduduk di daerah Larut, Matang dan Selama.

Piara melanjutkan, “Apa yang membimbangkan lagi ialah kegiatan pembalakan di sekitar kawasan ini. Terdapat juga pencerobohan berdekatan Loji Air Kuning yang masih menyediakan sumber air yang baik. Jika Bukit Larut dinodai, hilanglah sumber ini. Jadi mengapa ingin mengganggu gugat jaminan air ini?.”

Pada masa yang sama, WECAM telah mewujudkan laman facebook – SAVE BUKIT LARUT yang kini mencatatkan 845 penyokong. Ini merupakan memorandum siber kepada kerajaan negeri Perak. Laman jaringan sosial ini juga menjadi saluran bagi penyokong-penyokong Save Bukit Larut untuk berinteraksi dan menyatakan bantahan mereka terhadap perancangan kerajaan negeri Perak.

Jangan Menodai Bukit Larut!
www.bukitlarut.com.my
Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung WECAM
23 Mac 2010

 

Sisa elektronik kini merupakan satu jenis sisa pembuangan yang semakin meningkat di seluruh dunia. Menurut United Nations Environment Programme, sebanyak 20-50 juta tan metrik dihasilkan di seluruh dunia setiap tahun dan kadar peningkatan sisa elektronik ini adalah sebanyak lima peratus di seluruh dunia.

Negara- negara  yang sedang membangun seperti Malaysia juga dijangkakan akan mempunyai peningkatan dalam sisa elektronik menjelang tahun 2020. Sesetengah negara- negara Eropah pula telah mengeluarkan larangan untuk membuang sisa elektronik di tempat timbunan sampah.

 

Negara- negara tersebut juga telah mengeluarkan satu protokol untuk cara mengendalikan sisa elektrik dan elektronik di negara mereka dan juga telah menyeru rakyat di serantau Eropah untuk mengurangkan sisa elektronik di negara masing masing.

Di peringkat antarabangsa, Malaysia merupakan ahli Basel Convention di mana ia mengetatkan undang- undang dan aktiviti mengeksport sisa yang berbahaya dari negara- negara maju ke negara- negara membangun.

Walau bagaimanapun, kita sebagai seorang pengguna harus fikir bagaimanakah cara untuk mengendalikan sisa elektronik contohnya seperti bateri, pengecas telefon bimbit, dan bahagian komputer yang tidak lagi digunakan? Dimanakah anda membuang sisa- sisa elektronik ini?

Jawapan yang paling lazim ialah tong sampah di rumah. Kini di Malaysia, ramai yang masih tidak mempunyai tabiat untuk mengasingkan sampah mereka di rumah  sebagai contoh, mengasingkan plastik, gelas, kaca, kertas,aluminium dan sisa makanan.

Apabila kita membuang sisa elektronik ini secara sewenang- wenangnya, bahan kimia dan logam berat dalam sisa elektonik ini akan meresap masuk ke dalam tanah yang akan mencemarkan alam sekitar terutamanya sumber air kita. Natijahnya, kita sebagai penggunalah yang akan merasai kesan pencemaran ini dimana air yang diminum tidak lagi bersih dimana ia akan membawa kemudaratan kepada diri sendiri.

Sehingga kini, negara kita masih lagi belum mempunyai satu sistem kitar semula yang efektif dan lengkap. Perkara ini menyebabkan seseorang pengguna tidak dapat mengamalkan amalan kitar semula dengan baik. Selain sikap pengguna itu sendiri, perkara lain yang mampu membolehkan amalan pembuangan sampah, sisa elektronik dan amalan kitar semula ini amalkan dengan baik adalah melalui penguatkuasaan yang baik.

Sekiranya kita mempunyai satu peraturan yang mewajibkan pengguna mengasingkan sisa pembuangan mereka, ini akan dapat membantu mengurangkan timbunan sampah merata- rata dan kitar semula boleh dijalankan dengan lebih teratur dan sistematik. Malaysia mempunyai satu peraturan untuk sisa elektronik yang dikategorikan di bawah kod SW 110, First Schedule, Environmental Quality ( Schedule Wastes ) Regulations 2005.

Tetapi, akta ini tidak menguatkuasakan sisa pembuangan di rumah dan pengguna. Pihak kerajaan juga telah mengadakan banyak kempen tetapi kempen- kempen tersebut tidak dapat mencapai objektifnya dalam mengubah sikap pengguna untuk mengamalkam kitar semula dan penggunaan lestari. Kadar kitar semula di negara Malaysia hanyalah lima peratus dan ia amatlah kurang jika dibandingkan dengan negara Thailand dimana kadar kitar semulanya adalah 50% ,negara Singapura,56% dan Filipina 12%.
Perlu adanya satu cara yang efektif bagi menggalakkan amalan kitar semula dan pengurangan sisa elektronik di kalangan pengguna supaya mereka lebih bertanggungjawab.

Selain pengguna, pihak industri dan kerajaan harus mengalakkan satu standard untuk menyelaraskan penggunaan elektrik dan elektronik. Maksudnya, komponen- komponen, aksesori, dan bahan gantian bagi pelbagai barangan elektronik boleh diseragamkan supaya ianya boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan. Sebagai contoh, satu alat kawalan jauh yang digunakan oleh pengguna di rumah untuk menonton televisyen boleh digunakan juga untuk memainkan alat- alat elektronik yang lain seperti pemain cakera, radio dan sebagainya.

Ini akan mengurangkan seseorang pengguna itu untuk membeli pelbagai alat kawalan jauh untuk setiap alat elektronik yang digunakan. Satu pengecas boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit dan juga komputer riba.  Ini akan membantu pengguna dari berbelanja lebih, mengurangkan kesusahan membawa alat – alat ini kemana sahaja dan mengurangkan sisa elektronik.

Adalah penting bagi semua pihak- pihak berkepentingan untuk menganding bahu bagi mengurangkan sisa elektronik yang semakin meningkat dan hanya membawa kepada pembaziran. Pihak industri juga boleh berkecimpung dalam pengurangan sisa elektronik sebagai satu tangggungjawab sosial.

Sebagai seorang pengguna yang baik, kita harus mengubah diri kita dan mula untuk mengamalkan cara hidup yang lestari  dan bertanggungjawab kerana perubahan bermula dengan kita.

Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia

TAIPING - Selepas isu berkenaan kilang magnesium di Taiping mendapat perhatian media, kini pelbagai pihak mula menyuarakan bantahan terhadap projek tersebut.

Bantahan ini disuarakan dalam satu majlis taklimat yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak. Taklimat ini turut dihadiri oleh 100 orang penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran kilang tersebut.


Sesi taklimat hangat seketika apabila wakil kilang mendakwa penduduk-penduduk telah menfitnah kilang tersebut dengan dakwaan yang tidak berasas. Namun begitu, dakwaan itu disangkal dengan lantang oleh Puan Aslina, yang menjadi wakil kepada penduduk.

Menurut Cik Christine Lim, pengurus Persatuan Pengguna Air dan Tenaga, yang  turut hadir dalam taklimat tersebut, beliau terkejut dengan cara pegawai kilang yang menuduh penduduk itu.

Taklimat ini bertujuan untuk menjelaskan kepada penduduk mengenai projek kilang ini dan meyakinkan penduduk tentang tahap keselamatan di kilang tersebut. Tetapi keadaan yang sebaliknya pula berlaku. Persoalan yang diutarakan oleh penduduk gagal dijelaskan, ujar Cik Christine lagi.

Cik Christine turut menyuarakan tentang maklumat yang terdapat dalam Laporan Impak Alam Sekitar (EIA). Wakil Jabatan Alam Sekitar, Encik Rosli menyatakan bahawa laporan EIA tersebut adalah untuk unit boiler, bukan laporan projek.

Apabila dinyatakan tentang laporan Kajian Kitar Hayat (LCA) yang menunjukkan proses Pidgeon merupakan proses yang mendapat kedudukan terendah berbanding proses lain untuk mengekstrak magnesium, wakil JAS gagal memberikan penjelasan.

Semua penduduk yang hadir dalam taklimat tersebut sebulat suara menyatakan bantahan mereka terhadap projek kilang itu.

Sesi taklimat turut dihadiri oleh wakil Kilang magnesium tersebut, iaitu Commerce Venture Magnesium Ltd.

Christine Lim
Pengurus Persatuan Pengguna Air dan Tenaga (WECAM)

 

RAWANG, 24 MAC - Penduduk Taman Garing, di Rawang, Selangor yang sering mengalami banjir semenjak bermulanya sebuah projek pembangunan sebuah anak syarikat Hong Leong Group dijanjikan penyelesaian sementara.

Dalam mesyuarat telah diadakan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) di sini pada hari ini, yang turut disertai oleh Encik Piarapakaran, Ketua Pegawai Operasi, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), wakil persatuan penduduk Taman Garing,  syarikat pemaju, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jurutera Daerah Gombak dan Majlis Perbandaran Selayang


Dalam perbincangan tersebut, Pengarah Bahagian Pengurusan Aduan BPA, Encik Aziz Ismail diberikan penerangan tentang masalah banjir oleh wakil penduduk, Dr Manonmony dan Encik Chin. Menurut kedua-dua wakil penduduk itu, kejadian banjur telah mulai berlaku pada tahun 2003, selepas projek pembangunan perumahan Emerald bermula.

Dalam pada itu, Encik Piarapakaran telah menerangkan tentang laporan yang disediakan oleh FOMCA tentang kejadian banjir itu pada tahun 2008, dan laporan susulan pada tahun 2009.

Pemaju Projek Perumahan Emerald yang didakwa menyebabkan banjir berlaku, yang kali pertama menghadiri sesi perbincangan ini, menafikan kejadian banjir disebabkan oleh projek yang dijalankan oleh syarikat tersebut. Sebaliknya disebabkan oleh beberapa projek pembangunan lain di sekitar Taman Garing. Namun wakil syarikat pemaju itu gagal menunjukkan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan beliau.

Jurutera Daerah Gombak telah mencadangkan supaya kolam takungan yang terdapat di hadapan Taman Garing perlu dinaiktarafkan kepada kolam basah, sementara tebing-tebing kolam ini juga perlu dinaikkan lebih tinggi.

Perbincangan akhirnya telah bersetuju untuk melaksana pelan sementara yang dicadangkan oleh Jurutera Daerah Gombak bagi tempoh dua minggu hingga sebulan.

Sementara itu, Jabatan Pengaliran dan Saliran, Hong Leong dan Majlis Perbandaran Selayang akan merancang penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir itu.

Biarpun berpuas hati dengan keputusan mesyuarat tersebut, namun wakil penduduk masih berasa sangsi tentang perlaksanaannya kerana janji yang sama telah diberikan semenjak tahun 2003.

Mesyuarat yang diadakan pada ini merupakan hasil daripada usaha yang dilakukan oleh FOMCA selepas menghantar beberapa e-mel kepada BPA dan kerajaan negeri.

Piarapakaran
Ketua Pegawai Operasi
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Sambutan Hari Air Sedunia peringkat kebangsaan tahun ini akan diadakan di perkarangan Dataran Tanjong Emas, Muar, Johor. Acara sambutan akan dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Hari Air Sedunia diraikan setiap 22 Mac untuk menekankan peri pentingnya air untuk kehidupan.  Pada tahun ini, tema sambutan adalah ‘Air Bersih untuk Kesihatan Sejagat’.


Menurut Encik Piarapakaran, Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), pihak beliau juga akan terlibat dalam acara tersebut. WECAM akan mengadakan pameran tentang isu-isu kepenggunaan yang berkaitan dengan air dan tenaga.

Hari Air Sedunia 2010 memberikan tumpuan terhadap keperluan kualiti air kepada manusia dan alam sekitar. Kualiti air yang rendah akan memudaratkan alam sekitar. Begitu juga kesannya kepada manusia kerana makanan yang dimakan mungkin menggunakan air tercemar.

Pada masa yang sama, kualiti air juga memberikan kesan yang tinggi kepada kos rawatan air. Apabila kualiti air mulai berkurangan, kos rawatan akan meningkat. Ini menyebabkan tarif yang dikenakan kepada pengguna juga akan meningkat.

”WECAM sering memaklumkan perkara ini kepada pengguna tentang kesan pencemaran air, khususnya air permukaan kerana sebahagian besar sumber air yang digunakan di rumah berpunca daripada air ini. Namun mereka seolah-olah tidak mengendahkannya,” kata Piara dengan kesalnya.

WECAM berharap lebih ramai pengguna akan memberikan perhatian terhadap isu ini dan membantu dalam menjaga sumber air agar generasi akan datang dapat menikmati air yang bersih, ujar Piara lagi.

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung, Persatuan Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
26 Mac 2010