Malaysia merupakan sebuah negara beriklim tropika yang dilimpahi dengan purata taburan hujan tahunan di antara 2000 – 5000 mm. Faktor ini menyebabkan negara lebih banyak bergantung kepada sumber air permukaan untuk mendapatkan bekalan air terawat. Kemudahan untuk mendapatkan sumber air terawat bagi menjalankan aktiviti harian memberi tanggapan atau persepsi kepada masyarakat di negara ini bahawa Malaysia tidak akan mengalami masalah kekurangan air pada masa akan datang.

Pada tahun 2008, Pulau Pinang Dan Melaka mencatatkan jumlah penggunaan air yang paling tinggi di negara ini iaitu 285 liter/kapita/Hari Dan 268 liter/kapita/Hari. (Sumber : Malaysia Water Industrial Guide Dan SPAN). Angka ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan penggunaan air di Singapura iaitu sebanyak 156 liter/kapita/Hari.

Apakah yang menyebabkan penggunaan air di negara ini agak tinggi Dan dikategorikan sebagai membazir ? Pertama, mentaliti masyarakat di negara ini yang masih beranggapan bahawa Kita tidak akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan air terawat. Kedua, tarif air yang rendah disebabkan bantuan subsidi daripada kerajaan menyebabkan pengguna mengambil kesempatan Dan tidak menghargai air.

Pada masa ini, rakyat Malaysia cuma membayar serendah RM 0.31/m3 sehingga RM 0.98/m3.  Dengan nilai serendah ini, ia mendorong masyarakat lupa untuk melakukan penjimatan air Dan terakhir, tiada hukuman atau penalti yang dikenakan ke atas pihak atau individu yang banyak menggunakan air sebaliknya diberi diskaun atau bantuan subsidi.

Pengguna di negara ini perlu lebih sedar bahawa masalah kekurangan air terawat akan berlaku sekiranya tabiat penggunaan air pada masa ini masih berterusan. Pengguna perlu mengamalkan langkah-langkah menjimatkan air. Banyak cara yang boleh dilakukan untuk menjimatan air seperti menuai air hujan, mengguna Dan mengitar semula air sisa Dan menggunakan peralatan penjimatan air seperti Pam tandas dwi fungsi Dan alat pancuran yang jimat air.

Jika setiap masyarakat menyedari tentang kepentingan air dan bersama-sama berusaha untuk menjimatkan air, maka ia sudah pasti dapat meminimumkan masalah kekurangan bekalan air terawat pada masa akan datang. 

SYARINA MOHD YUSOF
Forum Air Malaysia
21 Mei 2010

 

Pertambahan jumlah penduduk dan kepesatan pembangunan dalam sektor industri telah mendorong kepada permintaan bekalan air yang tinggi. Faktor ini akan menimbulkan lebih banyak tekanan kerana sumber air yang terhad tanpa disedari. Secara keseluruhannya, sumber air di dunia yang boleh digunakan untuk kegunaan harian adalah 0.3 peratus sahaja daripada keseluruhan sumber air yang terdapat di dunia ini, yang terdiri daripada tiga sumber, iaitu air sungai, paya dan tasik.

Dalam kesukaran untuk mendapatkan sumber air mentah, timbul pula masalah pencemaran air yang semakin meningkat. Sungai dan tasik telah dijadikan tempat pembuangan bahan toksik dan sampah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Keadaan ini memberi impak kepada sungai dan tasik, yang menyebabkan jumlah kandungan oksigen (O2) di dalam air semakin berkurangan, yang kemudiannya telah menjejaskan hidupan air serta merendahkan kualiti air mentah.

Kebergantungan kepada sumber air mentah sebanyak 97 peratus bagi menghasilkan air terawat, telah menyebabkan pencemaran yang berlaku ini menimbulkan keadaan yang tidak menyenangkan. Jika pencemaran ini terus berlarutan, maka masalah kekurangan kekurangan sumber air mentah akan berlaku. Selain itu, ekosistem juga akan terganggu dan lebih malang lagi kesihatan serta punca pencarian bagi manusia yang bergantung kepada sumber air akan turut terancam.

Syed Mubashir bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia
24 Mei 2010

 

Hampir semua negara di dunia ini berkembang pesat dalam era sains dan teknologi. Saban hari banyak bangunan mahupun lebuh raya telah dibina bagi menambah baik kehidupan manusia. Namun, dalam kesibukan mengejar kemajuan dunia, secara tidak sedar manusia alpa akan kepentingan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.

Umpamanya di Malaysia, salah satu usaha yang telah diambil oleh kerajaan untuk memelihara alam sekitar ialah projek membersihkan Sungai Raja di Alor Setar. Usaha ini sememangnya harus dipandang serius dan dikembangkan ke sungai yang tercemar yang lain. Namun usaha ini tidak akan berjaya jika hanya satu pihak sahaja yang terlibat. Justeru itu, kerajaan dan masyarakat seharusnya melibatkan diri dalam usaha untuk menjaga alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama.

Sebagai masyarakat yang prihatin, pelbagai beberapa langkah boleh dilakukan, antaranya tidak membuang sampah sarap ke dalam sungai, di samping melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan jika terdapat sebarang kecuaian mana-mana pihak yang melupuskan sampah ke dalam sungai.

Selain itu juga, masyarakat boleh memantau aliran sungai seharian dan mengadakan gotong-royong membersihkan sungai jika terdapat sampah sarap yang boleh menggugat eko-sistem sungai. Antara aspek-aspek yang boleh dipantau ialah secara fizikalnya ialah bau yang kurang menyenangkan. Manakala secara biologi pula, perhatikan hidupan di dalam sungai, contohnya ikan, udang dan organisma yang lain.

Dengan usaha dan kesedaran yang berterusan oleh pihak kerajaan dan masyarakat, maka pemuliharaan dan pemeliharaan warisan alam sekitar pasti tidak menjadi isu yang kronik. Ia juga dapat membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan untuk menjaga alam sekitar.

Syed Mubashir Bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia
25 Mei 2010

 

Seringkali kejadian banjir dilaporkan melalui media. Kejadian banjir tersebut sering tertumpu kepada kawasan yang sedang dibangunkan, sebagai contoh, kawasan pembinaan projek perumahan, lebuh raya baru dan bangunan bertingkat.

Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan kejadian banjir, iaitu pertamanya, kitaran angin monsun, yang biasanya membawa purata taburan hujan yang tinggi, dan kedua, sistem perparitan yang kurang efisien di kawasan bandar.


Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan telah meluluskan pelan pembangunan projek mengatasi masalah banjir yang membabitkan peruntukan lebih RM1 bilion. Namun pelaksanaannya mengambil masa yang panjang, bukan setakat dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), malah mungkin melangkau kepada RMK-11 kerana banyak kawasan yang terbabit.

Peruntukan kerajaan untuk mengatasi masalah banjir mungkin boleh dikurangkan seringnya wujud kerjasama antara pemaju dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Kerjasama itu akan menguntungkan semua pihak, terutamanya penduduk kawasan perumahan. Selain daripada menambah kesedaran tentang pentingnya sistem perparitan di kawasan yang dibangunkan, pemaju boleh berbincang dengan JPS dan mengenal pasti sistem perparitan yang lebih sistematik untuk mengelak berlakunya banjir.

Pembangunan amat penting untuk memajukan sesebuah kawasan dari segi ekonomi mahupun sosial penduduk setempat. Namun, sistem perparitan yang cekap juga tidak boleh dipandang enteng kerana kesannya akan memberi impak yang besar kepada semua pihak.

Syed Mubashir Bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia
1 Jun 2010

 

Baru-baru ini Kerajaan Negeri Perak telah mengumumkan bahawa kerja-kerja pembinaan kereta kebal akan diteruskan di kawasan hutan simpanan Bukit Larut, yang juga merupakan kawasan tadahan air.

Pengumuman tersebut telah menyebabkan ahli Facebook ‘Save Bukit Larut’ telah mengalami pertambahan. Begitu juga pelbagai komen bernas telah diutarakan oleh ahli. Kata Piarapakaran Subramaniam, Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM). Terdapat 1804 ahli aktif dalam facebook `Save Bukit Larut’.


Hampir semua ahli meminta supaya projek ini dihentikan. Namun begitu Kerajaan Perak masih terus bertegas untuk meneruskan projek ini atas ‘inisiatif persendirian’ dan akan membawa ‘keuntungan’ kepada penduduk di Taiping.

Walaupun Kerajaan Perak mengatakan bahawa satu analisis mengenai impak alam sekitar telah disediakan, namun tiada maklumat and salinan laporan ini yang boleh di rujuk oleh semua pihak.

“Di Malaysia,” kata Piarapakaran, “Kita selalu memandang tinggi pencapaian negara maju dengan ‘ooh’ dan ‘ahh’. Tetapi, negara-negara ini melindungi kawasan tadahan mereka dengan sepenuhnya, ada yang menggunakan askar bersenjata.”

Kenapa di Malaysia kita hanya memilih yang mana kita ingin guna pakai sahaja?

Kehilangan kawasaa tadahan air akan menyebabkan kenaikan tarif air pada masa akan datang. Siapa yang ingin bertanggungjawab?

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung, WECAM
1 Jun 2010

 

Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 telah hampir tiga tahun diwartakan. Peraturan-peraturan yang akan menentukan masa depan pengurusan sisa di Semenanjung Malaysia dan Labuan sedang disediakan.

FOMCA berharap pengurusan sisa pepejal tidak hanya tertakluk kepada tiga pemegang konsesi utama, yang kemudiannya menyerahkan kontrak tersebut kepada kontraktor kecil yang lain. Jika ini berlaku, ia seolah-olah untuk membantu pemegang konsesi, iaitu E-Idaman, Alam Flora and Southern Waste Management secara terbuka. Tiada sesiapapun di dunia ini yang ingin membuat perniagaan yang membawa kerugian.


Pengurusan sisa bermula di rumah dan di pejabat.. Setiap pembungkusan yang dibeli perlu diuruskan kerana ia akan dibuang sebagai sisa. Sebelum ini, sisa tersebut dibuang dan ditanam dalam tapak pelupusan sampah. Namur kaedah ini ini lebih memudaratkan alam sekitar daripada  beberapa industri di Malaysia.

”Tapak Pelupusan Sanitari” merupakan perkataan yang sering digunakan pada hari ini. Tapak Pelupusan Sanitari di Jeram sepatutnya merupakan contoh yang baik. Pada masa yang sama, ia tidak bermaksud kaedah pelupusan sampah seperti ini lebih baik.

Tapak pelupusan merupakan kaedah terakhir untuk melupuskan sampah. Di Jepun, terdapat beberapa kawasan yang diisytiharkan sebagai ‘sifar tapak pelupusan’. Perlu diingat bahawa jika ‘tapak pelupusan sanitari’ ini tidak diselenggara dengan baik, maka ia tidak ada bezanya dengan tapak-tapak pelupusan yang biasa.

Selain itu, terdapat usaha yang tergesa-gesa untuk membina insinerator atau pelbagai nama lain yang seumpamanya. Pengalaman pahit lalu membuktikan bahawa insinerator gagal berfungsi akibat kandungan air yang tinggi dalam sampah. Salah satu lokasi terpilih untuk mengkaji keberkesanan sistem ini jauh lebih baik darpada membina semua sistem ini sekali gus.  Terdapat juga laporan yang mengatakan insinerator (bukan sisa pepejal) mengalami masalah pelepasan bahan berbahaya pada peringkat permulaan dan penutupan sistem. Adakah teknologi baru ini berkesan?

Insinerator dilabelkan sebagai pencemar. Dalam pelbagai keadaan kita tidak menggunakan kaedah perbandingan yang tepat, iaitu di antara kitar semula, pengkomposan, Refuse Fuel Derive (RDF), dan kaedah-kaedah lain. Adakah kita mempunyai bukti kukuh bahawa kaedah yang mana satu bersesuaian untuk dilaksanakan di Malaysia?

Dalam pemilihan teknologi bagi kedua-dua insinerator dan tapak pelupusan ‘sanitari’ melalui satu jawatankuasa pemilihan, adakah jawatankuasa ini serta pembekal teknologi sedia untuk bertanggungjawab jika ia mengalami kegagalan. Ia memerlukan sikap kebertanggungjawaban yang tinggi.. Kebanyakan pembekal teknologi ini seperti menjanjikan syurga, tetapi apabila ia operasi, keadaan yang sebaliknya pula berlaku. Banyak wang rakyat yang terlibat dalam pembinaan prasarana seperti ini. Ia tidak sepatutnya dibazirkan dan peraturan serta undang-undang berkaitan dengan kualiti alam sekitar perlu dipatuhi.

FOMCA berharap polisi pengambilan balik (Take back policy) diwujudkan dengan peraturan ketat, kemudahan untuk menerima barangan boleh dikitar semula mesti ditempatkan dengan meluas supaya rakyat mudah menggunakan kemudahan ini. Sebuah industri pengurusan sisa yang sistematik patut diwujudkan kerana ia tidak patut mengamalkan monopoli dan mencemarkan alam sekitar. Selain itu, pihak yang meluluskan dan membekalkan teknologi perlu bertanggungjawab jika sistem dan teknologi ini gagal.

Apa yang diharapkan hádala pengurusan sisa tidak dilihat secara pecahan lepada bahagian yang berlainan. Ia perlulah di dalam sebuah entiti. Jika seorang ibu, pelajar atau pemilik perniagaan tidak tahu tentang kesan daripada sisa yang mereka hasilkan kepada alam sekitar, maka sistem tersebut akan gagal.

PIARAPAKARAN SUBRAMANIAM
Pengurus Kanan
FOMCA

 

Syarikat pengeluar minyak dunia, BP telah gagal mengawal tumpahan minyak petrol hampir 75.7 juta liter yang memenuhi perairan Teluk Mexico. Tumpahan minyak ini mengakibatkan kerosakan kepada  ekosistem laut yang menjangkau lebih daripada 8000 jenis spesis hidupan. Walaupun bahan pengurai cuba digunakan, namun ia tidak memberi kesan.

Kebocoran telaga BP (Deepwater Horizon) menyebabkan kehilangan hampir 1.5 peratus daripada simpanan keseluruhan iaitu 50 juta tong minyak.


Di Malaysia, kebocoran minyak  telah berlaku akibat pelanggaran kapal laut milik Malaysia di perairan Malaysia-SingapuraMT Bunga Kelana 3 berlanggar kapal kargo MV Waily di Tanjung Stapa, Pengerang, Johor. Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah berkerjasama dengan agensi tempatan dan pihak berkuasa Singapura untuk mengawal tumpahan tersebut.

Kehidupan para nelayan telahpun terjejas akibat kejadian tersebut sehingga mengganggu pendapatan mereka dalam tempoh yang lama

Sungguh menghairankan apabila kejadian seperti ini berlaku, usaha hanya yang lebih tertumpu kepada pembersihan tumpahan minyak.

Tidak adakah teknologi radar dan satelit yang dapat mengesan pergerakan kapal di laut? Adakah teknologi pemasangan paip dan penyelengaraan tidak dapat mengelakkan kebocoran di Teluk Mexico? Faktor manusia iaitu tenaga pakar masih memainkan peranan penting dalam pelaksanaan teknologi canggih. Oleh itu kegagalan dalam pelaksanaan ini masih boleh menyebabkan malapetaka berlaku.

Adakah Malaysia bersedia menggunakan teknologi nuklear walaupun risikonya jauh lebih tinggi daripada kebocoran seperti yang berlaku ini?

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
WECAM
4 Jun 2010

 

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah menyiapkan laporan kajian ke atas kilang magnesium yang terletak di Taiping, Perak. Kajian tersebut dilakukan selepas menerima aduna daripada penduduk di sekitar kawasan kilang tersebut.

FOMCA telah meneliti meneliti Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dan mendapati laporan EIA tidak lengkap. Sebagai contoh, model simulasi pencemaran udara, yang merupakan elemen penting dalam industri magnesium, tetapi model yang dilaksanakan tidak merangkumi semua jenis pencemar.


Pada masa yang sama, pemilik projek dan konsultan EIA gagal memberikan maklumat bahan kimia yang terdapat dalam bahan mentah pemprosesan magnesium. Bahan mentah dalam lombong biasanya mengandungi bahan-bahan lain yang boleh memudaratkan kesihatan.

Apabila penelitian dilakukan terhadap kajian yang dibuat di serata dunia, didapati bahawa proses Pidgeon mendapat keputusan yang paling teruk dalam kalangan mereka. Ia juga mempunyai hampir 60 % lebih impak pemanasan global berbanding pemprosesan aluminium. Adakah ini sejajar dengan jaminan Perdana Menteri untuk mengurangkan 40% Karbon Intensiti  menjelang 2020?

Kebanyakan bahan pencemar yang tidak dilaporkan ini merupakan bahan pencemar yang boleh menyebabkan kanser. Apakah masa depan kesihatan penduduk di kawasan tersebut?

Laporan kajian yang disediakan oleh FOMCA akan dihantar kepada Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perdana Menteri. FOMCA berharap kerajaan negeri membuat pertimbangan yang wajar terhadap projek ini untuk melindungi rakyat yang berada di kawasan kilang berkenaan.

Piarapakaran Subramaniam
FOMCA

 

 

Plastik merubah wajah dunia dan sangat berperanan dalam kehidupan sehari-hari kita. Cuba lihat di sekitar kita, sudah pasti ada barang yang diperbuat daripada bahan plastic. Lebih dekat lagi, lihat komputer yang sedang anda pakai, tentunya masih menggunakan plastik.

Istilah plastik merangkumi produk polimer sintetik atau semi-sintetik. Ia terbentuk daripada kondensasi organik atau penambahan polimer dan boleh juga terdiri daripada bahan lain untuk meningkatkan ketahanan atau ekonomi. Ada beberapa polimer alami yang termasuk plastik. Plastik dapat dibentuk menjadi filem atau gentian sintetik.


Nama ini berasal daripada fakta bahawa banyak daripada mereka dapat dilentur, memiliki sifat keplastikan. Plastik direka dengan kepelbagaian yang sangat banyak dalam ciri-ciri yang dapat menahan panas, keras, kebergantungan dan lain-lain. Digabungkan dengan kemampuan adaptasinya, komposisi yang umum dan beratnya yang ringan memastikan plastik digunakan hampir di seluruh bidang industri.

Plastik boleh dikategorikan dengan banyak cara. Yang paling umum adalah dengan melihat tulang-belakang polimernya (vinilklorida, polietilena, akrilik, silikon, uretana, dll.). Pengkelasan yang lain juga umum.

Pengembangan plastik berasal daripada penggunaan bahan semula jadi (seperti: karat, "shellac") hingga ke bahan yang diubahsuai secara kimia (seperti: karat semula jadi, "nitrocellulose") dan akhirnya ke molekul buatan-manusia (seperti: epoksi, polivinil klorida - PVC, polietilena).

Dengan kian meningkatnya keperluan barang yang berasal/mengandungi plastik, tentunya sisa plastik juga semakin meningkat. Sisa plastik merupakan komponen ketiga terbanyak yang dibuang selepas sisa organik dan kertas. Walaupun sisa plastik adalah di tempat ketiga, sisa plastik merupakan masalah persekitaran yang terbesar kerana materialnya tidak mudah diurai oleh alam, baik oleh curahan hujan dan panas matahari, mahupun oleh mikrob tanah.

Secara umum plastik dibahagikan kepada dua iaitu jenis termoset dan termoplastik. Apabila dipanaskan, termoset akan mengalami perubahan kimia dan molekul-molekulnya tidak dapat dibentuk kembali, sehinggakan tidak boleh dikitar semula. Sedangkan termoplastik boleh dipanaskan dan dibentuk, berulang-ulang atau dengan kata lain boleh dikitar semula. Untuk memudahkan proses kitar semula plastik tersebut dibahagikan ke dalam beberapa jenis dan diberikan nombor.

Dengan demikian, kesalahan yang sering kita lakukan dalam kehidupan adalah menggunakan plastik sebagai bekas makanan dan mengisi minuman yang masih panas. Bagi ibu-ibu yang mempunyai bayi pula, masalah yang sering mereka lakukan adalah ketika mensterilkan botol susu dengan cara merebus, dengan menggunakan ketuhar, atau membilasnya dengan air panas.

Selain itu, kebanyakan plastik yang dibuat sebelum adanya ketuhar gelombang mikro direka dengan mempunyai ketahanan pada suhu yang tinggi tetapi masih tidak mampu untuk memberi ketahanan yang sewajarnya sekiranya dikenakan suhu dalam ketuhar gelombang mikro yang biasanya antara 400 darjah Fahrenheit hingga 500 darjah Fahrenheit.

Justeru itu, penguraian akan berlaku sekiranya suhu yang tinggi dikenakan kepada barang plastik berkenaan. Komponen lapisan polietilina terephalate (PET) akan bergerak lebih jauh daripada yang dijangkakan. Keadaan ini akan mengakibatkan berlakunya retakan pada lapisan PET. Ini membolehkan bahan-bahan pelekat yang terdapat pada bekas plastik berkenaan serta bahan kimia terurai dan menyerap masuk ke dalam makanan.

Safra Aina Adnan
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
9 Jun 2010