Dewasa ini, masyarakat sering berhadapan risiko bahaya banjir kilat terutamanya di kawasan bandar-bandar besar yang padat dengan penduduk.

Antara sebab utama berlakunya banjir kilat ialah aliran permukaan pesat berikutan perubahan guna tanah, alur sungai dan longkang yang tersumbat, serta hujan ribut.

Terdapat pelbagai cara untuk mengawal masalah ini, namun sering mengalami kegagalan berikutan daripada sikap manusia yang masih terus-terusan membangunkan dataran banjir, memusnahkan kawasan hutan dan meratakan bukit untuk tujuan pembangunan.

 

Kos yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi mengendali masalah ini amat besar. Masyarakat juga perlu sedar akan tanggungjawab mereka serta mempelajari cara-cara bagi meminimumkan bahaya dan bencana ini yang juga berlaku dari kesilapan mereka sendiri.

Sebelum ini, banjir kilat sering berlaku disebabkan oleh faktor iklim Malaysia terutamanya semasa musim monsun timur laut (pantai timur), barat daya (Perlis dan Kedah) dan angin Sumatra (pantai barat Semenanjung).

Sekarang, kekerapan banjir adalah disebabkan oleh tindakan dan perilaku manusia sendiri. Kepadatan penduduk di kawasan dataran banjir di kawasan bandar serta rumah setinggan telah meningkatkan risiko banjir.

Aktiviti memajukan tanah yang berlebihan serta memusnahkan sumber hutan telah mewujudkan strategi pembangunan yang tidak seimbang.

Selain itu, sikap sambil lewa oleh pihak-pihak berwajib yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas kawasan domestik dan industri dalam mematuhi undang-undang serta menyediakan infrastruktur longkang dan sistem saliran yang baik dan mencukupi telah meningkatkan risiko banjir.

Pembangunan tanah bukit secara besar-besaran mempercepatkan kadar hakisan dan kadar air larian permukaan, meningkatkan tanah runtuh dan mencetekkan dasar sungai akibat pemendapan kelopak.

Nurul Aina Ibrahim Istar
Forum Air Malaysia

 

Wecam telah lama mendesak agar pelaksanaan kecekapan tenaga merentasi semua sektor. Kewujudan pelan induk tenaga akan dicabar jika sektor tenaga tidak digabungkan.

Ini kerana, pelaksanaan pelan induk ini merentasi pelbagai agensi kerajaan dan beberapa kawasan yang tidak diselia dalam proses penggunaan tenaga.

Proses penggunaan tenaga adalah proses linea; iaitu mengekstrak, menukar atau menggunakan terus dan akhirnya melupuskan sumber tenaga. Maka, penggabungan dapat membantu dalam pelaksanaan yang cekap serta bersepadu.

Sebagai contoh, penggunaan sumber tenaga dalam sektor pengangkutan hampir 40% dan di Amerika Syarikat ia hanya hampir 20%. Ini menyebabkan kita tidak cekap dalam penggunaan tenaga di Malaysia.

Tambahan pula, kita telahpun mempunyai undang-undang untuk audit tenaga secara mandatori kepada entiti yang banyak menggunakan tenaga, tetapi ia tidak dilaksanakan. Ini membantutkan perkembangan kecekapan tenaga dalam alangan pengguna industri dan komersial.

Kerajaan telah berjanji untuk menjadi sektor awam yang bersaing dengan sektor swasta, WECAM berpendapat sektor awam boleh bermula dengan audit tenaga dan memetakan bagaimana agensi kerajaan adalah lebih cekap tenaga. Kerajaan perlu memimpin melalui teladan.

WECAM juga telah melaksanakan kempen SWITCH! dengan jayanya. Layari www.switch.org.my untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kecekapan tenaga. Melalui program Industri-Agensi Kerajaan, terdapat keraguan daripada sektor industri mengenai Pelan Induk ini.

Ada peserta yang memberikan contoh industri bio-fuel yang menjadi mangsa keputusan yang sering berubah. Mereka bersetuju sebulat suara bahawa pelaksanaan dasar yang lebih bersepadu dapat membawa lebih banyak pelaburan asing (FDI) serta menstabilkan industri-industri tempatan.

Walau bagaimanapun, perubahan yang kerap dalam dasar serta pelaksanaan akan menyebabkan kehilangan kepercayaan pelabur. WECAM berharap kerajaan meneliti perkara ini dengan mendalam.

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)

Air merupakan sumber semula jadi dan nadi hidup kepada hidupan di muka Bumi ini. Sedihnya, pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menghadapi catuan air sekiranya kerajaan Selangor tidak memberi kerjasama dalam pembinaan loji rawatan air Projek Langat 2.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Kah Fui berkata catuan air tidak hanya membawa masalah kepada pengguna, bahkan kepada sektor industri.

“Kita perlu memastikan projek ini selesai sebelum tahun 2014 dan loji rawatan air yang sedia ada di Selangor tidak dapat menampung air mentah yang disalurkan dari Pahang.”

Beliau juga berkata bahawa projek ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan untuk kemudahan rakyat.

Datuk Seri Peter Chin juga menyatakan bahawa beliau akan terus berbincang dengan kerajaan Selangor mengenai isu ini dan berharap satu jalan penyelesaian akan tercapai.

Menurut beliau lagi, keperluan air di Selangor akan mencapai 4,326 juta liter sehari pada akhir tahun ini tetapi mungkin mencecah 4,625 juta liter sehari berdasarkan pembangunan pesat di Selangor.

“Selangor akan menghadapi kekurangan air sebanyak 299 juta liter sehari bermula pada tahun 2012,”  kata beliau lagi. Loji Rawatan Air Projek Langat 2, yang bernilai RM8.65 bilion, telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menampung keperluan air bersih di tiga tempat ini sehingga tahun 2025.

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

Krisis air bakal berlaku di Lembah Klang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjelang tahun 2014 sekiranya pelaksanaan projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor ditangguhkan. Kenyataan ini berdasarkan kepada paras bekalan air Selangor yang tidak stabil di samping penggunaan air yang tidak berhemat olah masyarakat serta pencemaran sumber air yang semakin serius.

Projek ini melibatkan dua fasa utama iaitu pertama, pembekalan air mentah dari Pahang ke Selangor termasuk terowong bawah tanah antara Karak di Pahang dan Hulu Langat di Selangor, serta kedua, pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat. Fasa 1 berjalan lancar tanpa sebarang masalah berikutan hasil kerjasama erat oleh kerajaan Pahang.

Bagaimanapun, Kerajaan Selangor telah mengeluarkan kenyataan bahawa projek ini tidak perlu disegerakan berikutan Selangor masih mampu menampung keperluan air penduduk Selangor melalui kajian menyeluruh oleh pakar industri air berdasarkan jumlah penggunaan air, kapasiti pengeluaran air, dan bekalan air yang sedia ada sehingga 2019. Kerajaan Negeri Selangor juga berpendapat jumlah anggaran kos projek ini terlalu besar dan akan meningkatkan beban hutang kerajaan Malaysia.

Kerajaan Selangor juga memberitahu masalah ini dapat diatasi dengan mengurangkan pembaziran air dengan mempromosikan kitar semula air, mengumpul dan memproses air hujan yang boleh dilakukan secara bersama Kerajaan Persekutuan dan Selangor. Selain itu, penggunaan sumber alternatif air, pengurangan kadar air tanpa hasil (NRW) dan sistem penghantaran air yang cekap adalah penyelesaian terbaik bagi menampung permintaan pengguna.

Perlu diingatkan, kesedaran pengguna terhadap penggunaan air berhemat amat tipis seperti tipisnya kulit bawang. Pelbagai cara dan kaedah dilakukan oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran pengguna, namun hanyalah sia-sia laksana layang-layang melawan angin. Penangguhan projek kepada tahun 2019 hanya akan menjadikan kos yang sedia ada semakin bertambah berikutan terpaksa menghadapi risiko masalah yang akan timbul dari penangguhan ini.

Sejauh mana ketelusan dasar dalam memastikan pelaksanaan sesuatu sistem yang cekap? Sekiranya segalanya berlaku seperti yang dirancang, sudah tentu tiada masalah lain yang timbul sehingga menyebabkan pencemaran sungai dan sumber air terjejas berikutan isu perlombongan pasir. Oleh itu, fikir-fikirkanlah, tepuk dada tanya selera.

Nurul Aina Ibrahim Istar
Forum Air Malaysia

 

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Bekalan Air Sdn Bhd (SYABAS), Datuk Ruslan Hassan mengaku bahawa semua loji rawatan air yang terdapat di Selangor beroperasi melebihi kapasiti loji sejak lama lagi.

Menurut beliau, semua loji ini perlu beroperasi melebihi kapasiti bagi menampung permintaan bekalan air di Lembah Klang yang meningkat secara mendadak.

Akibat daripada operasi yang melebihi kapasiti, menyebabkan beberapa masalah berlaku, seperti loji tergendala dan menyebabkan bekalan air di kawasan tertentu terputus.

Bayangkan kos untuk penyelenggaraan dan kerugian yang terpaksa ditampung oleh pengguna air sekiranya loji-loji tersebut rosak.

Sebelum menuding jari kepada pihak tertentu, pengguna-pengguna juga perlu bertanggungjawab terhadap perkara sebegini. Amalkanlah penggunaan air yang bijak seperti:

- Tidak menggunakan air yang dirawat untuk mencuci kereta dan tandas
- Mengumpul air hujan (Rain Water Harvesting) bagi tujuan menyiram tanaman dan mencuci kereta.
- Memasang Dual Flush System di tandas rumah persendirian bagi tujuan penjimatan air.
- Peka terhadap kadar penggunaan air di rumah seperti membandingkan dan meneliti bil-bil air pada setiap bulan. Jika terdapat perbezaan yang ketara berlaku, bermakna berlakunya kebocoran paip air dalam rumah.

Sekiranya pengguna-pengguna boleh mengamalkan penggunaan air yang lestari, keperluan air tidak akan meningkat sehingga menyebabkan loji rawatan air perlu beroperasi melebihi kapasiti.

Selain itu, usaha kerajaan dalam mewartakan kawasan tadahan air perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan bekalan air yang berterusan pada masa hadapan.

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

Baru-baru ini, kita telah mendengar banyak berita tentang banjir yang melanda di serata dunia. Di Malaysia, banjir kilat sering berlaku di Kuala Lumpur, Melaka dan Johor selepas hujan lebat yang berpanjangan.

Berita-berita seperti mengingatkan tentang banjir besar yang pernah melanda di Johor 3 tahun dahulu, yang menyebabkan kerugian mencecah RM1.5 bilion. Pada masa itu, dua gelombang banjir yang melanda Johor memaksa hampir 100,000 orang untuk meninggalkan rumah halaman masing-masing dan berpindah ke pusat permindahan banjir yang terdekat.

Baru-baru ini, Johor mengalami banjir kilat lagi dan menyebabkan 100 mangsa banjir dipindah ke pusat permindahan banjir di Muar.

Sejak banjir besar 2007 di Johor, kerajaan telah mengambil langkah-langkah drastik untuk menaik-taraf projek pencegahan banjir di seluruh Malaysia.

Menurut Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, 80 peratus projek pencegahan banjir telahpun siap dibina.

Adakah ini bermaksud apabila projek-projek ini telah siap sepenuhnya, banjir tidak akan berlaku lagi?

Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5 bilion untuk projek pencegahan banjir di seluruh Malaysia.

Selain daripada memantau dan mengawal prestasi pembekal air Negara, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga perlu memastikan bekalan air yang bersih kepada mangsa-mangsa banjir yang berada di pusat permindahan banjir.

Adalah diharapkan agar kerajaan dapat memastikan projek-projek pencegahan banjir ini siap pada masa yang singkat agar malapetaka yang berlaku di Johor tidak akan berulang lagi.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

Usaha Kerajaan Malaysia untuk menutup beberapa kawasan selam skuba yang terjejas oleh pemutihan batu karang amat dialu-alukan.

Kawasan batu karang merupakan salah satu ekosistem yang paling kompleks di dunia ini dan merupakan habitat yang penting untuk hidupan laut.

Pemutihan batu karang adalah berpunca daripada peningkatan suhu air laut ataupun pencemaran air laut. Sejenis hidupan yang bernama Zooxanthellae hidup secara simbiosis dengan batu karang akan meninggalkan batu karang apabila peningkatan suhu atau pencemaran berlaku. Batu karang yang kehilangan sumber nutrisi sekiranya Zooxanthellae tersebut meninggalkannya terlalu lama dan akan mengalami pemutihan.

 

Namun, sekiranya keadaan air laut kembali menjadi normal, Zooxanthellae akan kembali ke batu karang tetapi memerlukan masa yang lama untuk pulih.

Tujuan menutup kawasan selam skuba yang tertentu adalah untuk mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh penyelam skuba dan juga aktiviti snorkeling. Dengan itu, kawasan batu karang akan mempunyai masa yang mencukupi untuk pulih.

Selain menutup kawasan selam skuba, kerajaan juga harus memperuntukkan lebih dana bagi melindungi sumber-sumber asli seperti batu karang, menyekat pencemaran kawasan pesisiran pantai dan juga mengaplikasikan aktiviti-aktiviti perikanan yang lestari.

Di samping itu, World Wildlife Fund (WWF) Malaysia juga mencadangkan kerajaan untuk melaksanakan “Ecosystem Based Management of Fisheries” dan menguatkan lagi pengurusan kawasan marin seperti di taman marin. 

Kualiti air laut yang baik, liputan batu karang yang tinggi dan kepelbagaian komuniti ikan yang herbivor merupakan factor-faktor yang penting untuk menggalakkan pemulihan batu karang.

Kawasan-kawasan batu karang yang telah tutup akan dibuka semula pada penghujung bulan Oktober.

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

‘Pokok karbon’ dapat menyedut karbon dioksida (CO2) dari udara dan membebaskan ke dalam bentuk soda untuk kegunaan industri. Alat baru membolehkan CO2 di udara ditukar ke bentuk soda dan digunakan dalam aktiviti perdagangan.

Karbon dioksida membentuk sebahagian yang besar di atmosfera.  industri soda memerlukan CO2 untuk menghasilkan minuman ringan yang bergas, biasanya mereka perlu membayar untuk mendapatkan CO2 ini. CO2 yang dibeli ini merupakan produk sampingan daripada proses industri. Harganya adalah RM1012 setiap tan.

Industri soda memerlukan gas CO2 dan biasanya dihantar melalui trak, tetapi  sekarang mereka boleh memerangkap CO2 terus daripada udara melalui pokok sintetik yang boleh menyedut karbon. Ini dapat menjimatkan kos dan seterusnya mengurangkan pencemaran gas rumah hijau

Visi Billy Gridley, Ketua Pegawai Eksekutif bagi Global Research Technologies (GRT) adalah untuk menjadikan teknologi pokok karbon ini berdaya maju dari segi perdagangan. Saintis percaya bahawa CO2 mungkin diekstrak daripada udara dan mendapat keuntungan.

Apa pula halangannya? Kebanyakan cara untuk mengekstrak CO2 adalah mahal. Ia melibatkan pengunaan tenaga yang banyak dan memerlukan sistem saluran untuk menghantar CO2 ke tempat tertentu.

GRT mengesan masalah ini dan berhasrat untuk mencipta satu alatan yang dapat menyedut CO2 pada bila-bila masa ia diperlukan. GRT telah menghasilkan satu alatan yang berkuasa rendah dan dapat menyedut CO2 dengan serta merta demi kegunaan industri.

Ia digelar ‘Pokok karbon’ kerana ia meyerupai keupayaan pokok untuk menyerap karbon daripada udara. Pada masa yang sama, Gridley percaya bahawa teknologi baru ini dapat diperdagangkan untuk menangani masalah perubahan iklim.

Jika Environmental Protection Agency (EPA) mengarah bahawa pembebasan CO2 perlu diperangkap dan disimpan secara kekal sebagai satu penyelesaian kepada perubahan iklim. Jadi, ‘Pokok karbon’ ini dapat memainkan peranan yang penting dalam pengurangan gas CO2.

Sementara itu, GRT memokus dalam pembangunan prototaip yang dapat diperdagangkan. Unit dagangan yang pertama dijangka dipasarkan pada tahun 2011.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Banjir adalah bencana alam yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Masalah yang serius, terutamanya jika kediaman terletak di kawasan zon banjir. Kemusnahan yang berpunca daripada banjir boleh merosakkan harta benda dan tapak rumah. Oleh kerana itu, anda perlu mencari kaedah yang bersesuaian untuk melindungi kediaman daripada mengalami kemusnahan yang berpunca daripada air ataupun banjir. Apa yang penting, kaedah tersebut mampu untuk melindungi rumah daripada bencana ini untuk beberapa tahun. Berikut adalah beberapa tips untuk melindungi rumah anda daripada dimusnahkan oleh banjir:

Sentiasa Peka

  1. Sentiasa peka dengan ramalan cuaca. Setiap kali terdapat risiko banjir berhampiran kawasan tempat tinggal anda, mula bertindak dengan mengumpulkan barang-barang berharga di tempat yang mudah dicapai sekiranya anda dikehendaki meninggalkan kawasan rumah.
  2. Anda mesti memahami di bahagian mana dan apa yang boleh menyebabkan rumah anda tidak mampu untuk menghadapi banjir. Kemudian selenggara rumah anda dan kerap melakukan pemeriksaan terutamanya di bahagian paling lemah pada struktur rumah anda.

 

Sistem Saliran

 

  1. Periksa sistem saliran di luar rumah anda. Pastikan sistem air bawah tanah di kediaman anda tidak memerangkap tanah ke dalam saluran. Jika kediaman  anda terletak di kawasan aliran air hujan yang menghala ke arah rumah, bina sistem saliran yang boleh mengalirkan air hujan agar menjauhi kawasan rumah anda.
  2. Periksa sekiranya terdapat retakan atau sumbat pada sistem saliran. Saliran bawah tanah yang tersumbat boleh menyebabkan banjir.
  3. Sekiranya rumah anda terletak di kawasan yang mudah dilanda banjir, tembok penghalang banjir dapat menyokong menghalang air banjir daripada masuk ke dalam rumah.
  4. Pasang pengadang kalis air pada tapak rumah. Pengadang bergetah dapat membantu menyalurkan air menjauhi tapak rumah melalui saliran berpelapik jubin di sekeliling rumah anda.

Elektrik

  1. Pemanas air, relau dan panel elektrik perlu diletak di tempat yang lebih tinggi. Tinggikan soket elektrik sekurang-kurangnya 1.5 meter dari lantai.
  2. Potong perkhidmatan bekalan elektrik pada pemutus arus sekiranya sistem elektrik dan saluran keluar berkemungkinan berada dibawah paras air.

Rumah

  1. Guna jubin seramik untuk lantai, ambal juga lebih baik daripada permaidani kerana lebih mudah dibersihkan. Simen kapur pada dinding berbanding simen gipsum. Gantikan pintu kayu dan bingkai cermin kepada bahan jenis UPVC yang telah difabrikasi.
  2. Tanam lebih banyak tumbuhan hijau dan pokok di kawasan rumah anda untuk membantu menghalang hakisan tanah. Hakisan menyumbang kepada banjir dan degredasi sisa di sekitar rumah anda.
  3. Walaupun menaikkan rumah lebih tinggi daripada aras paras banjir memerlukan kos yang tinggi, namun kaedah ini merupakan antara kadah yang paling berkesan untuk melindungi rumah anda, lebih-lebih lagi sekiranya anda tinggal dikawasan zon banjir.

Lain-lain

  1. Limpahan pada sinki dan tab mandi boleh menyebabkan bencana. Anda boleh mengelakkannya dengan tidak meninggalkan bilik air tanpa pengawasan semasa air paip masih mengalir. Tutup paip setiap kali anda selesai menggunakannya. Air tandas yang melimpah juga mendatangkan masalah besar dan sukar untuk dielakkan. Pastikan anda menyimpan pelocok di dalam tandas sebagai langkah berjaga-jaga dan jangan membuang tisu, pasir kumbahan atau lampin pakai buang ke dalam lubang tandas.

 

Siti Rizadiana Binti Rahmat
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)