Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengakui bahawa harga produk berasaskan tenusu akan mengalami kenaikan disebabkan oleh kenaikan bahan mentah tersebut di peringkat antarabangsa. Ini menyebabkan harga produk tenusu import dan tempatan akan meningkat.

Harga mentah tenusu telah meningkat kepada lebih AS$3,000 (RM9,630) tan pada tahun ini berbanding AS$2,100 (RM6,741) tan akhir 2009.

Kerajaan tidak dapat mengawal kenaikan harga produk berasas tenusu itu kerana ia bukan barang kawalan. Walaupun produk tersebut termasuk dalam barang kawalan sekalipun, kenaikan bahan mentah tersebut boleh menimbulkan masalah bekalan pula, apabila pengeluar boleh menghentikan pengeluarannya jika harga kawalan yang ditetapkan kerajaan itu tidak menguntungkan mereka.

Umpamanya sebelum ini kerajaan pernah mengawal harga dua jenis susu pekat manis, iaitu susu pekat manis penuh krim dan susu pekat manis isian, sebelum dimansuhkan pada 1 April 2009. Disebabkan kawalan harga tersebut, pengeluar telah menghentikan pengeluaran dan penjualan kedua-dua produk susu pekat manis tersebut, sebaliknya menjual susu pekat manis yang tidak dikawal hargannya. Ini menimbulkan masalah bekalan kepada pengguna yang ingin mendapatkan susu pekat manis yang dikawal itu. Namun begitu, kedua-dua susu pekat manis tersebut mudah diperolehi di negara jiran seperti Singapura kerana hargannya tidak dikawal.

Dalam pada itu, susu tepung rumusan bayi pula sering mengalami kenaikan harga. Bagi tidak menampakkan kenaikan harga yang ketara, pengeluar sering menukar pek bungkusan susu rumusan bayi dengan pek yang baru. Pek baru ini telah dinaikkan harganya.

Kenaikan harga produk berasaskan tenusu ini mungkin meningkat perbelanjaan pengguna. Dalam hal ini, pengguna perlu membuat perubahan dari segi pengambilan susu dalam minuman mereka.

Selain itu, kerajaan khususnya melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu menyusun strategi agar pengeluar susu tempatan tidak terlalu bergantung kepada bahan mentah susu daripada luar negara. Penyelidikan yang berterusan perlu dilakukan ke atas ternakan tempatan bagi membolehkan ternakan tersebut dapat menghasilkan susu yang boleh menepati keperluan pengeluar susu tempatan. Dengan cara ini perubahan harga bahan mentah susu di peringkat antarabangsa kurang menjejaskan harga produk berasaskan tenusu tempatan.

Kementerian Kesihatan pernah mewujudkan skim bantuan susu bayi kepada golongan berpendapatan rendah. Skim ini sama seperti ‘food stamp” di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat. Malahan ‘food stamp” ini juga dinikmati oleh pelajar Malaysia yang menuntut di Amerika Syarikat jika mereka menepati syarat yang ditetapkan.

Bagi memastikan bayi di Malaysia menikmati makanan yang berkhasiat, wajar sekiranya skim ini diwujudkan semula. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada bayi daripada golongan berpendapatan rendah tidak mendapat makanan yang berkhasiat disebabkan oleh harga susu rumusan bayi yang tinggi.

Sebenarnya bayi tersebut masih boleh mendapat makanan berkhasiat, walaupun tanpa susu tepung rumusan bayi, jika bayi itu diberikan dengan susu ibu. Galakan dan kempen berterusan perlu dilakukan bagi menggalakkan ibu menyusu bayi mereka dengan susu sendiri. Bayi akan lebih sihat apabila mengambil susu ibu. Begitu juga pelbagai penyakit turut dapat dielakkan sekiranya bayi diberikan susu ibu.

Namun disebabkan kebanyakan ibu pada masa ini telah kurang menyusukan bayi mereka menyebabkan mereka terlalu bergantung kepada susu tepung rumusan bayi. Justeru, kenaikan harga susu tepung susu bayi sudah tentu memberikan kesan kepada mereka.

Pada masa ini kerajaan tidak boleh mengawal kenaikan harga barang yang bukan kawalan. Namun begitu, apabila Akta Anti-Pencatutan telah diwartakan kelak, kerajaan boleh mengambil tindakan kepada pihak yang menjual barang dengan harga yang keterlaluan.


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyokong langkah kerajaan menaikkan harga rokok pek 20 batang sebanyak 70 sen, yang menjadikan harganya kini sebanyak RM10, atau 10 sen bagi setiap batang bermula pada 4 Oktober 2010.

Harga rokok yang tinggi merupakan salah satu langkah bagi mengurangkan tabiat menghisap rokok terutamanya golongan remaja. Apabila harga rokok tinggi, sukar untuk mereka membelinya. Namun begitu ibu bapa perlu memantau agar anak-anak mereka tidak menggunakan wang untuk perbelanjaan sekolah digunakan untuk membeli rokok.

Peningkatan harga rokok ini ke arah menjadikan rokok sebagai produk pengguna yang mewah yang hanya mampu dibeli oleh golongan tertentu sahaja. Namun ia bukan sebagai petunjuk bahawa golongan berada boleh menghisap rokok apabila harganya tinggi, tetapi usaha juga perlu dilakukan secara berterusan agar tabiat menghisap rokok ini berkurangan dan akhirnya hilang dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menaikkan harga rokok sahaja tidak mencukupi jika tindakan penguatkuasaan tegas tidak dilakukan terhadap mereka yang menghisap rokok di kawasan zon larangan merokok. Begitu juga kegiatan menyeludup rokok yang menyebabkan rokok boleh dijual pada harga yang rendah.

Begitu juga pelbagai taktik pemasaran yang dilakukan oleh syarikat rokok, termasuk mengadakan pesta hujung tahun yang menawarkan rokok percuma kepada golongam muda.

Kempen kesedaran bahaya rokok perlu berterusan dan disemak dari semasa ke semasa terhadap keberkesanan bagi mewujudkan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang bahaya rokok khususnya golongan remaja.

Amalan merokok perlu dibanteras daripada peringkat awal lagi. Pengurusan sekolah, termasuk guru perlu diberi kuasa untuk mencegah amalan merokok dalam kalangan pelajar sekolah mereka sama ada di dalam kawasan sekolah atau di luar sekolah. Tabiat merokok pelajar sekolah tidak boleh dipandang mudah oleh semua pihak, termasuk ibu bapa kerana ia boleh mengundang kepada amalan lain, seperti buli, menghisap dadah, samseng dan sebagainya.

Selain itu, semua pihak juga perlu memberikan perhatian serius terhadap amalan menghisap rokok. Langkah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk tidak memberikan anugerah khidmat cemerlang kepada kakitangannya yang menghisap rokok adalah langkah yang perlu diikuti oleh semua pihak khususnya pihak berkuasa perkhidmatan kesihatan. Dalam keadaan mereka memberikan nasihat kepada masyarakat tentang bahaya menghisap rokok, mereka sendiri menghisap rokok.

FOMCA berharap kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia dengan sokongan daripada pelbagai pihak meneruskan usaha untuk membanteras amalan menghisap rokok dalam kalangan rakyat Malaysia agar mereka mengamalkan gaya hidup sihat.


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia

Cadangan Bank Negara memperketatkan peraturan kad kredit amat wajar sekali, khususnya kepada golongan muda. Kelonggaran yang wujud pada masa ini menyebabkan banyak masalah wujud dalam kalangan golongan muda yang memiliki kad kredit ini, sehingga ada antara mereka yang telah diisytiharkan muflis dalam usia masih muda.

Bank Negara baru-baru ini dilaporkan akan menetapkan had maksimum kad kredit bagi pemohon, khususnya golongan muda, yang berpendapatan RM1,500 hingga RM3,000 berdasarkan satu kali ganda gaji dan daripada dua buah bank sahaja. Ini bertujuan supaya mereka berbelanja menggunakan kad kredit secara terkawal. dan berhemah. Pada masa ini pengeluar kad kredit memberikan had maksimum berbeza mengikut jenis kad kredit yang dipohon oleh pemegang kad kredit. Begitu juga, had maksimum tersebut boleh dinaikkan sekiranya pemegang kad kredit membuat permohonan berdasarkan rekod pembayaran kad kredit.

Selain mengehadkan hak maksimum kad kredit bagi golongan muda ini, Bank Negara juga perlu mengkaji semula beberapa hal lain berkaitan kad kredit. Antaranya gaji minimum yang perlu bagi pemohon kad kredit dan aktiviti pemasaran yang agresif oleh institusi kewangan yang mengeluarkan kad kredit.

Kini pemegang kad kredit yang bergaji RM1,500 pun boleh memohon kad kredit dengan had minimum sehingga RM6,000 bergantung kepada jenis kad kredit dan institusi kewangan. Bank Negara perlu mengenakan peraturan hanya mereka yang berpendapatan RM30,000 setahun ke atas sahaja yang boleh memohon kad kredit.

Institusi kewangan yang mengeluarkan kad kredit juga begitu agresif memasarkan kad kredit yang dikeluarkan oleh mereka sehingga ada wakil mereka yang menggunakan pelbagai taktik untuk mempengaruhi pengguna untuk menggunakan kad kredit mereka. Malah ada yang merayu agar pengguna memohon kad kredit mereka untuk membolehkan wakil tersebut mendapat komisen, di samping mendakwa pengguna boleh membatalkan kad kredit selepas itu jika tidak berminat menggunakannya. Taktik pemasaran ini adalah tidak beretika sekali.

Bank Negara juga perlu menaikkan had minimum bayaran bulanan yang perlu dibayar oleh pemegang kad kredit. Pada masa ini, had minimum bayaran adalah lima peratus. Malah ada institusi kewangan yang membenarkan had minimum sebanyak 2.5 peratus atau RM50.00 sahaja. Kadar pembayaran yang rendah inilah sebenarnya memerangkap pemegang kad kredit dengan beranggapan jika mereka membayar had minimum yang ditetapkan, mereka tidak menghadapi masalah.

Sebenarnya tanpa mereka sedari baki yang belum berbayar itu semakin menunggak termasuk pelbagai kadar faedah yang dikenakan sehingga pada satu peringkat mereka tidak mampu menjelaskan jumlah tunggakan yang tinggi itu. Ada pula yang terpaksa membuat pinjaman peribadi untuk membayar kad kredit itu. Paling teruk lagi ada yang memohon kad kredit baru bagi menjelaskan hutang kad kredit yang lama. Akhir apabila semua kad kredit ini mempunyai tunggakan yang tinggi sehingga gagal untuk dibayar, mereka diisytiharkan muflis.

Bank Negara wajar menaikkan had minimum bayaran bulanan kad kredit kepada 15 peratus atau lebih.

Kad kredit bertujuan untuk memudahkan transaksi pembelian dan pembayaran. Namun disebabkan kurangnya pengetahuan tentang pengurusan kad kredit menyebabkan ramai yang terjebak dengan kad kredit.

Bank Negara perlu menggalakkan institusi kewangan mengeluarkan kad debit, khususnya golongan muda. Bagi yang berkemampuan dan berpendapatan tinggi pula, mereka perlu digalakkan menggunakan kad caj yang dahulu begitu popular sekali, seperti American Express, Diners Club dan sebagainya. Dengan penggunaan kad ini, budaya berhutang dapat dibanteras dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, Bank Negara juga perlu menggiatkan aktiviti untuk menyemai tabiat menabung dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pelbagai inisiatif yang dibuat oleh institusi kewangan.

 

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Beribu-ribu syarikat dan peniaga di Britain bakal menghadapi tuduhan dan dikenakan denda apabila skim ‘cukai hijau’ baru dilaksanakan oleh kerajaan.

Syarikat yang gagal mendaftarkan ‘penggunaan tenaga’ mereka dengan pihak penguatkuasa akan didenda sehingga RM216,000.

Syarikat yang telah mengisytiharkan penggunaan tenaga mereka di bawah Komitmen Pengurangan Karbon (Carbon Reduction Commitment) diperlukan membayar untuk setiap tan gas rumah hijau yang mereka telah hasilkan. Bagi organisasi yang besar, bayaran ini adalah sehingga RM480,000, manakala bagi organisasi yang lebih kecil pula, purata bayaran adalah RM182,400.

Soal selidik yang dijalankan mendapati bahawa kebanyakan organisasi tidak sedar bahawa mereka perlu mengambil bahagian. Manakala terdapat juga segelintir organisasi yang tidak tahu tentang skim ‘cukai hijau’ ini.

Di bawah skim baru ini, sebarang organisasi yang menggunakan lebih daripada 6,000 megawatt jam (megawatt hours, MWh) tenaga elektrik setahun – bil elektrik sebanyak RM2.4 juta mesti mendaftar penggunaan tenaganya.

Organisasi ini perlu membeli permit untuk menampung setiap tan karbon dioksida yang dibebaskan. Bagi yang menggunakan 6,000 MWh tenaga akan dikenakan caj RM182,000.

Skim ini bertujuan untuk mewujudkan insentif tenaga bagi mengurangkan penggunaan tenaga. Bagi organisasi yang merekodkan pengurangan yang terbesar akan mendapat bonus yang dicipta daripada pengurangan yang paling kecil.

Daripada 4,000 organisasi yang layak untuk skim ini di Britain, hanya 1,229 yang telah berdaftar. Oleh itu terdapat beribu-ribu organisasi akan didenda selepas tamat tarikh pendaftaran. Selepas itu, sebanyak RM24,000 denda akan dikenakan serta-merta dan RM2,400 bagi setiap hari.

Di Malaysia, kita masih jauh ketinggalan dalam usaha untuk mengurangkan penggunaan tenaga.

Sebagai contoh, kita sering dapati pendingin hawa dan lampu yang dibuka secara sesuka hati di kompleks membeli-belah mahupun di premis kerajaan.

Di samping itu, kita masih hilang kawal terhadap kenderaan seperti bas yang sememangnya membebaskan banyak karbon dioksida. Lantaran tiada akta atau peraturan yang diperuntukkan, maka bas lama yang tidak cekap penggunaan tenaganya masih digunakan di jalan raya.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah membuat jaminan untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau sebanyak 40% pada tahun 2020 berbanding dengan tahap 2005. Namun, dengan adanya bas-bas yang tidak mematuhi standard pembebasan gas karbon dioksida di jalan raya, dikhuatiri kita akan gagal mencapai apa yang telah dijanjikan.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah ditubuhkan, tetapi mereka tidak menguatkuasakan peraturan untuk pembebasan pada bas awam.

Di Amerika Syarikat, standard pembebasan (Emission Standard) dikawal oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar, manakala negara-negara di Eropah menguatkuasakan standard pembebasan Euro 4 (bermula 1 Januari 2010), Euro 5 (bermula 1 Januari 2010) dan Euro 6 (bermula 1 Januari 2014) untuk mengwal pembebasan gas karbon dioksida pada kenderaan berat seperti bas.

Oleh itu, skim ’cukai hijau’ memang tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia buat masa sekarang, walaupun ia merupakan inisiatif yang dapat mengurangkan pembebasan gas rumah hijau. Walau bagaimanapun, kita masih tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan ’cukai hijau’ seperti di negara maju, kerana kita masih kurang kawalan terhadap kemudahan asas.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Sistem meter pukal yang masih diguna pakai pada kebanyakan bangunan bertingkat di negara ini sebenarnya mencekik darah pengguna dengan tarif air yang dua kali ganda lebih tinggi daripada tarif bagi meter individu. Kebanyakan pengguna terutamanya di Selangor tidak dapat menikmati tarif air yang rendah iaitu RM 0.57 setiap meter padu air berbandingkan tarif meter pukal sebanyak RM 1.38 setiap meter padu yang jauh lebih tinggi.

Selain daripada tarif yang lebih tinggi, pengguna juga tidak dapat menikmati pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama setiap bulan dengan kadar yang sama. Hak untuk 20 meter padu air yang pertama tidak dapat dirasakan langsung oleh pengguna semata-mata disebabkan sistem meter pukal yang masih diguna pakai dan tidak berjaya ditukar oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Meter pukal ini juga menyumbang serius kepada bil air yang bertunggak yang boleh mencapai beratus ratus ribu dan akhirnya menjadi isu yang kritikal. Sikap tidak bertanggungjawab juga adalah salah satu gejala yang wujud hanya disebabkan sistem meter pukal yang tidak dapat mengagihkan jumlah penggunaan air individu di bangunan bertingkat.

Tarif meter pukal yang tidak seharusnya dikenakan ke atas pengguna juga menyebabkan pengguna tidak puas hati dan tidak mahu membuat bayaran kepada pihak pengurusan bangunan. Pengurusan bangunan yang tidak bertanggungjawab dan tidak cekap menangani masalah ini pada tahap awal lagi pula membawa kepada masalah pemotongan bekalan air ke atas seluruh bangunan bertingkat yang juga mempunyai pengguna yang menjelaskan bil air dengan baik.

Pelbagai masalah yang rumit wujud berpunca daripada sistem meter pukal ini. Misalnya pengguna tidak mahu membayar kos bil air yang tinggi, campur tangan badan pengurusan dalam pembayaran bil air, penyelewengan kuasa, masalah bekalan air yang bocor tidak dapat diselesaikan dan tidak dapat dibendung.

Walaupun kerajaan telahpun memberikan kebenaran untuk migrasi daripada sistem meter pukal ke individu secara total kepada syarikat pembekal perkhidmatan air agar semua pengguna dan penghuni bertingkat dapat menikmati perkhidmatan air yang adil dan saksama, namun di kebanyakan bangunan bertingkat, masalah migrasi ini masih menjadi tanda tanya.

Semua pihak, sama ada badan pengurusan, pemaju, pesuruhjaya bangunan dan syarikat pembekalan perkhidmatan air harus berkerjasama dengan kadar segera untuk menangani masalah ini agar masalah yang bakal ditimpa dan yang sudahpun parah dapat diselesaikan untuk membantu pengguna.

Syarat-syarat yang terlalu tegas dan tidak dapat dicapai untuk usaha migrasi ini juga harus dilonggarkan agar sistem meter individu dapat dilaksanakan keseluruhannya di semua bangunan bertingkat. Sistem migrasi ini juga amat penting untuk memberikan perkhidmatan yang dijanjikan kepada pengguna dan mendidik pengguna untuk menjadi lebih bertanggungjawab.

 

Ms.Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Menurut Seksyen 140, Akta Perlindungan Pengguna 1999, resit bermaksud:

(1) Seseorang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang atau perkhidmatan hendaklah memberikan resit kepada pengguna bagi apa-apa pembelian barang atau perkhidmatan.

(2) Pengguna hendaklah dibekal suatu resit bagi apa-apa pembelian barang atau perkhidmatan jika diminta oleh pengguna

(3) Sesuatu resit yang dikeluarkan di bawah seksyen ini hendaklah mengandungi butir-butir yang berikut:

(a) nama perdagangan dan alamat pembekal;
(b) tarikh pembelian;
(c) amaun wang yang telah dibayar bagi setiap barang yang dibeli;
(d) jumlah amaun wang yang telah dibayar termasuk suatu penyata berasingan bagi apa-apa amaun yang telah dibayar sebagai cukai;
(e) jika terpakai, buatan dan nombor model barang itu; dan
(f) apa-apa butir lain yang boleh ditetapkan dalam peraturan-peraturan.

(4) Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan.

Pengguna adalah orang yang membeli barang atau menggunakan perkhidmatan yang ada di pasaran. Jika pengguna tersebut hendak menukar barang tersebut disebabkan oleh kecacatan, apakah bukti pembelian yang boleh ditunjukkan jika tiada resit? Resit bukan sahaja penting dalam pembelian barangan, tetapi juga dalam semua transaksi dan perkhidmatan.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) ada menerima aduan daripada seorang pengguna yang telah membayar RM90,000 untuk membuat pengubahsuaian rumah tanpa resit. Alasan yang diberikan oleh pengguna tersebut ialah kontraktor yang membuat pengubahsuaian rumah adalah kawan baiknya. Akan tetapi kontraktor tersebut tidak melaksanakan tugas pengubahsuaian rumah seperti yang dijanjikan.

Resit adalah bukti yang kukuh jika pengguna hendak membuat aduan dan membolehkan menuntut balik barang-barang atau ganti rugi. Jadilah pengguna yang bijak dan mengetahui hak-hak dan tanggungjawab sebagai pengguna.

Minta resit walaupun yang membekalkan perkhidmatan atau barang adalah kawan baik sendiri.

 

Deivigarani Krisha
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang tergendala menimbulkan keraguan dan kebimbangan pelbagai pihak. Projek itu dikatakan dapat membantu mengatasi masalah air yang bakal berkurangan di Selangor pada masa akan datang. Ini kerana pembangunan yang pesat di Selangor mengakibatkan pertambahan kawasan-kawasan perumahan dan bandar-bandar baru kerana peningkatan jumlah penduduk. 

Justeru, permintaan terhadap bekalan air naik mendadak. Bekalan air di Selangor pada ketika ini dikatakan hanya mampu menampung jumlah penduduk sehingga tahun 2014, dan terdapat juga kenyataan yang mengatakan jumlahnya mampu membekalkan air sehingga tahun 2019. Namun, kapasiti sebenar air di negeri Selangor masih samar-samar dan mengelirukan semua pihak.

Walau apapun kedudukannya, kita seharusnya mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang bakal melanda suatu hari nanti. Air merupakan sumber alam yang sangat berharga dan tidak seharusnya dipandang enteng dalam pengurusannya untuk kegunaan sejagat. 

Oleh itu, semua pihak yang terlibat diharap dapat bekerjasama dalam mencapai satu persetujuan yang boleh menguntungkan semua pihak, terutamanya penduduk Selangor. Antara yang boleh dilakukan ialah melantik sekumpulan pakar yang diiktiraf untuk menjalankan kajian anggaran permintaan air untuk masa akan datang, purata penggunaan air pada masa lepas, pada masa ini dan akan datang, serta membuat kajian tentang sumber-sumber lain yang boleh digunakan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap air daripada satu sumber sahaja.  

Hasil penyelidikan yang teliti itu kemudiannya dibentangkan kepada rakyat  agar mereka sedar bahawa dengan sumber air yang semakin terhad itu, pengguna memainkan peranan yang sangat penting bagi mengatasi masalah ini.

 

Syed Mubashir Syed Muhammad
Forum Air Malaysia

Kuala Lumpur, 10 Ogos 2010 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah mengadakan sesi dialog dengan wakil-wakil bank tempatan dan antarabangsa di bangunan Bank Negara Malaysia pada hari ini.

Dialog yang dianjurkan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia ini bertujuan untuk mewujudkan persefahaman dengan wakil -wakil bank, yang sebahagian besarnya daripada Bahagian Khidmat Pelanggan, dalam mengendalikan pelbagai aduan berkaitan perbankan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).

Dialog tersebut telah dipengerusikan oleh Encik Abu Hassan Alshari Yahaya, Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat, Bank Negara Malaysia, yang turut dihadiri oleh Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA, Cik Chuah Mei Lin, Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia dan Encik Mohamed Rithuan Dato’ Mohamed Shamsudin, Pengarah Eksekutif Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia.

Dalam dialog tersebut, FOMCA telah membentangkan beberapa jenis aduan tentang sektor perbankan yang sering diterima oleh NCCC. Antaranya ialah kad kredit, pinjaman, kadar faedah yang tinggi, prosedur lelongan yang tidak adil, penggunaan CTOS bagi semakan kredit, penipuan kewangan, terma kontrak tidak adil, iklan produk kewangan yang mengelirukan dan sebagainya.

Dialog yang buat pertama kali diadakan antara FOMCA dengan wakil-wakil bank ini diharap dapat menjalin kerjasama antara FOMCA dengan pihak bank bagi mengatasi pelbagai masalah pengguna yang berkaitan dengan sektor perbankan.

 


Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman

WECAM telah dijemput untuk terlibat dalam proses penelitian Rang Undang-Undang Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007. Hasil penelitian WECAM telah diberikan kepada Menteri dan juga parlimen. Terdapat banyak perkara yang tidak kena dengan akta ini.

Baru-baru ini, WECAM telah dijemput untuk menjadi panel Impak Alam Sekitar (EIA) bagi lima projek insinerator oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. WECAM membantah projek ini kerana tidak ada pelan induk bagi projek ini. Selain itu, insinerator dilihat sebagai pilihan yang mudah untuk melupuskan sampah. Rakyat telah dijanjikan satu penyelesaian yang lebih baik untuk pengurusan sisa pepejal di Malaysia. Sehingga kini, kita tidak melihat apa-apa perubahan. Ini merupakan undang-undang yang perlu ditolak segera.

Sebagai contoh, jika pengguna domestik membuang sisa elektronik seperti bateri dan peralatan elektrik, ia masih sisa pepejal. Jika syarikat pengurusan sisa mengutip dan menguruskannya, maka ia menjadi sisa terjadual. Siapa akan menanggung kos ini?

Penstrukturan semula pengurusan sisa pepejal hanya memberikan tumpuan kepada tapak pelupusan ‘sanitari’ dan insinerator. Terdapat juga tapak pelupusan sanitari yang tidak mempunyai kemudahan mengurangan sisa. Jika ini dianggap sebagai satu perancangan, maka saya khuatir ia menjadi satu kegagalan yang besar.

Salah satu langkah yang perlu diambil adalah mengelakkan percampuran sisa di antara sisa organik dan sisa kering yang lain. Sisa organik boleh dicampur dengan sisa kumbahan untuk menghasilkan gas metana yang banyak. Ini dapat menjana elektrik dengan berkesan. Dengan memisahkan sisa organik daripada aliran sisa pepejal, kita dapat laksanakan kitar semula yang berkesan.

WECAM juga berasa kesal kerana saranan WECAM yang berulang-ulang itu tidak diendahkan langsung. WECAM masih percaya bahawa setiap sisa adalah satu sumber. Ia adalah bergantung kepada kemahuan sesebuah kementerian, sama ada untuk melakukannya atau tidak.

 

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)