Air Tak Berhasil atau Non-Revenue-Water (NRW) adalah jumlah kuantiti air yang dibekalkan kepada pengguna tetapi tidak memberi pulangan hasil kepada syarikat air yang membekalkannya.

NRW juga difahamkan sebagai perbezaan di antara jumlah pengeluaran yang dibekalkan ke dalam sistem agihan dengan jumlah penggunaan sah yang dibilkan.

Dalam sistem pengagihan air, masalah kehilangan air menjadi semakin serius di Malaysia. Menurut Bank Sedunia, kira-kira 40-60% daripada jumlah air yang dibekalkan telah hilang semasa proses pengagihan air.

Masalah Air Tak Berhasil (NRW) daripada sistem pengagihan air merupakan isu yang amat kritikal dalam industri air. Ia menjadi salah satu penanda aras yang digunakan untuk mengukur prestasi syarikat bekalan air di Malaysia.

Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST sekali lagi diperkatakan. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Bajet 2012, mengatakan cukai pendapatan dan cukai korporat akan dikurangkan apabila GST dilaksanakan. Namun begitu, Perdana Menteri tidak pula menyatakan bilakah GST akan dilaksanakan.

GST mula dicadangkan untuk dilaksanakan di Malaysia ketika pembentangan bajet 2005. Ketika itu, ia dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2007. Walau bagaimanapun, pada 22 Februari 2006, kerajaan mengumumkan kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan GST sehingga pada suatu masa yang akan ditentukan.

Pada 24 November 2009, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan telah bersedia untuk melaksanakan GST. Pembentangan Rang Undang-Undang GST telah dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat pada 16 Disember 2009.

Perkhidmatan perbankan adalah satu perkhidmatan yang amat penting. Dalam arus pembangunan yang berteknologi tinggi, setiap pengguna tidak terkecuali daripada menggunakan perkhidmatan ini tidak kira apa juga kedudukannya.

Perkhidmatan perbankan atas talian merupakan usaha untuk mencapai globalisasi. Namun adakah ia sudah mencukupi? Dalam erti kata sebenar, ia tidak lagi menjadi suatu perkhidmatan global.

Setiap hari beribu-ribu rakyat malaysia bergerak ke pelbagai negara demi pelbagai urusan kerja, pendidikan dan perlancongan. Bagi memudahkan urusan, mereka banyak menggunakan perkhidmatan atas talian.

ISO 26000 – Tanggungjawab sosial merupakan standard ISO (International Organization for Standardization (ISO)) yang baru dibangunkan untuk memberikan peluang dan penglibatan global dalam melaksanakan matlamat "pembangunan lestari" dalam pelbagai peringkat organisasi di seluruh dunia. 

Inisiatif ISO untuk membangunkan ISO 26000 yang memberikan panduan kepada tanggungjawab sosial, merupakan satu kesempatan unik untuk membentuk sebuah dunia yang harmoni, memberikan manfaat kepada kesejahteraan dan kepentingan masyarakat dan organisasi.

Terdapat enam "sektor" yang dikenal pasti; setiap negara peserta digalakkan untuk melibatkan wakil daripada pelbagai sektor: industri, kerajaan, pekerja, pelanggan, badan bukan kerajaan, dan lain-lain (perkhidmatan, sokongan, penyelidikan dan lain-lain).

Gangguan perkhidmatan dan penerbangan yang tertunda sering mengecewakan  para penumpang syarikat penerbangan. Perkhidmatan penerbangan yang merupakan pengangkutan paling mahal. Oleh itu ia sepatutnya  memiliki standard yang lebih tinggi daripada perkhidmatan pengangkutan yang lain. Namun secara realitinya, perkhidmatan yang diberikan  gagal mencapai kepuasan pengguna ini kerana perkhidmatan pelanggan yang kurang memuaskan dan mekanisme ganti rugi yang tidak setimpal.

Perkhidmatan pelanggan melalui talian juga begitu mahal dan mengambil tempoh yang agak lama untuk dihubungi. Begitu juga tempoh lama yang diambil untuk menyelesaikan masalah yang diadukan oleh pengguna.

Kerajaan akan memperkenal skim pinjaman mudah untuk membolehkan golongan berpendapatan rendah melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan tabungan golongan berpendapatan rendah, khususnya untuk menghadapi keperluan masa hadapan.

Usaha kerajaan ini amat dialu-alukan kerana ia akan membantu golongan berpendapatan rendah mendapat pinjaman mudah untuk melabur dalam amanah saham. Ini merupakan salah satu lagi tabungan masa hadapan, selain daripada kumpulan wang simpanan pekerja, simpanan bank dan sebagainya.

Namun begitu, skim pinjaman mudah ini perlu diteliti dengan mendalam sebelum dilaksanakan. Sebagaimana yang sedia maklum, pelaburan dalam amanah saham juga berisiko, terutamanya apabila berlaku krisis kewangan. Pengalaman beberapa skim amanah saham yang pernah diwujudkan sebelum ini perlu dijadikan pengajaran, sepertimana amanah saham yang diwujudkan oleh kerajaan negeri. Antaranya Amanah Saham Johor, Amanah Saham Selangor, Amanah Saham Kedah dan sebagainya. Amanah saham ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan apabila dilancarkan. Namun keuntungan yang dihajatkan tidak kesampaian apabila nilai saham merudum ketika berlakunya krisis ekonomi.

Akhbar pada hari ini menyiarkan berita tentang sekumpulan 50 orang yang dikenakan bayaran sebanyak RM13,000 selepas menikmati hidangan ikan Patin di Temerloh, Pahang. Pelanggan tersebut terkejut kerana dikenakan caj yang begitu tinggi, seolah-olah harga di hotel 6 bintang.

Kes seperti ini telah biasa berlaku sebelum ini. Pelanggan dikenakan harga makanan yang tidak menentu, dan adakalanya tidak munasabah. Namun disebabkan harga makanan di restoran atau gerai bukannya barang kawalan, dan pihak restoran sendiri ada meletakkan senarai harga, maka pihak berkuasa tidak boleh mengambil tindakan terhadap restoran tersebut. Sebelum 1 April 2011, peraturan berkaitan harga tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga 1946.

Namun, pada 1 April 2011, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 telah dikuatkuasakan, bagi menggantikan Akta Kawalan Harga 1946. Di bawah akta ini, selain daripada kesalahan tidak mempamerkan tanda harga, peniaga juga boleh dikenakan tindakan sekiranya menjual barang dengan harga yang keterlaluan atau tidak munasabah.

Salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh dunia pada hari ini ialah simpanan bahan api fosil yang semakin terhad dan dijangka akan kehabisan dalam tempoh antara 70 tahun hingga 150 tahun akan datang. Menurut kajian yang dijalankan oleh  International Energy Association  (IEA), pada tahun 2015, permintaan bahan api dunia akan mengatasi pengeluaran. Keadaan ini akan mengakibatkan krisis kekurangan tenaga sedunia yang besar.

Oleh kerana itu,  keperluan untuk mempelbagaikan pergantungan kepada sumber tenaga alternatif terutamanya tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen yang menggunakan Sel Fuel sebagai penukar tenaga adalah amat diperlukan.

Sel Fuel ialah teknologi penukaran tenaga utama masa hadapan yang akan menggantikan teknologi enjin pembakaran dalaman. Dalam sel fuel, tenaga kimia di dalam hidrogen dan oksigen ditukar secara elektokimia melalui tindak balas redoks elektrokimia pada anod dan ketod sel kepada tenaga elektrik dan sedikit haba. Sel fuel merupakan teknologi penukaran tenaga yang paling mesra alam yang amat sesuai bagi menyelesaikan masalah pemanasan global dan perubahan iklim.

Perubahan iklim telah dikenal pasti sebagai punca berlakunya bencana ataupun krisis paling besar yang melanda dalam sejarah ketamadunan manusia. Sejak tahun 1990-an, banyak perundingan dan perbincangan diadakan bagi mengatasi masalah dunia ini. Namun sehingga kini masih tidak membuahkan sebarang sebarang perjanjian yang benar-benar boleh mengatasi masalah ini. 

Tidak ada lagi perjanjian seperti Protokol Kyoto telah mewajibkan negara-negara yang menandatangani perjanjian ini untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau bagi memperlahankan proses pemanasan global. 

Pelepasan gas rumah hijau yang terlalu tinggi menjadi sebab utama berlakunya pemanasan global, yang sebahagian besarnya berpunca daripada manusia. Dengan itu, perubahan iklim yang asalnya merupakan proses semula jadi di bumi, telah menjadi senjata boleh boleh membinasakan apabila pelepasan gas rumah hijau disumbangkan oleh pembangunan manusia ke dalam atmosfera.