NCCC sering menerima aduan tentang perkhidmatan pengeluar kereta tempatan dan kualiti kereta keluaran mereka. Aduan yang dibuat oleh pengguna pengguna terhadap kereta tempatan amat membimbangkan kerana ia boleh memberi kesan kesan negatif kepada industri automotif tempatan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengeluaran kereta dijangka merosot kepada 480,000 unit pada tahun 2010, berbanding dengan pengeluaran pada tahun 2009 sebanyak 550,000 unit – yang merupakan pengurangan kira-kira 20 peratus. Menurut beliau kemerosotan itu berpunca daripada jangkaan keyakinan pengguna yang semakin menurun dan kawalan kredit bank yang semakin ketat.

Keyakinan pengguna adalah kunci paling utama kejayaan bagi pengeluar dan penjual. Jumlah aduan yang tinggi diterima oleh NCCC, dan ulasan pengguna di dalam blog, forum serta media massa lain secara terus akan mengurangkan prestasi dan pengeluaran kereta tempatan. Tindakan dan perubahan serta-merta harus dilakukan daripada pihak pengeluar agar meraihkan balik sokongan pengguna tempatan. Masalah utama seperti kerosakan enjin, “overheating” dan sebagainya dalam tempoh masa awal penggunaan lagi seperti dalam minggu pertama selepas menerima kereta tersebut, menyebabkan pengguna tidak berpuas hati dengan kereta tempatan.

Selain itu, harga kereta tempatan yang kian meningkat, yang hampir menyamai kereta import dan juga kadar faedah yang tinggi untuk kereta tempatan membuatkan semua pihak untuk berfikir lagi untuk membelinya kerana kepentingan utama juga diberikan untuk komitmen dan bajet masing-masing.

Komitmen dan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik disediakan pengedar kereta import, menyulitkan pengguna untuk memberikan sokongan kepada kereta tempatan.

Industri kereta tempatan disarankan supaya meningkatkan KUALITI, mengurangkan HARGA dan memberi keutamaan KUALITI PERKHIDMATAN agar ia dapat meningkatkan sokongan dan keyakinan pengguna. Sekiranya suatu aduan dikemukakan, pihak yang dipertanggungjawab perlu menyediakan kaedah penyelesaian yang baik dan cepat. Sebelum kereta diberikan kepada pembeli, kereta tersebut dipastikan dupaya “SIFAR KEROSAKAN”. Jangan menyerahkan kereta yang tidak sempurna kepada pembeli kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada semua pihak dan merosakkan nama industri kereta itu sendiri.

NCCC juga turut berharap agar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Industri Automotif Tempatan bekerjasama dalam meneliti langkah-langkah pemulihan dan pembaharuan agar meningkatkan sokongan dan keyakinan pengguna. Sekadar promosi tidak memadai, apa yang diharapkan adalah perubahan dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

NCCC yakin sekiranya industri kereta tempatan dan kerajaan tampil hadapan untuk memberikan jaminan kualiti dan pengurangan harga dan kadar faedah yang bersesuaian, ia akan meningkatkan pengeluaran dan sokongan pengguna terhadap pengeluar dan kereta tempatan.

Kerajaan kini dalam proses untuk menyemak semula Dasar Automotif Negara. Perundingan sedang dilakukan dalam kalangan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta persatuan industri berkenaan, bagi memastikan Dasar Automotif Negara dapat menyumbang secara berkesan ke arah pembangunan industri itu. Semakan semula Dasar itu akan menambahbaik lagi garis panduan, dasar dan insentif sedia ada, dengan mengambil kira impak keadaan ekonomi global dan serantau.


Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan membentangkan  Dasar Pengguna Negara yang baru pada akhir tahun ini bagi menggantikan Dasar Pengguna Negara yang sedia ada.

Demikian diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) baru-baru ini.

Langkah kerajaan itu amat dialu-alukan kerana Dasar Pengguna Negara merupakan dokumen yang penting dalam menentukan hala tuju kerajaan dalam bidang kepenggunaan di negara ini.

Kenaikan kadar faedah pinjaman sewa beli menjadi amaran meningkatnya jumlah penarikan semula kereta. Ini sudah pasti akan memberi kesan buruk kepada pengguna dan sosioekonomi!

Bank dan penjual kereta memaklumkan bahawa kadar faedah bagi pinjaman sewa beli telah meningkat lebih daripada 4% dan akan terus meningkat. Jika dibandingkan dengan tahun lalu, faedah pinjaman sewa beli hanya berada di sekitar 2% dan kini meningkat dengan lebih dua kali ganda tanpa disedari.

Peningkatan kadar faedah ini sudah pasti memberikan kesan negatif kepada rakyat dan sosio ekonomi negara. Berdasarkan aduan yang diterima, menunjukkan jumlah aduan terhadap penarikan semula semakin meningkat. Ini adalah kesan langsung kepada pengguna.

Berikut diperjelaskan kesan daripada kenaikan kadar faedah pembelian sewa beli ini.

Pertama, kita perlu memahami bahawa mungkin terdapat peningkatan kecil dalam ekonomi negara, tetapi tiada peningkatan dalam ekonomi rakyat (aliran kewangan). Gaji pengguna masih sama, manakala kos hidup di Malaysia sangat tinggi berbanding dengan luar negeri. Pada masa kini, kereta merupakan salah satu keperluan asas, lebih-lebih lagi kepada mereka yang bekerja, kaum wanita dan mereka yang mempunyai keluarga. Dalam keadaan yang sukar dengan cadangan kerajaan menarik semula subsidi, maka kenaikan faedah pinjaman sewa beli akan membebankan rakyat.

Kedua, kenaikan kadar faedah akan menambahkan beban kepada pembeli kereta. Mereka terpaksa membayar lebih, misalnya orang yang membeli kereta pada tahun 2009 hanya membayar RM 530,00 sebulan, tetapi orang-orang yang membeli kereta pada sekarang harus membayar hampir RM 650,00 untuk kereta yang sama.

Setiap orang akan menghabiskan lebih banyak masa untuk urusan kereta mereka. Disebabkan kadar bayaran yang lebih tinggi, menyebabkan mereka mungkin tidak mampu untuk menjelaskan bayaran ansuran bulanan, yang akhirnya menyebabkan kereta mereka akan ditarik balik. Penarikan balik kereta juga memberikan kesan yang buruk kepada ekonomi dan rakyat, kerana mereka perlu membayar kos penyimpanan dan tarik kereta dengan kos yang begitu mahal. Berapa banyak orang yang mampu menebus kereta mereka secepat mungkin?

Selain daripada kadar tunggakan baki yang kian meningkat, pengguna juga akan terpaksa mengeluarkan wang yang lebih kerana terpaksa mengunakan perkhidmatan pengangkutan lain.

1. Aktiviti harian akan terganggu tanpa kereta
2. Mengalami perasaan malu apabila berdepan dengan rakan, jiran dan keluarga.
3. Terpaksa berhutang lebih dengan bank kerana bayaran akan dikenakan untuk “storage fees” dan kos tarik kereta
4. Mempengaruhi kebahagiaan di dalam keluarga
5. Disenarai hitam oleh bank dan sebagainya

Ramai pengguna yang tidak sedar tentang pindaan Akta Sewa Beli yang akan membawa perubahan dalam proses penarikan semula kereta. Antara pindaan utama Akta ini ialah peluang yang diberikan kepada peminjam yang telah membayar pinjaman lebih daripada satu pertiga pinjaman. Bank diwajibkan untuk mendapatkan perintah mahkamah untuk proses penarikan semula. Namun secara realitinya, kebanyakan peminjam sewa beli yang bermasalah adalah di bawah kategori peminjam yang menjelaskan kurang daripada satu pertiga, pembeli kereta yang baru dan golongan muda yang baru menjejaki alam perkerjaan. ini.

Oleh itu, kerajaan dan Bank Negara Malaysia perlu mengkaji secara mendalam kesan yang bakal dihadapi oleh pengguna akibat daripada kenaikan kadar faedah sewa beli. Kadar faedah perlu diturunkan sehingga kepada tahap minimum bagi menjaga kebajikan dan masa depan rakyat. Jika ini dilakukan, lebih ramai lagi rakyat yang akan membeli kereta, yang seterusnya akan meningkatkan ekonomi dan aliran kewangan negara.

 

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Walaupun pelbagai siaran dan usaha penerangan dilakukan untuk memberikan gambaran jelas kepada rakyat mengenai Rancangan Malaysia ke 10, namun masih ramai yang kabur mengenai apakah kepentingannya dan perubahannya kepada diri kita sebagai pengguna.

Apabila kita melihat kepada RMK-10, Kerajaan bertekad untuk mempertingkat infrastruktur asas luar bandar dan menambah baik sistem pengangkutan awam bandar.

1. Membina Infrastruktur Bertaraf Dunia

i. Pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi

Pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi akan meliputi bandar-bandar besar, kawasan pertumbuhan ekonomi utama dan kawasan industri. Usaha ini, akan dilengkapi dengan Jalur Lebar untuk orang awam yang akan memberi liputan ke kawasan pinggiran bandar dan luar bandar. Bagi penduduk di luar bandar, perkhidmatan rangkaian akses kepada jalur lebar akan disediakan melalui prasarana tanpa wayar dengan pakej mampu langgan yang pelbagai.

ii. Liputan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar

Jalan
Kerajaan mensasarkan pembinaan sepanjang 6,300 kilometer jalan berturap di Semenanjung Malaysia, 2,500 kilometer di Sabah dan 2,800 kilometer di Sarawak yang akan memberi faedah kepada 3.3 juta 49 penduduk.

Bekalan air
Liputan bekalan air luar bandar yang lebih berkualiti dan berterusan dengan sasaran liputan sebanyak 99 peratus di Semenanjung Malaysia, 98 peratus di Sabah dan 95 peratus di Sarawak juga sedang diusahakan. Ini melibatkan penyambungan bekalan air kepada sebanyak 117,000 rumah di Semenanjung Malaysia, 112,700 di Sabah dan 87,400 di Sarawak.

Kemudahan elektrik
Kemudahan elektrik di kawasan luar bandar akan diperluaskan untuk meliputi penyambungan bekalannya ke 6,000 buah rumah di Semenanjung Malaysia, 59,000 di Sabah dan 76,000 di Sarawak. Selain daripada infrastruktur dan utiliti asas, Kerajaan juga akan menyediakan kemudahan ameniti sosial serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada masyarakat luar bandar.

2. Meningkatkan kecekapan pengangkutan awam

i. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah ditubuhkan sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab bagi merancang, mengawal selia dan menguatkuasa sistem serta operasi pengangkutan awam darat. SPAD bertanggungjawab untuk menyediakan pengangkutan awam yang selamat, anjal dan dengan tambang yang berpatutan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.

ii. Mass Rapid Transit

Kerajaan akan memperkemas lagi juraian dan rangkaian perhubungan awam di Kuala Lumpur dengan pelaksanaan projek mega Mass Rapid Transit berkapasiti tinggi membolehkan dua juta perjalanan sehari berbanding dengan 480,000 perjalanan bagi sistem pengangkutan bandar masa kini.

iii. Sistem Bas Rapid Transit akan diperkenalkan di lebih banyak kawasan lagi

Langkah-langkah untuk meningkatkan peratus penggunaan pengangkutan awam dengan ketara di Greater Kuala Lumpur, iaitu daripada 12 peratus pada tahun 2009 kepada 30 peratus pada tahun 2015. Selain itu, usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awam darat akan diperluaskan kepada bandaraya lain. Untuk tujuan ini, sistem Bas Rapid Transit akan diperkenalkan di Wilayah Iskandar, Johor manakala bilangan bas awam akan ditambah sebanyak 200 buah di Pulau Pinang, untuk menampung 26 laluan dengan penambahan kapasiti sebanyak 75,000 penumpang sehari.

3. Perumahan asas kepada kesejahteraan hidup rakyat

i. Memperbanyakkan rumah mampu milik

Menyediakan perumahan mampu milik mencukupi bagi setiap segmen masyarakat, terutamanya yang berpendapatan rendah. Kerana itu, 78,000 buah rumah mampu milik akan dibina di bawah Rancangan ini.

ii. Undang-undang berkaitan akan diketatkan dan penguatkuasaan ditingkatkan ke arah memastikan rumah mampu milik dibina dengan kualiti yang sewajarnya.

iii. Satu dana berjumlah 500 juta ringgit akan diperuntukkan bagi tujuan membiayai kerja-kerja baikpulih dan penyelenggaraan rumah mampu milik awam mahupun swasta. Dana ini didasarkan kepada kaedah geran sepadan, di mana separuh daripada kos akan disumbang oleh Kerajaan, manakala separuh lagi oleh pihak pengurusan atau persatuan penduduk rumah berkenaan.

4. Alam sekitar tanggungjawab kita

i. Penekanan akan diberi kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharu dan peningkatan kecekapan tenaga. Antara lain, Kerajaan akan memperkenalkan Feed in Tariff dan Dana Tenaga Boleh Diperbaharu bagi menggalakkan perkembangan aplikasi tenaga boleh diperbaharu. Garis panduan, piawaian dan undang-undang berkaitan akan diperkenal bagi memastikan kecekapan penggunaan tenaga, termasuk penurunan tahap pelepasan gas rumah hijau.

ii. Pihak industri diseru untuk mengambil peluang dan menggunakan insentif yang telah disediakan oleh Kerajaan melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sebanyak RM1.5 bilion bagi mempertingkatkan aplikasi teknologi hijau dalam pengeluaran produk dan penyediaan perkhidmatan. Kerajaan akan menggalakkan pewujudan perumahan mesra alam dengan memperkenalkan Garispanduan serta sistem penarafan hijau. Putrajaya dan Cyberjaya akan dijadikan model perintis bagi bandar hijau contoh. Kerajaan juga akan menerajui usaha melaksanakan piawaian bangunan hijau. Bangunan baru Kerajaan akan direkabina untuk mematuhi piawaian ini. Kecekapan tenaga bangunan sedia ada Kerajaan juga akan ditambahbaik, dan, sebagai contoh suri tauladan, bangunan Pejabat Perdana Menteri akan dinaiktaraf untuk mematuhi penarafan hijau yang bertaraf Gold Standard.

 

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Cadangan Kabinet untuk memindahkan Parlimen dari Jalan Parlimen ke Putrajaya adalah satu tindakan yang tidak perlu. Menurut Datuk Nazri Abd Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Kabinet masih dalam perbincangan sama ada menaik taraf/menambah baik bangunan bersejarah itu pada RM150 juta ataupun memindahkan ke Putrajaya yang menelan kos pembinaan sebanyak RM800 juta.

Tujuan pemindahan tersebut disebabkan jumlah wakil rakyat yang semakin bertambah dan keadaan bangunan sedia ada yang telah usang. Walau bagaimanapun, bangunan itu tersebut akan diperbaiki dan dipelihara sebagai bangunan bersejarah.


Bangunan Parlimen ini telah diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan telah dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agong yang ketiga, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Syed Putra Al-Haj ibni Syed Hassan Jamalullail pada November 1963. Ia telah menjadi lambang demokrasi sejak itu.

Jika dilihat kepada angka RM800 juta berbanding RM150 juta, jelas amat ketara. Perbezaan sebanyak RM650 juta itu sudah tentu amat bermakna kepada rakyat sekiranya ia disalurkan kepada penambahbaikan sistem perkhidmatan pengangkutan awam, penjagaan kesihatan, jalan raya dan sebagainya. Bukankah itu yang sepatutnya dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri?

Putrajaya adalah simbol pentadbiran negara, manakala Parlimen sebagai simbol demokrasi dan keistimewaan Malaysia sebagai sebuah negara yang mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan dan keharmonian masyarakat majmuk.

Oleh itu cadangan ini perlulah dipertimbangkan dengan sebaiknya dengan harapan rakyat dapat memperolehi kebaikan daripada setiap keputusan kerajaan. Sesungguhnya negara yang hebat itu didukung oleh pemimpinnya yang hebat.

Azwa Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia, ERA Consumer Malaysia
16 Jun 2010

 

Tindakan peruncit yang bernaung di bawah Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia untuk memboikot menjual tiga barang kawalan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Tindakan memboikot ini sebagai bantahan kepada tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melaksanakan lesen penjualan barang kawalan kepada peruncit.


Pada awalnya, lesen tersebut dikenakan bayaran sebanyak RM10.00 bagi setiap permohonan, namun kemudiannya bayaran tersebut dimansuhkan. Kerajaan juga telah memberikan jaminan bahawa proses memperolehi lesen tersebut akan dipermudahkan bagi membantu peruncit mendapatkan lesen itu.

Perlaksanaan lesen runcit bagi barang kawalan dibuat ekoran daripada masalah bekalan barang kawalan, khususnya gula yang sedang melanda beberapa negeri di negara ini. Bagi tujuan memantau bekalan gula di peringkat runcit bagi memastikan gula yang dibekalkan tidak diselewengkan, seperti kegiatan menyorok atau menyeludup ke negara jiran, maka lesen runcit ini dilaksanakan.

FOMCA menyokong langkah KPDNKK melaksanakan lesen runcit bagi barang kawalan sebagai langkah untuk memastikan bekalan barang kawalan ini sentiasa mencukupi dipasaran. Namun begitu, langkah tersebut perlu dilaksanakan dengan berkesan bagi memastikan pengguna tidak berhadapan masalah untuk mendapatkan barang kawalan tersebut yang merupakan barang keperluan harian. Ia mungkin menjadi alasan untuk penjual tidak menjual barang tersebut kerana tidak mempunyai lesen runcit barang kawalan.

Dalam pada itu, pengguna diharap dapat menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna bagi menghadapi peruncit yang memboikot menjual barang kawalan ini. Jangan membeli barang yang dijual di kedai-kedai yang terlibat dengan boikot ini. Tindakan peruncit ini seolah-olah mereka turut bersekongkol dengan masalah bekalan gula yang berlaku pada masa ini.

Sewajarnya mereka bekerjasama dengan KPDNKK bagi mengatasi masalah bekalan gula yang sedang meruncing ini. Jika masalah ini disebabkan oleh pemborong yang membekalkan gula yang kurang daripada yang sepatutnya, laporkan kepada KPDNKK supaya tindakan dilakukan terhadap mereka.

Pada masa ini tiada pihak yang tampil untuk memberikan gambaran sebenar mengapakan masalah bekalan gula berlaku. KPDNKK, pengeluar, pemborong dan peruncit hanya mendiamkan diri sahaja. Pengguna yang menjadi mangsa kepada keadaan yang berlaku ini.

FOMCA berharap pihak-pihak yang berkenaan ini mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan bekalan gula kembali kepada sediakala.

Pengguna telah menerima hakikat tentang kenaikan gula sebanyak 20 sen pada awal tahun ini. Biarpun harga gula telah dinaikkan, masalah bekalan gula masih berlaku. Siapa yang menjadi `dalang’ krisis gula ini?

MOHD YUSOF BIN ABDUL RAHMAN
8 Jun 2010

 

Mesyuarat ISO WGSR mengenai tanggungjawab sosial kali ke-8 telah diadakan di Hotel Scandic Copenhagen, Denmark, mulai 17 Mei 2010. Mesyuarat ini bertujuan untuk membangunkan standard ISO 26000. Mesyuarat dimulakan dengan forum negara sedang membangun yang bertemakan tentang peningkatan kesan penglibatan negara sedang membangun dalam standardisasi antarabangsa mengenai tanggungjawab sosial. ISO WGSR, atau kumpulan kerja bagi membangunkan standard tanggungjawab sosial merupakan forum antara negara-negara sedang membangun untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam membangunkan Standardisasi Antarabangsa bagi Tanggungjawab Sosial.

ISO 26000 adalah satu dokumen antarabangsa tentang tanggungjawab sosial. Dokumen ini dibangunkan oleh Pertubuhan Standardisasi Antarabangsa (ISO). Seramai 470 delegasi daripada 99 negara menghadiri mesyuarat ini. Hasil daripada promosi di peringkat serantau yang dilakukan oleh ISO, maka sejumlah besar delegasi dari negara-negara sedang membangun telah menyertai pertemuan ini.

Proses pembangunan standard ISO merupakan satu usaha persetujuan untuk menyediakan dokumen standard daripada draf awal sehingga kepada peringkat draf terakhir dan penerbitan. Melalui Perjanjian Marrakesh, Pertubuhan Perdagangan Dunia ditubuhkan pada tahun 1995, standard antarabangsa lebih diutamakan daripada standard serantau atau kebangsaan bagi tujuan keselamatan dan kesihatan.

Di samping itu, konvensyen dan perjanjian antarabangsa telah menyumbang kepada pengikatan beberapa norma antarabangsa seperti Protokol Kyoto, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Banyak standard antarabangsa yang dibangunkan oleh ISO merujuk kepada norma ini dan konvensyen lain sebagai asas untuk memberikan alatan kepada organisasi untuk menyokong usaha menuju ke arah pembangunan lestari, sebagai conton siri ISO 14000. Terdapat juga standard berkaitan dengan pelepasan gas rumah hijau, pembangunan lestari, kesihatan dan keselamatan pekerja.

Bagi menyebarkan tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility, CSR) tentang tuntutan dan anugerah CSR, Jawatankuasa bagi Dasar Pengguna ISO telah mengadakan bengkel tentang CSR dan bagaimana standard antarabangsa boleh membantu pada tahun 2001. Hasil daripada bengkel ini telah terbentuk sebuah kumpulan penasihat, untuk mengumpul maklum balas daripada ahli ISO dan organisasi lain (antarabangsa dan serantau) bagi membangunkan sebuah standard antarabangsa tentang CSR.

Namun begitu, terlalu banyak maklum balas telah diterima, dan menunjukkan bahawa CSR hanya tertumpu kepada korporat dan industri. Standard antarabangsa sepatutnya diguna pakai untuk semua jenis organisasi termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, organisasi penyelidikan, pekerja dan pengguna.

Oleh itu, adalah mustahak bagi membangunkan standard antarabangsa untuk tanggungjawab sosial daripada hanya membangun tanggungjawab sosial korporat.

Mesyuarat pertama dan mesyuarat yang seterusnya akan melihat standard yang digariskan berasaskan prinsip-prinsip Hak Asasi Manusia, penglibatan pihak berkepentingan dan hak-hak pekerja. Banyak inisiatif antarabangsa yang berkaitan dengan CSR telah diwujudkan semasa kumpulan kerja SR di bawah ISO (ISO WGSR) bertemu pada tahun 2005. Antaranya Manual Organisasi Pembangunan Ekonomi untuk Perusahawan Multinasional, Persetujuan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kod Etika Multinasional Pertubuhan Pekerja Sedunia. Namun sebagaimana dengan tajuk yang dicadangkan, mereka merujuk kepada peranan korporat dalam tanggungjawab sosial dan persekitaran.

Setelah lapan mesyuarat dalam masa 6 tahun, draf ISO 26000 berada pada peringkat akhir pembangunannya. Pembangunan standard ini mengambil masa yang panjang dan melibatkan tenaga yang besar kerana sebab-sebab seperti berikut:

Kebimbangan negara-negara sedang membangun bahawa standard ini akan digunakan oleh negara-negara membangun sebagai sekatan untuk perdagangan (barrier to trade).
Kemarahan terhadap rujukan peranan kerajaan dalam standard
Kebimbangan bahawa standard ini akan menjadi dasar pembangunan standard yang mengesahkan organisasi pada amalan tanggungjawab sosial mereka
Kebimbanga bahawa negara-negara yang belum menandatangani atau ratifikasi norma-norma antarabangsa tertentu akan dikenakan tekanan melalui standard.
Kebimbangan bahawa kandungan standard seperti yang tercatat dalam Draf Standard Antarabangsa terlalu rumit dan tidak terpakai untuk industri atau pertubuhan kecil dan sederhana, yang membentuk lebih daripada 99% premis perdagangan di Malaysia.
Sebelum menjelaskan tentang sebab-sebab yang dinyatakan di atas, adalah berguna untuk mengetahui apa yang tersirat dalam ISO 26000.

Standard ini membekalkan panduan tanggungjawab sosial untuk semua jenis organisasi:

Konsep, istilah dan definisi yang berkaitan dengan tanggungjawab sosial
Latar belakang, trend dan ciri-ciri tanggungjawab sosial
Prinsip-prinsip dan amalan yang berkaitan dengan tanggungjawab sosial
Subjek teras yang berkaitan dengan tanggungjawab sosial;
Isu-isu tanggungjawab sosial (masalah)
Mengintegrasikan, melaksanakan dan mempromosikan tanggungjawab sosial pada seluruh organisasi, melalui dasar dan amalan pengaruh yang berkaitan
Mengenal pasti dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan
Komitmen berkomunikasi dan prestasi berkaitan dengan tanggung jawab sosial
Tujuan utama panduan tanggungjawab sosial adalah untuk membantu organisasi dengan peralatan bagi mencapai atau menyumbang pada sasaran-sasaran pembangunan lestari.

Panduan ini mengutamakan 7 prinsip bagi operasi sesebuah organisasi:

Akauntabiliti
Ketelusan
Etika
Kepentingan pihak berkepentingan
Keluhuran undang-undang
Norma-norma antarabangsa
Hak Asasi Manusia
Panduan ini meminta semua pengamal tanggungjawab sosial supaya menggunakan prinsip-prinsip di atas dalam semua aktiviti atau praktis tanggungjawab sosial mereka.

Untuk menetapkan skop dalam aktiviti tanggungjawab sosial bagi suatu organisasi, panduan ini mengutamakan 6 subjek teras:

Pengawalan organisasi: satu sistem di mana organisasi membuat keputusan dan mengimplementasikannya berdasarkan objektif.
Amalan operasi yang adil: keprihatinan etika dalam hubungan sebuah organisasi dengan organisasi lain dan individu.
Hak asasi manusia: hak dasar di mana semua manusia berhak terutamanya mengamalkan hak-hak sivil dan politik serta ekonomi, sosial dan budaya.
Amalan pekerja: meliputi semua dasar dan amalan yang berkaitan dengan pekerjaan yang dilakukan di dalam organisasi, oleh organisasi dan bagi pihak organisasi.
Persekitaran: keputusan dan aktiviti organisasi seringkali mempunyai kesan kepada persekitaran tempat mereka berada.
Pengguna: organisasi yang membekalkan produk dan perkhidmatan kepada pengguna, serta pelanggan yang lain, hendaklah mempunyai tanggungjawab kepada pengguna dan pelanggan mereka.
Penglibatan dan pembangunan masyarakat: organisasi mempunyai hubungan dengan masyarakat tempat beroperasi dengan berdasarkan kepada penglibatan masyarakat setempat dan memberikan sumbangan kepada pembangunan masyarakat tersebut.
Penjelasan untuk nota-nota berikut:

1. Kebimbangan negara-negara sedang membangun bahawa standard ini akan digunakan oleh negara-negara membangun sebagai sekatan untuk perdagangan (barrier to trade).

Banyak usaha telah dilakukan oleh para perancang standard untuk mengatasi kebimbangan ini dengan memasukkan kenyataan berikut dalam standard:
Standard ini bertujuan memberikan panduan bagi organisasi tentang tanggungjawab sosial. Namun, bagi tujuan untuk Perjanjian Marrakesh membentuk Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), ia tidak bertujuan untuk ditafsirkan sebagai "standard antarabangsa”, "garis panduan" atau "cadangan".
Ia juga tidak bertujuan memberikan asas untuk tindakan undang-undang, aduan, atau tuntutan pertahanan dalam setiap proses domestik, antarabangsa atau tindakan yang lain.
Apakah teks di atas menyiratkan bahawa definisi standard antarabangsa dari Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) tidak akan digunakan dalam ISO 26000. Oleh yang demikian, organisasi atau negara-negara yang mengamalkan dasar standard ISO 26000 tidak akan dilayan sebagai rujukan kepada Standard Antarabangsa.
2. Kemarahan terhadap rujukan peranan kerajaan dalam standard

Kebimbangan bahawa ISO 26000 akan menentukan bagaimana kerajaan akan membangunkan dasar dan memerintah sesebuah negara merupakan punca utama fakta ini. Perbincangan yang mendalam antara pihak berkepentingan kerajaan negara-negara maju dan negara-negara sedang membangun serta antara pihak berkepentingan yang lain menghasilkan teks berikut dalam standard:
“Standard antarabangsa ini tidak boleh ditukar, diubah atau dengan cara apapun mengubah kewajipan negara untuk bertindak bagi kepentingan umum. Ini adalah kerana negara adalah berbeza daripada organisasi, negara mempunyai kuasa yang unik untuk menerbit dan menguatkuasa undang-undang. Standard antarabangsa ini tidak memberikan panduan pada pemerintahan undang-undang, juga tidak bertujuan untuk menjawab soalan yang hanya dapat diselesaikan melalui institusi politik "
Teks di atas telah dibangunkan bertahun-tahun oleh semua pihak berkepentingan termasuk daripada agensi kerajaan dan pakar tentang peranan kerajaan.
3. Kebimbangan bahawa standard ini akan menjadi dasar pembangunan standard yang mengesahkan organisasi pada amalan tanggungjawab sosial mereka

ISO 26000 ini bukan standard sistem pengurusan. Ia tidak sesuai untuk tujuan pensijilan. Setiap tawaran pensijilan atau tuntutan untuk dipersijilkan ISO 26000 merupakan satu penyataan yang salah tentang maksud dan tujuan Standard Antarabangsa ini.
Malaysia dan mereka yang telah berusaha untuk pembangunan standard ini perlu memastikan bahawa peluang untuk menyediakan perkhidmatan pensijilan ISO 26000 tidak akan mengelirukan organisasi dan memberikan nama buruk pada standard.
Forum Akeditasi Antarabangsa telah bersetuju untuk menolak sebarang akreditasi kepada badan pensijilan yang menawarkan pensijilan ISO 26000.
4. Kebimbangan bahawa negara-negara yang belum tandatangan atau ratifikasi norma-norma antarabangsa tertentu akan didesak melalui standard.

Ini adalah sebuah fakta bahawa tiada semua negara di dunia telah mengguna pakai setiap konvensyen antarabangsa atau perjanjian. Tetapi banyak yang berjuang untuk meratifikasi atau menandatangani perjanjian-perjanjian ini untuk merumuskan dasar negara.
Baru-baru ini, Malaysia telah menandatangani Konvensyen Hak untuk Orang Kurang Upaya yang hanya bertujuan bagi membolehkannya menjadi pihak konvensyen. Namun, dengan aspirasi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, usaha untuk menangani hak-hak orang kurang upaya, perlindungan persekitaran khususnya yang berkaitan dengan perubahan iklim dan sebagainya perlu dipertimbangkan.
Malaysia menafikan penyataan ISO 26000 kerana kami belum menandatangani sebarang konvensyen, dan ia memberikan imej bahawa Malaysia atau negara-negara lain adalah 'negara nakal' yang tidak berniat untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dari konvensyen berkaitan dimana kita terikat.
Konsep relevan dan signifikansi membolehkan pelaksanaan tanggungjawab sosial secara berperingkat, dan ia bergantung pada jenis dan saiz organisasi dan persekitaran, ekonomi, konteks politik, budaya dan sosial yang beroperasi (rantau maju dan sedang membangun).
5. Kebimbangan bahawa kandungan standard seperti yang tercatat dalam Draf Standard Antarabangsa terlalu rumit dan tidak terpakai untuk industri atau organisasi kecil dan sederhana, yang membentuk lebih daripada 99% premis perdagangan di Malaysia.

Standard ini menyatakan kekurangan pada industri kecil dan sederhana. Sekali lagi, konsep relevan dan signifikansi membolehkan pelaksanaan tanggungjawab social secara berperingkat, dan ia bergantung pada jenis dan saiz organisasi dan persekitaran, ekonomi, konteks politik, budaya dan sosial yang beroperasi.
Cadangan

Telah dinyatakan bahawa, demi kepentingan negara sedang membangun untuk menyokong standard antarabangsa tentang tanggungjawab sosial, dan mempertimbangkan tentang mudahnya mereka terdedah terhadap tindakan tidak bertanggungjawab daripada syarikat multinasional besar atau bahkan muncul syarikat-syarikat dari negara-negara sedang membangun untuk mengambil keuntungan ke atas negara-negara kurang membangun dengan mengambil kesempatan terhadap usaha untuk mendapatkan pelaburan asing dan peraturan yang longgar.

Dalam hal ini, Malaysia telah menerima standard ISO 26000 atau menerima dengan membuat pengubahsuaian untuk kepentingan semua pihak termasuk organisasi kecil dan sederhana. Ini adalah penting jika ISO 26000 dipromosikan dengan baik, ia akan membantu peraturan kendiri yang menjadi cita-cita kerajaan untuk dilaksanakan di antara organisasi.

Negara-negara yang berusaha untuk menghentikan penerbitan standard mempunyai agenda untuk melambatkan kemunculan standard antarabangsa yang boleh menghalang kemajuan mereka untuk mengambil kesempatan di negara-negara sedang membangun dari segi undang-undang lemah dalam perlindungan sosial dan persekitaran. Ini adalah tingkah laku sosial yang tidak bertanggungjawab!

Model Ekonomi Baru digagaskan oleh Perdana Menteri Malaysia berdasarkan kepada pencapaian pendapatan yang tinggi, inklusif dan menuju ke arah lestari. Kita memerlukan semua bantuan yang boleh didapatkan, kita juga perlu melakukannya dengan tepat pada kali pertama dan ISO 26000 merupakan satu saluran yang sangat berguna.


Artikel berikut diambil daripada majalah Newsweek (Isu 12 Mac). Lampiran

“Beijing telah melakukan semakan semula peraturan antarabangsa, disebabkan keengganannya mengikuti sistem yang dirangka oleh Barat. “Beijing ingin menyertai kumpulan-kumpulan yang bekerjasama dengannya. Salah satu kumpulan ialah Organisasi Kerjasama Shanghai.

Beijing telah berusaha keras dengan mempromosikan yuan sebagai mata wang antarabangsa. “China telah menandatangani perjanjian pertukaran mata wang yang bernilai $100 bilion dengan enam negara seperti Argentina, Indonesia dan Korea Selatan. Yuan telah menjadi mata wang untuk urus niaga rasmi di antara Asia Tenggara dan juga dua buah provinsi China dalam lingkarannya.” ujar mereka.

Beijing sedang merangka Jaringan yang baru. “China telah berusaha keras untuk standard internet generasi akan datang, yang dikenali sebagai IPv6 (Internet Protocol versi 6). IPv6 akan membekalkan trilion laman web baru daripada peralatan rumah bijak kepada aplikasi ketenteraan yang Beijing akan berkongsi bersama.”

Beijing telah mengorak langkah untuk memastikan China akan menerajui negara-negara lain di dunia. Sebagai contoh, China sedang bergiat dalam sektor angkasa lepas. “Sejak kemerosotan bajet untuk NASA, China merupakan satu-satunya negara yang masih melabur secara besar-besaran dalam penjelajahan angkasa lepas.”

China berhasrat untuk menjadi “peneraju dunia dalam tenaga solar dan juga angin. Mereka juga sedang giat merangka standard untuk pengangkutan tenaga bersih generasi depan.”

China mempunyai jumlah pengangkutan tenaga bersih yang paling tinggi di dunia. “Sekiranya China berupaya untuk mengembangkan sektor pengangkutan kepada teknologi standard emas dan pemasaran, China boleh dikatakan mengawal masa depan pasaran kereta dunia.”

Penulis membangkitkan kerisauan bahawa sekiranya China memang mereka semula dunia ini, China mungkin tidak akan mematuhi peraturan perdagangan bebas dan persaingan global secara terbuka. “10 tahun dahulu, Beijing cuba sedaya-upaya untuk merayu pelaburan dari luar negara. Sekarang, situasi ini telah terbalik. Pakej rangsangan fiskal sebanyak $800 bilion telah disalurkan oleh kerajaan China dan mempengaruhi firma-firma dalam negeri dan mengetepikan sektor swasta. Undang-undang penggabungan baru telah menyukarkan lagi firma luar negara untuk membeli syarikat-syarikat China.”

Sebagai kesimpulan, artikel ini menunjukkan bahawa China mempunyai cara pembangunan yang tersendiri tanpa mengikut rentak Amerika Syarikat. “Cara ini dapat memastikan China akan bertambah kaya seperti Amerika Syarikat ataupun lebih bersimpati kepada agenda di Amerika Syarikat, yang semakin lesu.”

17 Mei 2010
Oleh Datuk Marimuthu Nadason, Presiden, FOMCA

Kejadian tumpahan minyak yang sering berlaku menunjukkan perlunya suatu langkah yang konkrit bagi melindungi kawasan tadahan air. Banyak kawasan pembangunan dilakukan sebelum kawasan tadahan air dikenal pasti. Lebih buruk lagi, pembangunan telah dilakukan di kawasan tadahan air dibangunkan.

Mengikut statistik, lebih daripada 90 % sumber air mentah yang dirawat untuk kegunaan air minuman adalah dari sumber air sungai ataupun empangan yang dibina di sekeliling kawasan tadahan air. Ini menunjukkan nilai air daripada sungai dan empangan amat tinggi sekali dan sebarang gangguan kepada aliran semula jadi sungai boleh menjejaskan jaminan tentang kedudukan air mentah ini sebagai sumber air minuman.


Berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dilakukan terhadap perkara ini, FOMCA ingin mengutarakan beberapa pandangan bagi memastikan sumber air mentah ini terjamin kedudukannya.

Pertama, kawasan tadahan air hendaklah diwartakan sebagai kawasan simpanan tetap. Langkah ini tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri kerana hak terhadap hutan dan sumber air terletak di bawah kerajaan negeri. Melalui langkah ini, pembangunan tidak boleh dilakukan di kawasan ini. Sebagai contoh, jika terdapat sebuah lebuh raya terletak di kawasan tadahan air dan satu kemalangan terlalu berlaku yang menyebabkan sejumlah minyak atau bahan berbahaya tertentu telah mengalir ke dalam sungai ini, maka ia akan memberikan kesan secara serta-merta terhadap air dalam sungai tersebut.

Bagaimana pula, jika kemalangan ini tidak dilaporkan dan tumpahan ini tidak dapat dikesan oleh loji rawatan air minuman? Untuk menambahkan risiko, jika bahan kimia yang tumpah itu boleh memberikan kesan kepada kesihatan manusia, kemudian masuk ke dalam loji rawatan air dan seterusnya dialirkan ke dalam sistem perpaipan pengguna. Ini beberapa gambaran yang menunjukkan risiko yang bakal berlaku jika kawasan tadahan air tidak dilindungi.

Kedua, pada mulanya, jumlah industri dan air sisa yang dibuang ke dalam sungai adalah sedikit. Namun begitu keadaan telah berubah. Kepesatan sektor industri telah menyebabkan jumlah sisa yang dibuang ke dalam sungai telah meningkat dengan banyaknya, walaupun air sisa yang dibuang itu mematuhi standard yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Oleh itu, JAS hendaklah menyemak semula standard ini bagi memastikan standard ini lebih ketat lagi, yang juga akan merangkumi langkah pemantauan dan penguatkuasaan yang ketat.

Ketiganya, perlu diwujudkan satu pelan integrasi industri supaya sisa yang berguna dapat digunakan sebagai sumber. Melalui kaedah ini, keperluan untuk bahan mentah dapat dikurangkan dan juga meningkatkan pendapatan. Model-model seperti ini telah berjaya dilaksanakan di negara Eropah dan Jepun. Sebagai contoh, sisa kumbahan boleh dijadikan sebagai sumber untuk menghasilkan gas metana, baja dan bahan tambah dalam industri simen.

Akhirnya, kejadian yang berlaku seperti di Lebuhraya Karak dapat dielakkan jika halangan fizikal atau zon penampan (buffer) diwujudkan sebagai langkah keselamatan. Bagi tujuan ini, analisis risiko perlu dilakukan di kawasan-kawasan tadahan air. Langkah ini dimulai dengan kawasan tadahan air yang mempunyai risiko yang tinggi. Ini kerana, penutupan loji secara berterusan dan pembersihan yang terpaksa dilakukan akan meningkatkan kos pengendalian loji. Ia juga merupakan pembaziran yang ketara jika loji ini ditutup dan dipindahkan ke kawasan hulu sungai disebabkan oleh pencemaran.

Salah satu hak yang dituntut oleh pengguna adalah hak untuk mendapatkan persekitaran yang sihat dan selamat. Bagi melindungi sumber air mentah ini, kerjasama yang erat diperlukan di antara agensi kerajaan, industri dan rakyat.

Masa depan di tangan anda.

PIARAPAKARAN SUBRAMANIAM
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
26 Mei 2010

 

Pengguna perlu mendapat pilihan peralatan elektrik yang lebih baik untuk mengurangkan bil elektrik mereka. Namun begitu, adakalanya mereka tidak dapat berbuat demikian kerana harga peralatan elektrik yang cekap tenaga adalah mahal. 

Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) telah mengutarakan cadangan supaya penjualan lampu jenis pijar di pasaran dihentikan secara berperingkat. Ini merupakan langkah pertama dan perlu disusuli dengan pemberhentian penjualan peralatan elektrik membazir tenaga yang lain. WECAM gembira dengan kerajaan telah menerima cadangan ini.