FOMCA akan mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri tentang penstrukturan semula konsesi lebuh raya. Sebagai permulaannya, dua buah lebuh raya tidak akan dinaikkan kadar tol dalam tempoh lima tahun, iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1.
Selain itu, tempoh konsesi tol bagi Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, yang menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught,Kuala Lumpur, akan dipendekkan kepada Mei tahun 2011, berbanding tempoh yang sepatutnya pada 2018.
Usaha kerajaan untuk menstrukturkan semula konsesi lebuh raya ini pernah ditimbulkan sebelum ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakop. Ia dilakukan akibat daripada rungutan pengguna tentang kenaikan kadar tol yang sering berlaku. Berdasarkan perjanjian konsesi lebuh raya, kadar tol akan dnaikkan setiap tiga tahun. Sekiranya kerajaan tidak membenarkan kenaikan kadar tol, maka kerajaan perlu membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya.
Read more: PENSTRUKTURAN SEMULA KONSESI LEBUH RAYA BERI MANFAAT KEPADA PENGGUNA DAN KERAJAAN
CTOS adalah simpanan data elektronik yang memberi maklumat am tentang sesebuah syarikat atau individu, manakala CCRIS adalah sistem informasi rujukan kredit yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Jika dibandingkan dengan CCRIS, CTOS mempunyai daya tarikan kuat dalam kalangan institusi kewangan, walaupun CCRIS adalah sistem bank sendiri.
Rekod yang ada pada CTOS amat berkuasa sehingga institusi kewangan boleh menolak permintaan pinjaman pelanggan walaupun rekod mereka bersih. Kemungkinan nama mereka pernah dimasukkan di dalam sistem CTOS semasa mereka memohon pinjaman wang.
Read more: BANK NEGARA PERLU WAJIBKAN CCRIS SEBAGAI RUJUKAN UTAMA INSTITUSI KEWANGAN
Iklan produk yang mengelirukan semakin berleluasa dalam pelbagai media. Kewujudan banyak produk kesihatan di pasaran menyebabkan pengeluar produk ini menggunakan pelbagai kaedah bagi memastikan pengguna memilih produk mereka.
Dakwaan tentang khasiat produk yang keterlaluan dalam iklan tersebut menyebabkan semakin ramai pengguna yang terperdaya. Keadaan ini seolah-olah menunjukkan tidak ada peraturan yang mengawal tentang iklan yang mengelirukan di negara ini.
Sebenarnya banyak peraturan yang wujud berkaitan iklan produk. Sebagai contoh, produk kesihatan dan ubat-ubatan tertakluk kepada Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956. Begitu juga Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Perlindungan Pengguna 199 boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap penjual yang mengiklankan produk yang mengelirukan.
Namun persoalannya siapakah yang memantau iklan-iklan yang mengelirukan ini. Pada masa ini wujud sebuah badan yang dikenali sebagai Lembaga Piawaian Pengiklanan Malaysia yang ditubuhkan oleh syarikat pengiklanan sebagai badan pengawal selia kawalan kendiri dalam industri pengiklanan. Sebarang aduan iklan yang mengelirukan dikemukakan kepada badan ini. Walau bagaimanapun, badan ini yang mengendalikan iklan yang berkaitan ahli mereka sahaja.
Menyedari semakin berleluasanya iklan yang mengelirukan ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999, dengan memasukkan klausa penubuhan Jawatankuasa Pengiklanan bagi memantau iklan-iklan yang disasarkan kepada pengguna.
Pindaan yang telah dibentangkan dan diluluskan oleh parlimen pada tahun 2010, akan berkuatkuasa pada 2011. Apabila jawatankuasa ini diwujudkan kelak, iklan-iklan yang disiarkan dalam pelbagai media ini akan dipantau dan diambil tindakan. Pengguna juga mempunyai saluran yang jelas tentang pihak boleh mereka adukan sekiranya mereka mengenal pasti kewujudan iklan-iklan yang mengelirukan.
Walaupun peraturan kawalan kendiri wajar menjadi amalan dalam sektor perniagaan, namun kewujudan sebuah badan bebas juga perlu diwujudkan bagi memastikan tiada ada pihak yang cuba memanipulasi pasaran, yang akhirnya nanti pengguna juga yang teraniaya.
Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
Semasa berborak secara maya dengan seorang kawan yang kini belajar di Universiti Monash, Melbourne, salah satu topik perbualan adalah berkisar tentang jadual pengambilan sampah di kawasan bandar raya Monash. Kawan saya menceritakan bahawa lori sampah di tempatnya akan mengutip sampah-sampah tertentu pada hari yang ditetapkan. Tong sampah diletakkan dalam tiga warna berbeza – merah (sisa domestik), kuning (barangan kitar semula) dan hijau (rumput, dahan pokok, bunga dan sebagainya).
Tong kuning dan tong hijau akan dikutip pada satu hari tetap setiap minggu secara bergilir. Sekiranya penghuni rumah tersalah meletakkan tong di hadapan rumah untuk dikutip, mereka akan dihon oleh pemandu lori sampah. Keadaan ini akan memberi ingatan pada bila-bila tentang jadual berkala yang telah disediakan.
Majlis perbandaran Monash juga mempunyai Pelan Strategik Pencegahan Pembuangan Sampah di kawasan kota rayanya yang berkuatkuasa semenjak Julai 2009. Pelan strategik ini bertujuan untuk mengurangkan pembuangan sampah di tempat-tempat awam. Ini sekaligus mengurangkan kos dan waktu pengutipan sampah. Elemen yang dikenal pasti untuk menjayakan strategik ini adalah pendidikan, infrastruktur dan penguatkuasaan..
Bercerita dengan situasi yang sama di kawasan rumah saya, lori sampah akan datang setiap hari pada kira-kira 8.30 pagi. Semua sampah dimasukkan ke dalam dua tong besar yang disediakan. Apabila ditanya mengenai sama ada tong kitar semula disediakan, saya tidak menjawab. Saya tidak pasti sama ada budaya mengitar semula wujud dalam kalangan penduduk perumahan itu, walaupun saya berusaha membahagikan dua plastik; sampah dan barangan kitar semula. Saya juga tidak pernah melihat tong kitar semula. Yang pasti, di luar pejabat saya mempunyai tong kitar semula itu. Teman sepejabat akan menelefon lori kitar semula apabila tong-tong itu telah dipenuhi. Begitu juga kurang kelihatan iklan di televisyen mengenai kempen kitar semula kini. Adakah kita mula melupakannya?
Kajian (William at el 1997) menunjukkan tingkah laku pembuangan sampah oleh seseorang individu bergantung kepada lokasi, sampah yang dibuang dan pergerakan secara berkumpulan atau individu. Maka, menjadi tanggungjawab kita semua untuk menghidupkan semula budaya kitar semula ini demi menjaga kebersihan bersama. Kita tidak seharusnya menunggu kempen, atau berita orang cedera di baling plastik sampah dari tingkat atas atau kes denggi. Kita harus mulakan kerana ‘perubahan bermula dengan saya’
Azwa Abdul Rahman
ERA Consumer Malaysia
Industri pengiklanan sepanduk atau kain pemidang telah berkembang di Malaysia. Setiap orang menggunakan jenis media ini untuk mempromosikan perniagaan mereka, sama ada sah atau tidak sah dari segi undang-undang. Kehidupan kita telah dipenuhi dengan sepanduk iklan, walau di mana kita pergi, kita akan mendapati sepanduk ini dipasang di serata tempat.
Kewujudkan sepanduk ini adalah untuk memberi maklumat, mengiklankan produk dan perkhidmatan, menyewa dan menjual rumah, mempromosikan sesuatu acara dan sebagainya.
Industri sepanduk juga memberi peluang kepada sindiket yang terlibat dalam peminjaman wang. Maklumat yang mudah dicapai ini mungkin satu faktor yang menyumbang kepada tragedi kes “Ah Long” di negara ini. Walaupun terdapat usaha untuk membuang sepanduk peminjam wang ini, tetapi ia tidak berkesan kerana terlalu banyak sepanduk seperti ini masih tergantung di mana-mana tempat.
Selain itu, terdapat juga fakta yang mengelirukan digunakan dalam sepanduk. Banyak pusat tiusyen menggunakan slogan inovatif untuk mempromosikan pusat mereka. Sebagai contoh, jaminan pulangan balik wang ataupun pasti dapat A program.
Tambahan pula, terdapat juga pusat pelangsingan badan yang menyatakan bahawa mereka dapat mengurangkan berat badan dalam masa yang singkat. Ada juga pelekat di tiang lampu, lampu isyarat ataupun pagar yang menyatakan “Ubat Kuat Lelaki”.
Tiada sesiapa yang dapat menjaminkan kualiti tentang produk dan perkhidmatan yang dinyatakan ini, dan tiada sesiapa yang dapat membuktikan kebenaran kenyataan ini.
Jika perkara ini tidak dikawal, pengguna akan dikelirukankan kepada kenyataan yang tidak benar ini.
Spanduk yang digunakan untuk promosi sesuatu acara adalah bermanfaat untuk masyarakat. Namun, apabila satu acara telah berakhir, sepanduk teresbut tidak ditanggalkan, malah terus tergantung dari tahun 2010 sehingga 2011. Sememangnya keadaan ini merupakan sesuatu yang boleh mengganggu pandangan.
Pihak berkuasa mungkin telah hilang kawal terhadap masalah ini. Pengguna sukar untuk membezakan antara bahan yang boleh diiklan dan tidak boleh diiklan. Semua orang boleh memohon lesen dan mengiklan apa-apa sahaja menggunakan sepanduk.
Persoalannya, adakah begitu banyak sepanduk diperlukan di sekitar bandar?
Justeru, satu kod amalan perlu dibangunkan untuk industri sepanduk. Manakala, penguatkuasaan perlu diketatkan terhadap pelanggaran kod amalan ini.
Ini bukan sahaja dapat mengawal industri sepanduk dengan lebih berkesan dan memastikan pengguna mendapat maklumat yang tepat.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
Selepas pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikuatkuasakan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan pada semua kenderaan yang melanggar undang-undang di semua jenis jalan.
Sebelum ini, JPJ hanya mempunyai kuasa pada kenderaan yang melanggar undang-undang di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan perbandaran.
Namun, dengan pindaan yang baru ini, JPJ juga boleh bertindak di semua tempat, sebagai contoh, jalan-jalan di dalam ladang, taman, kampung dan taman kediaman.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Datuk Ismail Ahmad, pegawai JPJ juga boleh mengambil tindakan terhadap kenderaan di dalam tempat meletak kereta dan tepi jalan jika mereka melanggar undang-undang.
Pindaan akta ini memberi lebih kuasa kepada pegawai JPJ agar dapat bertindak pada kenderaan yang melanggar undang-undang. Namun, ia perlu pengawalan yang ketat agar penguatkuasaan yang efektif dapat diwujudkan untuk menolong rakyat.
Sebagai contoh, sering kali terdapat bahawa motosikal yang diletakkan dengan sesuka hati di kaki lima, tepi jalan ataupun di stesen bus. Terdapat juga penunggang motorsikal yang tidak memakai topi keledar di dalam kampung. Apakah pegawai JPJ boleh bertindak pada pemandu motorsikal seperti ini?
Di samping itu, apabila sesebuah kenderaan melanggar undang-undang jalan raya di dalam kawasan persendirian. Adakah tindakan boleh diambil ke atas mereka?
Demikian juga terhadap kenderaan yang menyalahgunakan tempat letak kereta orang kurang upaya (OKU). Apakah JPJ boleh mengambil tindakan terhadap mereka?
Terdapat banyak persoalan yang timbul daripada penguatkuasaan pindaan akta ini. Persoalan ini perlu diperjelaskan agar pelaksanaannya meyakinkan dan tidak menimbulkan keresahan kepada rakyat.
Selain itu, satu garis panduan perlu dibangunkan bagi memperincikan peraturan yang terdapat dalam pindaan baru ini bagi mengelakkan sebarang kemusykilan yang timbul semasa penguatkuasaan dilakukan.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
Cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meminda Akta Pemajuan Perumahan bagi membolehkan dakwaan dibuat terhadap pemaju projek perumahan yang terbengkalai amat wajar sekali.
Ketiadaan peruntukan untuk mengalami tindakan kepada pemaju seperti ini dalam Akta tersebut menyebabkan pengguna seringkali berhadapan dengan risiko membeli rumah yang terbengkalai.
Biarpun mereka tidak dapat menduduki rumah tersebut, namun pinjaman untuk membiayai pembelian rumah itu masih perlu dibayar.
Sedangkan pemaju projek perumahan yang terbengkalai telah mendapat sebahagian daripada wang mereka berdasarkan bayaran kemajuan.
Cadangan untuk mendakwa pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan ini bertujuan untuk memberi amaran kepada pemaju agar tidak mengambil mudah dalam membangunkan sesuatu projek perumahan. Kemelesetan ekonomi pada akhir tahun 1990-an yang menyebabkan banyak projek perumahan terbengkalai perlu dijadikan iktibar. Malahan dalam keadaan ekonomi yang baik pun masih ada projek perumahan terbengkalai kerana kegagalan pengurusan kewangan pemaju.
Lantaran konsep pemajuan projek perumahan pada masa ini berdasarkan “Beli dan Bina” menyebabkan pemaju hanya akan melaksanakan sesuatu projek sekiranya telah ada pembeli. Sekiranya pemaju tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk meneruskan projek, maka projek itu ditinggalkan terbengkalai.
Keadaan ini tidak akan berlaku sekiranya konsep “Bina dan Jual” dilaksanakan. Pembeli tidak akan menanggung sebarang risiko kerana mereka hanya akan membeli rumah yang telah siap dibina. Dalam hal ini pemaju akan berhati-hati apabila merancang sesuatu projek bagi memastikan mereka tidak mengalami kerugian.
Justeru, selain daripada meminda akta pemajuan perumahan bagi mengatasi masalah rumah terbengkalai, kerajaan juga perlu mempunyai perancangan agar konsep “Jual dan Bina” akan dilaksanakan pada masa akan datang, selaras dengan gagasan Perdana Menteri, “Rakyat Didahului, Pencapaian Diutamakan”.
MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
Akta Persaingan 2010 melarang wujudnya perjanjian anti-persaingan seperti perjanjian mendatar dan perjanjian menegak yang menghalang atau menyekat persaingan di pasaran. Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 melarang terhadap perjanjian anti-persaingan. Contoh aktiviti antipersaingan adalah penetapan harga barangan di pasaran.
Menurut seksyen 10 Akta Persaingan 2010 penyalahgunaan kedudukan dominan adalah dilarang. "Kedudukan dominan" ditakrifkan sebagai kemampuan sesebuah perusahaan untuk melaraskan harga atau terma perdagangan dalam pasaran.
Contoh penyalahgunaan kedudukan dominan adalah seperti menetapkan harga barang lebih tinggi daripada harga pasaran. Keadaan ini menyebabkan pesaing terpaksa keluar daripada pasaran dan menghalang pesaing baru memasuki pasaran.
Sebuah Suruhanjaya Persaingan ditubuhkan untuk mengawasi pelaksanaan Akta Persaingan 2010. Suruhanjaya ini dikuatkuasakan di bawah Akta Suruhanjaya Persaingan 2010.
Menurut seksyen 11 Akta Persaingan 2010, Suruhanjaya Persaingan mempunyai kuasa untuk menjalankan kajian semula di atas pasaran. Kajian ini akan dibuat apabila terdapat ciri-ciri yang menghalang atau menyekat persaingan di pasaran.
Seksyen-seksyen 4, 10 dan 11 Akta Persaingan 2010 merupakan peruntukan terpenting dalam mengawal perjanjian anti-persaingan dan penyalahgunaan kedudukan dominan ini.
Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
Mesyuarat Pihak-Pihak yang bakal berlangsung pada 29 November hingga 10 Disember 2010 di Cancun, Mexico akan berbincang dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi kekurangan yang berlaku semasa COP15 di Copenhagen tahun lalu.
COP15 yang berlangsung di Copenhagen tahun lalu sepatutnya merangka satu protokol yang baru bagi menggantikan Protokol Kyoto dan meratifikasikan satu perjanjian jangka masa panjang yang sah pada hujung tahun 2012. Malangnya, usaha ini tidak tercapai.
Apa yang berjaya diwujudkan adalah Persetujuan Copenhagen, yang merupakan satu kemas kini untuk Bali Roadmap yang dihasilkan pada tahun 2007 semasa COP13. Bali Roadmap telah menyediakan satu garis panduan bagi menyediakan satu protokol baru yang bakal menggantikan Protokol Kyoto.
Pada masa itu, semua orang telah sedar bahawa sekiranya penurunan pembebasan gas rumah hijau masih ditangguhkan, maka peluang untuk mencapai tahap kestabilan dan risiko kesan-kesan perubahan iklim akan bertambah parah.
Walaupun Persetujuan Copenhagen tidak melahirkan sebuah perjanjian yang kukuh, sekurang-kurangnya ia telah mengiktirafkan kepentingan bagi menurunkan pembebasan gas rumah hijau pada kadar yang besar. Walau bagaimanapun, pada masa ini masih lagi berlaku perdebatan mengenai janji-janji penurunan pembebasan gas rumah hijau, pemantauan, pengesahan dan juga laporan status pelepasan gas.
Persetujuan tersebut juga mengutarakan isu-isu tentang usaha-usaha yang diguna pakai untuk mengurangkan kesan-kesan perubahan iklim terhadap alam semula jadi dan manusia, pertukaran teknologi dan juga pengenyahhutanan. Harapan sekarang adalah kepada mesyuarat di Cancun nanti yang boleh memberikan satu gambaran yang jelas tentang usaha-usaha adaptasi dapat ditanggung, dari mana dan bagaimana pelaburan kewangan dapat dilakukan.
Beberapa mekanisme telah sedia ada, seperti Kyoto Protocol Adaptation Fund, World Bank Program on Climate Resilience dan Global Environment Facility. Setiap mekanisme ini akan berunding dan berbincang bagi mendapatkan hasil yang berkesan dan menentukan kaedah yang lebih berkesan.
Kunci kejayaan mesyuarat Cancun yang bakal berlangsung ini bergantung kepada kesungguhan dan keberkesanan usaha pertukaran teknologi di antara negara maju dan juga negara sedang membangun. Di samping itu, beberapa persoalan seperti bagaimana kapasiti penyelidikan dan struktur kerajaan di negara-negara membangun dapat dipertingkatkan bagi memastikan peralihan teknologi dan kewangan yang berkesan dan juga garis panduan bagi peranan-peranan yang perlu dimainkan, harus ditangani dalam mesyuarat tersebut.
Cabaran semasa di Cancun juga akan merangkumi penyediaan matlamat-matlamat bagi mengurangkan pembebasan gas rumah hijau daripada pengenyahhutanan, pemuliharaan hutan dan pengurusan lestari bagi hutan. Isu-isu ini meliputi pengenalpastian dan juga memahami faktor-faktor yang mendorong pengenyahhutanan dan bagaimana untuk mencapai pemantauan yang berkesan.
Sememangnya Persetujuan Copenhagen tidak mencapai matlamat-matlamat yang mula-mula dibayangkan, tetapi ia telah memberikan isyarat untuk melangkah ke hadapan bagi perjanjian pasca-2012. Dapat dibayangkan bahawa struktur, isi-kandungan dan reka bentuk pengganti Protokol Kyoto akan tercapai semasa Mesyuarat Pihak-Pihak di Cancun nanti.
Akhirnya, mesyuarat di Cancun ini sekurang-kurangnya dapat memastikan bantuan yang mencukupi kepada negara-negara mundur dan Negara yang menerima kesan perubahan iklim yang paling buruk serta komitmen yang jelas dan telus daripada semua pihak dalam UNFCCC bagi menangani masalah perubahan iklim.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
Page 11 of 16