Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (Malaysia) telah menerima penghargaan khas pada Majlis Kemuncak Bulan Pengguna Kebangsaan 2010 yang diadakan pada 24 Julai 2010 di Dataran Pahlawan, Melaka.

Penghargaan Khas ini diberikan sebagai menghargai peranan yang telah dimainkan oleh FOMCA sepanjang tahun 2009 dan 2010 khususnya berkaitan dengan program kesedaran kepenggunaan, Penghargaan khas ini telah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob kepada Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA. Turut sama dalam majlis tersebut ialah Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka.

Selain FOMCA, tiga lagi persatuan pengguna turut menerima penghargaan khas pada majlis tersebut, iaitu Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Majlis Kemucak Bulan Pengguna Kebangsaan 2010 berlangsung selama dua hari, iaitu pada 24 dan 25 Julai 2010, yang diisi dengan beberapa aktiviti, antara lain, gerai pameran, ceramah kesedaran, pertandingan mewarna kepenggunaan untuk kanak-kanak dan sebagainya.


Mohd Yusof Abdul Rahman
27 Julai 2010

ISO 50001 standard untuk pengurusan tenaga telah diluluskan baru-baru ini sebagai draf standard antarabangsa - Draft International Standard (DIS).

ISO 50001 akan membina sebuah kerangka untuk tanaman industri, kemudahan komersial atau semua organisasi yang menguruskan tenaga. Sasaran pelaksanaan yang meluas di seluruh sektor ekonomi nasional menjangkakan bahawa standard ini boleh mempengaruhi hingga 60 peratus daripada penggunaan tenaga di dunia.

Dokumen ini berdasarkan kepada elemen-elemen umum yang terdapat dalam semua standard sistem pengurusan ISO, bagi memastikan tahap dan kesetaraan yang tinggi dengan ISO 9001 (pengurusan kualiti) dan ISO 14001 (pengurusan persekitaran).

ISO 50001 akan memberikan manfaat sebagai berikut:

Kerangka kerja untuk mengintegrasikan kecekapan tenaga dalam amalan pengurusan
Penggunaan aset tenaga yang sedia ada
Permulaan,pengukuran, pendokumentasian, dan pelaporan peningkatan intensiti tenaga dan kesannya yang ditunjukkan pada pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG)
Ketelusan dan komunikasi tentang pengurusan sumber tenaga
Amalan Terbaik Pengurusan Tenaga
Menilai dan mengutamakan pelaksanaan teknologi kecekapan tenaga yang baru
Kerangka kerja untuk meningkatkan kecekapan tenaga di seluruh rantaian bekalan
Pembaikan pengurusan tenaga dalam konteks projek pengurangan pembebasan GHG.
ISO 50001 sedang dibangunkan oleh jawatankuasa projek ISO ISO / PC 242 pengurusan tenaga. Sekretariat ISO / PC 242 ini diwujudkan dengan kerjasama ahli ISO Amerika Syarikat (ANSI) dan Brazil (ABNT). 42 buah negara yang menjadi ahli ISO menyertai dalam kerja-kerja pembangunan standard, dengan 10 ahli sebagai pemerhati.

Kini, setelah ISO 50001 telah maju ke tahap draf standard antarabangsa, ahli badan ISO kebangsaan telah dijemput untuk memilih dan memberikan pandangan teks standard selama tempoh lima bulan bagi pungutan suara.

Jika keputusan undian draf standard antarabangsa positif, dokumen tersebut akan diedarkan kepada ahli ISO sebagai Final Draft International Standard (FDIS) atau draf akhir standard antarabangsa. Jika undian adalah positif, maka ISO 50001 dijangka akan diterbitkan sebagai Standard Antarabangsa pada awal tahun 2011.

 

Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Meskipun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, namun Kementerian Kewangan masih tetap dengan pendirian untuk mengeluarkan lesen judi kepada Kumpulan BERJAYA. Ini disahkan oleh pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Dr Awang Adek Hussin pada 6 Mei 2010. Kumpulan BERJAYA akan menjadi syarikat tunggal pertaruhan bolasepak berlesen di negara ini. Sehubungan itu, pertaruhan secara sah boleh dilakukan.

Judi ialah permainan yang melibatkan pertaruhan wang atau harta. Dalam perjudian, pihak yang kalah akan harus membayar sejumlah nilai kepada pihak yang menang.


Tindakan kerajaan yang memberi lesen bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini. Jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

Apakah kesan pengiktirafan judi sukan?

Perjudian akan mendorong rakyat meningkatkan beban hutang. Ini akan menyebabkan “along” berleluasa memberi pinjaman untuk kaki judi untuk terus berjudi. Oleh sebab itu, masalah-masalah sosial seperti keruntuhan institusi keluarga, peningkatan gejala sosial, pertambahan kadar jenayah dan keruntuhan ekonomi negara berlaku.

Tujuan utama kerajaan Malaysia meluluskan lesen judi kepada kumpulan BERJAYA bertujuan bagi mendapatkan hasil judi tersebut untuk digunakan untuk pembangunan sukan negara. Tetapi persoalannya, adakah cara ini merupakan kaedah terbaik untuk membangun bidang sukan negara kita?

Dijangkakan ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa hutang, khususnya ketika berlangsungnya Piala Dunia FIFA 2010 kerana perangai ketagihan dalam permainan judi. Bagaimanakah kerajaan Malaysia akan menyelamatkan mangsa hutang dan keluarga mangsa hutang tersebut?

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
17 Jun 2010

 

Seorang teman telah pergi selamanya kerana komplikasi jantung. Apabila jenazahnya dituntut untuk dibawa pulang, pihak hospital memberitahu bahawa beliau, semasa hayatnya, telah berdaftar sebagai penderma organ. Alangkah murninya hati seorang sahabat mengikrarkan diri memberikan semua organ dalamannya, dengan harapan selepas kematiannya, beliau masih dapat membantu orang lain.

Ramai pesakit di Malaysia masih menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ. Dengan adanya ikrar daripada penderma organ, kita dapat mengubah kehidupan seseorang yang mempunyai kegagalan fungsi organ. Tentu saja kita tidak mahu ahli keluarga atau sahabat kita menderita atau pergi dengan menunggu organ yang boleh menyelamatkannya.

Peratusan penderma organ amatlah sedikit dalam kalangan rakyat Malaysia. Mengikut perangkaan terkini Pusat Sumber Transplantasi Kebangsaan, seramai 141,733 orang telah mendaftar sebagai pengikrar pendermaan organ. Manakala seramai 100,169 orang pula telah mendaftarkan diri untuk mendermakan semua organ dan tisu. Di manakah bakinya orang dewasa daripada 26 juta rakyat Malaysia?

 

 

 

 

 

Mengikut kaji selidik yang dilakukan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 2006, faktor penyebab kurangnya penderma adalah takut (56.3%) dan bukannya disebabkan oleh halangan agama.

 

 


Anda mempunyai hak untuk membuat keputusan ke atas badan anda. Tidak salah jika anda berbuat kebaikan kepada mereka yang memerlukan. Kehidupan yang bermakna adalah kehidupan harmoni yang dapat dikongsikan bersama orang lain.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari http://www.agiftoflife.gov.my atau menghubungi Pusat Sumber Transplansi Kebangsaan di talian bebas tol 1-800-88-9080

Azwa Abd Rahman
ERA Consumer Malaysia
1 Jun 2010

Pengambilan pembantu rumah warga asing telah menjadi satu keperluan bagi rakyat Malaysia memandangkan kedua-dua suami dan isteri perlu bekerja untuk menyara kehidupan keluarga. Mereka terpaksa meletakkan kepercayaan penuh kepada pembantu rumah warga asing memandangkan banyak wang yang perlu dikeluarkan untuk mendapatkan khidmat mereka. 

Negara kita mendapatkan khidmat pembantu rumah warga asing daripada negara-negara seperti Indonesia, Filipina, Sri Lanka dan Thailand.

Banyak aduan diterima tentang pengeluar dan penjual kereta tempatan yang memberikan gagal memberikan khidmat selepas jualan yang baik kepada pelanggan mereka. Apabila masalah pelanggan itu diajukan kepada bahagian khidmat pelanggan, mereka gagal memberikan maklum balas pada masa yang ditetapkan. Jika tindakan diambil berdasarkan aduan tersebut, kerja-kerja pembaikan tidak memuaskan.

Pelanggan memberikan maklum balas yang negatif terhadap perkhidmatan syarikat pengeluar dan pengedar kereta ini.

 

PETALING JAYA, 15 APRIL 2010 -  Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melancarkan kempen MINGGU TIDAK MENONTON TV pada hari ini. Kempen ini akan diadakan pada 21 hingga 27 April di seluruh negara. 

MENGAPA PERLU DIADAKAN MINGGU TIDAK MENONTON TV? Masa menonton televisyen dan peralatan berskrin (internet, permainan video dan telefon bimbit) telah banyak mengorbankan masa bersama keluarga di samping menyebabkan masalah suka menyendiri dan gaya hidup tidak banyak melakukan pergerakan fizikal.

SUBANG JAYA, 20 APRIL 2010 – Buku "Consumer Power", tulisan Profesor Datuk Dr Anwar Fazal, bekas Presiden Pertubuhan Antarabangsa Kesatuan Pengguna (kini dikenali sebagai Consumers International - CI) telah dilancarkan dalam satu majlis yang sederhana tetapi meriah, di sebuah hotel di sini pada hari ini.

Majlis pelancaran buku ini yang turut dihadiri oleh Samuel Ochieng, Presiden Consumers International, Datuk N. Marimuthu, Presiden FOMCA, Dato’ Indrani Thuraisingham, Ketua Pejabat CI Kuala Lumpur dan perwakilan daripada ahli gabungan CI di rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah.


Buku Consumer Power ini pada asalnya merupakan teks ucapan Datuk Dr. Anwar ketika berucap meraikan ulang tahun ke-50 Consumer Union, Amerika Syarikat.

Yang menariknya ialah. teks ucapan yang dijadikan sebagai buku ini adalah dalam bentuk bait puisi yang mengaluri tentang perkembangan pergerakan pengguna di peringkat antarabangsa.

Buku ini mengimbas kembali perjuangan warga dunia, yang terlibat dalam pergerakan pengguna, dalam pelbagai isu, antaranya melindungi penyusuan susu ibu, menghentikan penggunaan racun makhluk perosak dan bahan kimia toksik yang berbahaya, serta memerangi penjualan ubat-ubatan yang berbahaya dan tidak diperlukan oleh pengguna. Hasil perjuangan inilah yang telah menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan kod dan garis panduan berkaitan perlindungan pengguna.

Buku ini juga menyelusuri perkembangan hak pengguna daripada isu berkaitan hak untuk membuat pilihan dan maklumat, kepada hak untuk mendapatkan keperluan asas dan alam sekitar yang selamat, apabila pergerakan pengguna mulai berkembang hampir ke seluruh benua, meliputi negara-negara yang mempunyai kedudukan pembangunan yang berbeza. Di samping itu, buku ini turut menekankan tentang aspek tanggungjawab pengguna, selain daripada hak-hak pengguna.

Datuk Anwar yang menjawat presiden antara tahun 1978 hingga 1984, merupakan presiden pertama pergerakan pengguna dunia itu dari negara dunia ketiga dan juga tokoh termuda yang menjawat jawatan itu.

Beliau merupakan aktivis pengguna global yang paling berpengaruh, setanding dengan Ralph Nader, tokoh kepentingan masyarakat di Amerika Syarikat. Datuk Anwar telah menerima pelbagai anugerah hasil usaha gigih beliau, antaranya Right Livelihood Award, yang dikenali sebagai “Hadiah Nobel Alternatif”, disenaraikan dalam Tokoh Ternama United Nations Environment Programme “Global 500”, dipilih sebagai Hall of Fame Mother Earth News dan ”Activist of the Year” oleh Multinational Monitor, sebuah jurnal yang ditubuhkan oleh Ralph Nader.

Beliau juga merupakan tokoh pertama yang menerima Anugerah Tokoh Pengguna Malaysia ketika sambutan Hari Pengguna Malaysia yang pertama kali diadakan, iaitu pada tahun 2001.

Pada masa ini Datuk Anwar adalah Profesor di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang, iaitu beliau mengetuai Kolej ”The Right Livelihood”. Untuk mengetahui dengan mendalam tentang Datuk Anwar, layari www.anwarfazal.net.

Mohd Yusof Abdul Rahman
21 April 2010

 

Langkah Kerajaan Negeri Terengganu untuk menjadikan Pulau Redang sebagai destinasi ekslusif bagi golongan elit apabila tidak akan meluluskan lagi pembinaan hotel bajet amat tidak wajar.

Pulau Redang adalah pulau awam yang boleh dikunjungi oleh setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira kedudukan. Jika hasrat Kerajaan Terengganu dilaksanakan, ia seolah-olah menafikan hak rakyat untuk mengunjungi pulau tersebut dengan tidak menyediakan kemudahan penginapan yang mencukupi.


Kerajaan Terengganu sepatutnya menyokong usaha Kementerian Pelancongan untuk menggalakkan rakyat tempatan melancong ke dalam Negara, termasuk pulau-pulau yang berada di perairan Malaysia.

Usaha Kerajaan Terengganu untuk menarik pelancong elit masih boleh dilakukan tanpa menjejaskan kedudukan golongan yang lain dengan memperbanyakkan kemudahan yang mereka ingini.

Tidak sewajarnya wujud sesebuah tempat di dalam negara ini yang hanya dihadkan untuk golongan tertentu sahaja, melainkan jika ia adalah pulau persendirian seperti Pulau Pangkor Laut.

Mohd Yusof Abdul Rahman
13 April 2010