Apakah yang dilakukan oleh seseorang pemimpin negara sekiranya simpanan minyak dijumpai di bawah tanah di dalam hutan hujan tropika di sesebuah negara?

Keadaan ini akan menjadikan kerajaan berada dalam keadaan yang serba salah. Jika hutan-hutan tersebut dimusnahkan hanya untuk mengestrak minyak tersebut, maka negara yang kaya dengan kepelbagaian hidupan turut akan musnah.

Selain itu, pengestrakan dan penggunaan minyak juga akan melepaskan gas karbon dioksida yang banyak ke dalam atmosfera dan mengakibatkan perubahan iklim.

Namun jika minyak tersebut dibiarkan bawah tanah demi melindungi hutan dan mengelak pelepasan gas rumah hijau, negara tersebut akan kehilangan banyak pendapatan eksport dan hasil negeri yang boleh digunakan untuk pembangunan. Ahli ekonomi menamakan masalah sebagai opportunity cost.

Jika kita lihat dari segi keutamaan dan nilai penting dalam dunia moden ini, iaitu ekonomi dan perniagaan diletakkan mengatasi alam sekitar. Sekiranya situasi di atas berlaku, kebanyakan negara akan menebang hutan, memusnahkan taman negara dan mengestrak minyak tersebut.

Ecuador merupakan sebuah negara di Amerika Selatan yang mempunyai 13 juta penduduk dan dikurniakan dengan kekayaan alam sekitar. Namun, negara ini mengalami masalah yang serba salah seperti yang berlaku seperti di atas.

Menteri Persekitaran Ecuador, Prof Dr Carlos Larrea Maldonado bercadang untuk membiarkan kawasan simpanan minyak yang besar itu di bawah tanah dan berharap mendapat dana antarabangsa.

Dana tersebut, yang sebahagian besar akan digunakan untuk menebus pendapatan yang sepatutnya diperolehi, juga akan digunakan untuk memulihara hutan tersebut, membangunkan tenaga boleh diperbaharui dan menggalakkan pembangunan sosial.

President Ecuador, Rafael Correa mengumumkan kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu bahawa keputusan untuk membiarkan simpanan minyak bawah tanah yang dijumpai di ITT (Ishpingo-Tambococha-Tiputini) berdekatan dengan Taman Negara Yasuni. Ini adalah untuk meletakkan nilai sosial dan alam sekitar sebagai keutamaan negara dan pada masa yang sama, cara-cara lain boleh digunakan untuk meningkatkan ekonomi negara.

Di bawah inisiatif ini, masyarakat dunia akan menyumbangkan sekurang-kurangnya separuh daripada hasil pendapatan yang sepatutnya diperolehi oleh negara tersebut, dan kerajaan akan mengambil separuh daripada opportunity cost dengan membiarkan simpanan minyak bawah tanah tersebut.

Taman Negara Yasuni merupakan salah satu hutan simpanan yang paling penting dan kaya dengan kepelbagaian hidupan dalam dunia. Dalam litupan kawasan sebanyak 2 juta hektar ini, ITT merangkumi kawasan sebanyak 20%. Sebanyak 846 juta tong minyak boleh diesktrak daripada ITT. Ramalan bahawa sebanyak 407 juta ton pelepasan gas karbon dioksida juga dapat dielakkan sekiranya minyak ini tidak diekstrak dan digunakan.

407 juta ton gas karbon dioksida tersebut bernilai sebanyak US$8.07 juta (RM25bil) mengikut kadar karbon dioksida di pasaran karbon Eropah masa kini (US$19.81 (RM61.47) untuk satu ton karbon diosida).

Berdasarkan inisiatif ini, Ecuador mencadangkan masyarakat antarabangsa akan menyumbangkan sekurang-kurangnya US$3.6bil (RM11.2bil) ke dalam dana yang akan dikawalselia oleh Program Pembangunan Bangsa Bersatu (United Nations Development Programme, UNDP). Dengan itu, jumlah hasil pendapatan minyak sebanyak US$7.25bil (RM22.5bil) yang sepatutnya diperoleh, kerajaan akan menanggung separuh daripada kos itu, manakala sebahagian lagi akan ditanggung oleh kerajaan lain dan derma persendirian.

Dana tersebut akan dilaburkan ke dalam projek-projek tenaga yang boleh diperbaharui untuk mengatasi pergantungan Ecuador kepada bahan api fosil yang menyebabkan perubahan iklim. Pertubuhan Bangsa Bersatu menyokong projek ini dan UNDP telah menubuhkan dana tersebut.

Ecuador berharap inisiatif akan menjadi projek pertama yang diiktiraf oleh Konvensyen Iklim Pertubuhan Bangsa Besatuan (UN Climate Convention, UNFCC) sebagai satu model untuk mengelakkan pelepasan gas rumah hijau. Kini, UNFCC telah mengiktiraf pengelakan penebangan hutan sebagai satu cara untuk mengatasi perubahan iklim dan negara-negara membangun boleh memohon dana untuk melindungi dan penanaman semula hutan.

Dengan inisiatif Yasuni-ITT ini, Ecuador juga berharap ia akan menjadi satu mekanisme yang baru untuk menubuhkan dana untuk negara-negara membangun dengan meninggalkan simpanan minyak bawah tanah yang terletak di kawasan yang mempunyai kepentingan alam sekitar.

Menurut syarat-syarat yang disediakan oleh Prof Maldonado dan pasukan beliau, negara-negara yang memenuhi syarat-syarat ini merangkumi Malaysia, Indonesia, Filipina, India, Papua New Guinea, Brazil, Colombia, Venezuela, Bolivia, Peru, Costa Rica, Congo dan Madagascar.

Usaha ini pasti akan menjadi sesuatu yang menarik untuk melihat betapa jauh dan berkesannya inisiatif ini akan berjalan. Pada masa yang akan datang, lebih banyak inisiatif seperti ini akan dipraktis oleh negara-negara untuk memulihara hutan, meninggalkan bahan api fosil dalam bawah tanah dan menangani perubahan iklim, di mana negara-negara ini akan berganding bahu dengan komuniti antarabangsa.

(Diterjemah dan diedit daripada artikel Martin Khor “Leaving Oil in the Ground to Fight Climate Change”)

 


Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

Bagi menangani isu perubahan iklim yang membawa kepada pemanasan global, kerajaan telah mengambil langkah dengan menjalankan inventori gas-gas rumah hijau pada tahun 2000 untuk mengenal pasti punca-punca utama yang menyumbang kepada gas-gas rumah hijau di negara ini.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah membuat persediaan serta menggariskan tindakan yang perlu dilaksanakan bagi menangani perubahan iklim dan impaknya melalui dua pendekatan iaitu Pendekatan Mitigasi dan Pendekatan Adaptasi.

Selama beberapa puluh juta tahun, laut telah mengekalkan tahap asiditi yang stabil. Dalam kestabilan ekosistem laut inilah yang membolehkan kepelbagaian hidupan yang terdapat dalam laut yang luas. Namun, kajian telah menunjukkan kestabilan sejak dulu ini telah terjejas disebabkan oleh penurunan mendadak dalam pH permukaan air laut yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada laut seluruh dunia.

Sejak permulaan revolusi perindustrian pada awal 1800-an, mesin-mesin yang bergantung kepada bahan api fosil telah dicipta dan membolehkan sektor industri bertambah pesat dan maju. Walau bagaimanapun, kesan daripada pembangunan ini telah menyebabkan pembebasan gas karbon dioksida dan gas rumah hijau yang lain yang tidak dapat dianggarkan ke dalam atmosfera bumi.

Ahli sains mendapati bahawa separuh daripada gas karbon dioksida akan diserap oleh laut sejak dahulu lagi. Lautan yang luas telah membantu kita melambatkan kesan pemanasan global. Namun, kajian-kajian baru menunjukkan bahawa penyerapan gas karbon dioksida yang berlebihan telah menyebabkan keasidan air laut meningkat. Peningkatan ini akan mendatangkan kesan yang buruk terhadap kitar hidup banyak hidupan marin, terutamanya hidupan yang berada pada tahap rendah dalam rantai makanan.

Asid Karbonik

Apabila gas karbon dioksida larut dalam air laut, asid karbonik akan terbentuk. Ini akan menyebabkan keasidan meningkat, terutamanya pada permukaan air laut. Kesannya telah terbukti bahawa ia akan menjejaskan pertumbuhan dan pembiakan organisma marin seperti ikan dan batu karang.

Dalam skala pH (0 – 14), larutan dengan pH yang tinggi bersifat alkali, manakala yang rendah bersifat asid, iaitu 7 merupakan neutral. Dalam 300 juta tahun, pH laut adalah bersifat alkali dan puratanya ialah hampir 8.2. Pada masa ini, pH air laut adalah 8.1, iaitu penurunan sebanyak 0.1 unit pH ini juga merupakan pertambahan sebanyak 25% keasidan dalam tempoh dua abad sahaja.

Tempat Simpanan Karbon

Laut sekarang menyerap hampir dua pertiga daripada gas karbon dioksida yang dihasilkan oleh manusia, iaitu hampir 22 juta ton sehari. Unjuran menunjukkan bahawa sekiranya angka ini berlarutan, pada akhir abad ini pH laut akan menurun sebanyak 0.5 unit lagi. Hidupan laut yang membentuk kerang seperti batu karang, tiram, udang karang, plankton, dan ikan akan teruk terjejas.

Apa yang lebih membimbangkan ialah sekiranya laut terus menyerap gas karbon dioksida pada kadar seperti ini, maka pada suatu hari nanti, kapasiti laut untuk menyerap lagi akan lenyap. Ini bermaksud gas karbon dioksida yang kita lepaskan akan terus berada di atmosfera bagi merancakkan lagi perubahan iklim dunia.

Kesedaran saintifik mengenai asidifikasi masih baru. Ahli sains sedang bertungkus-lumus menjalankan kajian mengenai kesan asidifikasi ini kepada ekosistem marin. Hakikatnya, sekiranya manusia tidak mengawal dan menghentikan pembakaran bahan api fosil, organisma laut akan hidup dalam keadaan yang amat tertekan. Tekanan ini akan menyebabkan organisma laut ini susah untuk menyesuaikan diri kepada perubahan kimia habitat mereka dan akhirnya pupus.

Kesimpulan

Laut merupakan sumber asli yang sangat bernilai kepada kita. Kehidupan kita jelas berkait rapat dengan kesihatan laut kita. Sekiranya kita tidak bertindak segera dengan mengawal penggunaan bahan api fosil, kita memang sedang mengundang padah untuk diri sendiri dan generasi akan datang.

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

Jika diajukan soalan kepada masyarakat kita pada hari ini tentang apakah itu kitar semula? Pasti ramai yang mampu menjawabnya. Bagi maksud yang lebih tepat, kitar semula ialah proses mengolah semula bahan buangan untuk menghasilkan barangan yang baru.

Namun jika ditanya kenapakah pentingnya kitar semula? Kemungkinan pelbagai jawapan yang diterima. Dengan kitar semula, kita dapat mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan bahan mentah baru, mengurangkan penggunaan tenaga, mengurangkan pencemaran dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau kerana penghasilan barang baru daripada bahan mentah.

Atas kesedaran inilah, banyak kempen berkaitan kitar semula telah dilaksanakan oleh agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan. Kitar semula merupakan komponen utama bagi pengurusan bahan buangan pada zaman moden ini. Kemudian wujudlah slogan ’3R: Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula) & Recycle (Kitar Semula)’ bagi menekankan betapa pentingnya kitar semula untuk memastikan alam sekitar kita terpelihara.

Antara bahan buangan yang boleh dikitar semula termasuklah aluminium, plastik dan surat khabar. Aluminium merupakan bahan yang boleh dikitar semula 100%. Menurut fakta, aluminium boleh digunakan semula dalam tempoh 60 hari selepas dikitar semula. Aluminium ini juga boleh dikitar semula untuk tujuan yang sama beberapa kali. Begitulah uniknya sifat aluminium. Selain itu, aluminium yang dikitar semula hanya menggunakan 5% tenaga jika dibandingkan penghasilan aluminium dengan bahan yang baru. Anda boleh mengitar semula semua bahan yang diperbuat daripada aluminium, namun mulalah dengan yang mudah dahulu seperti tin minuman ringan.

Plastik juga merupakan bahan yang penting untuk dikitar semula kerana penggunaannya meluas di Malaysia. Lebih banyak yang dikitar semula, maka berkurangan plastik yang terkumpul di tempat pembuangan sampah. Tenaga yang digunakan untuk menghasilkan plastik daripada kitar semula hanya 2/3 daripada menghasilkan plastik yang baru.

Bahan buangan daripada kertas juga meluas digunakan di negara ini. Contohnya seperti surat khabar, majalah dan surat. Mengitar semula bahan yang diperbuat daripada kertas ini dapat memelihara sumber (pokok), menjimatkan tenaga dan mengurangkan keluasan kawasan pelupusan sampah.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita boleh mengambil inisiatif dengan membuang bahan-bahan buangan ini ke dalam tong kitar semula. Terdapat 165 syarikat kitar semula di Malaysia (www.sisa.my). Begitu juga dengan maklumat mengenai pusat pengumpulan bahan kitar semula di setiap negeri di Malaysia untuk kemudahan orang ramai.

 

Syed Mubashir bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia

Bulan Ogos seumpama bulan malapetaka yang melanda di seluruh dunia. Semenjak kebelakangan ini, media massa sering melaporkan tentang berita-berita yang memilukan hati tentang banjir, gempa bumi dan kebakaran hutan. Bumi telah sakit tenat!

Dalam kancah alam sekitar, kita sebagai manusia sangat lemah dan tidak berupaya untuk menghadapi bencana-bencana ini. Tanah runtuh dan banjir lumpur di China, banjir besar di Pakistan, ribut taufan di Korea dan Jepun, gelombang panas dan sejuk yang melanda di serata dunia, gempa bumi dan kebakaran hutan di Rusia telah menyebabkan bilangan mangsa dan kerugian yang tinggi. Jumlah ini terus meningkat!

Pernahkah sesiapa yang terfikir bahawa skala banjir besar di Pakistan akan melampaui skala bencana tsunami yang berlaku pada tahun 2004 di Acheh yang meragut sebanyak 250,000 nyawa? Plot-plot seperti ini yang sebelum ini hanya boleh didapati daripada wayang-wayang, tetapi kini jelas berlaku di hadapan mata kita.

Para saintis berkata bahawa semua ini hanya merupakan amaran awal. Sekiranya manusia masih degil dan memusnahkan alam sekitar secara berterusan, malapetaka atau bencana yang lebih teruk dan tidak pernah dibayangi bakal berlaku.

Pencinta-pencinta alam telah menyeru agar orang ramai untuk melindungi bumi tercinta kita dengan berhenti mencemarkan alam sekitar. Namun, suara-suara ini adalah lemah dan tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, sehingga tidak ramai orang sanggup mendengarnya.

Sebenarnya, kitar semula merupakan amalan yang paling asas dalam kehidupan kita. Hanya dengan membawa bekal makanan sendiri, botol-botol air sendiri demi mengurangkan penggunaan bekas polisterina dan plastik. Kitar semula kertas, menjimat penggunaan air dan tenaga elektrik merupakan langkah-langkah yang ringkas dan mudah, tetapi bermakna.

Berubahlah demi kesejagatan manusia dan dunia. Ingat, perubahan bermula dengan diri kita sendiri!

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

Sejak kebelakangan ini, suhu dunia pada separuh tahun pertama ini dilaporkan sebagai merupakan tempoh yang paling panas sejak dalam sejarah manusia. Ini menunjukkan kesan-kesan perubahan iklim yang semakin jelas dan bertambah teruk. Walau bagaimanapun, angka-angka ini masih belum berupaya menyebabkan kerisauan kepada para pemimpin dunia kerana kesepakatan iklim dunia (global climate deal) masih jauh lagi untuk dicapai.

Negara-negara yang kaya melindungi kebajikan sendiri, manakala negara-negara sedang membangun menggesa bahawa negara-negara kaya patut bertindak dengan lebih proaktif untuk mengatasi masalah perubahan iklim ini. Akibatnya, kesepakatan dan persetujuan tidak dapat tercapai dan hanya mengundang penangguhan tindakan yang mengecewakan.

Kedua-dua negara-negara kaya dan mundur bimbang bahawa kesepakatan iklim akan melambatkan lagi pembangunan ekonomi dengan penurunan daya saing industri domestik di persada dunia. Hakikat yang menyedihkan mengenai tamadun manusia ialah walaupun hidup pada abad ke-21, kita masih tidak dapat menguasai sesuatu yang paling penting, iaitu menetapkan keutamaan.

Apakah keutamaan yang lebih penting? Menyelamatkan bumi kita ataupun industri? Bukankah bumi kita merupakan satu-satunya tempat tinggal kita? Jadi menyelamatkan bumi kita harus menjadi keutamaan. Namun begitu, kepiluan hati dapat dirasai apabila kita bercakap mengenai menyelamatkan bumi, maka kita lebih gemar mengambil sikap tidak peduli dan mengharapkan orang lain untuk melakukannya.

Jikalau kita tidak mengubah cara hidup kita, dalam keadaan ahli-ahli politik dan pemimpin-pemimpin dunia masih menekankan kepada aspek pembangunan dan industri, maka kita memang patut menerima bencana-bencana buruk yang bakal menimpa kita pada masa yang akan datang.

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

Baru-baru ini, gelombang panas telah melanda di negara-negara yang terletak di hemisfera utara yang baru memasuki musim panas.

Di Eropah, banyak negara seperti Jerman, Sweden, Itali, Sepanyol dan Perancis yang sedang mengalami ‘serangan’ gelombang panas ini. Di Jerman, purata suhu mencecah 34 darjah selsius. Di Sweden pula, suhu yang tinggi menyebabkan landasan keretapi telah membengkak dan menyebabkan jadual keretapi tergendala. Di Itali dan Sepanyol, purata suhu yang mencecah 40 darjah selsius di mana ia memaksa kerajaan Sepanyol untuk mengumumkan darurat di lapan buah negeri.

Di Rusia pula, sebanyak 285 orang lemas semasa beriadah di sungai dan kolam untuk menyejuk suhu badan mereka. Suhu tinggi juga menyebabkan kebakaran hutan di negara itu.

Di India, suhu tinggi yang mencecah 50 darjah selsius telah menyebabkan kematian sebanyak 300 orang. Mengikut laporan, sekadar minggu lepas di bahagian utara india saja, sebanyak 30 orang telah maut akibat daripada kepanasan yang melampau.

Di Arab Saudi, ribut pasir dan cuaca yang panas telah menyebabkan permintaan tenaga elektrik yang tinggi. Oleh sebab itu, bekalan elektrik di sesetengah kawasan di bahagian barat sering terputus kerana tidak dapat menampung permintaan bekalan.

Menurut pakar, salah satu sebab gelombang panas berlaku disebabkan oleh pemanasan yang berterusan di sesuatu tempat yang tekanannya tinggi atau tidak mempunyai hujan atau awan. Ini akan menyebabkan udara dan permukaan tanah terlampau panas dan gelombang panas akan terbentuk. Fenomena El Niño dan La Niña akan menyebabkan kesan pemanasan yang lebih teruk.

Ahli kaji cuaca meramalkan bahawa pada masa depan, seluruh dunia akan mengalami kesan gelombang panas yang lebih teruk dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Di Malaysia pula, kita sedang mengalami fenomena La Niña yang menyebabkan hujan lebat dengan tidak menentu. Jadi, sebagai pengguna yang bijak, sila ambil langkah-langkah seperti di bawah:

a) Membawa payung jika hendak keluar dari rumah.
b) Elakkan berada di tanah lapang dan di bawah pokok semasa petir berlaku.
c) Mengumpul air hujan untuk diguna semula seperti mencuci kereta, menyiram tanaman dan membersihkan tandas.
d) Membuat persediaan untuk menghadapi banjir sekiranya hujan turun berterusan.
e) Tidak membuat membuang sampah ke dalam longkang agar ia tidak tersumbat.

 

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia

Perubahan iklim secara meluas digambarkan sebagai salah satu ancaman terbesar bagi manusia. Peningkatan gas rumah hijau seperti gas karbon dioksida, metana, karbon monoksida dan nitrogen dioksida ini telah meyebabkan kesan yang serius kepada pengguna seperti banjir, ribut taufan, kepanasan yang melampau dan pelbagai bencana alam yang lain.

Laporan yang dikeluarkan oleh Intergovernmental Panel on Climate Change ( IPCC), sebuah badan yang mempunyai saintis-saintis dan pakar kaji cuaca dari seluruh dunia, telah memaklumkan bahawa sejak Revolusi Industri, pembebasan gas karbon dioksida telah meningkat daripada 280ppm kepada 379ppm dalam tempoh masa 150 tahun terakhir.

Menyedari ancaman ini, sesetengah kerajaan dan industri di seluruh dunia telah berganding bahu dan mengambil inisiatif untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau (GHG) di semua peringkat Salah satunya adalah dengan menggalakkan industri untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Banyak syarikat kini yang sedar akan tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar. Namun masih terdapat segelintir syarikat yang masih tidak begitu peka atau tidak tahu cara-cara untuk memastikan organisasi mereka lebih mesra alam dan tidak membawa kesan buruk kepada alam sekitar.

Apabila sesebuah organisasi mengambil inisiatif untuk mengeluarkan barangan yang mesra alam, maka syarikat tersebut secara tidak langsung akan dapat menaikkan imej syarikat mereka dan boleh dilihat sebagai satu entiti yang mempunyai tanggungjawab sosial. Tetapi, terdapat pula sesetengah syarikat yang membuat dakwaan palsu dan mengelirukan pengguna dengan mengatakan bahawa syarikat mereka tidak mengeluarkan gas rumah hijau dan sebagainya. Siapakah yang boleh menentukan sama ada dakwaan syarikat-syarikat tersebut adalah benar? Oleh itu satu garis panduan umum perlu dibangunkan sebagai sumber rujukan.

Dokumen standard ISO 14064:2006 dibangunkan untuk tujuan membantu organisasi dalam mengkuantifikasi dan melaporkan pembebasan gas rumah hijau, dan bagaimana melakukan verifikasi terhadap laporan tersebut. Dokumen standard ISO 14064 :2006 ini terdiri daripada 3 bahagian. Bahagian pertama menetapkan keperluan untuk merancang dan mengembangkan organisasi peringkat persediaan GHG. Bahagian kedua menerangkan syarat terperinci untuk mengukur, pemantauan dan laporan pengurangan pembebasan dan tambahan pengeluaran daripada projek gas rumah hijau. Bahagian ketiga memberi keperluan dan panduan untuk melakukan validasi dan pengesahan maklumat GHG.

Standard ISO 14065:2007 pula menetapkan prinsip dan syarat untuk pihak yang melakukan verifikasi dan penilaian gas rumah hijau. Pihak yang melakukan penilaian dan verifikasi tersebut adalah bertanggungjawab untuk melakukan penilaian objektif terhadap penyataan organisasi mengenai pembebasan gas rumah hijau dan menerbitkan pernyataan secara bertulis seperti yang diakui oleh sesebuah organisasi itu. Tujuan standard ini adalah untuk memastikan bahawa badan verifikasi atau penilaian memiliki kompetensi dan sistem yang objektif untuk memberikan penilaian terhadap pernyataan atau dakwaan mengenai gas rumah hijau oleh sesebuah organisasi.

Sektor industri digalakkan untuk mendapatkan pensijilan standard ISO ini. Selain mendapatkan keuntungan, inisiatif-inisiatif industri dalam mendapatkan pensijilan ini akan sedikit sebanyak memberikan peluang untuk mereka memainkan peranan sebagai sebuah industri yang peka dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

 

Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (Intergovernmental Panel on Climate Change, IPCC) dalam 2007 Climate Change Synthesis Report melaporkan bahawa pemanasan global adalah benar dan sedang berlaku.

IPCC juga menyatakan bahawa 60 peratus daripada jumlah karbon dioksida yang dilepaskan adalah daripada sektor tenaga.

Melalui peningkatan suhu yang dapat diperhatikan dalam purata suhu udara dan laut sedunia, kecairan ais dan salji yang berleluasa dan peningkatan purata paras air laut sedunia jelas menunjukkan pemanasan global sedang berlaku.


Corak cuaca ekstrim yang sedang kita alami pada masa ini merupakan hasil daripada pemanasan global.

Kesan-kesan pemanasan global ini menunjukkan kepentingan untuk memelihara dan menguruskan sumber semula jadi dengan baik.

Di Malaysia, kita masih menggunakan campuran arang batu dan gas asli untuk menjana tenaga dan sebahagian besarnya digunakan untuk menjana tenaga elektrik. Walau bagaimanapun, sumber-sumber asli yang tidak boleh diperbaharui ini akan kehabisan pada masa yang akan datang.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK10) dan Model Ekonomi Baru, kerajaan bercadang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan ekonomi kurang karbon. Ini telah mencadangkan kedahagaan kita terhadap sumber-sumber asli seperti arang batu, minyak dan gas asli harus berhijrah kepada tenaga alternatif yang lebih mesra alam dan lestari. Contohnya, penjanaan elektrik melalui suria, biojisim dan hidro.

Inovasi adalah kritikal dalam perjalanan menuju ke negara maju yang berkecekapan tenaga.

Dalam RMK8, kerajaan telah menggabungkan tenaga yang boleh diperbaharui (Renewable Energy, RE) sebagai sumber ke-5 dalam campuran tenaga yang sedia ada. RE merangkumi biojisim, biogas, tenaga hidro, angin, ombak, pasang laut, geothermal dan senarai ini masih bertambah.

Pada akhir Disember 2009, jumlah kapasiti RE yang disambung ke grid hanya 53MW daripada sumber RE dan 1MW daripada sel suria fotovoltaik.

Sumbangan RE sebanyak 0.15% ini ke dalam campuran penjanaan elektrik negara kita adalah tidak menghairankan.

Kini, RE merupakan sesuatu yang penting dalam usaha reformasi penggunaan tenaga.

Negara seperti Jerman, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Itali mempunyai banyak program RE dan telah menjadi saingan pemerintah-pemerintah dunia dalam pembangunan RE.

Negara-negara di atas telah menunjukkan dunia bahawa RE hanya boleh berkembang dengan usaha kerajaan melalui polisi tenaga sesebuah negara.

Pada 4 April 2010, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju dalam polisi dan pelan tindakan RE baru.

Polisi RE ini menyatakan pertambahan dalam penggunaan sumber RE untuk membekalkan dan menjamin penjanaan eletrik dalam negara dan pembangunan sosioekonomi yang lestari.

Mekanisme Feed-In Tariff (FiT) merupakan langkah asas yang digunakan oleh kerajaan untuk mempercepatkan pertumbuhan RE dalam Malaysia.

Ini merupakan mekanisme khas dalam membenarkan elektrik yang dijanakan oleh sumber RE akan dijual kepada pembekal elektrik pada harga dan tempoh yang telah ditetapkan.

Laporan daripada International Energy Agency,United Nations Development Programme dan the Stern Review Report bersetuju bahawa mekanisme Feed-In Tariff
merupakan program insentif kerajaan yang berkesan untuk teknologi yang boleh diperbaharui.

Negara-negara yang telah mengaplikasikan FiT telah menunjukkan kadar petumbuhan yang besar dalam penggunaan teknologi RE.

Dengan polisi dan pelan tindakan RE yang baru berada di atas landasan, Malaysia berhasrat untuk menjadi peneraju utama dalam penggunaan RE di rantau ini.

Matlamat Malaysia adalah pada hujung RMK10 dan pada tahun 2020, teknologi RE mampu membekalkan 1 giga watts atau 6% dan 2 giga watts atau 11% dalam campuran penjanaan elektrik.

Mekanisme FiT akan berupaya untuk mengelakkan pelepasan sebanyak 11.1 juta dan 42.1 juta ton gas karbon dioksida daripada sektor penjanaan tenaga pada 2015 dan 2020.

Kementerian telah memulakan draf untuk Rang Undang-Undang Tenaga Yang Boleh Diperbaharui. Rang Undang-Undang ini akan merangkumi semua fafaktor kritikal yang diperlukan untuk memastikan kejayaan sektor RE dalam negara kita. Selain itu, akses ke grid tenaga untuk pengeluar swasta dan kadar FiT yang boleh membawa keuntungan yang lumayan dalam pelaburan.

Dengan kerangka undang-undang yang telah berada di atas landasan, kita akan berupaya untuk meninjau semula kegagalan dan halangan-halangan dalam 10 tahun yang lepas apabila kita bermula dengan Polisi Bahan Api Ke-5.

RE memerlukan lebih banyak fokus dan semua pihak mesti memberi komitmen yang sepenuhnya terhadap perlaksanaan tenaga hijau.

 

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia