Semenjak berlakunya Revolusi Industri, lingkungan global mulai mengalami pencemaran udara yang memberi  kesan tertentu terhadap perubahan iklim global. Perubahan iklim didefinisikan sebagai perubahan jangka masa panjang yang berlaku dalam corak suhu, angin, pemendakan, kelembapan dan musim.  Dalam keadaan sebegini, apakah peranan hutan?

Hutan mempunyai peranan yang amat besar untuk mengawal perubahan iklim yang tidak menentu semenjak akhir-akhir ini melalui kawalan karbon dioksida yang terdapat di dalam atmosfera bumi.

Ini kerana karbon dioksida akan dikurangkan daripada atmosfera melalui serapan pada kayu-kayan, daun dan tanah. Hutan tropika berperanan penting dalam mengawal perubahan iklim global kerana ianya berupaya menyerap karbon sekurang-kurangnya 2.6 Gt/tahun.

Hutan dan laut merupakan penyerap karbon yang terbesar di dunia. Kedua-duanya penting dalam usaha memerangi perubahan iklim. Menurut kajian-kajian sains yang telah dilakukan, hutan menyerap sebanyak 2.4 gigaton karbon setiap tahun di antara tahun 1990 hingga 2007.

Dlam kepelbagaian jenis penyerap karbon yang bertapak di permukaan tanah Bumi, hutan memainkan peranan yang sangat penting. Langkah menghentikan pengenyahutanan dan memulihara hidupan liar yang terdapat di hutan merupakan faktor-faktor penting untuk mengekalkan tahap penyerapan karbon hutan.

David McGuire, professor ekologi dari University of Alaska Fairbanks Institute of Arctoc Biology berkata, bahawa hutan memainkan peranan yang terpenting dalam mengawal atur keseimbangan karbon dalam permukaan Bumi dan tahap gas karbon dioksida di atmosfera.

Menurut para penyelidik Jepun, kajian mereka menunjukkan sekurang-kurangnya tiga glasier di Himalaya sedang mengalami menyusut dalam sepanjang tempoh 40 tahun lalu akibat daripada permanasan global. Dua daripada tiga glasier tersebut, yang terletak di tengah dan timur Nepal, berkemungkinan besar akan hilang pada masa yang akan datang. 

Dengan menggunakan sistem GPS (Global Positioning System) dan simulasi, mereka mendapati bahawa kadar penyusutan dua glasier, iaitu Yala di tengah dan AX010 di timur Nepal, telah meningkat sejak 10 tahun kebelakangan ini berbanding dengan 1970-an dan 1980-an. 

Glasier di Yala telah menyusut sebanyak 0.8m, manakala AX010 sebanyak 0.81m dalam tempoh 2000-2010, berbanding dengan 0.68m dan 0.72m 20 tahun dahulu. Peningkatan kadar penyusutan ini dipercayai berkait rapat dengan pemanasan global. Penyusutan itu mungkin akan meningkat lagi dalam masa yang akan datang.

Pada minggu lalu, terdapat laporan akhbar yang mengatakan paras laut di Malaysia akan meningkat sebanyak 10cm setiap tahun. Selain itu, menjelang tahun 2020 pula, beberapa tempat di Malaysia akan ditenggelami air laut. Tempat-tempat yang diramalkan tersebut adala Pulau Pinang, Batu Pahat, Melaka, Miri, Klang, Selangor dan Pekan.

Walaupun laporan berita tersebut menimbulkan kegemparan, namun timbul kesangsian tentang kebenaran laporan tersebut, iaitu tentang kadar peningkatan paras laut sebanyak 10cm setahun. 

Menurut hasil kajian NAHRIM pada 2006, unjuran menunjukkan bahawa 10-13cm paras air laut akan meningkat menjelang tahun 2100 dengan purata peningkatan 1.3mm setiap tahun.

Negara sedang menghadapi gelombang panas yang sederhana, yang suhu purata bagi minggu yang lepas mencecah 36 darjah Celsius. Bagi mengelak daripada kesan akibat daripada gelombang panas tersebut kepada kesihatan, ikutilah tip-tip di bawah ini.

Tip pertama merupakan tip yang paling penting, iaitu minum lebih banyak air. Setiap hari sebanyak 8 gelas air perlu diminum bagi memastikan badan dapat berfungsi pada tahap yang optimum. Air biasa merupakan pilihan yang paling baik bagi memastikan tahap kehidratan badan kita. Pilihan lain seperti jus buah-buahan dan susu juga boleh membekalkan air yang diperlukan. 

Tip yang kedua ialah menjauhkan diri daripada matahari. Bawalah payung apabila keluar daripada rumah. Jika boleh, cubalah berada di dalam tempat yang terlindung daripada matahari.

Satu laporan antarabangsa telah melaporkan pemanasan yang pesat di kawasan Artik seperti kecairan ais di Greenland mungkin akan menaikkan paras laut dunia setinggi 1.6 meter menjelang tahun 2100 

Kenaikan itu yang telah jauh melepasi ramalan awal pakar-pakar sains, akan menambahkan lagi ancaman kepada kawasan pesisiran pantai dari Bangladesh ke Florida di Amerika Syarikat, pulau-pulau di Lautan Pasifik dan bandar-bandar besar dari London ke Shanghai. Selain itu, ia juga akan meningkatkan kos untuk membina dinding halangan tsunami di Japan.  

Program Pemantauan dan Penilaian Artik (AMAP) yang berletak di Oslo mengatakan bahawa enam tahun yang lalu (hingga tahun 2010), merupakan tahun-tahun yang paling panas pernah dicatatkan di Artik. Ini disokong oleh negara-negara lain di sekitar kawasan Artik.

Pakar-pakar sains daripada University of California di Los Angeles (UCLA) memberi amaran bahawa pemanasan global akan mencairkan semua air di Lautan Artik menjelang setiap musim panas pada masa yang datang.

Hasil kajian pakar-pakar sains tersebut disiarkan dalam jurnal sains geologi yang bertajuk `Earth and Planetary Science Letters’ keluaran April 2011. Menurut pakar-pakar sains tersebut, mereka telah menyiapkan kajian tersebut dengan berpandukan analisis terhadap bahan tinggalan fosil moluska yang berusia 4 juta tahun. 

Dua teknik yang digunakan untuk memastikan suhu yang boleh membolehkan pertumbuhan cangkerang moluska tersebut menunjukkan bahawa suhu musim panas di Artik semasa zaman Pliocene (di antara 3.5 hingga 4 juta tahun dahulu) kemungkinan  2 hingga 7 darjah selsius lebih panas daripada hari ini, kata pakar-pakar tersebut,

Pakar-pakar sains memberi amaran bahawa sektor pertanian perlu melakukan perubahan dalam menghasilkan tanaman mereka dalam menghadapi dunia yang lebih panas dan peningkatan penduduk dunia. 

Menurut mereka, harga makanan telah meningkat sebanyak 20% dalam beberapa dekad ini. Suhu yang lebih panas telah menyebabkan kekurangan air dan mencegah pendebungaan dalam tumbuhan pertanian. 

Penurunan dalam jumlah hasil tanaman di seluruh dunia bukan disebabkan oleh perubahan corak hujan, tetapi ia berpunca daripada suhu tinggi yang menyebabkan penyahidratan dalam tumbuhan dan mencegah pendebungaan. Selain itu, ia juga melambatkan proses fotosintesis.

Pemanasan global telah menjadi isu terhangat yang sering disiarkan di dada-dada akhbar dan menjadi topik perbualan komuniti antarabangsa. Tahukah anda bahawa suhu permukaan bumi telah mengalami peningkatan sebanyak 0.74 +/-  0.18 °C ( atau 1.33 +/-  0.32 °F ) dalam tempoh seratus tahun sehingga tahun 2005? Selain itu, menurut laporan terbaru yang telah dikeluarkan oleh  Intergovernmental Panel on Climate Control (IPCC) besar kemungkinan bahawa suhu permukaan  bumi akan meningkat lagi sebanyak 1.1  hingga 6.4 °C (ataupun 2.0 hingga 11.5 °F). Rajah di bawah menunjukkan graf peningkatan suhu global yang disokong dan disahkan olah pelbagai  masyarakat saintifik  yang sedang mengkaji fenomena pemanasan global ini di seluruh dunia.

Pemanasan global telah disebabkan oleh beberapa faktor seperti aktiviti pembakaran terbuka, pulau haba serta pembebasan gas karbon monoksida dan karbon dioksida yang berlebihan dalam kehidupan seharian kita. Apakah kesan-kesan yang akan berlaku sekiranya hal ini tidak dibendung? Terdapat pelbagai kesan yang akan timbul sekiranya perkara ini tidak dicegah.