Pemanasan global telah menyebabkan berlakunya peningkatan purata suhu dunia terutamanya di kutub utara dan selatan. Selain daripada menyebabkan ais-ais di kutub utara dan selatan cair, pemanasan global juga menyebabkan cuaca yang ekstrem, iaitu peningkatan suhu di lautan.
Baru-baru, ahli sains telah mendokumentasikan kisah pencarian makanan seekor beruang kutub bersama-sama dengan anaknya. Kisah tersebut telah mengejutkan ahli-ahli sains tersebut apabila mendapati beruang kutub dan anaknya terpaksa berenang selama sembilan hari, berjalan di atas pelantar ais yang baru serta menempuh perjalanan selama hampir 700km hanya untuk mendapatkan makanan.
Beruang kutub merupakan perenang yang cemerlang dan memang terkenal kerana keupayaannya menjelajah jauh untuk mencari makanan. Ahli sains, yang bekerja di Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat, telah menjejaki penjelajahan kedua-dua haiwan tersebut dengan menggunakan alat penjejakan yang dipasang pada badan beruang kutub itu.
Banjir besar yang melanda Queensland telah meragut 31 nyawa dan kerugian harta sebanyak USD30billion. Kini air banjir tersebut sedang menuju ke lautan dan mencemar Terumbu Sawar Besar (Great Barrier Reef), yang merupakan terumbu karang terbesar di dunia.
Walaupun mengambil masa selama beberapa tahun untuk mengetahui kesan keseluruhan banjir ini, namun ahli sains Australia telah mengutarakan amaran tentang kerosakan yang serius. Buat masa kini, masalah yang terbesar tertumpu kepada bahagian selatan terumbu karang tersebut, yang terdapat 3 buah sungai yang dilimpahi air banjir iaitu Sungai Burdekin, Fitzroy dan Burnett, telah melepaskan berjuta-juta liter air banjir yang tercemar ke dalam laut. Air yang tercemar ini bakal mencemarkan seluruh sistem terumbu karang tersebut sekiranya keadaan banjir bertambah teruk.
Air banjir adalah berbahaya dalam beberapa aspek. Salah satu masalah ialah isi padu air tawar yang mengalir ke dalam laut. Dari delta Sungai Fitzroy sahaja, isi padu air banjir yang mengalir ke dalam laut mampu untuk memenuhi tiga pelabuhan Sydney. Isi padu air tawar yang berlebihan ini akan mengurangkan tahap kemasinan dan mengundang kemusnahan kepada batu karang.
Air banjir ini telah bercampur-aduk dengan pasir, tanah dan pelbagai jenis sampah sarap daripada bandar dan baja-baja daripada kebun-kebun. Air banjir yang keruh ini menghalang sinaran matahari, mengganggu proses fotosintesis dan meliputi permukaan batu karang. Selain itu, bahan kimia daripada sektor industri dan pertanian juga akan mengganggu kesihatan batu karang secara langsung.
Air banjir yang kaya dengan nutrien ini juga membolehkan pertumbuhan microalgae secara berlebihan dan membekalkan makanan yang cukup kepada larva crown-of-thorns starfish. Apabila mencapai umur dewasa, crown-of-thorns starfish ini akan memakan batu karang dan menyebabkan kemusnahan. Bencana yang baru berlaku telah membuktikan bahawa kemusnahan batu karang ini akan berlaku sempena kemunculan crown-of-thorns starfish.
Pada tahun 2008-2009, beberapa siri banjir besar telah membinasakan beberapa kawasan terumbu batu karang. Dengan ancaman pembangunan di kawasan persisiran pantai, perubahan iklim dan asidifikasi lautan, kerosakan dan ancaman yang dihadapi oleh Terumbu Sawar Besar ini akan bertambah teruk. Keadaan yang sama juga akan berlaku di Malaysia sekiranya sikap tidak ambil peduli terhadap perlindungan dan kemampanan alam sekitar.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
Dalam bulan pertama tahun 2011 ini, banyak bencana alam dan malapetaka yang dikaitkan dengan iklim telah berlaku. Banjir besar yang hampir melumpuhkan seluruh bahagian timur Australia, musim kemarau yang melanda bahagian barat Australia, tanah runtuh di Brazil yang meragut hampir 700 nyawa dan ribut salji yang melanda di negara-negara hemisfera utara seperti Amerika Syarikat dan England.
Tahun 2010 sepatutnya merupakan tahun yang memberangsangkan dan penuh dengan harapan bahawa kebanyakan pencinta alam sekitar percaya bahawa dunia akan menurunkan kadar pelepasan gas karbon dioksida melalui perjanjian iklim baru. Namun, perbincangan iklim yang berlangsung di Cancun, masih tidak menghasilkan satu perjanjian iklim antarabangsa baru yang mewajibkan negara-negara untuk menurunkan kadar pembebasan gas rumah hijau.
Adakah pula perubahan yang lebih baik untuk dilihat tahun 2011 ini? Adakah perjanjian iklim yang akan menggantikan Kyoto Protokol dapat dihasilkan? Atau percanggahan pendapat di antara negara maju dan negara-negara sedang membangun akan terus berlaku dan menjadi penghalang utama untuk pemimpin-pemimpin dunia untuk bersatu?
Read more: TAHUN 2011 PERLUKAN PERUBAHAN SIKAP PEMIMPIN DUNIA UNTUK ATASI PERUBAHAN IKLIM
Akhbar The Star keluaran 9 Disember 2010 menyiarkan beritan bertajuk “High water levels shock jetty residents”. Agak memeranjatkan apabila melihat berita dan gambar menunjukkan paras air laut naik secara mendadak semasa air pasang sehingga menghampiri pintu hadapan rumah di Weld Quay, Pulau Pinang.
Kejadian ini merupakan gejala awal yang dipaparkan kepada penduduk di kawasan tepi laut di Malaysia sekiranya tidak ada langkah serius diambil dalam menghadapi kesan perubahan iklim.
Sampai kini masih belum terdapat secara kaedah yang berkesan dan praktikal dari segi dasar, undang-undang dan pendidikan kesedaran kepada orang ramai bagi menghadapi kesan perubahan iklim di Malaysia, termasuk juga di dunia.
Sesetengah pakar saintis memberi amaran bahawa dunia mungkin telah melepasi titik kritikal untuk membaik pulih situasi dunia dari segi perubahan iklim.
Perkara yang paling penting sekarang adalah bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan perubahan disebabkan oleh krisis ini.
Di Malaysia, kajian yang dijalankan pada tahun 2001 menunjukkan bahawa paras laut dijangka akan meningkat disebabkan oleh pemanasan global. Kenaikan paras laut ini akan menyebabkan hakisan pesisiran pantai, peningkatan aktiviti gelombang laut, kemasukan air laut ke kawasan pedalaman dan penghijrahan infrastruktur tepi pantai.
Selain itu, menurut kajian NAHRIM pada tahun 2006, unjuran iklim tempatan di Malaysia menunjukkan peningkatan kadar hujan di kawasan timur utara dan penurunan kadar hujan di kawasan barat Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2050.
Selepas kegagalan Persidangan Iklim ke-15 (COP15) di Copenhagen, Denmark pada tahun 2009, tidak banyak harapan yang boleh diletakkan kepada COP16 yang berlangsung di Cancun, Mexico pada tahun 2010.
Namun, petanda-petanda baik telah dipamerkan di Cancun. Selepas 15 tahun perundingan dalam Kerangka Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (United Nations Framework Convention on Climate Change, UNFCCC), kebanyakan delegasi telah bersetuju untuk mengiktiraf kajian-kajian sains yang telah dijalankan dan bakal membentuk persetujuan yang baru bagi menggantikan Protokol Kyoto yang bakal berakhir pada tahun 2012.
Dalam persidangan Cancun, isu-isu seperti perkongsian teknologi, perlindungan hutan dan peruntukan bantuan kewangan kepada negara-negara yang teruk terjejas oleh perubahan iklim banyak dibincangkan. Bencana-bencana iklim seperti banjir besar yang melanda di Albania, musim sejuk yang melampau di Eropah dan kejadian yang berlaku di Weld Quay, telah berlaku semasa persidangan ini dijalankan.
Kejadian di Weld Quay merupakan amaran awal bahawa peningkatan paras air laut sedang berlaku dan menunjukkan bahawa Malaysia bukanlah negara yang bebas daripada bencana alam dari segi perubahan iklim.
Adalah diharapkan agar rancangan dan persetujuaan yang telah dirangka itu akan bertukar menjadi kaedah penyelesaian yang kukuh. Tanpa usaha-usaha yang gigih dan dedikasi, wakil kerajaan yang menghadiri persidangan dunia ini mungkin telah menghancurkan masa depan generasi yang akan datang.
Pada tahun 2011, Persidangan Iklim ke-17 (COP17) akan berlangsung di Durban, Afrika Selatan.
Foon Weng Lian,
Forum Air Malaysia.
Baru-baru ini, hutan hujan tropika telah diberi tumpuan yang penting berbanding pada tahun-tahun sebelum ini. Negara-negara kaya seperti Norway and Amerika Syarikat telah berjanji akan mengeluarkan peruntukan berbilion-bilion dolar untuk membantu negara-negara yang mundur.
Selain itu, dana itu juga digunakan untuk membeli kredit karbon bagi melindungi kawasan-kawasan di negara mundur ini dengan membantu penduduk-penduduk memahami kepentingan hutan yang merupakan pembekal oksigen dan penyerap gas karbon dioksida.
Namun, dengan jumlah penduduk dunia yang semakin mencapai tujuh bilion, hutan menghadapi tekanan yang sama daripada penggalian, pertanian, pembalakan dan pembasmian hutan bagi memenuhi keperluan ekonomi dunia. Sudah tiba masanya untuk meletakkan nilai baru untuk hutan dan mengharapkan kerajaan dan syarikat-syarikat menghentikan pembalakan.
Apakah kepentingan hutan?
Menurut kajian, pembalakan dan pembakaran hutan terutamanya di kawasan paya bakau yang kaya dengan karbon, telah bertanggungjawab terhadap 12 hingga 17 peratus pelepasan gas rumah hijau manusia.
Ahli sains berkata peningkatan gas rumah hijau akan menyebabkan paras air laut meningkat dan lebih banyak cuaca ekstrem.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata menghentikan kemusnahan hutan merupakan salah satu perkara terpenting untuk melambatkan kesan perubahan iklim. Dengan itu, lebih banyak gas karbon dioksida yang dilepaskan daripada stesen jana kuasa, pengangkutan dan industri akan dapat diserap oleh hutan-hutan yang telah dipelihara ini.
Fungsi-fungsi hutan lain seperti membersihkan udara, kawasan tadahan air dan juga pembekal semula jadi kepada ubat-ubatan traditional serta ubat-ubat baru.
Pada bulan Oktober 2010, semasa perbincangan tentang alam sekitar yang diadakan di Jepun, banyak negara bersetuju untuk menurunkan kadar pembalakan hutan di negara masing-masing sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2020 dan memastikan bahawa keuntungan yang didapati daripada hutan akan dijadikan sebagai dana untuk melindungi hutan-hutan.
Apakah langkah-langkah yang diambil oleh negara-negara?
Semasa perbincangan perubahan iklim pada tahun 2009 di Copenhagen, Amerika Syarikat, Norway, Jepun dan negara kaya yang lain telah berjanji untuk memberikan sumbangan dana sebanyak $3.5 bilion di antara tahun 2010 dan 2012 untuk menyokong skema pemuliharaan hutan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang dipanggil REDD.
Dana ini bertujuan untuk membiayai kos menurunkan pelepasan gas rumah hijau dan membantu negara-negara yang miskin memulihara hutan serta menghitung karbon yang telah diserap. Pasaran dunia dalam pengurangan karbon dengan hutan dianggarkan bernilai $30 bilion setahun.
Walau bagaimanapun, kebimbangan dari segi pengurusan kewangan, rasuah, kekurangan sumber dan institusi di negara-negara mundur ini menjejaskan keyakinan pelabur-pelabur.
Sebanyak $4 bilion telah dapat dikumpul melalui rakan kongsi REDD yang diwujudkan pada Mei tahun ini. Wang ini akan digunakan untuk membina satu institusi dan mewujudkan projek-projek utama bagi REDD di negara-negara mundur tersebut.
Apakah kadar pembasmian hutan masa kini?
Di seluruh dunia, kawasan hutan adalah sama dengan jumlah keluasan England, ataupun hampir 13 juta hektar, telah hilang disebabkan pertanian dan kegunaan lain ataupun bencana alam di antara tahun 2000 dan 2010.
Pada tahun 1990-an dianggarkan sebanyak 16 juta hektar setahun.
Brazil dan Indonesia telah melambatkan kadar pembasmian hutan mereka melalui usaha pemuliharaan hutan. Penghutanan semula yang berskala besar telah dijalankan di China, India dan Vietnam juga telah meningkatkan pemulihan kawasan hutan.
Apakah akibatnya sekiranya tiada usaha dilakukan untuk membasmi kemusnahan hutan?
Pada 2008, Eliasch Review bagi kerajaan British telah menganggarkan bahawa kerugian sebanyak $1 trilion setahun menjelang tahun 2100 sekiranya tiada usaha dilakukan untuk membasmi kemusnahan hutan mulai daripada sekarang.
Ia berkata bahawa menurunkan kadar pembasmian hutan sebanyak 50 peratus akan menjana pendapatan sebanyak $3.7trilion bagi jangka masa yang panjang.
Kesimpulannya, dalam usaha untuk menangani masalah perubahan iklim, proses pemuliharaan hutan merupakan kaedah paling jimat dan berkesan pada masa hadapan.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
Pada 13 Oktober 2010, Dana Hidupan Liar Dunia (World Wildlife Fund, WWF) telah menerbitkan Laporan Kehidupan Planet 2010 (Living Planet Report 2010). Laporan ini berdasarkan kepada kajian yang dilakukan setiap dua tahun terhadap tahap kesihatan bumi berpandukan kepada kesan-kesan biodiversiti dan alam sekitar.
Laporan ini meninjau perubahan dalam jejak ekologi (ekological footprint) – tempat yang diperlukan untuk membekalkan sumber, ruangan untuk infrastruktur dan tumbuhan menyerap gas karbon dioksida. Manakala Indeks Kehidupan Planet (Living Planet Index, LPI) merujuk kepada taraf biodiversiti sedunia.
Berikut adalah beberapa petunjuk penting dalam laporan ini:
Jejak Ekologi:
Keperluan terhadap sumber asli telah meningkat dua kali ganda sejak 1966. Kini penduduk dunia masih menggunakan sumber sebanyak 1.5 planet untuk menampung aktiviti-aktiviti mereka.
Sepuluh buah negara yang mempunyai jejak ekologi pada setiap orang adalah Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Denmark, Belgium, Amerika Syarikat, Estonia, Kanada, Australia, Kuwait dan Ireland.
4.5 bumi diperlukan sekiranya semua penduduk dunia mengamalkan cara hidup sebagaimana rakyat Amerika Syarikat.
Negara-negara yang berpendapatan tinggi mempunyai 5 kali jejak ekologi berbanding dengan negara berpendapatan rendah. Ini menjukkan bahawa penggunaan di negara kaya dilakukan dengan menghabiskan sumber-sumber asli yang hanya terdapat di negara tropikal.
Karbon
Sebanyak 11 kali ganda peningkatan dalam jejak karbon dunia merupakan faktor utama yang mendorong kepada pertambahan jejak ekologi manusia sejak 1966.
Sejak tahun 1998, jejak karbon sedunia telah meningkat sebanyak 3 kali ganda.
Sejak tahun 1961, jejak karbon 33 buah negara Pertubuhan untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah meningkat sebanyak 10 kali ganda.
Namun, rantau-rantau lain sedang berusaha ke arah itu: jejak karbon di negara-negara ASEAN telah meningkat sebanyak 100 kali ganda, negara-negara BRIC (Brazil, Rusia, India, China) telah meningkat 20 kali ganda. Pada masa yang sama, jejak karbon di negara-negara Afrika juga telah meningkat sebanyak 30 kali ganda.
Biodiversiti
Index Kehidupan bumi telah menurun hampir 30% di antara tahun 1970 dan 2007.
Negara-negara yang berpendapatan rendah telah mengalami kemerosotan biodiversiti yang paling tinggi iaitu sebanyak 60% dalam masa kurang daripada 40 tahun.
Populasi spesis ikan air tawar tropikal mengalami kesan yang paling buruk dan telah menurun hampir 70%.
Walau bagaimanapun, LPI di rantau yang beriklim sederhana telah meningkat 30%, menunjukkan keberkesanan usaha pemuliharaan alam sekitar, kawalan pencemaran dan pembaziran.
34 % Ketua Pegawai Eksekutif di Asia Pasifik dan 53% Ketua Pegawai Eksekutif di Amerika Latin bimbang terhadap kesan-kesan kehilangan biodiversiti terhadap pembangunan perniagaan mereka, berbanding dengan hanya 18 % di Eropah.
Air
Lebih daripada 70 negara sedang mengalami masalah kekurangan bekalan air yang bersih. Ini memberikan implikasi yang mendalam kepada kesihatan ekosistem, pengeluaran bahan makanan dan kesihatan manusia. Selain itu, perubahan iklim akan memburukkan lagi situasi ini.
Kesimpulan
Tanpa air yang bersih, tanah, makanan, bahan api dan bahan mentah yang mencukupi, manusia akan terdedah kepada belenggu kemiskinan, terutamanya penduduk di negara miskin.
Oleh itu, negara-negara kaya harus memberikan bantuan dari segi kewangan, teknologi dan pengetahuan kepada negara-negara miskin, manakala negara-negara miskin perlu bijak mengurus dan menggunakan bantuan-bantuan yang diberi.
Cara hidup manusia juga harus berubah dan penggunaan yang lestari harus diamalkan. Sekiranya ini tidak dilakukan, maka bumi tidak akan berupaya untuk menampung kehidupan lagi.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
Banjir besar yang melanda Pakistan telah menunjukkan betapa pentingnya diwujudkan satu sistem yang berfungsi untuk memberi bantuan kewangan dalam pembangunan semula negara yang mengalami bencana alam.
Krisis banjir di Pakistan telah bertambah buruk dalam masa seminggu sahaja yang bermula di utara Pakistan dan telah meluas sehingga ke bahagian tengah dan selatan Pakistan.
Hampir satu juta penduduk telah dipindah dari daerah Sindh dalam masa beberapa hari sahaja selepas tebing Sungai Indus pecah.
Pada masa skala banjir semakin membesar, jumlah kerugian dan kos pembangunan semula juga dikira. Duta Besar Pakistan di London berkata bahawa US$15bil (RM46bil) diperlukan untuk membangun semula Pakistan. Banjir besar ini telah menjejaskan kehidupan lebih daripada 20 juta orang penduduk Pakistan. Kerajaan Pakistan juga menganggarkan bahawa banjir ini telah memusnahkan 5,000 batu jalan raya dan landasan kereta api, 7000 sekolah dan hampir 400 kemudahan kesihatan.
Di Afghanistan pula, Amerika Syarikat telah membelanjakan sebanyak US$500 juta (RM1.54bil) untuk membina semula jalan raya sepanjang 500 batu dan ia memerlukan beberapa tahun untuk disiapkan.
Menurut kajian yang dijalankan oleh beberapa buah universiti di Amerika Syarikat dan laporan kerajaan tempatan di Pakistan, jumlah kerugian dianggarkan mencecah US$7.1bil hingga US$30bil.
Tragedi ini membuktikan bantuan kewangan yang besar diperlukan untuk membantu negara-negara membangun bagi menangani cuaca-cuaca ekstrem yang disebabkan oleh perubahan iklim.
Negara-negara maju yang telah menandatangani perjanjian-perjanjian dulu tidak mengotakan janji mereka. Mereka gagal memberi bantuan kewangan yang secukupnya kepada negara-negara yang dilanda oleh bencana alam yang disebabkan oleh perubahan iklim.
Perbincangan mengenai bantuan kewangan iklim (climate financing) bakal berlangsung di Geneva, yang antara topik utama dibincangkan adalah tragedi seperti banjir di Pakistan dan gempa bumi di Haiti. Sistem bantuan yang berkesan untuk tragedi-tragedi ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam dalam perbincangan ini.
Pada masa ini, negara-negara yang terjejas hanya boleh bergantung kepada derma dan kebajikan yang didermakan oleh masyarakat sedunia. Dana-dana yang disalurkan oleh negara-negara maju terlalu sedikit dan tidak menepati jumlah yang dijanjikan.
Oleh itu, satu sistem pusat kewangan harus diwujudkan dan dikendalikan oleh Konvensyen Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan bukannya Bank Dunia.
Selain itu, isu jumlah sebenar dana yang diperlukan untuk pencegahan, adaptasi, teknologi dan pembanguan kapasiti juga akan dibincangkan.
Untuk pencegahan, Laporan Pembangunan Dunia 2010 (World Development Report 2010) telah meramalkan bahawa negara-negara membangun akan memerlukan bantuan kewangan sebanyak US$140bil (RM432bil) hingga US$175bil (RM540bil) dalam tempoh 20 tahun seterusnya.
Bank Dunia juga melaporkan bahawa sebanyak US$100bil (RM308bil) setahun diperlukan untuk adaptasi di negara-negara membangun.
Angka ini adalah lebih tinggi berbanding dengan ramalan yang dibuat oleh laporan UNFCCC di mana UNFCCC meramalkan kos sebanyak US$27bil (RM83bil) hingga US$66bil (RM204bil) a year.
Kumpulan teknologi UNFCCC juga melaporkan bahawa keperluan kewangan untuk teknologi mencecah US$300bil dan US$1tril (RM926bil - RM3.08tril) setahun.
Jumlah keseluruhan yang diperlukan untuk teknologi, pencegahan dan adaptasi dianggarkan antara US$182bil dan US$505bil (RM562bil - RM1.81tril) setahun untuk negara-negara membangun.
Namun, janji-janji daripada negara maju – US$10bil (RM30.8bil) setahun dalam 2010-2012 dan sehingga US$100bil (RM308bil) setahun menjelang 2020 – adalah terlalu sedikit untuk jumlah sebenar yang diperlukan.
Seperti yang ditunjukkan dalam tragedi banjir di Pakistan, kerosakan dan kerugian yang disebabkan oleh perubahan iklim adalah tinggi dan susah diramalkan.
Cabaran-cabaran untuk menghalang mala petaka dan kerja-kerja pengurusan semasa ia berlaku juga amat besar.
Sistem kewangan dan jumlah dana bantuan harus dibincang dengan serius dan diurus dengan baik agar negara-negara membangun mendapat peluang untuk terus wujud di atas peta dunia ini pada masa hadapan.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
Dasar luar negara bermatlamat untuk menjamin keselamatan dan kemakmuran rakyat. Sekiranya kerajaan tidak mempunyai satu perancangan yang berkesan untuk menangani perubahan iklim, maka matlamat di atas tidak akan tercapai. Selain itu, keselamatan iklim amat berkait rapat dengan keselamatan tenaga, makanan dan bekalan air.
Pada 27 September 2010 di New York, Setiausaha Luar Negara Britain, William Hague berkata bahawa sekiranya Malaysia gagal merancang untuk menangani perubahan iklim, maka hubungan dan kepercayaan antara negara akan menjadi lemah, persaingan sumber akan bertambah dan juga mengecilkan ruang politik bagi peluang bekerjasama.
Tanpa tindak balas yang berkesan, keselamatan negara akan tergugat dan ekonomi akan menjadi lemah. Golongan yang paling miskin akan menerima semua impak kesan perubahan iklim.
Sebagaimana yang dikatakan oleh Setiausaha Luar Negara Britain itu, “ Kita berkongsi satu visi untuk mencapai Matlamat Pembangunan Milenium (Millennium Development Goals, MDG). Jika dunia yang tidak bertindak untuk menyelesaikan masalah perubahan iklim, visi itu hanyalah satu mimpi dan usaha-usaha selama sepuluh tahun ini adalah sia-sia.”
Britain telah bertindak dengan menubuhkan Green Investment Bank yang bertujuan untuk meningkatkan aliran modal swasta ke dalam infrastruktur karbon rendah dan meninggalkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Britain juga sedang berusaha untuk menukarkan rangkaian elektrik dan menggesa negara Kesatuan Eropah untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 30% pada tahun 2020.
Pada tahun ini, ekonomi karbon sedunia dianggarkan bernilai sebanyak RM15.6 trilion. Ekonomi karbon di Britain dianggarkan sebanyak RM544 bilion, iaitu sebanyak 1 juta orang Britain bekerja dalam sektor pengurangan karbon.
Namun, tindak balas yang berkesan tidak sewajarnya dibangunkan sendiri. Kita memerlukan pihak lain untuk bertindak juga. Jikalau pelepasan gas rumah hijau meningkat secara berterusan, purata suhu tempatan akan meningkat sebanyak 4°C pada akhir abad ini, dan berkemungkinan seawal tahun 2060.
Lantaran itulah satu persetujuan sedunia tentang isu iklim di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu harus dicapai untuk mengehadkan peningkatan suhu sedunia pada 2°C. Di samping itu, semua negara juga harus bertindak. Menurut Bank Pembangunan Asia, sekiranya tiada langkah-langkah berkesan diambil, negara-negara Asia Tenggara akan mengalami kerugian sebanyak 6.7% GDP setiap tahun pada 2100.
Semasa Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak memberi ucapan di Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsas Bersatu pada 27 September 2010, beliau menegaskan bahawa “keperluan untuk mengecilkan jurang adalah penting bagi menyelesaikan dan menangani isu perubahan iklim yang mempengaruhi kehidupan dan punca pendapatan penduduk dunia dan generasi masa hadapan.”
Kerjasama bagi menangani isu perubahan iklim telah terjalin antara Malaysia dan Britain iaitu Britain akan membekalkan latihan dan nasihat kepada pakar-pakar di Malaysia.
Sekiranya negara segera bertindak, kita masih boleh membentuk dunia sebagaimana yang kita ingini. Jika tidak, maka dunia yang menentukan nasib dan masa hadapan kita.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
Menurut satu laporan yang terkini, 2010 bakal merupakan tahun paling panas dalam catatan sejarah manusia. Ais di Lautan Artik terus mengecut dan cair, manakala kawasan batu karang pula musnah akibat peningkatan suhu lautan. Begitu juga kejadian kebakaran hutan yang berlaku di Rusia dan banjir besar melanda negara China, Pakistan dan India.
Namun tanda-tanda perubahan iklim yang jelas ini masih tidak mendapat perhatian daripada para pemimpin dunia.
Masyarakat dunia meletakkan harapan yang tinggi terhadap perbincangan perubahan iklim di Copenhagen pada tahun lalu. Tetapi ia hanya berakhir dengan kehampaan. Negara maju tidak mahu berkongsi pandangan politik dan ekonomi yang sama dengan negara-negara membangun. Kepentingan individu jauh lebih penting daripada kesejagatan sedunia.
Nyatanya, sains tidak berupaya meyakinkan pemimpin dunia tentang akibat buruk perubahan iklim. Hanya selepas sesuatu mala petaka berlaku, barulah mereka berasa cemas dan yakin tentang keseriusan perkara ini.
Jikalau ramalan saintifik adalah betul, dan gas rumah hijau masih terus dilepaskan yang banyak ke atmosfera, maka generasi akan datang bakal menerima padahnya.
Amerika Syarikat dan China merupakan dua Negara yang melepaskan gas rumah hijau yang terbesar di dunia. Negara-negara lain pula masih menunggu langkah pertama dilakukan oleh kedua-dua negara besar ini. Semasa China sedang berusaha untuk membangun teknologi hijau dan tenaga bersih pada masa akan datang, Amerika Syarikat masih belum mengorak langkah. Menurut ahli politik Amerika Syarikat, Richard Blumenthal, cara-cara yang digunakan oleh Amerika Syarikat seperti cap-and-trade langsung tidak berkesan.
‘Peperangan’ politik antara parti Republicans dan Democrats merupakan perkara terakhir dalam usaha untuk menangani isu perubahan iklim. Banyak negara sedang menunggu Amerika Syarikat untuk menunjukkan kepada mereka satu langkah ke hadapan yang positif. Langkah-langkah tersebut mungkin tidak akan termakbul kerana pemimpin Amerika Syarikat hanya sibuk berbincang sahaja dan Presiden Obama seumpama telah hilang minat terhadap perkara ini.
Kita semua tahu bahawa berbincang dan bercakap merupakan perkara yang mudah, tetapi tiada apa yang dicapai dan diselesaikan. Janji-janji yang palsu inilah merupakan perkara yang terakhir yang diperlukan untuk menangani isu ini.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
Page 6 of 9