Pembangunan pesat dalam sektor pertanian, industri, pelancongan, pembuatan dan kemajuan bandar tidak mungkin terjadi sekiranya tiada sumber air yang mencukupi.

Walaupun Malaysia dikategorikan sebagai negara yang mempunyai suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak, namun terdapat banyak kawasan di Malaysia mengalami tekanan dalam mendapatkan bekalan air yang mencukupi disebabkan oleh ketidakseimbangan permintaan air di sesetengah lokasi dan juga  perubahan corak cuaca yang mempengaruhi suhu.

Oleh itu, penggunaan air sisa kumbahan yang telah dirawat dilihat dapat menyumbang kepada sumber air alternatif, terutama bagi sektor industri. Ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber air terawat.


Di Malaysia, sumber air yang diperoleh terus daripada sungai adalah sebanyak 12,620 MLD, simpanan di empangan  sebanyak 2,274 MLD dan air bawah tanah sebanyak 204 MLD.  Jika dapat dirawat, air sisa kumbahan dapat menyumbang kira-kira 4,000 MLD air di Malaysia. Air sisa terawat boleh digunakan dalam aktiviti pertanian seperti pengairan tanaman bukan makanan, contohnya pokok-pokok bunga. Ia dapat menjimatkan kos, di samping membekalkan nutrien yang tinggi. Selain itu, ia juga boleh diguna pakai untuk kegunaan perbandaran seperti mencuci trak atau mencuci jalan-jalan raya. Bagi sektor industri pula, air sisa terawat boleh digunakan dalam aktiviti penyejukan mesin dan juga untuk cucian.

Banyak kebaikan yang diperoleh dengan penggunaan air sisa terawat ini. Antaranya, memberi keutamaan  sumber air semula jadi sebagai sumber air minuman, menggalakkan penggunaan teknologi hijau, menggalakkan pemuliharaan sumber, mengurangkan pencemaran sumber air dan juga dapat menjimatkan kos, terutama bagi industri yang banyak menggunakan air kerana mengitar semula air, dan seterusnya dapat mengurangkan pembelian air terawat.   Pandangan negatif orang ramai terhadap air sisa terawat perlu diubah. Dengan perkembangan teknologi pada masa kini, air sisa kumbahan dapat dirawat sehingga menjadi jernih dan selamat digunakan.

Teknologi ini telah banyak diguna pakai di negara-negara lain. Jika dilihat dalam senarai 40 negara yang mengguna semula air sisa terawat, US adalah negara yang menggunakan semula air sisa terawat terbanyak, iaitu 7,600,000 m3/d. Singapura pula merupakan satu-satunya negara Asia Tenggara yang tersenarai dengan menggunakan sebanyak 75,000m3/d. Di Malaysia, banyak faktor yang mempengaruhi penerimaan orang ramai terhadap penggunaan teknologi ini. Kerisauan yang timbul dalam kalangan orang ramai adalah dari segi penerimaan adat dan agama, kebersihan, bau dan juga keselamatan. Oleh itu, penyebaran maklumat secara telus tentang teknologi ini amat perlu dalam memberi keyakinan dan pemahaman yang tinggi kepada orang ramai. 

Nuraini bte Khalil
Forum Air Malaysia

 

WECAM berpendapat bahawa SYABAS mesti BERHENTI menuding jari kepada pihak lain kerana tindakan tersebut hanya akan memburukkan keadaan.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengatakan bahawa Kerajaan Selangor gagal menaik taraf sistem pam di kawasan Wangsa Maju telah menyebabkan gangguan bekalan air kepada hampir 500,000 pengguna sejak satu minggu lalu.

Di bawah Seksyen 54 klausa (3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006) menyatakan bahawa semua licensee pengagihan air mesti memastikan pengguna yang berada di dalam kawasan pengagihan air licensee tersebut harus dibekalkan dengan air dengan mengambil segala tindakan seperti lori tangki air dan juga tangki air statik.


Mengetahui bahawa kerja-kerja naik taraf sistem pam tersebut telah ditunda, SYABAS patut menggunakan cara-cara yang lebih proaktif untuk mencegah gangguan air tersebut  seperti memberi notis kepada pengguna tentang perkara tersebut dan juga maklumat-maklumat seperti masa dan tempat lori tangki air tersebut tiba. Namun, SYABAS gagal membuat demikian dan hanya bertindak selepas masalah berlaku. Akhirnya, 500,000 pengguna perlu menyambut tahun baru dengan gangguan bekalan air dan mendatangkan banyak kesusahan.

WECAM menggesa SYABAS untuk memastikan bekalan air yang berterusan dan bersih kepada pengguna di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur kerana bekalan air merupakan hak asasi manusia sebagaimana dideklarasikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 2010.

WECAM juga berpendapat bahawa pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mengambil peluang ini untuk menjalankan satu prestasi audit terhadap SYABAS untuk menentukan samada SYABAS boleh menjalankan tugasnya sebagai satu-satunya pengagih air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

WECAM juga ingin menegaskan bahawa industri perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya harus distruktur semula secepat mungkin mengikut WSIA 2006 untuk memastikan industri perkhidmatan air yang sihat dan kompetitif pada masa yang akan datang dan mendatangkan faedah kepada pengguna.

Kita tidak tinggal banyak masa dan semua pihak-pihak berkepentingan perlu bertindak cepat untuk menyelesaikan isu ini. Sekiranya tidak, sumber dan sektor perkhidmatan air di Selangor hanya akan semakin merosot.

Foon Weng Lian
Secretary General
WECAM

 

Pemanasan global yang menyebabkan peningkatan suhu dunia,  bakal mengakibatkan kadar hujan yang melampau di kawasan tropikal. Menurut kajian telah disediakan oleh Massachusetts Institute of Technology (MIT), setiap peningkatan suhu sebanyak 1 darjah celsius, akan menyumbang kepada peningkatan kadar hujan lebat sebanyak 10 peratus. Peningkatan kadar hujan akan memberikan kesan yang besar di kawasan-kawasan tropikal, terutamanya di kawasan yang mempunyai kadar penduduk yang tinggi. 

Para penyelidik yakin bahawa hujan melampau di kawasan tropikal adalah lebih peka kepada pemanasan global berbanding kawasan yang lain walaupun tidak dapat dibuktikan sebabnya..

Prinsip asas dalam peningkatan kadar hujan telah diketahui umum. Apabila  gas rumah hijau, seperti gas karbon dioksida, memasuki atmosfera dalam kadar yang semakin meningkat, ia menyebabkan peningkatan suhu di atmosfera. Sehubungan itu, peningkatan suhu akan menyebabkan pertambahan wap air dalam atmosfera. Lebih banyak wap air di atmosfera, maka hujan yang lebih lebat berlaku disebabkan peningkatan kebasahan di udara, yang  menjadi penyumbang kepada ribut taufan.


Ahli sains MIT telah menggunakan satelit pemerhatian untuk hujan lebat di antara latitud 30 darjah utara dan 30 darjah selatan, yang merupakan satu kawasan di atas dan bawah Khatulistiwa. Merka juga meneliti beberapa model iklim yang mencerminkan kesan-kesan El Niño dan pemanasan global.

Dalam model-model tersebut, mereka telah menemui satu corak yang jelas, iaitu model-model kajian tersebut menunjukkan tindak balas yang kuat dalam kadar hujan untuk El Niño dan  pemanasan global.

Ahli-ahli kajian telah mengutarakan amaran-amaran kepada pemimpin-pemimpin dan penggubal-penggubal dasar negara tentang fenomena ini. Walaupun kadar hujan akan meningkat di kawasan yang paling basah, namun kawasan yang kering pula akan menjadi lebih kering. Ia bermaksud bahawa mereka tidak sewajarnya hanya menumpukan perhatian kepada banjir kilat dan besar sahaja, tetapi juga kepada perubahan corak hujan dan hujan yang tidak menentu pada masa hadapan. 

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia

 

Mesin basuh merupakan antara salah satu peralatan yang sangat penting bagi seseorang individu pada era kemodenan ini yang memerlukan sesuatu kerja dilakukan dengan cekap dan pantas. Terdapat  banyak pilihan mesin basuh yang canggih dan sentiasa bersaing di pasaran. Memilih model mesin basuh yang sesuai dengan gaya hidup dan keperluan basuhan adalah penting. Mesin basuh yang cekap tenaga boleh menyelamatkan kedua-dua penggunaan tenaga dan juga air.

Mesin basuh cekap tenaga boleh menjadi agak mahal semasa pembelian awal namun ia merupakan pelaburan yang bijak kerana ia memberi manfaat jangka masa panjang kepada alam sekitar disamping menjimatkan wang melalui pengurangan bil-bil utiliti. Pengguna yang bijak perlulah membuat carian dan perbandingan dalam mencari mesin basuh yang benar-benar member manfaat.
Kriteria yang perlu diambil kira.



Penggunaan air
Penggunaan air bagi setiap kilogram muatan. Mesin mempunyai kebolehan menyukat penggunaan air melalui timbangan berat muatan sama ada secara otomatik atau pun mempunyai butang ‘muatan kecil’ atau ‘water save mode’ yang boleh digunakan secara manual bagi muatan basuhan yang sedikit.

Penggunaan tenaga

Teknologi ‘inverter’  mengawal kuasa yang dibekalkan kepada motor dengan menukar kuasa dari soket elektrik ke dalam arus dengan frekuensi yang berbeza. Ini membolehkan kawalan optimum kelajuan putaran motor untuk dipadankan dengan muatan. Maklumat seperti saiz beban dan bahan barangan dicuci dikesan oleh sensor. Maka hanya jumlah kuasa yang diperlukan disediakan pada bila-bila masa. Hasilnya adalah operasi yang cekap dengan sisa elektrik yang minimum. Secara mudah, sistem ini akan mengurangkan penggunaan tenaga bagi muatan kecil.

Muatan atas dan muatan depan
Mesin basuh muatan atas dikatakan menggunakan jumlah air yang lebih banyak dari muatan depan. Namun begitu, proses pembersihan lebih lembut berbanding muatan depan yang sedikit kuat.
Dari segi penggunaan air, mesin basuh muatan depan mengisi hanya sebahagiannya dengan air. Ia membersihkan muatan dengan mengangkat  muatan ke bahagian atas tab dan menjatuhkan mereka kembali ke dalam air. Keupayaan pengeringan juga adalah lebih baik. Namun begitu, mesin basuh muatan depan adalah jauh lebih berat berbanding muatan atas dan kadang kala memerlukan pemilik membersihkan kedap pintu mesin basuh kerana apabila seringkali terkena air menyebabkan pintu ditumbuhi lumut.

ECO label
Mempunyai sensor yang dapat menganggar jumlah muatan dan dapat mengawal penggunaan detergen, tenaga dan air yang diperlukan.

Selain kriteria mesin basuh yang boleh diambil kira, tabiat pembasuhan juga perlu diambil kira.  Sentiasa memastikan bahawa muatan penuh dan pilih model yang sesuai dengan keperluan dobi anda. Jika anda mempunyai rumah kecil dan melakukan dobi agak jarang, pilih model yang lebih kecil untuk penjimatan maksimum.

Nuraini Khalil

Tenaga berasal daripada perkataan Yunani, iaitu keupayaan dan kemampuan. Tenaga alternatif merujuk kepada tenaga yang boleh diperbaharui tanpa memberi kesan kepada tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Pada masa ini, tenaga alternatif juga banyak digunakan bagi menggantikan sumber tenaga yang lama kerana kesan sampingannya. Terdapat beberapa kebaikan dan keburukan daripada tenaga alternatif.

Antara kebaikannya adalah tenaga alternatif dapat mengelakkan pencemaran.  Pembakaran bahan fosil seperti petroleum akan mengeluarkan gas beracun yang dinamakan sebagai karbon monoksida, yang menjadi salah satu punca utama dalam pencemaran udara. Manakala sumber tenaga alternatif seperti solar, biomass, hidro dan sebagainya hanya menggunakan tenaga semula jadi dan tidak mencemarkan alam sekitar.

Kebaikan seterusnya ialah dapat mengatasi krisis tenaga. Pertambahan penggunaan jentera seperti kenderaan yang semakin hari bertambah mengakibatkan pertambahan dalam penggunaan bahan fosil seperti petroleum. Lama-kelamaan, sumber bahan fosil akan kehabisan dan tidak dapat dihasilkan lagi. Dengan adanya sumber tenaga alternatif ini, ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber yang terhad seperti petroleum, arang batu dan sebagainya.


Kebaikan yang ketiga adalah sumber tenaga ini boleh dikitar semula. Contohnya, sumber fosil seperti petroleum tidak dapat dikitar semula seperti biomass dan tenaga hidro. Ini kerana sumber tenaga alternatif hanya bergantung kepada alam semula jadi seperti air, angin dan matahari.

Kebaikan yang keempat adalah, tenaga alternatif seperti tenaga nuklear dapat digunakan untuk menyembuhkan penyakit. Sinaran gama daripada tenaga nuklear dapat digunakan untuk merawat penyakit kanser.

Walaupun penggunaan tenaga alternatif memberi kebaikan dalam kehidupan harian kita, namun ia ada juga mempunyai keburukan. Antaranya adalah menjejaskan ekologi alam sekitar. Contohnya, pembinaan empangan hidroelektrik memusnahkan hutan yang luas dan banyak kawasan hutan juga akan ditenggelami air yang menyebabkan hidupan liar di kawasan itu mati.

Keburukan yang seterusnya adalah keselamatan manusia turut terancam, iaitu risiko menerokai sumber tenaga nuklear adalah agak tinggi. Kebocoran loji nuklear juga boleh mencemarkan alam sekitar dan mengancam keselamatan manusia jikalau berlaku sebarang bencana.

Keburukan yang ketiga adalah tenaga alternatif hanya terdapat di tempat tertentu sahaja. Tenaga alternatif seperti angin perlu bergantung kepada angin kencang dan hanya didapati di kawasan tertentu sahaja. Tempat yang tiada angin kencang tidak boleh menggunakan sumber tenaga ini untuk mengganti dengan tenaga fosil.

Sumber alternatif mempunyai banyak kebaikan daripada keburukannya. Oleh itu, sumber ini haruslah dipelopori oleh semua pihak bagi memastikan sumber bahan fosil dapat dikekalkan daripada mengalami kepupusan atau kehabisan.

Mageswaran Senderal
29 Mac 2013

Berikut adalah beberapa persoalan yang ingin dibincangkan:
Adakah kita akan merendahkan suhu penghawa dingin untuk menjimatkan tenaga jikalau ia hanya akan membuatkan kita berasa kurang selesa?
(Tidak, kita telahpun bekerja keras sepanjang hari di luar, inilah masanya untuk berehat)

Adakah kita peduli sama ada television skrin besar akan menggunakan tenaga elektrik yang banyak?
(Sebenarnya, tidak. Inilah salah satu hiburan di rumah dan sebabnya kita membeli television dengan skrin yang besar)

Adakah kita sebagai pengguna telahpun mengabaikan kepentingan pengamalan kecekapan tenaga di rumah? Sebenarnya, tidak. Kita akan mengambil peduli jikalau television tidak ditutup selepas selesai menonton filem ataupun apabila tidak perlu menggunakannya. Kita juga akan menjimatkan elektrik dengan tidak menggunakan penghawa dingin selagi kita berasa selesa.

 

Dengan itu, kita memerlukan kesedaran dan teknologi.

Pertama sekali; kesedaran. Agak jarang untuk seseorang untuk membeli sistem ataupun alat yang cekap tenaga jikalau kita tidak sedar bahawa kita memerlukannya. Tetapi sekiranya kita sedar bahawa kita telah membazirkan banyak tenaga elektrik dengan alat atau sistem yang sedia ada, kita akan lebih cenderung untuk membetulkannya. Dengan hanya memberitahu tentang cara-cara untuk menjimatkan tenaga daripada menutup lampu kepada peralatan audio / video, tidak lagi berkesan.

Sistem seperti sensor penghunian dan alat kawalan yang boleh menutup elektronik, perlulah disampaikan kepada pengguna. Apabila kita sedar bagaimana lampu “Compact Fluorescence Lamp (CFL)” boleh membantu penjimatan, kita pasti ingin mengetahui dengan lebih berkenaan sistem ataupun alat itu yang boleh membantu kita menjimat bil kita.

Yang seterusnya; teknologi. Kesedaran berfungsi dengan teknologi. Kita tidak lagi perlu resah pasal penggunaan tenaga kita setiap kali mendapat bil elektrik. Dengan teknologi, penggunaan tenaga pemilik rumah boleh diatasi. Sekarang, terdapat alat ataupun sistem yang boleh mengautomasikan termostat dan lampu rumah melalui sensor penghunian. Terdapat juga sistem yang membenarkan kita mengurangkan kuasa untuk alat-alat yang menggunakan tenaga yang tidak perlu. Kita juga boleh menggantikan lampu semasa yang membazir tenaga dengan CFL cekap tenaga dan tahan lama yang menjimatkan lebih banyak tenaga.

Adakah kita ingin menghidupkan penghawa dingin dalam perjalanan pulang dari kerja supaya rumah berasa sejuk sebaik sahaja kita sampai? Sekarang, sudah sedia ada aplikasi telefon pintar untuk kita berbuat demikian. Senarai ini berterusan selagi pengguna ingin mengetahui dengan lebih dan apabila mereka sedar bahawa teknologi yang sedia ada boleh membantu mereka dalam penjimatan yang banyak.

Onn May Ling

Air adalah satu hak asasi bagi setiap manusia. Menyediakan bekalan air adalah satu tanggungjawab, dan bukannya untuk kepentingan peribadi dan politik. Merancang dan menyediakan bekalan air yang bersih, selamat dan berterusan adalah satu tanggungjawab bagi kerajaan bagi memastikan kehidupan masyarakat yang sempurna.

Pelaksanaan dan implementasi dasar yang telus dan jelas merupakan tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap pihak yang berkenaan. Namun tidak dapat dinafikan, selain daripada pihak berkuasa kerajaan, peranan pihak-pihak lain seperti kerajaan negeri, industri, ahli akademik, para penyelidik, badan bukan kerajaan, media dan pengguna sendiri harus memberi kerjasama dan memainkan peranan mereka agar perancangan dan pelaksanaan dapat dijalankan dengan lancar dan berterusan.

Walaupun Malaysia telah mencapai tahap menikmati bekalan air asasyang baik, namun begitu fokus harus diberikan juga kepada kumpulan atau individu terpinggir di seluruh Malaysia untuk memastikan setiap orang mendapat bekalan air yang bersih, selamat dan berterusan. Terdapat masyarakat kampung, seperti perkampungan Orang Asli yang terletak di kawasan terpencil tidak mendapati bekalan air yang sempurna.



Jika terdapat bekalan air disalurkan sekalipun, ia hanyalah untuk jangka masa sementara kerana ada di antara projek-projek yang dijalankan tiada pemantauan dan penyelenggaraan berterusan yang mengakibatkan projek-projek tersebut mengalami kerosakan.

Lebih mendukacitakan, aktiviti penerokaan tanah yang tidak terkawal melalui aktiviti pembalakan atau pembukaan tanah untuk perladangan, bukan sahaja telah menjejaskan sumber air minuman kepada masyarakat setempat, lebih-lebih lagi perkampungan orang asli, ia juga telah mengakibatkan khazanah alam musnah. Bukan itu sahaja, perigi yang menjadi satu-satunya sumber air minum yang dikongsi oleh beberapa perkampungan orang asli ini juga telah diambil alih, seperti yang berlaku di Gua Musang, Kelantan. Aktiviti pembalakan dan meratakan tanah ini juga tidak diketahui sama ada sudah menerima kelulusan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) atau tidak.

Aktiviti pembalakan ini merupakan salah satu punca pencemaran sungai. Merujuk kepada laporan kualiti air sungai pada tahun 2008, dari jumlah keseluruhan stesyen pemeriksaan sungai menunjukkan 38% mengalami sedikit pencemaran dan 4% lagi telah mengalami pencemaran kritikal. Pada tahun 2011 pula, 32.3% mengalami sedikit pencemaran dan pencemaran kritikal meningkat kepada 8.4%. Pada tahun 2012, banyak laporan yang disiarkan mengenai aktiviti penerokaan dan pembalakan ini contohnya di Lojing dan Gua Musang di Kelantan, Hutan Simpan Jeniang, Pedu dan Gunung Inas di Kedah, Cameron Highland di Pahang. Banyak lagi aktiviti ini yang sedang berjalan dan menyumbang kepada peningkatan pencemaran sumber air ini. Dengan pencemaran sebegini, bagaimana dengan nasib penduduk orang asli terhadap akses air minum yang bersih, selamat dan terjamin? 

Tidak dinafikan banyak yang telah dibelanjakan bagi menyediakan kemudahan dalam kepada orang asli, seperti rumah pam dan sistem tuaian air hujan. Namun begitu, ada di antara projek tersebut hanya bertahan untuk beberapa tahun sahaja, bukan kerana tiada sumber air untuk diekstrak tetapi akibat tiada penyelenggaraan dan akhirnya ia ditutup. Penduduk orang asli ini terpaksa kembali kepada keadaan sedia kala. Mereka juga berdepan dengan risiko penyakit apabila terpaksa menggunakan air keruh bagi keperluan harian seperti  minum, masak dan mandi kerana tidak mempunyai pilihan lain. Pembalakan menyebabkan kekeruhan air sungai yang teruk, antara kadar kekeruhan sungai yang tinggi pernah dicatatkan adalah dengan 28,333 NTU, sedangkan kadar kekeruhan selamat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah di bawah 1,000 NTU dan ukuran bagi air bersih pula jumlah kekeruhan serta pepejal terampai mesti di bawah 50 NTU.

Orang Asli bukannya tidak mahukan pembangunan, tetapi bekalan air bersih, selamat dan berterusan haruslah selari dengan pembangunan yang dijalankan.  Banyak surat serta aduan telah dihantar kepada pihak berkuasa, namun sukar untuk mendapat kerjasama dan maklum balas. Jika ada yang memberi maklum balas, proses penyelesaian yang diambil amat panjang. Kesukaran untuk mendapatkan pihak yang benar-benar bertanggungjawab mengenai isu ini juga merupakan satu halangan dalam mendapatkan penyelesaian yang kadangkala memakan masa berbulan-bulan dan bertahun-tahun.

Sempena sambutan Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun, dan telah disambut sejak tahun 1993 lagi, ia adalah sebagai satu cara untuk menumpukan perhatian semua pihak seperti pihak kerajaan, kerajaan negeri, syarikat air, badan bukan kerajaan dan orang ramai mengenai kepentingan air mentah, pengurusan air mentah yang mampan dan juga hak asasi manusia dalam akses kepada sumber air bersih, selamat dan berterusan. Hanya melalui kerjasama semua pihak, kejayaan pengurusan sumber air pada masa hadapan dapat dilaksanakan dengan lebih bijak dan memastikan manfaat untuk semua. Walaupun hak tanah dan kehilangan hutan tidak mudah untuk diselesaikan, namun isu bekalan air bersih kepada penduduk orang asli ini perlulah diambil secara serius dan diselesaikan segera agar penduduk orang asli tidak dilucutkan haknya dalam mendapatkan hak asasi mereka.

Nuraini Khalil
Forum Air Malaysia

 

Pembangunan tidak terancang telah mengakibatkan pelbagai masalah global. Kekurangan bekalan air bersih yang mencukupi untuk diminum dan bercucuk tanam adalah salah satu daripada masalah global tersebut.

Walaupun 70% daripada bumi adalah terdiri daripada air, sejumlah 97% air terdiri daripada air laut yang terlalu masin untuk diminum mahupun digunakan untuk bercucuk tanam. Sejumlah 70% air tawar pula terkunci di kutub utara dan selatan di dalam bentuk ais manakala lebih kurang 30% air tawar terkandung dalam tanah dan wujud sebagai air bawah tanah. Justeru, air tawar yang tersedia untuk digunakan oleh manusia adalah kurang daripada 1%. Sumber air tawar tersebut adalah sungai dan tasik.

Penempatan manusia selaluya tertumpu kepada lembah sungai dan sekitar tasik disebabkan oleh tanah yang subur untuk bercucuk tanam. Namun, disebabkan oleh kebolehan manusia untuk bercucuk tanam secara besar-besaran, populasi manusia meningkat secara mendadak lalu membawa kepada keperluan yang terlalu tinggi dan tidak boleh ditampung oleh alam semulajadi. Salah satu contoh kerosakan alam semulajadi disebabkan oleh kerakusan manusia adalah kekering Laut Aral di Kazakhstan sebesar 68 000 m2 yang hanya mengambil masa lebih kurang 20 tahun untuk kering sepenuhnya.


Satu pertiga daripada penduduk dunia menggunakan air bawah tanah untuk menyelesaikan kekangan air. Walaubagaimanapun, tindakan ini hanya memberi jalan penyelesaian yang sementara kerana jumlah air yang dipam keluar adalah jauh lebih tinggi daripada jumlah air bawah tanah yang diperbaharui secara semulajadi.

Isu air boleh dikategorikan kepada sembilan masalah berikut:


Populasi manusia yang tinggi
Bekalan air mentah yang sedia ada di sesuatu kawasan boleh digunakan ke penghabisannya jika populasi manusia bertambah secara drastik. Proses untuk menyalurkan air daripada kawasan lain ke bandar boleh memberi kesan negatif kepada flora dan fauna dan juga aktiviti pertanian di kawasan tersebut. Sistem rawatan kumbahan yang tidak berkesan juga boleh menyumbang kepada pencemaran sungai dan tasik.

Masalah yang timbul akibat daripada pembinaan empangan air

Pembinaan empangan di kawasan tadahan air boleh mengakibatkan kerosakan ekosistem dan juga memberi kesan kepada penempatan di kawasan terbabit. Kos pembinaan empangan air juga amat tinggi dan boleh memberi beban kepada rakyat.

Perubahan cuaca akibat daripada kesan rumah hijau
Pembangunan dunia yang pesat telah menyumbang kepada peningkatar kadar gas-gas rumah hijau yang boleh membawa kepada penipisan lapisan ozon. Perkara ini telah mengakibat perubahan cuaca yang serius hingga mengakibatkan kemarau yang berpanjangan di beberapa buah negara seperti Somalia, Ethiopia dan Kenya.

Pencemaran daripada baja yang digunakan untuk aktiviti bercucuk tanam

Aktiviti-aktiviti bercucuk tanam yang tidak lestari boleh mengakibatkan pengaliran air yang tercemar dengan baja ke sungai dan tasik. Ini boleh menyebabkan eutrofikasi yang seterusnya membawa kepada kekurangan air mentah yang boleh digunakan.

Pencemaran air bawah tanah oleh bahan kimia

Peningkatan aktiviti mengepam air keluar daripada sumber bawah tanah boleh mengakibatkan pencemaran kepada sumber air tersebut dengan bakteria dan bahan-bahan kimia.

Kehilangan seluruh tasik dan sungai
Pelbagai faktor seperti peningkatan suhu dunia beserta dengan kecuaian manusia telah mengakibatkan kekeringan air yang sepenuhnya di beberapa buah tasik dan sungai seperti Aral Lake di Kazakhstan dan Yellow River di China.

Kejatuhan pengeluaran hasil pertanian
Masalah kekurangan bekalan air yang berleluasa telah membawa kepada kejatuhan pengeluaran hasil pertanian. Bekalan makanan terjejas lalu negara negara yang terbabit perlu mengimport makanan dari luar menyebabkan peningkatan harga barang dan kos hidup.

Kekeringan tanah pertanian

Tanah pertanian yang kering menyebabkan pengumpulan garam di tanah lalu menggangu kesuburan tanah. Penggunaan air bawah tanah secara berlebihan juga boleh menambah kepada pengeringan tanah. Pengeringan tanah yang kritikal boleh mengakibat hakisan oleh angin sekaligus menerbangkan permukaan tanah yang subur jauh daripada tapak pertanian.

Kematian daripada penyakit bawaan air
Masalah kekurangan air boleh membawa kepada sistem sanitasi yang tidak kompetitif lalu menyebabkan berleluasanya penyakit bawaan air seperti  kolera, botulism, thypoid dan polio. Statistik menunjukkan bahawa seorang kanak-kanak meninggal dunia setiap 21 saat disebabkan penyakit bawaan air.

Bekalan air bersih yang mampan boleh dipastikan dengan menyemai amalan baik penggunaan air di dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia. Sifat tidak membazir air, polisi alam sekitar yang kompetitif serta amalan pertanian yang lestari adalah beberapa cara untuk memastikan kemampanan bekalan air bersih.

 

Mathini

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengeluarkan amaran bahawa gangguan air yang besar mungkin akan berlaku di Lembah Klang jika permintaan air meningkat secara drastik. Pada masa kini kita sedang menghadapi musim kemarau, kita sebagai pengguna yang bertanggungjawab perlu mengurangkan penggunaan air kita dengan menukar tabiat penggunaan air kita.

Tidak perlu menuding jari kepada pihak kawal selia dan syarikat air, kita sebagai pengguna perlu bertanya kepada diri kita sama ada kita telah melakukan yang terbaik untuk memperbaiki keadaan dan memulihara air dalam kehidupan seharian kita? Contohnya, apabila berlaku paip bocor di luar premis, pemilik memilih untuk mengabaikannya sahaja, membuatkan air berharga yang telah dirawat hilang ke dalam longkang, yang mana ia sepatutnya telah dapat dibekalkan ke kawasan sekeliling.

Kajian yang dijalankan oleh Fomca pada tahun 2007-2010 mendedahkan bahawa 70% daripada mereka yang menjalankan soalselidik berkata mereka tidak mungkin atau sangat tidak mungkin untuk mengurangkan penggunaan air mereka di rumah untuk tempoh tiga tahun akan datang. Ia menunjukkan bahawa kesedaran rakyat mengenai isu-isu air masih sangat rendah.

Oleh itu, kesedaran awam dan pendidikan berterusan memainkan peranan utama dalam usaha untuk menjadikan industri air lebih mampan. Pada masa yang sama, aktiviti penanda aras yang holistik perlu dijalankan ke atas semua industri air untuk memastikan bahawa pelan tindakan dan pelan halatuju dilaksanakan, industri mempunyai kecekapan dan sumber manusia yang mencukupi untuk menghadapi sebarang ketidaktentuan seperti kemarau berpanjangan, peningkatan drastik permintaan air dan penyelenggaraan infrastruktur.

Selain dari membiarkan kapasiti rizab air menurun di bawah 1%, SYABAS sepatutnya berunding dengan SPAN lebih awal sebelum ini. Dengan rundingan awal ini, SPAN dapat memberi peringtan lebih awal dan semua pihak yang berkepentingan agar mempunyai lebih banyak masa untuk bersiap sedia jika gangguan bekalan air yang besar berlaku disebabkan oleh peningkatan permintaan yang drastik. Pada masa yang sama, SYABAS juga akan mempunyai masa yang mencukupi untuk memaklumkan kepada pengguna melalui notis atau siaran akhbar. Sikap 'tunggu dan lihat’ tidak seharusnya berlaku kerana akses kepada bekalan air adalah salah satu daripada hak-hak asas kepada semua orang.

Sebagai negeri yang paling maju dan berkhidmat sebagai hab utama ekonomi di negara ini, gangguan bekalan air besar yang akan berlaku di sini tidak boleh ditanggung kerana ia mencemarkan imej negara tercinta kita. Oleh itu, FOMCA dan ahli gabungan menggesa semua untuk memainkan peranan dengan sewajarnya untuk mengelakkan keadaan menjadi semakin teruk lagi di Selangor.

Pengguna digesa untuk menghubungi atau aduan kepada Forum Air Malaysia di 03-78753168 dan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di 03-78779000 jika masalah gangguan bekalan air berlaku .

Siaran media bersama oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), Forum Air Malaysia dan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi En Foon Weng Lian di 03-78753168 atau This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.