Hujan ribut petir merupakan gejala biasa yang berlaku di Malaysia. Namun apabila petir mencalar menyeberangi langit, pernahkah anda terfikir tentang kekuatan dan kerosakan yang boleh diakibatkan olehnya?
Subang di Selangor, Bayan Baru di Pulau Pinang dan Kluang di Johor, merupakan tiga buah kawasan yang mempunyai kekerapan yang tinggi berlakunya ribut petir. Dalam setahun, purata hari berlakunya ribut petir di ketiga-tiga kawasan tersebut adalah 180 hingga 200 hari. Oleh itu, anda perlu lebih memahami tentang fenomena semula jadi ini agar tidak menjadi mangsanya.
Menurut Ketua Pengarah Pusat Teknologi Perlindungan Petir, Prof Madya Zainal Abidin, laporan yang dikeluarkan oleh Unit Keselamatan Petir di Amerika Syarikat mengesahkan ketiga-tiga kawasan ini merupakan kawasan yang mempunyai kadar yang tinggi berlakunya petir di Malaysia. Berikutan dengan pemanasan global, rakyat perlu bersiap-sedia kerana kadar ini akan meningkat lagi pada masa yang akan datang.
Beliau menekankan bahawa, selain daripada tiga kawasan ini, beberapa kawasan lain juga berdepan dengan masalah kekerapan petir yang tinggi. Oleh sebab itu, adalah susah untuk mengenal pasti masa dan tempat tertentu sebelum petir berlaku.
Selain itu, kedudukan Malaysia di khatulistiwa juga merupakan salah satu sebab utama. Jumlah penurunan hujan yang tinggi iaitu sebanyak 2000mm hingga 2500 mm setahun, bertambah dengan perubahan iklim telah meningkat kekerapan berlakunya petir.
Di samping faktor semula jadi, faktor buatan manusia juga menyumbang kepada fenomena ini. Susulan peningkatan bilangan kilang dan pembangunan pesar di kawasan Lembah Klang, bahan-bahan kimia yang dibebaskan ke atmosfera mendorong pembentukan awan berpetir lalu menyebabkan peningkatan kadar petir di kawasan tersebut.
Walaupun petir banyak membawa kerosakan dan bahaya, Prof Madya Zainal Abidin berasa hampa kerana masih ramai orang yang mengabaikan kerja-kerja perlindungan daripada petir. Beliau berkata, walaupun kejadian petir tidak dapat dikawal, namun kerja-kerja perlindungan petir perlu dilakukan seperti memasang rod petir di atas bangunan. Semasa berlakunya ribut petir, elakkan daripada berada di kawasan lapang, di bawah pokok, khemah, menara telekomunikasi, tiang bendera dan tiang lampu.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
Kebolehcapaian kepada air yang selamat dan sistem sanitasi yang lengkap merupakan salah satu hak asasi manusia sebagaimana yang diumumkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Namun, agak mengecewakan kerana Belanjawan 2012 tidak menyediakan peruntukan terhadap masalah bekalan air yang telah lama berlaku di negara ini.
Belanjawan 2012 telah memperuntukkan sebanyak hampir RM500 juta untukkerja-kerja menaik taraf infrastruktur air. Walau bagaimanapun, peruntukan tersebut hanya tertumpu kepada Sabah, kawasan Felda dan estet.
Terdapat negeri, seperti Kelantan, yang telah lama menghadapi isu penurunan kualiti air sejak berdekad dahulu, telah meminta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Namun, Kerajaan Persekutuan tidak melayani permintaan tersebut atas sebab-sebab yang tertentu.
Baru-baru ini, Indah Water Konsortium (IWK) telah menjadi tumpuan semula selepas hampir 11 tahun syarikat ini dimiliki oleh kerajaan. Melalui kertas kerja yang dikemukakan oleh 1Malaysia Development Berhad dan Puncak Niaga Sdn Bhd, kemungkinan akan berlakunya penswastaan terhadap IWK.
Walau bagaimanapun, kurang peruntukan yang diberikan kepada sektor pembetungan, yang memerlukan kerja-kerja penaiktarafan bagi memastikan sistem sanitasi yang lengkap dan selamat.
Dalam usaha negara ke arah sebuah negara maju pada tahun 2020 dengan pelbagai projek pembangunan yang berskala besar telah dirancangkan, walaupun dalam keadaan dunia menghadapi krisis kewangan. Pembangunan-pembangunan tersebut telah dirancang dalam belanjawan tersebut, tetapi tidak terdapat peruntukan-peruntukan yang boleh memastikan bahawa permintaan air semasa dan keperluan masa hadapan untuk penduduk setempat, selepas projek-projek pembangunan ini siap. Di samping itu, 12 buah empangan besar bakal dibina untuk menjana kuasa hidroelektrik bagi memenuhi permintaan pembangunan industri, yang akan membinasakan ekosistem setempat, tanpa menghiraukan keperluan asas kepada penduduk setempat. Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
Sebagai negara yang mempunyai pengguna air yang terbanyak di rantau ini, pendidikan pengguna dan pemuliharaan sumber air adalah sangat penting. Namun, dalam Belanjawan 2012, tiada peruntukan yang disalurkan untuk tujuan tersebut. Selain itu, belanjawan tersebut juga tidak meliputi isu-isu seperti pelan pengawalan pencemaran kepada sumber air seperti tasik, sungai dan air bawah tanah. Air tidak terhasil dalam negara juga masih tinggi, yang menyebabkan kerugian bukan sahaja kepada syarikat pembekalan air dan juga kepada pengguna. Satu peruntukan yang khusus untuk mengatasi masalah itu mesti disediakan.
Malaysia dikurniakan dengan air hujan dan sumber-sumber air yang berlebihan. Namun, sekiranya ia tidak mengurus dengan telus dan baik, kurniaan ini akan hilang pada masa yang akan datang.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
Tenaga solar dan angin merupakan dua sumber tenaga yang boleh diperbaharui, tetapi berada dalam keadaan yang tidak menentu. Kedua-duanya tidak boleh menjana tenaga sepanjang hari tetapi hanya pada tempoh yang tertentu sahaja. Akibatnya, tenaga yang dijana ini akan kehabisan atau hilang dalam masa yang singkat apabila angin tidak bertiup ataupun matahari ditutup oleh awan.
Untuk menyalurkan sumber tenaga yang berterusan kepada pihak penyedia bekalan, kedua-dua sumber tenaga yang boleh diperbaharui ini perlu disokong oleh kaedah penyimpanan tenaga yang baik seperti bateri.
Ketidaktentuan bekalan tenaga oleh kedua-dua sumber tenaga ini masih bukan merupakan masalah yang besar memandangkan kedua-duanya hanya membekalkan peratusan yang rendah dalam penjanaan tenaga di dunia.
Namun, banyak negara telah berhasrat dan mengumumkan pelan untuk membangunkan sektor tenaga solar dan angin secara besar-besaran. Justeru, isu ketidaktentuan ini mesti diselesaikan dengan secepat mungkin.
Cara penyimpanan tenaga melalui bateri ion Lithium merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mengatasi masalah ini. Negara Amerika Syarikat dan China merupakan negara-negara di dunia yang mempunyai kemudahan penyimpanan bateri ion Lithium.
Bateri jenis ini bukan satu-satunya jenis bateri yang digunakan untuk menyimpan tenaga. Jepun mempunyai ladang bateri yang paling besar di dunia, yang menggunakan bateri sodium-sulfur dan membekalkan 238 MW/h tenaga. Contoh yang lain adalah ladang bateri di Alaska yang menggunakan jenis nickel-cadmium dan membekalkan sebanyak 46 MW tenaga bagi setiap 5 minit.
Pembaikan teknologi dan kemahiran membolehkan pelbagai jenis bateri baru dan lebih berkesan ini dicipta dalam masa yang akan datang. Oleh itu, sektor pengeluaran bateri yang semakin berkembang ini akan membolehkan pembangunan yang lebih pesat dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui.
Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Tenaga dan Air Malaysia (WeCAM)
Baru-baru ini terdapat akhbar yang melaporkan bahawa sebuah mahkamah khas bakal ditubuhkan untuk membicarakan kes-kes yang berkaitan dengan alam sekitar. Cadangan ini telah dikemukakan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria. Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) amat mengalu-alukan cadangan tersebut demi kepentingan perlindungan alam sekitar di Malaysia.
Keadaan alam sekitar yang semakin merosot di negara ini menyebabkan kesan-kesan yang buruk seperti pencemaran sumber air dan udara. Selain itu, penggunaan tanah yang tidak terancang dan pengurusan sampah sarap yang lemah turut memburukkan keadaan ini.
WECAM berpendapat bahawa dengan adanya mahkamah khas tersebut, peraturan berkaitan alam sekitar dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan. Di samping itu, penguatkuasaan dan pematuhan undang-undang alam sekitar juga akan meningkat pada masa yang akan datang untuk melindungi alam sekitar.
Cadangan Ketua Hakim ini perlu diberikan perhatian yang sewajarnya bagi memastikan badan kehakiman dapat berperanan dalam melaksanakan dasar dan peraturan berkaitan alam sekitar. Ini selarasnya dengan usaha negara yang menuju ke arah pembangunan mampan.
Pada masa yang sama, langkah ini dapat meningkat dan menegakkan keadilan alam sekitar, apabila kebanyakan projek pembangunan ekonomi yang dijalankan adalah bertentangan dengan perlindungan alam sekitar. Justeru, kewujudan mahkamah khas ini menunjukkan kerajaan memandang serius terhadap masalah alam sekitar dan bersedia untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak mematuhi peraturan berkaitan alam sekitar.
Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
Cyberjaya,18 April 2012 – Menyedari masalah air tidak berhasil yang boleh memberikan kesan kepada bekalan yang berterusan dan bersih kepada pengguna, FOMCA dan ahli gabungannya telah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Air tidak berhasil ataupun dikenali sebagai Non-revenue Water (NRW) telah mencapai tahap purata nasional sebanyak 36% sejak tahun 2009. Ini bermaksud, sejak tahun 2009, setiap 100 liter air bersih yang diproses sebanyak 36 liter telah dibazirkan begitu sahaja disebabkan oleh masalah-masalah seperti paip bocor dan juga kecurian air.
Majlis penyerahan memorandum ini diketuai oleh Muhammad Shaani Abdullah, Setiausaha Agung FOMCA, yang diiringi oleh wakil-wakil ahli gabungan lain, seperti Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia, Forum Air Malaysia, Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna CRRC dan Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia), kepada Dato’ Teo Yen Hua, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN.
Melalui memorandum tersebut, FOMCA telah mengemukakan 12 cadangan yang menglibatkan pembentukan polisi NRW yang holistik dan pengiraan NRW yang standard untuk seluruh negara.
Dalam maklum balasnya, Dato Teo bersetuju terhadap syor-syor tersebut dan mengesahkan bahawa satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan di peringkat SPAN untuk mengatasi masalah NRW ini dengan matlamat untuk mengurangkan NRW negara kepada 25% menjulang tahun 2020.
Memorandum tersebut boleh didapati di : http://www.forumair.org.my/v1/images/stories/pdf/nrw2012bm.pdf
Fong Weng Lian
Forum Air Malaysia
Jumlah air yang digunakan oleh pengguna adalah melebihi daripada jumlah air yang mampu dimasukkan semula dalam kitar air secara semula jadi.
Pengguna juga telah membazirkan bekalan air yang sedia ada. Sekiranya musim kemarau berlaku, bolehkah tabiat penggunaan seperti ini disekat.
Ramai yang membantah jika diminta untuk mengurangkan penggunaan air atas alasan air banyak. Jika air berkurang, maka lebih banyak air baru perlu dicari!
Hakikatnya, air baru tidak boleh diwujudkan. Terdapat juga yang mencadangkan penyelesaian kepada masalah ini, iaitu mengitar semula air daripada air kumbahan. Negara Singapura umpamanya, telahpun mengitar semula air kumbahan mereka untuk dijadikan air minuman, melalui program NEWater. Namun, mungkin program tersebut tidak perlu dilakukan di Malaysia.
Apabila mendengar perkataan `air kumbahan’, mungkin ramai yang berasa jijik, apatah lagi jika untuk dijadikan sebagai air minuman. Mengitar semula air merupakan satu cara yang bijak dan bersih dalam menguruskan bekalan air. Namun begitu, yang menjadi kebimbangan adalah jaminan kebersihan air kumbahan kesan daripada masalah jangka masa panjang, iaitu perubahan ikilm, bahan cemar baru dan juga jumlah penduduk yang sedang meningkat!
Onn May Ling
Forum Air Malaysia
Air merupakan keperluan asas kepada kehidupan. Namun, kebanyakan orang yang tinggal di negara-negara maju tidak banyak memikirkan tentang air yang mereka gunakan sebagai air minuman, untuk menyediakan makanan dan sanitasi. Di negara-negara membangun pula, pencarian sumber air yang bersih dan selamat boleh menjadi krisis harian.
Berjuta-juta orang mati setiap tahun dan kebanyakannya adalah kanak-kanak yang disebabkan oleh penyakit-penyakit yang boleh dielakkan jika bekalan air dan perkhidmatan sanitasi yang bersih dan selamat dapat dibekalkan.
Sandra Postel, pengarah Projek Dasar Air Global dan Felo Persatuan Geografi kebangsaan, mengatakan bahawa pengurangan sumber air tawar mencerminkan masalah ini perlu diutarakan semasa Sidang Pembangunan Mampan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (Rio +20) di Brazil yang berlangsung dari 20 hingga 22 Jun 2012.“Masalah yang meruncing ini menjadi nyata melalui kehabisan air bawah tanah dan pengeringan sungai atau tasik yang merupakan sumber air pengairan untuk menanam makanan sendiri,”kata beliau. “Hubungan antara pengurangan sumber air, jaminan makanan dan perubahan iklim mendorong masalah air ini mesti diatasi dengan segera.”
Sejak Sidang Kemuncak Bumi 1992, perkhidmatan bekalan air minuman yang bersih dan selamat telah diberikan kepada 1.7 bilion orang di seluruh dunia melalui projek penukaran paip air, sistem penuaian air hujan dan simpanan.
Walau bagaimanapun, pada masa ini masih terdapat 880 juta orang yang tidak mempunyai bekalan air yang bersih. “Dan kita masih belum mencapai apa-apa kemajuan dalam sanitasi,” kata Postel. “Di luar sana masih terdapat 2.7 bilion orang yang tidak dapat menikmati perkhidmatan sanitasi yang sempurna. Oleh itu, cabaran-cabaran yang sedia ada mesti diatasi secepat mungkin.” Dalam masa 50 hingga 75 tahun yang akan datang, pemimpin-pemimpin dunia perlu mencuba sedaya upaya untuk menurunkan angka-angka tersebut walaupun jumlah penduduk dunia akan meningkat sebanyak 3 bilion orang pada masa itu.
Lebih kurang 5,000 orang kanak-kanak mati setiap hari disebabkan oleh penyakit yang boleh dielakkan seperti kolera dan disenteri, yang tersebar apabila menggunakan air tercemar untuk minum dan memasak. Kekurangan air untuk kebersihan peribadi juga menyebabkan penyebaran penyakit yang boleh dielakkan seperti trakoma, yang telah menyebabkan 6 juta orang buta di seluruh dunia.
Kekurangan air juga telah memerangkap banyak keluarga miskin dalam kitaran kemiskinan dan pendidikan yang tidak sempurna, disebabkan golongan yang paling miskin ini menderita daripada ketiadaan perkhidmatan bekalan air. Golongan miskin ini menghabiskan lebih banyak masa dalam keadaan yang tidak sihat, menjaga kanak-kanak yang berpenyakit ataupun terpaksa mengambil air dari tempat sejauh 6km sehari. Ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk belajar ataupun melakukan aktiviti yang boleh meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Persaingan boleh menjadi sengit untuk mendapatkan komoditi yang tak ternilai ini. Pertanian telah menuntut sebahagian besar (70%) daripada air tawar yang sedia ada di dunia, manakala 22% telah diambil oleh industri. Kawasan tadahan air dan akuifer tidak menghormati sempadan politik dan negara-negara berjiran tidak berusaha bersama untuk memulihara sumber ini. Oleh itu, sumber air berpotensi besar untuk menjadi konflik antarabangsa pada masa akan datang.
Setiap hari permintaan air semakin bertambah, manakala sumber air tawar pula semakin berkurang. “Kita semakin mendekati had penggunaan air bawah tanah.” kata Postel, “Ini memberikan kesan yang jelas kepada jaminan air sedunia. Kadar penghabisan air bawah tanah telah berganda sejak 1960.”
Sebahagian daripada air bawah tanah di Bumi ialah air fosil, yang dihasilkan berjuta-juta tahun dahulu semasa iklim bumi pada ketika itu banyak berbeza daripada iklim sekarang. Sumber air bawah tanah hari ini adalah terbatas seperti petroleum. Akuifer yang lain boleh diperbaharui . “Namun kini kita sedang mengepam sumber air bawah tanah pada kadar yang lebih cepat daripada kadar yang ia boleh dicas semula,” jelas Postel. “Keadaan ini sedang berlaku di India, Utara China, California dan banyak tempat lagi. Kita mesti mencari satu titik keseimbangan di antara kadar pengepaman dan cas semula.”
Kedahagaan manusia yang semakin bertambah ini membawa satu masalah besar kepada ekosistem akuatik. “Semasa kita mengambil air dari sungai, dataran banjir dan kawasan tadahan air, ekosistem-ekosistem ini menanggung beban kekurangan air dan mula tercemar ataupun hilang,” kata beliau. “Kita juga akan menanggung kesan tersebut kerana kehidupan kita bergantung kepada ekosistem-ekosistem ini.
Menurut Postel lagi, Banyak jalan penyelesaian yang ada jika air digunakan dengan lebih produktif. Perubahan bermula dengan pengurusan sumber air yang cekap dan berterusan.
70% air yang digunakan sedunia untuk pertanian. Jadi, sektor tersebut yang harus menggunakan air yang lebih cekap melalui cara-cara seperti menanam tanaman yang sesuai untuk iklim setempat,” kata Postel.
Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengiktiraf “hak kepada bekalan air yang bersih dan selamat serta sanitasi merupakan hak manusia yang diperlukan untuk membolehkan manusia menikmati kehidupan dan hak manusia yang lain” pada tahun 2010.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
Pada 15 Mei 2012, bertempat di Pusat Angkasa Antarabangsa 330km dari permukaan Bumi, seorang angkasawan mengeluarkan mesej yang agak menggusarkan, iaitu beliau menggambarkan bahawa tahap penggunaan sumber pada masa sekarang adalah 50 peratus berlebihan daripada apa yang mampu dunia bekalkan.
Dalam mesej tersebut, Andre Kuipers daripada Agensi Angkasa Eropah memberitahu tentang keunikan pemandangan Bumi yang beliau telah mengelilingi 16 kali sehari. “Dari sini, saya dapat lihat jejak manusia, seperti kebakaran hutan, pencemaran udara dan hakisan,” ujar beliau semasa melancarkan Laporan Kehidupan Planet WWF 2012.
Laporan dua tahun ini, yang dihasilkan melalui kerjasama Zoological Society of London dan Global Footprint Networks, membuat unjuran bahawa pada tahun 2030, manusia memerlukan dua buah planet untuk mengekalkan pertumbuhan penduduk dan penggunaan sumber. “Kita sedang menjalani kehidupan dalam keadaan seolah-olah kita mempunyai sebuah planet lagi,” ujar Jim Leape, Ketua Pengarah WWF International. “Kita sedang menggunakan lebih 50 peratus daripada sumber yang kita ada di Bumi sekarang. Jikalau kita tidak membuat perubahan, kita akan menghadapi masalah besar.”
Laporan tersebut mengkaji kesihatan ekosistem dengan menjejak 9,000 hidupan daripada 2,600 spesis mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan. Hasil kajian menunjukkan biodiversiti sedunia telah menurun hampir 30% sejak 1970, dan 60% berlaku di kawasan tropika.
Menurut laporan, kehilangan yang berlaku di kawasan tropika menggambarkan satu jurang malapetaka yang berkemungkinan berlaku dalam jejak ekologi di antara negara miskin dan negara kaya. Di samping itu, jika cara hidup semua penduduk dunia adalah sama seperti cara hidup di Amerika Syarikat, maka empat buah Bumi diperlukan untuk memenuhi permintaan tahunan sumber-sumber asli. Amerika Syarikat merupakan negara yang mempunyai jejak sumber per kapita kelima terbesar di dunia, diikuti oleh Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Denmark.
Selain itu, jurang perbezaan di antara negara kaya dan miskin semakin bertambah. Ia berlaku apabila negara kaya sedang meningkatkan ekonomi mereka dengan menggunakan sumber yang terdapat di negara miskin. Menurut Gemma Cranston, ahli sains di Global Footprint Network di Geneva, permintaan penggunaan sumber di negara-negara kaya mendorong negara-negara miskin untuk mengeksport sumber mereka.
“Kita masih mempunyai lima minggu sebelum Persidangan Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Brazil. Laporan ini akan memberi peluang kepada pemimpin negara untuk membuat komitmen yang baru bagi pertumbuhan ekonomi yang berpandukan pembangunan mampan,” Kata Cranston. “Negara kaya mesti membantu negara miskin, dan bukannya menggunakan sumber mereka untuk kepentingan diri.”
Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
Bioplastik merupakan sejenis plastik yang diperbuat daripada sumber-sumber biomass boleh diperbaharui, seperti lemak dan minyak sayur-sayuran, kanji jagung, kanji kacang atau mikrobiota. Bioplastik adalah lebih mampan kerana ia boleh terurai dalam persekitaran dengan lebih cepat berbanding dengan plastik biasa, yang boleh mengambil masa lebih daripada 100 tahun. Bioplastik yang direka boleh terurai sama ada dalam persekitaran anaerobik atau aerobik, bergantung kepada cara ia dihasilkan.
Terdapat pelbagai jenis bioplastik yang direka. Ia boleh terdiri daripada kanji, selulosa atau biopolymers. Bioplastik digunakan dalam menghasilkan bahan pembungkusan, pembungkusan makanan, penebat dan peralatan makan; seperti pinggan, mangkuk, sudu, garpu, periuk, mangkuk dan straw.
Bioplastik yang boleh dibiodegradasi juga sering digunakan dalam menghasilkan beg plastik sampah organik, yang boleh dikompos bersama-sama dengan sisa makanan dan mengurai dalam persekitaran aerobik dan anaerobik. Selain itu, ia juga boleh dijadikan bekas untuk buah-buahan, sayur-sayuran, telur dan daging; botol minuman ringan, botol produk tenusu, pembalut untuk buah-buahan dan sayur-sayuran.
Terdapat banyak jenis bioplastik, antaranya bioplastik yang berasaskan kanji yang banyak digunakan. Kanji tulen mampu menyerap lembapan. Oleh itu, ia banyak digunakan dalam pembuatan kapsul ubat-ubatan, manakala bioplastik berasaskan selulosa pula banyak digunakan dalam pembungkuasan. Selain itu, bioplastik berasaskan Polylactic acid (PLA) yang diperbuat daripada gula tebu atau glukosa pula digunakan untuk membuat pembalut, cawan dan botol. Poly-3-hydroxybutyrate (PHB) mempunyai takat lebur yang lebih tinggi daripada 130 darjah Celcius dan terbiodegradasi tanpa sisa. Bioplastik daripada Polyhydroxyalkanoates (PHA) adalah kurang elastik berbanding dengan bioplastik yang lain, yang banyak digunakan dalam industri perubatan.
Pengeluaran dan penggunaan bioplastik secara amnya dianggap sebagai aktiviti yang lebih mampan jika dibandingkan dengan pengeluaran plastik biasa. Namun kajian dan penambahbaikan perlu diteruskan agar proses penghasilannya lebih mampan dan kos efektif.
Nuraini Khalil
Forum Air Malaysia
Page 20 of 23