Ar-Rahnu adalah sistem pajak gadai Islam yang membolehkan pengguna mencagar barang kemas mereka. Objektif sistem Ar-Rahnu adalah menyediakan alternatif kepada masyarakat umum yang berpendapatan rendah dalam memenuhi keperluan wang tunai secara segera atau modal untuk perniagaan dan menghapuskan unsur ‘riba’ yang dijalankan oleh kedai pajak gadai konvensional.

Sistem pajak gadai ini juga terbuka kepada semua agama. Pajak gadai Islam ini menawarkan pinjaman tanpa faedah tetapi mengenakan upah simpanan berdasarkan nilai emas. Jika dibandingkan dengan pajak gadai konvensional mengenakan kadar faedah yang tinggi iaitu 2% sebulan atau 24% setahun yang menjadikan faedah sebagai sumber hasil.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Malaysia (NCCC) menerima pelbagai jenis aduan mengenai penyelewangan dibuat oleh pajak gadai konvensional. Antara contoh aduan tersebut ialah barang kemas yang digadai biasanya tidak ditimbang atau diukur, barang kemas yang digadai itu lebih ringan atau pendek sedikit apabila ditebus. Oleh kerana berat dan panjang barang itu tidak dicatat dalam resit, maka peminjam sukar membuktikan penyelewengan. Jika peminjam gagal menebus dalam tempoh yang ditetapkan, peniaga pajak gadai berhak melelong barang yang digadai sekiranya nilai barang kemas kurang RM200.

Bagi nilai barang kemas yang lebih RM200, peniaga pajak gadai melantik pelelong berlesen untuk melakukan lelong. Terdapat juga kes peniaga pajak gadai dan pelelong berlesen berpakat yang membolehkan peniaga itu membeli semula barang lelongan tersebut pada harga terendah. Biasanya peniaga pajak gadai tidak memulangkan wang lebihan selepas lelong dan ditolak jumlah hutang. Jika berlaku rompakan atau kebakaran ke atas kedai pajak gadai sehingga menyebabkan barang gadaian hilang atau rosak, peniaga pajak gadai hanya perlu membayar jumlah cagaran yang ditambah 25% lagi kepada peminjam sebagai pampasan.

Sebaliknya di sistem Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu) tempoh maksimum gadaian yang diberikan adalah selama 6 bulan. Jika penggadai gagal menebus dalam tempoh tersebut, pihak Pajak Gadai Islam boleh memberi tempoh kelonggaran penebusan untuk 2 bulan lagi tanpa permohonan daripada peminjam. Di peringkat ini, pemimjam tidak semestinya membayar upah simpan.

Jika penggadai masih tidak menebus dalam tempoh kelonggaran, tempoh gadaian boleh dilanjutkan untuk tempoh maksimum 2 bulan lagi dengan syarat penggadai membuat permohonan melanjutkan tempoh dan menjelaskan upah simpan pada tempoh gadaian yang asal dan tempoh kelonggaran selama 8 bulan.

Sekiranya tiada permohonan untuk lanjutan tempoh atau upah simpan tidak dibayar, pajak gadai Islam boleh meneruskan tindakan lelong selepas tempoh maksimum 10 bulan. Barang gadaian akan dilelong mengikut harga pasaran semasa. Hasil lelongan akan ditolak pinjaman yang tidak berbayar, upah simpan dan kos-kos lain yang terbabit. Bakinya akan dipulangkan kepada penggadai. Ia juga mempunyai insurans perlindungan kebakaran, perlindungan kecurian dan sebagainya.

 

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Perjanjian Pinjaman selaku Surahikatan Penyerahhakkan atau Loan Agreement Cum Assignment (LACA) merupakan salah satu dokumen perjanjian pinjaman kewangan di antara pembeli harta rumah dan institusi kewangan. Dokumen LACA ini amat penting apabila dokumen hak milik persendirian (individual title) untuk harta rumah yang hendak dibeli itu masih belum wujud dan si pembeli mahu membeli harta tersebut melalui pinjaman bank.

Dokumen ini tidak disiapkan mengikut mana-mana Akta prosidur yang sedia ada, seperti, perjanjian jual beli yang disiapkan mengikut Jadual G atau H, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966. Oleh itu kemasukan terma-terma dokumen ini terpulanglah kepada bank yang memberi pinjaman.

Dokumen ini juga berlainan daripada dokumen pinjaman kewangan / gadaian (loan agreement / charge) konvensional. Dokumen perjanjian LACA telahpun disahterima sebagai sekuriti/kolateral dalam transaksi komersial untuk sesuatu pinjaman bank. Oleh itu jual beli harta rumah tanpa hak milik di antara pembeli dan pemaju menjadi mudah.

Di sebalik kemudahan yang terdapat dalam perjanjian LACA ini, kebanyakan terma-terma terdapat dalam dokumen ini adalah berat sebelah dan terlalu melindungi kepentingan pihak bank sahaja. Contohnya, dalam pembelian harta rumah, walaupun telah mempunyai satu perjanjian jual beli, pembeli/peminjam masih duduk di harta rumah tersebut sebagai penduduk sementara (licensee ) dan tidak ada sebarang hak undang-undang ke atas harta rumah tersebut untuk tujuan menggadai, jual, serahhaj dan sebagainya sehingga selesai menjelaskan pinjaman yang telah dipinjamkan dari bank.

Menurut syarat perjanjian LACA ini, salah satu hak yang mustahak iaitu, hak menjual ataupun pindah milik, (the right of disposal) harta rumah tersebut diberi sepenuhnya kepada pihak bank melalui satu surat kuasa (power of attorney) oleh si pembeli / peminjam. Jadi, mengikut dokumen surat kuasa dalam LACA ini, secara penuh, hak / kuasa jual ataupun pindahmilik harta rumah diserah-pindah-letak ke atas pihak bank. Oleh itu, apabila seseorang peminjam gagal melangsaikan bayaran bulanan mengikut jadual bayaran dokumen LACA selama dua bulan, maka bank dengan segera melelong harta tersebut untuk menebus kerugiannya tanpa merujuk terlebih dahulu kepada mana-mana pihak seperti Mahkamah Tinggi, Bank Negara ataupun pejabat tanah. Oleh kerana masa yang singkat menyebabkan peminjam tidak ada masa dan kemampuan untuk menebus balik harta tersebut. Sebagai bukti harta rumah lelong di bawah LACA, kita boleh lihat banyak papan tanda-papan tanda di tepi jalan, lampu trafik dan persimpangan di taman-taman perumahan dengan tulisan “Bank Lelong“.

Sebaliknya, dalam senario, pinjaman kewangan / gadaian konvensional, yang harta rumah tersebut sudah ada satu dokumen hak milik persendirian (individual title), maka sesuatu pinjaman bank akan didaftarkan di pejabat tanah berkenaan mengikut Kanun Tanah Negara 1965. Apabila seseorang peminjam gagal melangsaikan pinjaman kepada bank, maka bank tersebut harus merujuk kepada kaedah Mahkamah Tinggi 1980, untuk mendapatkan satu perintah jual untuk melelong harta yang terlibat. Ini memberi satu jaminan / perlindungan kepada peminjam, iaitu Hakim Mahkamah akan meneliti kes tersebut sebelum mengeluarkan satu perintah jualan Mahkamah. Bahkan, proses ini akan mengambil satu masa dan prosedur yang agak panjang , biasanya tidak kurang daripada setahun. Dalam keadaan ini peminjam biasanya ada ruang untuk mengutarakan sebarang persoalan, tidak kemampuannya, ataupun meminta simpati Mahkamah untuk mengurangkan kebebanan kewangan. Dalam masa yang sama, peminjam mempunyai masa dan kesempatan untuk menebus kembali harta tersebut.

Sebagai peminjam kewangan di bawah LACA, peminjam haruslah berwaspada. Si peminjam tidak mempunyai satu perlindungan sapertimana yang diberi kepada peminjam kewangan Konvensional. Pastikan semua bayaran bulanan dikemaskinikan segera mengikut tempoh berdasarkan jadual bayaran perjanjian LACA. Ini disebabkan LACA memberi satu kuasa kepada bank untuk melelong harta rumah berkenaan tanpa menunggu begitu lama. Biasanya bank dapat melelong sesuatu harta rumah dalam masa yang singkat jika harta itu terletak di kawasan “hot” .

Ada peminjam memilih bayaran bulanan menerusi akaun bank bersendirian yang sedia ada, iaitu si peminjan akan memasukkan bayaran bulanan ke dalam akaun sendiri dan seterusnya bank yang telah memberi pinjaman (lender bank), akan mengeluarkan daripada akaun persendirian tersebut untuk sebagai bayaran bulanan pinjaman tersebut. Dalam keadaan ini, adakala bank peminjam tersebut gagal berbuat demikian dan akhir sekali didapati bayaran bulanan pinjaman tidak dilakukan mengikut jadual. Oleh itu penyata bank si peminjam akan menunjukkan bahawa si peminjam berhutang kepada bank dan bank dengan mudah boleh melelong harta rumah tersebut kerana tunggakan.

Si peminjam juga harus memastikan bahawa segala surat-menyurat bank sampai ke alamat si peminjam. Ini kerana ada bank yang akan mengambil kesempatan ini dan menghantar surat-surat urusan penting, saperti notis bayaran dan amaran, status akaun, surat pengyistiaran lelong dan sebagainya, ke alamat yang salah sehingga notis-notis penting seperti ini tidak sampai ke tangan si peminjam. Eloklah jika peminjam sering berjumpa pegawai bank berkenaan untuk menyelesaikan sebarang kekeliruan dan kesangsian dalam urusan akaun pinjaman bank.


P. Vahsudevan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Sejak kebelakangan ini terdapat banyak iklan terutamanya iklan-iklan mengenai perabot dan barangan elektronik sempena musim perayaan. Semua orang mimpikan rumah kediaman dilengkapi dengan perabot dan barangan elektronik baru.

Setiap kali melihat iklan kita boleh membaca perkataan-perkataan yang boleh menyebabkan pengguna terpengaruh seperti:

• promosi penghabisan stok perabot
• jualan mega raya
• lebih nilai untuk wang
• pemberian baucer tunai
• plan mudah bayar
• 0% faedah
• hadiah misteri
• peraduan ceria raya, hadiah-hadiah lebih bernilai daripada RM 150,000 untuk dimenangi
• jimat RM 2200

Terdapat pengguna yang membeli barangan yang dipromosikan itu walaupun tiada wang tunai di tangan. Bagaimanakah ini berlaku? Mereka membeli secara ansuran dengan menggunakan kad kredit.

Pembelian melalui kad kredit menyebabkan mereka terpaksa membayar lebih berbanding bayaran penuh secara tunai kerana bayaran ansuran mengenakan faedah setiap bulan. Tetapi berapa ramai pengguna menyedari hal ini? Bagi mereka, kaedah pembelian seperti ini membebankan kerana membuat bayaran ansuran berbanding satu bayaran keseluruhan yang besar.

Begitu juga mereka membuat perjanjian dengan syarikat tersebut untuk membuat bayaran bulanan dengan kadar faedah yang tinggi. Mereka tandatangan perjanjian tanpa membaca terma dan syarat.

Sekiranya mereka gagal membuat bayaran pada masa yang ditetapkan atau membuat bayaran lamba, pengutip hutang akan membuat panggilan ke rumah, malahan ada juga membuat panggilan ke pejabat dengan tujuan untuk memalukan penghutang. Ada juga pengguna mendapat surat daripada peguam dan saman daripada mahkamah.

Semua masalah ini bermula apabila pengguna hendak membeli barang walaupun tiada wang. Jadi pengguna mesti tahu apakah keperluan dan kehendak mereka sebelum membeli sesuatu barang.

Jadilah pengguna bijak!!!!!

 

Deivigarani Krishna.
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Rata-rata masyarakat pasti menggambarkan proses rawatan sisa kumbahan apabila ditanya tentang sistem pembetungan. Namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkhidmatan sistem pembetungan di Malaysia?

Perkhidmatan pembetungan ialah proses untuk mengumpul, menghantar, merawat air sisa kumbahan dan menyelenggara sistem pembetungan dan tangki septik. Di Malaysia, perkhidmatan pembetungan terbahagi kepada 2 jenis iaitu sistem pembetungan bersambung terus ke loji rawatan kumbahan awam dan tangki septik individu.

Sistem pembetungan bersambung ke loji rawatan kumbahan awam merupakan perkhidmatan yang menyambungkan saluran paip pembetungan di rumah ke loji rawatan kumbahan awam. Indah Water Konsortium (IWK) diberi tanggungjawab untuk menjalankan operasi dan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan awam.

IWK bertanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja pembaikan jika terdapat masalah pada saluran paip pembetungan awam seperti tersumbat atau rosak tanpa mengenakan kos terhadap pengguna. Walau bagaimanapun pemilik premis perlu bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan atau tersumbat jika masalah didapati pada saluran paip pembetungan persendirian. (sumber: Buku Panduan Pengguna AirFAM&SPAN)

Bagi tangki septik individu pula, ia merupakan perkhidmatan pembetungan yang teringkas. Sisa kumbahan akan dialirkan ke tangki septik dan tidak menjalani rawatan sepenuhnya, tetapi hanya akan terenap di dasar tangki septik. Justeru, tangki septik perlu dilakukan pengenyah enap cemar sekurang-kurangnya 2 tahun sekali bagi memastikan tangki septik individu itu dapat berfungsi dengan efisien.

Namun proses pengenyah enap cemar akan dikenakan bayaran yang spesifik bergantung kepada kapasiti tangki septik individu itu sendiri. Proses pengenyah enap cemar itu boleh dilakukan oleh IWK ataupun kontraktor berlesen yang lain (sumber: www.iwk.com.my).

 

Syed Mubashir bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia

Ramai peniaga tidak meletakkan tanda harga pada barang jualan mereka. Terdapat juga yang tidak menukarkan tanda harga asal apabila mengadakan jualan promosi.

Keadaan ini berlaku disebabkan kurang kesedaran dalam kalangan peniaga untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan atau bersikap mengambil mudah terhadap perkara tersebut.

Pusat Khidmat Pengguna Nasional sering menerima aduan daripada pengguna yang terkeliru dengan harga yang luar biasa di rak barang. Namun apabila disemak melalui mesin pengimbas hargaharga berlainan ditunjukkan.

Apabila ditanya kepada peniaga atau petugas jawapan mereka ialah “Itu harga promosi belum tukar lagi” sedangkan promosi tamat dua minggu yang lalu.

Peniaga sepatutnya menukarkan tanda harga sebaik saja promosi berakhir. Selain itu tidak ramai pengguna yang memeriksa tanda harga sebelum membuat bayaran. Pengguna tidak pasti berapa banyak barang lagi yang masih belum ditukar tanda harga selepas promosi.

Pengguna harus bertanggungjawab dengan menyemak harga melalui mesin pengimbas harga agar tidak tertipu. Dalam pada itu pihak peniaga juga perlu bertanggungjawab terhadap perniagaan mereka agar tidak mengelirukan pengguna dengan tanda harga promosi yang telah tamat. Gunakan hak sebagai pengguna agar peniaga tidak mengaut keuntungan secara tidak beretika.

 

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

10 hari Ramadhan telah pun berlalu, saya terpanggil untuk berkongsi dengan pembaca setelah berkunjung di Bazar Ramadan Kelana Jaya dan Jalan Ipoh beberapa hari yang lalu. Gelagat pengguna berpusu-pusu membeli makanan berbuka puasa sejurus lepas waktu bekerja menarik perhatian saya. Tiada aksi tawar-menawar, pengguna hanya terus membayar mengikut harga yang di pamerkan. Di penghujung gerai terdapat gerai menjual makanan mentah seperti ikan, sayur, ayam juga mendapat perhatian pengunjung bazar Ramadhan.

Saya berfikir sebentar, tidakkah pengguna ini mempersoalkan harga makanan yang dikenakan terhadap mereka? Terbaru, kira telah dikejutkan dengan kenaikan harga ayam mentah dan rata-rata pengguna mengeluh dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung masalah kenaikan harga ini. 

Tetapi apakah tindakan kita sebagai pengguna bagi membendung masalah ini? Pemantauan saya mendapati harga kari daging itik seketul  RM5, manakala keesokan harinya dinaikkan kepada RM6. Menurut peniaga, harga daging itik di pasar basah dinaikkan dan harga tersebut terpaksa dikenakan kepada pengguna. Begitu juga dengan harga kuih muih yang saya rasakan tidak setimpal dengan kelazatannya. Harga satu biji/potong kuih berharga 40 sen hingga 50 sen.

Terdapat pelbagai kaedah untuk membayar hutang kad kredit anda. Bagaimanapun, ia bergantung kepada jumlah hutang dan pendapatan semasa anda. Situasi ini akan menentukan keupayaan anda untuk berhadapan dengan bayaran bulanan minimum.

Akses situasi kewangan
Akses kedudukan kewangan anda sebelum merancang mengurangkan hutang kad kredit anda adalah penting untuk mencapai matlamat. Hitungkan semua pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. Baki jumlah tersebut boleh digunakan untuk tujuan pembayaran atau penggunaan kad kredit anda.

Merancang pengurusan hutang
Anda perlu membuat rancangan untuk mengurangkan hutang kad kredit. Perancangan hutang yang profesional dapat menyingkirkan hutang yang tidak diperlukan. Bagaimanapun, pastikan bahawa anda telah mempertimbang dan memasukkan semua pilihan pelepasan hutang bagi mengurangkan jumlah hutang yang perlu dibayar.


Melaksanakan Perancangan
Ia bukannya mudah, namun hutang kad kredit anda perlu dikurangkan. Anda mungkin mengambil masa selama bertahun-tahun bagi menghapuskan hutang anda sepenuhnya, namun ia penting bagi meningkatkan tahap kredit anda. Anda harus menyedari bahawa hutang bukan hanya memberi impak kepada anda, juga rumah tangga anda. Memiliki rekod yang bersih dapat menjamin anda untuk meminjam wang sekiranya diperlukan pada masa hadapan.

Setelah mengenal pasti situasi kewangan dan membuat perancangan keseluruhan bagi mengurangkan hutang, anda perlu mempertimbangkan bagaimana untuk berjimat.

Di bawah adalah tip-tip untuk pertimbangan anda:

Lebihkan Pendapatan, Kurangkan Perbelanjaan
Terlebih dahulu, anda perlu memastikan bahawa telah mengeluarkan semua perbelanjaan yang tidak penting. Ia adalah penting bagi memudahkan anda untuk mengenal pasti jumlah yang boleh dijimatkan dengan mengubah tabiat pemakanan, misalnya makan di restoran yang murah (kurangkan makan di luar), membeli barangan runcit berjenama pasar raya berbanding jenama biasa. Anda mungkin perlukan pertolongan bagi menguruskan kewangan anda setiap hari untuk mengurangkan hutang anda.

Kurangan Perbelanjaan
Anda perlu mengenal pasti tujuan perbelanjaan anda. Peluang untuk anda berbelanja adalah lebih tinggi berbanding pendapatan. Ini adalah situasi yang kritikal di mana hutang tidak boleh dihapuskan. Justeru, anda perlu mengurangkan perbelanjaan harian anda terlebih dahulu.

Anda perlu berusaha untuk melalui kehidupan yang sejajar dengan kemampuan anda dan bukannya mewah. Mengurangkan perbelanjaan adalah pilihan yang tepat, mudah dan pantas untuk melihat keberkesanannya.

Pendapatan yang lebih baik
Cari pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih baik dan pastikan anda tidak meninggalkan pekerjaan sekarang sehingga anda mendapat pekerjaan yang baru kerana ia akan menyebabkan stres yang berpanjangan.

Pekerjaan kedua
Dapatkan pekerjaan yang kedua, pekerjaan sementara untuk menambahkan pendapatan kerja sepenuh masa. Hal ini akan bantu menambahkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan dan hutang yang anda tanggung.

Dapatkan khidmat golongan profesional
Sekiranya anda mendapati bahawa anda tidak mampu untuk membayar balik bayaran minimum, pilihan terbaik anda adalah untuk mendapatkan firma pengurangan hutang yang berupaya meringankan beban anda dengan menyediakan pembayaran mengikut keadaan semasa anda.

Anda juga perlu mendapatkan bantuan firma yang pakar yang mampu berunding untuk mendapatkan terma-terma imbalan yang baik bagi pelanggan mereka. Dapatkan juga perhubungan kaunseling kredit yang bukan bermotifkan keuntungan dan syarikat-syarikat konsolidasi perhutangan yang boleh membantu mengurangkan penggenaan bunga atas kad kredit, mengurangkan pembayaran bulanan dan sekaligus memberikan khidmat nasihat kewangan bagi mengelakan masalah hutang kad kredit anda pada masa akan datang.

Anda boleh mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pengurusan hutang dengan bank melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Rajeswary Gunnusen
ERA Consumer Malaysia

Karnival Jualan Mega Malaysia kembali sekali lagi! Anda dapat melihat papan tanda jualan murah di mana-mana pusat membeli-belah. Musim perayaan yang semakin dekat ini juga sudah tentu akan menambahkan “jualan” yang lebih banyak. 

Cuba anda fikirkan, adakah dengan adanya musim jualan hebat ini,  anda sebenarnya telah berjimat atau berbelanja lebih? Menurut laporan sebuah akhbar pada 17 Ogos 2010, Karnival Jualan Mega di Malaysia telah mencapai peningkatan sebanyak 37% dalam penggunaan kad kredit Masterkad. Jumlah perbelanjaan kad kredit Masterkad oleh pengguna Malaysia dalam musim karnival ialah RM 213.4 juta berbanding RM 158 juta pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 34%. Statistik ini tidak merangkumi golongan yang menggunakan kad kredit yang lain dan yang membayar dengan wang tunai. 

Mengapakah penggunaan kad kredit meningkat? Selain daripada pengguna menggunakan wang masa depan mereka, strategi syarikat kad kredit juga memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan penggunaan kad kredit dalam musim jualan hebat.

Untuk menangani keseriusan isu-isu kewangan yang dihadapi oleh pengguna-pengguna Malaysia, FOMCA dengan sokongan Bank Negara Malaysia telah menganjurkan program latihan pengurusan kewangan untuk mendidik dan mengajar para pengguna atas keberkesanan dan kepentingan perancangan dan pengurusan kewangan. Salah satu daripada sasaran program tersebut ialah golongan kanak-kanak di tadika.

FOMCA telah bekerjasama dengan tadika Kinderland (Crestar Education Malaysia Sdn. Bhd.) untuk mengadakan latihan program pengurusan kewangan untuk kanak-kanak di empat buah tadika Kinderland di sekitar Selangor. Keempat-empat bengkel tersebut telah diadakan dari tarikh 22 Julai 2010 hingga 5 Ogos 2010. Tadika-tadika yang mengambil bahagian dalam bengkel kewangan tersebut ialah seperti berikut:

Kinderland D’Shire Kota Damansara (22 Julai 2010, 9.30 pagi – 11.30 pagi), 72 orang kanak-kanak
Kinderland Playhouse Seksyen 14, Petaling Jaya (27 Julai 2010, 9.30 pagi – 11.30 pagi), 19 orang kanak-kanak
Kinderland Ara Damansara (3 Ogos 2010, 9.30p agi – 11.30 pagi), 26 orang kanak-kanak
Kinderland Kota Kemuning (5 Ogos 2010, 3.30 petang – 5.30 petang), 19 orang kanak-kanak
Terdapat 136 orang kanak-kanak yang berumur 5 tahun hingga 6 tahun telah mengambil bahagian dalam bengkel kewangan tersebut. Pelatih-pelatih daripada FOMCA dengan bantuan cikgu-cikgu tadika telah mengajar kanak-kanak untuk memahami wang menerusi aktiviti-aktiviti yang menarik dan bersifat interaksi.

Sesi bengkel merangkumi topic-topik berikut:

Mengenali wang
Memahami nilai wang
Mengira wang
Menabung
Keperluan dan kemahuan
Setiap program tersebut ialah sepanjang dua jam dengan menggunakan gambar-gambar yang menarik, permainan kad, video dan lagu untuk mengajar kanak-kanak tentang wang. Kanak-kanak telah diminta untuk melukiskan muka gembira di atas kertas jika mereka suka tentang apa yang mereka belajar daripada program tersebut. Hampir semua kanak-kanak berkata mereka suka dengan apa yang mereka belajar daripada program tersebut.

Yu Kin Len
Pengurus Penyelidikan