KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membayangkan pendapatan dividen tahun ini, dijangka lebih rendah berbanding 2017.Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman, bagaimanapun menegaskan kemungkinan jangkaan pendapatan dividen lebih rendah itu bergantung kepada faktor pasaran dan sentimen tempatan.Beliau yang enggan mengulas lanjut berkata turun naik pendapatan dividen boleh dipengaruhi, antaranya, oleh faktor berkenaan.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kedatangan 1 Jan 2019 begitu amat bermakna bagi pekerja sektor swasta kolar biru atau gred bawahan kerana ia tarikh penguatkuasaan pelaksanaan gaji minimum RM1,100 sebulan atau RM5.29 sejam.

Ini kerana buat julung kalinya dalam sejarah negara pelaksanaan kadar gaji minimum seragam dikuatkuasakan di seluruh negara yang menjadi kenyataan apabila kerajaan Pakatan Harapan menguasai tampuk pemerintahan.

Berdasarkan Survei Gaji dan Upah yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2017, seramai 7.05 juta orang atau 57.8 peratus daripada keseluruhan 12.21 juta orang penduduk bekerja warganegara adalah pekerja swasta.

Pekerja swasta ini merujuk kepada pekerja yang bekerja sekurang-kurangnya enam jam sehari atau sekurang-kurangnya 20 hari sebulan bagi pekerjaan biasa yang dilakukan secara tetap.

KUALA LUMPUR – Tindakan mengenakan denda sebanyak RM400 untuk kehilangan pasport kali pertama dilihat tidak wajar dan terlalu tinggi.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persa­tuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, mungkin denda untuk kehilangan kali pertama boleh dikurangkan sedikit.

KUALA LUMPUR (Bernama): Water tariff rates may be increased in stages this year, in line with the government's efforts to restructure the water supply services industry in the country.

Water, Land and Natural Resources Minister Dr Xavier Jayakumar said the increase in the natural resource was necessary to protect the consumer's interest in getting good water quality and ensuring the industry's services.

Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengumumkan bahawa mereka akan mengkaji keperluan untuk melaksanakan sistem pengundian lebih awal (advance voting).

Sistem pengundian awal bermaksud pengundi boleh membuang undi sehari atau beberapa hari lebih awal. Tujuannya bagi meningkatkan jumlah pengundi serta mengurangkan kesesakan pada hari mengundi. Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, sistem ini telah dijalankan di beberapa buah negara termasuklah negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

 

Apa yang menjadi persoalannya di sini ialah bukankah lebih baik jika SPR memfokuskan kepada sistem pendaftaran pengundi secara automatik sekiranya objektif untuk mengadakan sistem pengundian awal ini, adalah untuk meningkatkan jumlah pengundi pada hari mengundi?


Sehingga kini, terdapat 4.4 juta rakyat Malaysia yang layak untuk mengundi tidak atau belum mendaftar dengan SPR. Ini adalah sesuatu yang membimbangkan kerana ia menunjukkan kurangnya kesedaran dalam kalangan rakyat, atau sikap tidak lagi peduli tentang situasi politik negara. Ini bakal merugikan banyak pihak termasuk pengundi itu sendiri kerana mereka hanya diberikan hak mengundi sekali sahaja setiap lima tahun dalam menentukan kepimpinan kerajaan tetapi menafikan atau dengan sengaja mengabaikan hak tersebut.

Jika MyKad dijadikan sebagai kad pelbagai fungsi (merujuk juga kepada fungsi MyKad akan dijadikan sebagai saluran untuk mendapatkan subsidi minyak dan fungsi-fungsi lain yang pernah diperkenalkan seperti kad TouchNGo dan kad ATM), mengapa seorang pemegang MyKad yang telah berumur 21 tahun, berwarganegara Malaysia tidak boleh diklasifikasikan sebagai pengundi secara automatik? Dan jika pihak bank dan TouchNGo Sdn Bhd boleh bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara, mengapa hal yang sama tidak boleh berlaku antara SPR dan JPN?

Saya pernah bertanya kepada beberapa rakan yang masih belum mendaftar, dan jawapan yang mereka berikan adalah ‘menjadi kerja untuk pergi mendaftar’, ‘kalau mendaftar, bila mengundi, perlu pulang ke kampung halaman’, ‘sudah tidak percayakan sistem pengundian’ dan alasan-alasan lain yang mengejutkan.

Melihat kepada masalah pengundi akan menyalahkan pihak SPR mengenai alamat tempat tinggal, kerana alamat tempat tinggal yang berbeza dalam MyKad dan tempat tinggal sekarang pengundi itu sendiri, ia merupakan tanggungjawab pengundi itu sendiri. Ingin saya bertanya, berapa ramai rakyat Malaysia yang sedar bahawa mereka perlu menukar alamat tempat tinggal setiap kali mereka berpindah dan menetap di satu-satu kawasan?

Apa yang ingin saya jelaskan di sini adalah, sayang jika dibiarkan pengundi terus tidak berdaftar. Mereka mungkin tidak tahu atau tidak mahu mengambil tahu. Tetapi, tidakkah akan menjadi satu titik permulaan kepada rakyat bagi mempunyai kesedaran dalam memiliki hak untuk keluar mengundi? Bukankah ini akan menjadikan SPR dan JPN yang lebih efektif dan mesra rakyat? Tidakkah ini juga akan meningkat keupayaan JPN sebagai menyahut konsep KPI yang diperkenalkan kerajaan? SPR patut melihat jauh di dalam isu ini selain daripada memfokuskan kepada sistem pengundian awal.

Azwa Abdul Rahman
27 Januari 2010

 

KUANTAN, 15 MAC - ERA Consumer Malaysia telah menganjurkan Sesi Rundingan Umum Kebangsaan SUHAKAM bagi laporan tahunan 2007 dan 2008 di Hotel Grand Continental, di sini semalam. Sesi rundingan yang dibuat secara tahunan ini telah memilih Kuantan sebagai lokasi kelapan. Seramai 117 peserta daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama serta fahaman politik yang telah hadir menjayakan sesi rundingan ini.

Dalam sesi rundingan kali ini, ERA Consumer telah menjemput Cik Nora Murat dari Amnesty International sebagai perantara, manakala ahli-ahli panel terdiri daripada individu-individu yang berpengaruh dalam bidang masing-masing. Mereka terdiri daripada Puan Haslinah Ya’cob  (All Women’s Action Society Malaysia), Encik Jerald Joseph (KOMAS), Encik Faisal Mustaffa (REFSA), Dr Shamrahayu Ab Aziz (UIA) dan Encik Hon Kai Ping (Majlis Peguam Pahang).

Topik-topik yang dibincangkan berkisar kepada ulasan terpilih daripada penerbitan terkini ERA Consumer Malaysia iaitu SUHAKAM Selepas 8 Tahun: Hanya Perkataan, Tiada Tindakan dan SUHAKAM Selepas 9 Tahun: Masanya untuk SUHAKAM mendapatkan kembali kepercayaan Rakyat.

Antara topik tersebut adalah Advokasi SUHAKAM dalam Kesamarataan Gender, Ulasan dalam Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan, Hak Pilihanraya dan Anda, Tahanan Tanpa Bicara dan Pentadbiran SUHAKAM dalam mempertingkatkan Pentadbiran Keadilan.

Sesi rundingan ini turut dihadiri oleh Datuk Marimuthu Nadason, Presiden ERA Consumer Malaysia, Encik Timo Karmakallio, wakil Kedutaan Finland ke Malaysia, Dato’ Siva Subramaniam, pesuruhjaya Suhakam.

Dalam sesi soal jawab dan maklum balas, Pesuruhjaya SUHAKAM telah memberikan jawapan yang sedikit sebanyak menjelaskan persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh peserta.

ERA Consumer Malaysia merupakan salah satu NGO pemerhati SUHAKAM yang telah menganjurkan sesi rundingan ini secara tahunan sejak tahun 2000. ERA Consumer memfokuskan kepada pendidikan hak asasi manusia selama lebih daripada 10 tahun. Dengan mengadakan sesi rundingan ini ERA Consumer Malaysia mendapatkan maklum balas daripada masyarakat tentang pemahaman mereka mengenai isu hak asasi manusia.

Azwa Abdul Rahman
ERA Consumer Malaysia
16 Mac 2010

 

 

Pendidikan Hak Asasi Manusia atau PHAM didefinisikan sebagai pendidikan, latihan dan informasi yang bertujuan untuk membina budaya hak asasi manusia yang universal melalui perkongsian ilmu, kemahiran dan pembentukan sikap kepada menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asas.

 

  1. Pendidikan Hak Asasi Manusia juga menerapkan nilai-nilai seperti:
  2. Mempromosikan toleransi mengenai kesamaan jantina dan pertalian antara semua kaum tidak kira agama, keturunan atau bahasa.
  3. Membentuk personaliti kemanusiaan dan rasa timbang rasa dan maruah.
  4. Membolehkan semua individu untuk menyertai secara efektif dalam masyarakat yang bebas dan berdemokrasi di bawah undang-undang yang terbentuk.
  5. Membangunkan dan mengekalkan keamanan.
  6. Mempromosi kepada masyarakat yang berteraskan pembangunan mapan dan keadilan sosial.

(Sumber: unesco.org) 

Dalam erti kata lain, Pendidikan Hak Asasi Manusia adalah ilmu yang perlu diterapkan kepada setiap individu dalam membentuk sikap hormat-menghormati terhadap hak yang dimiliki setiap orang. Ia juga meliputi tanggungjawab bersama masyarakat berbilang kaum dengan lanjutan kehidupan yang praktikal. 

PHAM bukan bertujuan untuk melahirkan generasi yang suka memberontak melalui penulisan yang sinis/kritikan atau sekumpulan individu yang mengadakan demonstrasi di jalanan untuk mendapatkan hak mereka. Sebaliknya, untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak mereka dan hak orang lain. Ia juga dapat memberikan kefahaman para pelajar dalam menghormati dan menerima perbezaan masing-masing. Begitu juga, ia dapat membantu mengurangkan masalah-masalah sosial seperti keciciran sekolah, kemiskinan, kes buli dan diskriminasi, penderaan kanak-kanak serta keganasan rumah tangga.

PHAM Meningkatkan Kesedaran mengenai Hak Sendiri

Melalui PHAM, para pelajar dapat diterapkan dengan nilai-nilai kemanusiaan melalui hak yang dapat dipelajari mereka. Majoriti para pelajar tidak mengetahui hak-hak mereka. Disebabkan kejahilan ini, maka mereka selalu menyalah anggap dan menyalahgunakan sesuatu yang mereka anggap sebagai hak. Sebagai contoh kes yang berlaku terhadap pelajar ASWARA dan Adukataruna yang mendakwa menggunakan hak kebebasan bersuara.

ERA Consumer telah mengadakan latihan literasi undang-undang dengan sokongan Open Society Institute pada 2009. Latihan ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai hak perundangan mereka yang terbahagi kepada enam sesi undang-undang berbeza. Apa yang mengejutkan ialah hampir 65 peratus peserta tidak sedar mereka mempunyai hak-hak tersebut, manakala 55 peratus telah menyalah anggap hak yang mereka miliki.

Kita perlu mengetahui hak setiap individu, yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu hak persendirian dan hak kolektif. Kita mempunyai hak peribadi, hak politik, hak perundangan, hak ekonomi dan hak sosial.

Sebagai contoh, hak untuk menyuarakan pendapat. Hak ini boleh dilakukan apabila kita mempunyai sesuatu pendapat atau pernyataan yang ingin dibuat. Tetapi, tatacara dalam mengeluarkan pendapat juga memerlukan kita untuk menyedari bahawa kenyataan tersebut tidak boleh menyentuh sesuatu yang sensitif dan berbaur provokatif. Ini tersenarai dalam hak masyarakat yang kita seharusnya menghormatinya.

Justeru, melalui PHAM sebagai sebuah subjek yang diajarkan di sekolah, maka para pelajar dapat mengetahui hak mereka sekaligus tatacara dalam menggunakan hak tersebut.

PHAM Menanamkan Rasa Hormat dan Penerimaan kepada Perbezaan Orang Lain  

Objektif utama PHAM adalah menghormati dan menerima perbezaan setiap daripada individu dalam sesebuah masyarakat. Mengambil pendapat seorang kenalan semasa sebuah seminar anjuran Friedrich Nauman Foundation pada awal bulan lalu; ”Bukankah lebih baik daripada kita bertoleransi dengan sesuatu perbezaan, kita menerima perbezaan itu dan menghormatinya?”

Toleransi dan penerimaan adalah dua perkara berbeza. Toleransi adalah bila kita ”menyabarkan diri” dengan sesuatu perbezaan, sama ada kita suka atau tidak. Di sini ia bermaksud kita tidak ikhlas menerima perbezaan ini kerana kita diminta untuk bertoleransi. Walau bagaimanapun, jika kita menghormati perbezaan dan menerima, ia akan lebih memudahkan dan kita tidak akan melalui keadaan yang tidak menyenangkan pada kemudian hari.

Kita memang mempunyai pelbagai perbezaan. Kita mempunyai pemikiran, pendapat tersendiri dan definisi hidup yang berlainan. Kita juga mempunyai warna kulit, kepercayaan agama dan bahasa pertuturan yang tidak sama. Jika kita boleh menghormati pendapat orang lain, mengapa kita tidak dapat menerima perbezaan mereka? Dan sekiranya kita mahu dihormati, mengapa kita juga tidak melakukan perkara yang sama? Pengetahuan seperti ini amat perlu diserapkan ke dalam diri para pelajar. Mereka tidak akan menyedari jika keindahan di sebalik ciptaan ini tidak diterangkan kepada mereka.

PHAM Dapat Mengurangkan Masalah-masalah Sosial seperti Keciciran Persekolahan, Kemiskinan, Buli dan Diskriminasi, Penderaan Kanak-kanak serta Keganasan Rumah Tangga.


Para pelajar juga perlu memahami hak mereka kepada pendidikan. Contohnya, jika mereka tidak mempunyai kewangan untuk meneruskan persekolahan, mereka boleh memohon untuk mendapatkan bantuan. Melalui kesedaran kepentingan hak kepada pendidikan juga, mereka boleh menikmati taraf hidup yang lebih baik pada masa hadapan dan mengeluarkan keadaan keluarga yang tersepit dengan kemiskinan. Para pelajar juga mengetahui bahawa mereka mempunyai hak sebagai kanak-kanak yang mempunyai perlindungan dari pengabaian dan penderaan.

Ramai ibu bapa yang tergolong dalam ”kumpulan terdedah” (vulnerable group) seperti pekerja ladang dan orang asli yang tidak mengetahui kepentingan sijil kelahiran dalam menentukan kehidupan anak-anak mereka pada masa hadapan. Kegagalan untuk mendaftarkan anak bukanlah disebabkan mereka tidak peduli tetapi kerana mereka tidak tahu. Lantas, dengan program khas PHAM, mereka ini dapat diberikan maklumat tentang hak kepada kewarganegaraan, yang sekali gus diakui kewujudan mereka sebagai warganegara.

PHAM juga dapat menerapkan penghormatan kepada hak jantina dan dapat mengurangkan masalah keganasan rumah tangga yang banyak berlaku pada masa ini. Masih terdapat segelintir golongan lelaki yang menganggap wanita adalah harta. Menerusi pendidikan mengenai hak antara jantina ini juga dapat memberikan pemahaman kepada wanita supaya tidak diekploitasi dan dipergunakan untuk sebarang tujuan yang tidak baik.

Kepentingan PHAM

Malaysia adalah negara yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa dan ianya adalah sebuah aset sosial yang sangat berharga. Hidup bermasyarakat dengan latar belakang yang pelbagai budaya ini, memerlukan kita mempunyai kesedaran tentang persamaan, kesamarataan, kemanusia, keadilan dan nilai-nila demokrasi. (Heru Susetyo, 2006).

Secara lebih konkrit, kesedaran pelbagai budaya ini bertujuan, pada antara lain untuk: menghormati hak dalam beragama, memahami kepelbagaian bahasa, membangun sikap sensitif jantina, membangun pemahaman kritis terhadap ketidakadilan dan perbezaan status sosial, membangun sikap anti diskriminasi etnik dan keturunan, menghargai perbezaan kemampuan fizikal, dan menghargai perbezaan usia (Ainul Yaqin, 2005). Justeru, PHAM bolehlah dijadikan teras dalam menghidupkan konsep 1Malaysia yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri.

Penutup

PHAM boleh dijadikan subjek yang berasingan ataupun dimasukkan ke dalam subjek-subjek yang lain seperti; Pendidikan Moral, Pendidikan Agama Islam ataupun subjek-subjek bahasa. Apa yang penting ialah kesungguhan kerajaan dalam menerapkan nilai-nilai kemanusiaan kepada generasi akan datang; pemimpin yang bakal mencorak kehidupan berharmoni yang lebih baik.  Bak kata hikmat daripada Bertrand Russell: The good life is inspired by love and guided by knowledge.

Nor Azwani binti Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia
19 April 2010

Kanak-kanak merupakan pemimpin generasi masa hadapan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa, guru, pemimpin dan setiap individu dalam memastikan kanak-kanak ini membesar dalam persekitaran yang harmoni, berkesefahaman dan penyayang.

Kanak-kanak juga mempunyai hak sepertimana orang dewasa. Tambahan lagi, keadaan mereka yang masih belum matang dan tidak dapat membuat keputusan dengan sendiri, menyebabkan  mereka memerlukan perlindungan dan penjagaan khas, termasuk  disediakan perlindungan undang-undang yang sewajarnya.

Mereka berhak ke atas perlindungan, hak untuk tidak didiskriminasi, hak ke atas perlindungan, hak untuk menyuarakan pendapat serta pelbagai hak-hak lain yang termaktub di dalam perjanjian antarabangsa, undang-undang serta dasar negara.

Malangnya, masyarakat Malaysia secara amnya tidak mengetahui dengan jelas bahawa kanak-kanak mempunyai hak istimewa ini. Pendapat kanak-kanak sering tidak diberikan perhatian dan tidak diberikan perlindungan yang sewajarnya. Berapa banyak kes yang dilaporkan oleh media massa tentang kes penderaan dan pembuangan bayi? Bagaimana pula dengan kes-kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak yang tidak dilaporkan?

Apa itu Hak Kanak-kanak?
Menurut Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak didefinisikan sebagai individu yang berumur di bawah 18 tahun. Hak kanak-kanak pula adalah hak-hak yang telah disenaraikan di dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Children).

Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak
Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak merupakan instrumen antarabangsa yang mempunyai ratifikasi paling banyak antara instrumen PBB yang lain. Konvensyen ini telah diterima pakai pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 20 November 1989 bagi mengiktiraf hak kanak-kanak. Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada 17 Februari 1995,  namun masih mengekalkan reservasi kepada Perkara 1, 2, 7, 13, 14, 15, 28(1)(a) dan 37.

Konvensyen ini menuntut agar kita menjadi lebih peka terhadap keperluan kanak-kanak dan mewujudkan persekitaran yang harmoni dan penyayang. Ia menggariskan hak kanak-kanak di seluruh dunia tanpa mengira jantina, agama, bangsa, kefahaman atau perbezaan. Tanggungjawab bagi memastikan perlindungan terhadap hak-hak ini terletak kepada kerajaan Negara-negara Pihak dan juga masyarakat.

Perjanjian ini menggariskan empat pengelasan hak utama iaitu;

Kehidupan
Hak kanak-kanak kepada kelangsungan hidup dan keperluan-keperluan asas untuk hak tersebut seperti makanan, air bersih dan tempat tinggal.

Ibu bapa mestilah menyediakan keperluan-keperluan asas kepada kanak-kanak mengikut kemampuan mereka. Kanak-kanak memerlukan tempat tinggal yang baik, pemakanan yang seimbang dan air yang bersih, Persekitaran yang positif, harmoni dan penyayang perlulah diwujudkan bagi memastikan kanak-kanak dapat membesar dengan baik.

Ibu bapa juga perlu menyediakan pemakanan seimbang dan berkhasiat yang mengandungi zat seperti karbohidrat, protein, vitamin dan mineral dalam memangkinkan tumbesaran kanak-kanak. Ibu bapa harus mengajar kanak-kanak untuk memilih makanan yang berkhasiat daripada memakan makanan ringan yang kurang berkhasiat.

Perkembangan
Hak kepada pembangunan potensi individu menyeluruh seperti hak kepada pendidikan, hak untuk bermain dan hak untuk menyuarakan pendapat.

Ibu bapa mestilah memberikan pendidikan kepada kanak-kanak. Pendidikan ini termasuklah mengenali tuhan, nilai-nilai murni dan persekolahan. Ibu bapa harus memupuk minat membaca dan cintakan ilmu kepada kanak-kanak. Ilmu-ilmu yang baik dan bermanfaat ini adalah untuk menyediakan kanak-kanak pada masa hadapan. 

Kanak-kanak juga diberikan kebebasan untuk bermain mengikut kesesuaian. Melalui interaksi bermain, kanak-kanak dapat mempelajari sesuatu yang bermanfaat. Sebagai contoh, mereka dapat belajar menghormati orang lain; sesuatu yang mudah seperti beratur ketika bermain atau berkongsi alat permainan bersama-sama rakan. 

Kanak-kanak juga perlu didengari. Pendapat mereka yang diambil kira oleh ibu bapa akan membuatkan mereka berasa dihargai. Dengan ini mereka bersedia untuk meluahkan perasaan atau masalah kepada ibu bapa. Terdapat banyak kes yang menunjukkan kanak-kanak atau remaja yang lebih mempercayai rakan sebaya daripada ibu bapa sendiri dalam berkongsi masalah. Ini disebabkan oleh kurangnya komunikasi di antara kanak-kanak tersebut dengan ibu bapa mereka sehingga menyebabkan kanak-kanak ini tidak berminat untuk menceritakan masalah mereka kepada ibu bapa dan keluarga.

Perlindungan
Hak kepada perlindungan daripada pengaruh-pengaruh tidak baik seperti penderaan, eksploitasi dan sebagainya.

Kanak-kanak berhak kepada perlindungan daripada sebarang keadaan yang berbahaya seperti penderaan, pencabulan dan eksploitasi. Kanak-kanak tidak seharusnya dijadikan mangsa kepada sesuatu masalah. Mereka perlu dilindungi daripada dicederakan dari segi emosi ataupun dari segi seksual.

Mereka tidak seharusnya diabaikan dan dianiaya oleh sesiapa pun. Mereka juga tidak sepatutnya didiskriminasi hanya kerana perbezaan yang terdapat pada mereka. Jika terdapatnya salah laku terhadap kanak-kanak ini, pihak-pihak berwajib harus campur tangan dan melindungi mereka melalui undang-undang yang telah diperuntukkan.

Penyertaan
Hak kepada penyertaan sepenuhnya dalam keluarga, budaya dan kehidupan sosial masyarakat setempat.

Kanak-kanak perlu diberi hak untuk mengambil bahagian dalam hal ehwal dan pembesaran mereka. Contohnya mereka ingin mendapatkan sesuatu barangan, sekiranya difikirkan sesuai, ibu bapa perlulah menyediakan barangan tersebut.

Ibu bapa juga perlu menyertakan kanak-kanak dalam aktiviti kemasyarakatan supaya dapat memupuk sifat-sifat murni dalam diri kanak-kanak. Selain itu, kanak-kanak juga perlu dididik untuk berbuat baik dan bertoleransi dengan anggota masyarakat.

Ibu bapa merupakan individu yang paling hampir kepada kanak-kanak. Seharusnya menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan kanak-kanak ini dapat menjalani kehidupan yang baik. Kesedaran terhadap hak kanak-kanak perlulah dipupuk ke dalam diri setiap individu agar mereka mengerti bahawa setiap dari kita mempunyai hak tersendiri. Kesedaran ini juga perlu dalam mengurangkan tindakan-tindakan tidak berperikemanusian sesetengah individu terhadap kanak-kanak.

Nor Azwani Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia,
ERA Consumer Malaysia

Pangkor,  17 Mei 2010 – Bahagian Hak Asasi Manusia, Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer) telah mengadakan siri program “Memperkasa Kepimpinan Wanita melalui Pendidikan Undang-undang dan Advokasi” baru-baru ini.

Program tiga hari dua malam ini telah memilih Pangkor Laut sebagai destinasi pertamanya. Beberapa orang penceramah yang berlatar belakang undang-undang dan berpengalaman telah menjemput bagi memberikan ceramah dalam program ini.


Program ulung yang dianjur dengan kerjasama Yayasan Friedrich Naumann, serta mendapat pembiayaan daripada Kesatuan Eropah ini, telah dihadiri oleh 26 orang wanita India, berumur antara 21 tahun hingga 45 tahun. Sebanyak tujuh buah topik telah dibincangkan, antaranya Hak Asasi Wanita, Pengenalan Sistem Perundangan Malaysia, Undang-undang Pengguna, Undang-undang Keluarga Sivil, Undang-undang Syariah, Undang-undang Pekerja dan Undang-undang Jenayah.

Menurut Pengarah Program dan Pembangunan Kemasyarakatan (Wanita) ERA Consumer, Nanthini Ramalo, ”Program ini merupakan antara program yang paling dinanti-nantikan oleh masyarakat India terutama sekali untuk memahami konsep perundangan dan mengetahui lunas-lunas serta prosedur yang betul dalam menyelesaikan masalah-masalah yang mereka alami.”

Selain itu, program ini juga akan memberikan tumpuan kepada golongan wanita orang Asli. ERA Consumer dalam proses untuk mendapatkan kerjasama daripada  Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) bagi mengenal pasti peserta-peserta program.

“Kumpulan sasaran kami adalah wanita India dan Orang Asli. Sebanyak 12 program akan diadakan. Kami berharap dapat mencapai objektif program ini dalam usaha untuk melengkapkan peserta-peserta program dengan pengetahuan undang-undang dan pendidikan hak asasi wanita,” tambah Nanthini lagi

Salah seorang peserta program ini, Puan Loges, 43 tahun, amat menghargai program yang dianjurkan oleh ERA Consumer. ”Banyak perkara yang sebelum ini kita tidak tahu, telah kita pelajari. Program ini bukan setakat memberi syarahan dan penerangan, tetapi juga pelbagai aktiviti dijalankan untuk menambahkan pemahaman. Jika boleh, saya mahu anak saya sertai program ini juga,” ujar beliau.

Program seterusnya akan diadakan di Taiping, Perak dan Pontian, Johor pada bulan Jun nanti.

Bahagian Hak Asasi Manusia, ERA Consumer, merupakan sebuah organisasi yang memberikan tumpuan kepada pendidikan hak asasi manusia. Antara program-program utama lain yang diadakan adalah Program Latihan Hak Asasi Manusia, Program Literasi Undang-undang dan Program Hak Sivil dan Perlembagaan. 

Nor Azwani binti Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia, ERA Consumer Malaysia
18 Mei 2010

{morfeo 4}