United Nations Children's Fund (UNICEF) menggangarkan bahawa terdapat sebanyak 158 juta kanak- kanak buruh yang berumur dari 5-14 tahun iaitu dengan nisbah 1 kepada 6 kanak- kanak di seluruh dunia.
Jutaan kanak-kanak terlibat dalam situasi berbahaya seperti bekerja di tapak perlombongan, pendedahan kepada bahan kimia dan racun perosak dalam pertanian atau bekerja dengan menggunakan mesin yang berbahaya.
Kanak- kanak ini kadang- kala bekerja dalam keadaan yang tersembunyi iaitu sebagai pembantu rumah, bengkel membaiki kereta dan motosikal, dan ladang- ladang pertanian.
Di Sub-Sahara Afrika sekitar satu daripada tiga kanak-kanak terlibat dalam perburuhan kanak-kanak yang membawa kepada 69 juta kanak - kanak. Di negara Pakistan, terdapat kira- kira 12 juta buruh kanak - kanak dan di Asia Selatan, sebanyak 44 juta kanak - kanak terlibat dalam perburuhan. Anggaran antarabangsa terkini untuk petunjuk ini telah dilaporkan dalam (Perlindungan Kanak- Kanak ) Jadual 9 -penerbitan tahunan UNICEF.
Di sesetengah negara, terdapat syarikat- syarikat yang menggunakan buruh kanak- kanak. Terdapat beberapa negara yang mempunyai undang- undang yang mengawal atau mengalang penggunaan buruh kanak –kanak. Tetapi sesetengah negara mempunyai undang- undang yang lemah dan penguatkuasaan yang tidak efektif dan tidak dapat membendung pengunaan kanak- kanak untuk berkerja.
Syarikat – syarikat seperti ini harus mempunyai tanggungjawab sosial terhadap pekerja mereka. Walaupun tidak ada undang- undang di sesebuah negara yang melarang penggunaan buruh kanak- kanak, mereka dengan sendiri harus mempunyai kesedaran ini dan tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan kanak – kanak untuk bekerja .
Laporan UNICEF juga menyatakan bahawa kanak- kanak perempuan mempunyai kecendurangan untuk dieksploitasi dan didera barbanding kanak-kanak lelaki. Sesebuah syarikat yang bertanggungjawab sosial boleh menyumbang kepada pelbagai pembangunan masyarakat dan ini secara langsung akan dapat membantu menaikkan imej syarikat tersebut.
Di negara- negara Barat, pengguna- pengguna mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap perkara ini dan mereka akan memboikot sesuatu barangan atau perkhidmatan jika ianya dikeluarkan oleh syarikat yan melibatkan buruh kanak- kanak.
Oleh itu , adalah penting untuk pengguna- pengguna di Malaysia untuk memperkasakan diri mereka dengan maklumat- maklumat seperti ini dan menjadi seorang pengguna yang lebih bertanggungjawab dan membantu membendung buruh kanak- kanak
Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia
enggunaan teknologi telekomunikasi dan internet kini kian hebat disalahgunakan oleh pembuli siber. Buli siber tidak melibatkan fizikal tetapi lebih kepada emosi. Melalui teknologi ini, terdapat ramai remaja yang dibuli, sama ada diejek, dibenci dan dipulaukan oleh orang lain melalui laman sosial, laman video dan sistem pesanan ringkas (sms).
Definisi buli siber adalah gangguan yang berterusan, sebarang penghinaan yang dilakukan di alam siber iaitu internet, tanpa wayar atau telefon ke atas remaja. Pembuli di alam siber lebih agresif kerana identiti mereka yang tidak diketahui. (AITI Cyber Safety)
Alia (bukan nama sebenar) telah memberitahu yang seorang kawannya telah memuat naik sebuah videonya ke dalam laman video Youtube. Terdapat beberapa kawan sekolahnya yang lain telah menulis beberapa komen negatif mengenai pakaiannya dan menyebutnya sebagai seorang yang pelik. Dia sangat terganggu dan tidak mahu ke sekolah kerana kejadian itu.
Buli siber boleh memberikan impak yang sangat besar kepada remaja/mangsa. Bagi sesetengah orang, sesuatu pernyataan atau video itu mungkin dianggap sebagai bahan gurauan. Tetapi kepada mangsa, perkara itu boleh memalukan dan sehingga boleh menyebabkan seorang remaja membunuh diri kerana baginya, gurauan itu adalah melampau.
Di Missouri, Amerika Syarikat, seorang remaja perempuan bernama Megan Meier, 13 tahun, telah berkenalan dengan seorang remaja lelaki melalui laman Myspace. Malangnya “remaja lelaki” berkenaan sebenarnya adalah beberapa individu dan telah mempermainkannya. Megan yang berasa kecewa akhirnya telah membunuh diri. Kejadian ini telah mengejutkan masyarakat setempat.
Ryan Halligan, 15 tahun dari Vermont pula telah dituduh sebagai gay oleh kawan sekelasnya dan dia juga telah membunuh diri kerana tidak tahan dengan tuduhan yang dilakukan melalui sistem pesanan ringkas.
Anda juga mungkin pernah mendengar kisah tentang Ghyslain Raza atau Budak Starwars yang menghabiskan satu semester persekolahannya di wad psikiatri kerana video peribadinya sedang bermain pedang dimuat naik oleh kawannya.
Walau bagaimanapun di Malaysia masih ramai yang tidak mengetahui atau tidak menganggap bahawa buli siber sebagai sesuatu yang serius. Kes yang dilaporkan kepada pihak penguatkuasa juga amat sedikit. Sehingga pada Oktober 2007, terdapat 60 kes buli siber telah dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia (ReaderDigest Asia, Phil McKenna)
Oleh itu, masyarakat, terutamanya sekali ibu bapa, perlulah memberi perhatian kepada anak-anak dan penggunaan teknologi seperti internet dan telefon bimbit. Ibu bapa perlu bertanya tentang aktiviti mereka dan memantau penggunaan internet di rumah. Mereka juga boleh memasukkan perisian yang boleh menyimpan data internet yang dilayari anak-anak (kerana jenayah ini selalunya tidak diberitahu).
Walaupun terdapat undang-undang yang digubal seperti Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun pada yang sama, pihak berkuasa juga perlu mengambil inisiatif untuk menghalang kejadian ini daripada terus berlaku melalui kempen atau program kesedaran.
Nota: S223, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998: Penyalahgunaan kemudahan atau perkhidmatan jaringan. Sebarang komen, permintaan, atau mana-mana komunikasi yang berbaur lucah, kurang sopan, tidak benar, mengganggu atau menyinggung perasaan dengan niat untuk menyerang peribadi, menyalahguna, mengugut dan menyakitkan orang lain adalah satu jenayah. Sekiranya disabitkan, seseorang itu boleh dikenakan hukuman – saman tidak melebihi RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi satu tahun.
Azwa Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia
Hak merupakan sesuatu milik semula jadi, manakala kebebasan adalah sesuatu yang kita mahukan. Pelbagai tafsiran yang dibuat dalam mendefinisikan kedua-duanya. Hak dan kebebasan merupakan dua perkara yang berbeza tetapi berada di dalam konteks yang sama. Hak adalah satu senarai hak dasar/idea abstrak mengenainya dan dimiliki oleh seseorang individu, sedangkan kebebasan adalah kemampuan individu tersebut untuk melakukan hak tersebut bilamana mahu.
Definisi dan Takrifan Kebebasan
Dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948, empat kebebasan utama yang dinyatakan adalah kebebasan kemahuan, bersuara, bebas daripada ketakutan dan kepercayaan, manakala hak asasi dihuraikan dalam 22 fasal dalam dokumen itu. Apakah definisi yang menakrifkan maksud sebenar kebebasan?
Definisi kebebasan telah menjadi perdebatan sepanjang zaman dalam kalangan pengkaji sejarah, ilmuan ahli akademik, ahli politik dan artis. Pelbagai definisi yang telah diberikan.
“Hak untuk memilih, hak untuk menciptakan diri sendiri kepada sesuatu pilihan yang berbeza. Tanpa kemungkinan dan pelaksanaan untuk memilih seseorang itu bukanlah manusia tetapi sebuah alat, benda”(Archibald MacLeaish)
“Kebebasan adalah kemampuan individu untuk diakui tentang diri mereka … Kita tidak akan bebas sehingga kita mula membebaskan pemikiran dan kehidupan dari perkara negatif di sekeliling kita” (Yasene Shpherd, 2007)
Jadi apa yang dapat ditakrifkan sebagai kebebasan bukannya mengenai hak asasi (rights) tetapi sama ada betul atau tidak (right).
Antara hak dan kebebasan
“Manusia dilahirkan bebas, namun, di mana-mana pun dia dirantai” (Jane Rousseau)
Dalam kata lain, Rousseau menyebut kebebasan adalah satu peluang kepada kita untuk membentuk diri tetapi dengan kekangan tertentu. Seseorang mempunyai kuasa untuk memilih dan melakukan apa yang mereka fikirkan. Tetapi, kebebasan “perlu” diseimbangkan dengan moral dan aturan.
Kita diberitahu bahawa kita mempunyai kebebasan untuk berfikir, berbicara, membuat pilihan, mengeluarkan pendapat dan bergerak ke mana pun yang disukai. Namun, kita dihalang dalam pelbagai cara. Sebagai contoh, kebebasan dalam memilih calon perwakilan. Demokrasi adalah ejen kepada kebebasan yang bermakna sekiranya pemilihan diadakan dengan adil yang membolehkan pemilih memilih siapapun selagimana calon yang dipilih itu adalah calon yang benar-benar akan menjalankan tugas untuk menjaga kepentingan mereka yang memilihnya. Tetapi apa yang terjadi, kita mungkin tidak bebas memilih calon layak, dan terhalang oleh konsep tiket parti politik. Perlu diingatkan bahwa, hak untuk mengundi adalah di mana keutamaan istimewa (privilege) diberikan untuk kita memilih.
Kita juga diberikan pelbagai hak yang disebut dalam dokumen penting negara dan PBB tetapi setiap satunya mempunyai kekangan dengan penjelasan. Sebagai contoh Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan menyebutkan hak tersebut bukan untuk diberi, tetapi untuk diambil kembali (Harding) kerana ia tertakluk kepada Perkara (10)2 iaitu kerajaan boleh mengawal dan mengekangnya dengan lapan hak ramai. (Wong Hon Wai, 2006)
Masyarakat terdahulu mengagungkan hak dan kebebasan dan telah berjuang bagi menyediakannya untuk generasi seterusnya. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan tradisi ini walaupun terhalang oleh pihak-pihak tertentu. Pilihan adalah di tangan kita.
Nor Azwani binti Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia
Laporan Panel Iklim Antarabangsa menyebut terdapatnya pelanggaran hak asasi manusia terutamanya yang melibatkan penurunan suhu kawasan bersalji di tanah rata dan kutub; kenaikan aras laut, suhu air, cuaca dan ombak panas, paras takat hujan, musim kemarau panjang dan juga ribut tropika (IPCC 2007, 44-47).
Hak kepada Air
Antara perkara-perkara yang menjadi kerisauan utama berkenaan hak asasi manusia adalah hak kepada air, makanan dan kesihatan. Laporan tersebut menyebut, 20 peratus manusia di dunia ini bergantung kepada sumber air sungai yang terdedah kepada banjir, manakala beratus juta penduduk India, China dan Andes bergantung kepada air berpunca daripada glasier yang mencair yang juga terdedah kepada banjir dan dan kemudiannya musim kemarau. Penduduk di kawasan Mediteranean, Amerika Barat, Afrika Selatan dan Brazil Timur akan mengalami musim kemarau yang teruk pada masa hadapan. Dalam kata lain, pembahagian dan akses kepada air akan berubah secara dramatik dalam tahun-tahun akan datang.
Hak kepada Makanan
IPCC menjangkakan bahawa yang mereka yang berhadapan dengan masalah kelaparan bakal meningkat daripada 50 juta orang pada tahun 2020 kepada 200 juta pada tahun 2080. Peningkatan suhu yang mendadak dan cuaca yang tidak menentu menyebabkan hak makanan penduduk diugut dengan kebakaran dan kerosakan tanaman. Hal ini akan memberikan impak kepada kumpulan petani dan nelayan kecil – terutamanya di Afrika dan Asia serta Australia – manakala pengeluaran makanan secara industri akan meningkat di kawasan-kawasan lain.
Hak kepada Kesihatan
IPCC menyatakan kerisauan mereka dengan peningkatan kes peningkatan kekurangan zat di Afrika, Asia dan negara tropika yang rata-rata akan memberikan kesan yang besar terhadap tumbesaran kanak-kanak. Kes malaria dijangka akan meningkat antara 200-400 juta kes tambahan dan mungkin akan merebak ke Britain, Australia dan Portugal. Seramai 3.5 bilion penduduk dunia akan terdedah kepada demam denggi. Pertubuhan WHO menjangkakan, sehingga kini, terdapat antara 150,000 penduduk dunia mati setiap hari disebabkan perubahan iklim.
Perjanjian hak asasi manusia antarabangsa tidak menyebut dengan jelas hak kepada persekitaran yang selamat dan sihat. Walau bagaimanapun, badan triti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang memantau perlaksanaan kovenan telah beberapa kali memberi penekanan kepada hubungkait antara alam sekitar dan pelaksanaan standard hak asasi manusia.
Hak untuk hidup berpaksi kepada Artikel 6, Kovenan Hak Sivil dan Politik. Dalam penjelasan umum ke6 dan 14, Majlis Hak Asasi Manusia melihat kepada cadangan hak untuk hidup tidak sepatutnya dilanggari walaupun pada masa kecemasan atau darurat.
Sumber: Climate Change violate Human Rights, Theodor Rathgeber
Azwani Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia
Pada masa ini Malaysia mengamalkan dua sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan;. Pertama adalah sistem yang dibiayai oleh cukai dan dikendalikan oleh kerajaan. Ia merupakan sistem perubatan dan kesihatan yang dapat dinikmati oleh semua rakyat. Satu lagi sistem pula yang dikendalikan oleh sektor swasta yang bertujuan untuk mendapat keuntungan.
Terdapat juga sistem yang ketiga iaitu hospital berasaskan kebajikan dan tidak berasaskan keuntungan. Namun pertumbuhan hospital ini agar terbantut kerana pertumbuhan aktif hospital swasta.
Hospital swasta telah mengalami perkembangan yang begitu pesat. Pada tahun 1980 terdapat 10 hospital swasta. Jumlah ini telah meningkat kepada 128 pada tahun 2003.
Pertumbuhan pesat hospital swasta disebabkan dua faktor utama. Pertamanya, pada tahun 1980-an, kerajaan melalui dasar penswastaan telah menggalakkan penglibatan swasta dalam pengendalian hospital. Yang kedua, dengan peningkatan pendapatan rakyat, golongan yang berpendapatan tinggi telah memilih hospital swasta berbanding hospital kerajaan.
Pada tahun 1980-an, kerajaan telah menyumbang hampir 76% kepada jumlah perbelanjaan kesihatan di negara. Pada tahun 2000-an dianggarkan sumbangan swasta kepada perbelanjaan kesihatan telah meningkat kepada lebih kurang 40%. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, sumbangan swasta kepada jumlah perbelanjaan kesihatan adalah lebih kurang 46.2%.
Walaupun, hospital swasta telah tumbuh dengan pesat, majoriti rakyat iaitu 78% masih menggunakan perkhidmatan hospital kerajaan, manakala hanya 18% menggunakan hospital swasta.
Adakah Malaysia telah memberikan peruntukan jumlah yang terlalu tinggi untuk penjagaan kesihatan? Menurut laporan WHO 2006, Malaysia telah membelanjakan kurang daripada 4% daripada KDNK, dan seterusnya 3.8% pada tahun 2003 dan 3.7% pada tahun 2004. WHO mencadangkan bahawa sesebuah negara harus memperuntukan paling minimum 5% hingga 6 % daripada KDNK untuk penjagaan kesihatan.
Pada tahun 1997, purata perbelanjaan dunia untuk penjagaan kesihatan adalah 7.9% daripada KDNK. Oleh itu, Malaysia bukannya berbelanja terlalu tinggi untuk penjagaan kesihatan, sebaliknya memberikan peruntukan yang terlalu rendah.
Adakah pertumbuhan hospital swasta yang terlalu pesat menimbulkan masalah? Pertamanya, ramai doktor dan pakar yang akan meninggalkan hospital kerajaan untuk meraih pendapatan yang lebih lumayan di hospital swasta.
Dalam satu laporan dianggarkan terdapat dua pertiga pakar bedah dan perubatan yang berkhidmat di hospital swasta berbanding dengan hospital kerajaan. Dalam laporan yang lain pula mengatakan bahawa terdapat dua kali ganda onkologis (yang merawat kanser) dalam sektor swasta berbanding dengan hospital kerajaan. Penghijrahan ini telah mengakibatkan kekurangan doktor dan pakar di hospital kerajaan. Ini menyebabkan doktor yang masih bertugas di hospital kerajaan seringkali terpaksa bekerja secara berlebihan (overworked) dan mengalami tekanan.
Keduanya, hospital swasta diwujudkan untuk mendapatkan keuntungan. Oleh kerana caj rawatan masih belum dikawal oleh kerajaan, maka seringkali bayaran perkhidmatan yang dikenakan terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar oleh rakyat biasa. Maka perkhidmatan ini lebih tertumpu kepada pesakit yang berada sahaja.
Hospital swasta boleh dianggap sebagai satu kontradiksi terhadap peranan kerajaan untuk menjamin kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia dalam isu kesihatan.
Keadaan ini bertambah buruk apabila kerajaan berura-ura untuk menukar sistem yang berasaskan cukai yang diamalkan pada masa ini kepada sistem insurans, iaitu rakyat terpaksa menangggung kos kesihatan sendiri melalui sistem insurans kesihatan.
Walaupun sistem kesihatan kerajaan mempunyai banyak kelemahan, termasuk pesakit yang terpaksa menunggu lama untuk mendaptkan rawatan, namun tidak dapat dinafikan bahawa sistem ini adalah sistem yang membolehkan semua rakyat khususnya golongan miskin untuk mendapat kemudahan rawatan dan perubatan. Sewajarnya kerajaan memperbaiki sistem yang sedia ada daripada mencari kaedah lain untuk membiayai sistem kesihatan.
Kerajaan tidak harus melepaskan hak kepada keperluan asas ini kepada sektor swasta. Percubaan Sime Darby untuk `merampas’ Institut Jantung Negara pada satu ketika dahulu menunjukkan ketamakan sebuah syarikat berasaskan kerajaan untuk mencari keuntungan daripada kesusahan rakyat, Bantahan terhadap `rampasan’ ini oleh FOMCA dan pertubuhan sivil yang lain telah mematikan usaha syarikat ini.
Pengguna di Malaysia hendaklah bersedia untuk berjuang bagi memastikan, sama ada syarikat yang tamak atau kawal selia kerajaan yang lemah, tidak menjejaskan hak mereka untuk menikmati kemudahan kesihatan. Hak kepada kesihatan adalah hak asasi manusia. Kita tidak sekali-kali boleh membenarkan sesiapapun mencabul hak kita ini.
Dato’ Paul Selva Raj
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia
Perlembagaan Persekutuan merupakan dokumen perundangan utama Malaysia yang mana telah didrafkan pada 1955 oleh sesbuah Jawatankuasa kerja yang dianggotai oleh perwakilan British, penasihat-penasihat Majlis Raja-raja dan ketua-ketua ahli politik. Draf itu kemudiannya telah dihalusi oleh Suruhajaya Reid yang membawa kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Hak asasi manusia telah disenaraikan di dalam Bahagian II Perlembagaan Malaysia dan mempunyai sembilan fasal. Antaranya adalah;
Fasal 5: Kebebasan individu
Fasal 6: Larangan perhambaan dan buruh paksa
Fasal 7: Perlindungan dari undang-undang retrospektif and perbicaraan berulang-ulang
Fasal 8: Kesamarataan
Fasal 9: Larangan buang negara dan kebebasan bergerak
Fasal 10: Kebebasan bersuara, berhimpun dan berpesatuan
Fasal 11: Kebebasan Beragama
Fasal 12: Hak kepada pendidikan
Fasal 13: Hak Terhadap Harta
Melihat dari senarai di atas, dapat kita sebutkan, secara dasarnya Perlembagaan Persekutuan menyebut mengenai hak asasi manusia dan menjadi rujukan utama kepada hak asasi manusia di Malaysia. Dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan perlanggaran atau penafian hak-hak ini, dokumen asas perlembagaan negara inilah yang acapkali digunakan oleh pengamal-pengamal undang-undang.
Keadaan ini seolah-olah negara kita terikat kepada hanya satu dokumen dan menolak tepi dokumen-dokumen antarabangsa yang lain, sedangkan Malaysia merupakan sebuah negara ahli dan menerima pakai dokumen seperti Perisytiharan Universal Hak Asasi Manusia, Konvensyen Anti Diskriminasi terhadap Pendidikan, Konvensyen Hak Kanak-kanak mahupun Konvensyen Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita. (Prof Aziz Bari)
Kewujudan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dilihat sebagai institusi penting dalam mempromosikan pendidikan hak asasi manusia kepada rakyat Malaysia. Badan itu juga perlu lebih proaktif dalam menjalankan program pendidikan hak asasi manusia supaya rakyat, terutamanya masyarakat di luar bandar dapat memahami hak-hak mereka.
NGO-NGO yang bertunjangkan hak asasi manusia juga perlu memikul tanggungjawab mendidik hak asasi manusia kepada masyarakat. Justeru itu, ERA Consumer Malaysia, dengan pembiayaan oleh Yayasan Friedrich Nauman, telah menerbitkan sebuah manual bertajuk “Perlembagaan Persekutuan: Buku Panduan Untuk Warga Malaysia” yang memberikan pengetahuan tentang Perlembagaan Persekutuan. Manual ini boleh didapati oleh peserta-peserta program “Bengkel Perlembagaan Persekutuan” yang diadakan di seluruh Semenanjung Malaysia.
Azwa Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia, ERA Consumer Malaysia
Parlimen Malaysia telah meluluskan Rang Undang-undang Perlindungan Pemberi Maklumat yang bakal berkuatkuasa pada 15 Disember ini. Akta yang digubal berdasarkan kepada akta yang sama terdapat di United Kingdom dan Amerika Syarikat ini telah dibentangkan pada awal Mei tahun ini. Akta ini juga merupakan inisiatif perundangan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam memerangi rasuah dan salah laku penyelewengan.
Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan sebagai pemberi maklumat atau ‘whistle blower’. ‘Whistle blower’ diambil daripada perbuatan polis Inggeris yang meniup wiselnya apabila melihat sesuatu kejadian jenyah. ‘Whistle blower’ kini lebih dikenali sebagai pemberi maklumat; individu yang melaporkan salah laku, memberi maklumat tentang rasuah dan penyelewangan di dalam mana-mana organisasi atau agensi.
Perlaksanaan akta ini bererti Malaysia memenuhi satu lagi konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani rasuah. Akta ini memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat daripada diambil tindakan undang-undang sivil atau jenayah terhadapnya berdasarkan tuduhan yang dibuatnya. Ia juga memberi perlindungan daripada kecaman pihak-pihak tertentu. Tuduhan yang dibuat akan dinilai dan disiasat mengikut prosedur yang berkenaan.
Walau bagaimanapun, perlindungan dalam akta ini masih terhad apabila pemberi maklumat hanya akan dilindungi sekiranya mereka tidak menyampaikan maklumat kepada media. Datuk Liew Vui Kong, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga menyebut, pemberi maklumat yang mengeluarkan kenyataan kepada media tidak terlindung di bawah akta ini. Pada hakikatnya, medialah yang bakal ‘memaksa’ pihak berwajib untuk mengambil peduli kes tersebut dan menyelesaikannya.
Pada awal Disember lalu, saya telah menyertai 4th Human Rights Defender Forum anjuran FORUM-Asia di Manila, Filipina dan bertemu dengan Rodolfo Noel Lozada Jr., seorang pemberi maklumat yang telah berani melaporkan salah laku Jose Miguel Arroyo yang telah memberikan sejumlah besar kontrak kepada ZTE, sebuah firma telekomunikasi dari China. Rodolfo atau lebih dikenali sebagai Jun Lozada merupakan mantan presiden Philipines Forest Corporation di bawah Bahagian Alam Sekitar dan Sumber Alam Filipina.
Beliau telah berkongsi pengalamannya semasa mendapatkan perlindungan daripada pihak-pihak tertentu yang lebih menginginkan beliau ‘hilang’. Mujurlah, ada teman yang sudi membantunya dan menyembunyikan beliau sekeluarga di sebuah bilik kecil. Tidak tahan dengan penderitaan keluarganya, Jun Lozada telah menghubungi pihak media dan menceritakan segala-galanya. Beliau menyebut, sekiranya beliau tidak menghubungi media pada waktu itu, mungkin telah terlambat baginya dan keluarga. Menurutnya, media Filipina memainkan peranan penting bagi keselamatannya.
Azwa Abd Rahman
ERA Consumer Malaysia
Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya dan protokol pilihannya telah diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di ibu pejabat di New York pada 13 Disember 2006. Ia telah dibuka untuk ditandatangan dan diratifikasi sejak 30 Mac 2007.
1. Kenapa konvensyen ini diwujudkan?
a. Untuk memupuk, melindungi dan memastikan Orang Kurang Upaya (OKU) menikmati hak secara sama rata dan bebas.
2. Apakah prinsip konvensyen ini?
a. Menghormati maruah setiap individu
b. Tiada diskriminasi
c. Menggalakkan penglibatan sepenuhnya
d. Menghormati perbezaan dan menerima OKU sebagai sebahagian daripada masyarakat
e. Memberi peluang yang sama
f. Kesamaan bagi lelaki dan perempuan
g. Menghormati hak kanak-kanak OKU
3. Apakah hak khusus dalam konvensyen ini?
a. Hak kesamaan dari segi perundangan tanpa diskriminasi
b. Hak untuk kehidupan
c. Hak kebebasan dan keselamatan individu
d. Hak untuk bebas daripada penyeksaan
e. Menghormati integriti fizikal & mental
f. Hak untuk pendidikan, kesihatan dan pekerjaan
g. Hak unutk terlibat dalam politik, aktiviti awam dan kesenian dengan bebas
4. Berapa buah negara yang telah menandatangani dan meratifikasi Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya setakat kini?
a. 147 negara telah menandatangani, contohnya: Australia, Bhutan, China, Thailand (pada tahun 2007)
b. 96 negara telah meratifikasi, contoh: Australia, China, Thailand (pada tahun 2008)
5. Adakah Malaysia telah menandatangani dan meratifikasi Konvensyen ini?
a. Malaysia telah menandatangani konvensyen ini pada 8 April 2008
b. Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada 19 Julai 2010
6. Apakah erti ratifikasi ini?
a. Kerajaan yang telah meratifikasi konvensyen ini bersetuju untuk berusaha dengan sedaya yang boleh untuk menguatkuasakan artikel yang tersirat dalam konvensyen ini, contoh: artikel 7 – kanak-kanak OKU & artikel 9 – kebolehaksesan
7. Apakah tanggungjawab Malaysia selapas ini?
a. Kerajaan Malaysia perlu memastikan artikel yang tersenarai dalam konvensyen dipatuhi. Sebagai contoh, artikel 9 – kebolehaksesan → bagi membolehkan golongan OKU hidup secara berdikari dan terlibat sepenuhnya dalam masyarakat, pihak kerajaan perlu memastikan akses OKU kepada alam sekitar, pengangkutan awam, informasi dan komunikasi, kemudahan dan perkhidmatan awam di bandar dan luar bandar adalah pada hak yang sama dengan orang lain.
8. Bagaimanakah konvensyen ini dipantau?
a. Konvensyen ini dipantau dalam konteks kebangsaan dan antarabangsa.
b. Dalam negara, satu rangka kerja perlu diwujudkan bagi mengukuhkan promosi serta implementasi konvensyen ini.
c. Di arena antarabangsa, satu Jawatankuasa Hak OKU akan ditubuhkan, yang akan akan mengkaji laporan yang dihantar tentang perlaksanaan konvensyen dan berhak menyoal berdasarkan status yang dibentang.
9. Bolehkah orang awam membuat cadangan tentang pelaksaan konvensyen ini?
a. Orang awam boleh membuat cadangan atau mengadu
b. Dalam protokol pilihan konvensyen ini, orang awam boleh mengadu kepada Jawatankuasa Hak OKU sekiranya negara itu tidak melaksanakan tanggungjawab yang tertakluk kepada konvensyen.
c. Selepas aduan atau cadangan diterima dan dikaji, negara tersebut akan diminta untuk memberikan penjelasan dan bertindak atas cadangan yang diterima
10. Siapakah yang akan bermanfaat selepas ratifikasi konvensyen ini?
a. Ia akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
b. Semua orang akan menjadi tua dan berkemungkinan menjadi kurang upaya satu hari kelak. Oleh itu ia adalah untuk kebaikan semua orang.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
Hari ini, 10 Disember 2010 merupakan tarikh keramat yang telah dipilih bagi menyambut Hari Hak Asasi Manusia Sedunia. Pada hari yang sama, 62 tahun yang lalu, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menggunapakai Deklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR) yang mana merupakan perjanjian pertama dunia mengenai hak asasi manusia dalam melindungi dan mempromosikan hak asasi. Dan mukadimah Deklarasi tersebut: "Semua manusia dilahirkan saksama dan mempunyai hak serta kebebasan tersendiri" dipegang utuh sehingga kini.
Tahun ini, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu memilih tema "Pejuang Hak Asasi Manusia dan Diskriminasi: Nyatakan dan Hentikan Diskriminasi' bagi meraikan mereka yang berjuang menentang diskriminasi di seluruh dunia.
Kebanyakan mereka ini tidak dikenali tetapi berjiwa kental dalam memerangi penafian hak asasi manusia, melindungi mangsa-mangsa dan mendapatkan keadilan bagi mereka dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kita sebenarnya boleh mengenali pejuang-pejuang hak asasi ini, hatta di jalanan, yang lantang melaungkan keadilan dan kebebasan. Dan yang pasti, setiap dari kita yang menyuarakan hak masing-masing - tidak kiralah dalam apa isu sekalipun - adalah juga merupakan seorang pejuang hak asasi.
Salam Hari Hak Asasi Manusia, Malaysia!
Page 3 of 5