KUALA LUMPUR - Kemudahan untuk orang kelainan upaya (OKU) di ibu negara akan ditambah dan dipertingkat bagi memastikan golongan itu dapat menjalankan urusan harian dengan lebih selesa dan selamat.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kajian mengenai perkara itu akan dilakukan oleh pihak kementerian dan agensi di bawahnya.
Antara kemudahan untuk OKU yang akan ditambah ialah laluan khas atau tanjakan untuk memasuki bangunan, laluan pejalan kaki yang lebih mesra OKU terutama untuk yang berkerusi roda dan cacat penglihatan serta tandas untuk OKU.
"Ada beberapa tempat yang langsung tak ada kemudahan untuk golongan OKU...justeru kementerian menerusi pelbagai agensi di bawahnya akan melakukan tinjauan di sekitar ibu kota dan merangka pelan untuk pembinaan kemudahan OKU kelak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program OKU Sahabatku Fun Ride 2.0 anjuran Yayasan Prihatin Insan (YPI) di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi YPI Ishak Ismail dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan. - K! ONLINE
CHERAS : Golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini akan terus diperkasa dan dibela menerusi Pelan Induk Aksesibiliti.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mesyuarat yang dipengerusikannya 13 November lalu telah bersetuju mengambil beberapa pendekatan terhadap golongan berkenaan.
Read more: Pelan Induk Aksesibiliti perkasa golongan OKU - Wan Azizah
engendali penerbangan tambang murah AirAsia telah memutuskan untuk tidak menggunakan perkhidmatan ‘aerobridge’ di lapangan terbang baru iaitu KLIA 2 yang bakal dibuka pada tahun hadapan.
‘Aerobridge’ merupakan laluan penghubung bagi penumpang memasuki pesawat dari terminal tetap atau sebaliknya.
Di lapangan terbang baru, ‘aerobridge’ tidak akan disediakan di setiap terminal yang berhubung dengan pesawat. Menurut Ketua Eksekutif AirAsia, hanya 6 hingga 8 ‘serobridge’ disediakan semasa cuaca buruk atau hujan lebat sahaja dan bukannya untuk tujuan kegunaan penumpang.
Penolakan penggunaan aerobridge ini akan menimbulkan masalah, jika pada satu masa tertentu, semua pesawat mempunyai penumpang yang menggunakan kerusi roda atau memerlukan kegunaan ‘aerobridge’, bagaimana keperluan mereka dapat dipenuhi?
Pada masa sekarang, di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), tiada ‘aerobridge’ digunakan dan hanya ‘ambulift’ disediakan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) seperti penumpang yang menggunakan kerusi roda.
Manakala, ‘ambulift’ ini juga tidak disediakan di setiap lapangan terbang di Malaysia yang tidak mempunyai ‘aerobridge’. Oleh itu ia memang menimbulkan masalah pada golongan yang memerlukannya.
Di samping itu, keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila ‘ambulift’ digunakan oleh pihak lain, penumpang yang menggunakan kerusi roda terpaksa diangkat dari lapangan ke atas pesawat atau sebaliknya.
Bagi lapangan terbang yang tidak mempunyai ‘aerobridge’ atau ‘ambulift’, golongan OKU yang menggunakan kerusi roda ataupun golongan yang mempunyai mobiliti yang kurang tidak dapat ke tempat tersebut.
Ini telah menyekat hak mereka untuk ke sesuatu tempat. Jika ‘aerobridge’ tidak disediakan di lapangan terbang baru, golongan OKU akan terpinggir daripada sektor pelancongan.
Menurut AirAsia, perkhidmatan ‘aerobridge’ yang terbabit boleh menjejaskan konsep penerbangan tambang murah. Namum, keperluan manusia perlu dipertimbangkan di tempat pertama.
Dalam Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Artikel 9, Kebolehaksesan (Accessibility) menyatakan bahawa:
- Untuk memastikan seseorang OKU hidup dengan berdikari dan mengambil bahagian sepenuhnya dalam kehidupannya, kerajaan perlu memastikan bahawa akses OKU ke alam sekitar, pengangkutan awam, informasi dan komunikasi, kemudahan dan perkhidmatan awam sama ada di dalam atau luar bandar adalah sama rata dengan orang lain.
Malaysia telah menandatangani Konvensyen Hak OKU ini. Oleh itu, dengan adanya ikatan kerajaan Malaysia pada konvensyen ini, maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kemudahan yang mesra OKU disediakan.
‘Aerobridge’ sememangnya satu keperluan kepada golongan OKU, warga emas dan ibu mengandung apabila mereka ingin menggunakan kapal terbang. Jika ‘aerobridge’ disediakan, mereka tidak perlu berjalan jauh dan memanjat anak tangga seperti di LCCT sekarang.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
Reka bentuk sejagat (Universal Design) merupakan satu reka bentuk mesra orang ramai yang dicipta untuk kegunaan semua lapisan masyarakat, termasuk orang tua, kanak-kanak, orang yang berjalan dengan menggunakan troli, ibu mengandung, orang kurang upaya (OKU) atau orang biasa.
Ia bertujuan untuk menampung keperluan orang ramai, yang bukannya reka bentuk yang dicipta khas, tetapi reka bentuk mesra yang disetujui orang ramai. Reka bentuk sejagat tidak dikategori untuk kegunaan OKU atau kanak-kanak atau ibu mengandung sahaja, tetapi boleh digunakan oleh orang yang berupaya dan orang yang tidak berupaya.
Reka bentuk sejagat tidak sama dengan reka bentuk bebas halangan. Reka bentuk bebas halangan merupakan satu ciptaan yang memerlukan halangan dialihkan bagi tujuan kegunaan OKU dan hanya khas untuk kegunaan OKU sahaja.
Penduduk Malaysia telah mencecah 28 juta. Daripada jumlah tersebut, golongan usia emas dijangka akan mencapai lebih daripada 1.3 juta orang atau 4.8 peratus, golongan OKU pula kira-kira 2.8 juta orang atau 10 peratus dan golongan kanak-kanak yang membentuk kira-kira 8 juta orang atau 32 peratus. Justeru, kira-kira 12 juta orang penduduk memerlukan pemerhatian yang khusus.
Namun, infrastruktur yang dibina pada masa ini tidak memenuhi keperluan golongan-golongan ini. Setiap kemudahan dibina tidak mematuhi standard yang ditetapkan, ataupun kemudahan itu dibina dengan halangan.
Jika kerajaan hanya mengalihkan halangan untuk keperluan golongan OKU, bagaimana pula dengan golongan yang lain. Jadi, reka bentuk sejagat merupakan satu reka bentuk yang dapat memenuhi keperluan orang ramai.
Kerajaan sepatutnya membina sesuatu kemudahan yang dapat menampung keperluan semua golongan. Sebagai contoh, bagi pintu masuk, tangga akan dibina, tetapi jika satu lerengan dibina selain daripada tangga itu, ia memanfaatkan semua orang.
Semua pihak boleh menaikinya dengan mudah, termasuk pengguna berkerusi roda, orang tua, orang yang membawa kereta bayi. pengguna yang menolak troli, orang yang bertongkat dan kanak-kanak.
Pada masa ini negara kita mempunyai Standard Malaysia (Malaysian Standard – MS) yang dibangunkan untuk golongan OKU. Tetapi standatd ini tidak digunakan dengan meluas. Walaupun Undang-undang Kecil (Uniform Building By-Laws, UBBL) menyatakan isu kemudahcapaian dalam fasa 34A, namun ia tidak merujuk kepada MS yang sedia ada.
Akta OKU 2008 juga tidak menetapkan sebarang hukuman bagi pihak yang tidak menyediakan kemudahan mesra OKU. Jadi ia tidak dapat menjamin kesejahteraan bagi golongan OKU.
Golongan OKU merupakan sebahagian rakyat Malaysia. Oleh itu sebarang bentuk pembangunan perlu mengambil kira keperluan mereka.
Kesimpulannya, golongan OKU boleh berdikari dengan adanya reka bentuk sejagat yang sememangnya disediakan untuk menampung keperluan mereka. Selain itu, orang lain juga dapat menikmati manfaat daripada reka bentuk sejagat.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malays
Menurut Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), 10% daripada penduduk dunia (650 juta orang) adalah golongan yang mempunyai kecacatan. Selain itu, satu perempat daripada seluruh warga negara di negara-negara maju adalah berusia 60 tahun atau lebih tua dan pada tahun 2050, sebahagian besar negara-negara membangun juga akan mempunyai situasi ini.
Melihat kepada kesan situasi ini yang dikatakan boleh mempunyai impak yang sangat besar kepada situasi sosial dan ekonomi di negara-negara di seluruh dunia, edisi September majalah ISO Fokus +, majalah ISO (Pertubuhan Antarabangsa untuk Standardisasi) mengeluarkan laporan khas mengenai isu ini iaitu isu Accessibility atau juga dikenali sebagai kebolehcapaian.
Dalam masyarakat bermaklumat sekarang ini, aksesibiliti yang baik diperlukan ketika menangani teknologi seharian, dari telefon bimbit sehingglah ke alat-alat kegunaan isi rumah untuk tujuan domestik.
Tema Accessibility ini dikembangkan melalui jawatankuasa kerja ISO dari pelbagai pihak- pihak berkepentingan dan dari pelbagai aspek. Terdapat beberapa jawatankuasa yang terlibat untuk melihat isu ini. Terdapat pelbagai rencana dalam terbitan ini yang merangkumi subjek seperti aksesibiliti dalam persekitaran harian manusia.
Mereka menunjukkan bagaimana standard ISO sebagai satu alat yang kukuh bagi mengatasi masalah ini dan membantu pengilang, kerajaan, penguatkuasa, perancang dan arkitek merancang produk dan perkhidmatan untuk meningkatkan kualiti hidup untuk semua.
Rencana- rencana lain pula menggariskan bagaimana standard antarabangsa dapat membantu keperluan orang tua ,orang kurang upaya, dan bagaimana produk dan perkhidmatan dapat disesuaikan dengan pengguna yang berbeza.
Majalah ini juga dilengkapi dengan wawancara eksklusif dengan Dr Andrew S. Imada, Presiden Persatuan Antarabangsa Ergonomi (IEA). Beliau menyatakan, "Aksesibiliti serta ergonomik, menekankan keperluan untuk fokus pada manusia ketika merancang produk dan perkhidmatan."
Aksesibiliti juga merupakan inti dari tema tahun ini untuk Hari Standard Sedunia pada tanggal 14 Oktober iaitu - "Standards make the world accessible for all” Isu ini akan diteliti di satu bengkel antarabangsa pada 3-4 November 2010 di Geneva, Switzerland, untuk meninjau dan menyemak standard yang diperlukan untuk memudahkan pembangunan yang boleh dicapai di seluruh dunia.
Mohana Priya,
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia
Pembentukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah membentuk satu pelan pembangunan bagi sistem pengangkutan awam di Malaysia.
Pelan pembangunan itu termasuk dasar-dasar yang akan mencakupi rangka kerja menyeluruh iaitu melibatkan aspek keselamatan pengguna, kecekapan perkhidmatan, rangkaian bersepadu, pengawasan yang berkesan, perancangan bersepadu dan pelaksanaan yang mapan.
Kerajaan telah menunjukkan initiatif untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam. SPAD akan bertanggungjawab mengawal selia dan merancang perkhidmatan ini termasuk rel, bas dan teksi. Antaranya, masalah kesinambungan yang dihadapi semua pengguna perlu diutamakan.
SPAD akan memberi lonjakan baru kepada sistem pengangkutan awam darat terutama di bandar. Ia bertanggungjawab mengemukakan cadangan relevan kepada kerajaan mengenai segala perkara berhubung dengan dasar yang dibangunkan.
Pengerusi SPAD menyatakan bahawa suruhanjaya akan merealisasikan maklamat yang ditetapkan secara holistik dan bukan untuk tujuan tertentu sahaja. Pelan jangka masa panjang akan dikaji. Namun adakah Malaysia berkeupayaan untuk mempertahankan pendekatan holistik ini?
Kesinambungan dan kebolehaksesan merupakan dua unsur yang tidak boleh dipisahkan daripada perkhidmatan pengangkutan awam. Kesinambungan bererti satu sambungan dari rumah ke pengangkutan awam ke destinasi dan sebaliknya. Kebolehaksesan diperlukan untuk penggunaan semua orang, sama ada orang tua, perempuan mengandung, kanak-kanak ataupun orang kurang upaya.
Walau bagaimanapun, kerajaan tidak dapat menyediakan satu-satu sistem yang sempurna berasaskan teori yang mudah ini. Kita boleh lihat banyak stesen bus yang dibina di kawasan yang jauh dari jalan utama yang menyebabkan pengguna tidak dapat akses ke stesen bus itu. Isu kebolehaksesan merupakan masalah yang menghantui para pengguna OKU.
Oleh sebab SPAD masih dalam peringkat awal penubuhannya, maka keperluan OKU perlu dipertimbangkan. Pembentukan jawatankuasa OKU di SPAD adalah wajar untuk dipertimbangkan. Sebenarnya, ini merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dapat dinilai oleh pengguna.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan Malaysia akan meratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsan-Bangsa Bersatu tentang Hak OKU pada masa akan datang. Artikel 9 dalam konvensyen menyatakan kebolehaksesan merupakan salah satu ciri untuk penyertaan adil OKU dalam masyarakat.
Jadi, Malaysia harus membangunkan dasar pengangkutan awam yang bersesuaian dengan golongan OKU.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini seolah-olah tidak dihormati oleh orang ramai. Begitu juga keperluan OKU sering tidak menjadi keutamaan dalam dasar kerajaan. Ini menyebabkan kehidupan OKU semakin sengsara akibat reka bentuk bangunan yang tidak mesra OKU.
Dalam Persidangan Rekabentuk dan Kemudahcapaian Sejagat yang diadakan pada awal bulan Mac tahun ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah berjanji bahawa apabila Malaysia meratifikasikan Konvensyen untuk Hak Orang Kurang Upaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, maka kemudahan awam di Malaysia akan lebih akses kepada OKU. Namun begitu, bagi golongan OKU kerajaan tidak begitu minat ke arah perubahan tersebut.
Bangunan kerajaan yang sepatutnya menyediakan ruang yang cukup untuk pergerakan OKU, tetapi ia tidak dilaksanakan. Semua bangunan dan premis kerajaan tidak dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU.
Sebagai contoh, bangunan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, terdapat lerengan berdekatan dengan pintu masuk, tetapi disediakan tempat letak kereta OKU. Selain itu, motosikal dan kereta diparkir merata-rata tempat sehingga menghalang laluan ke lerengan tersebut.
Keadaan ini sudah pasti akan menghalang OKU yang berkerusi roda atau bertongkat, menggunakan lerengan tersebut. Selain itu, lerengan yang disediakan itu tidak mencapai tujuan asalnya.
Dalam pada itu, kemudahan-kemudahan yang dilabelkan untuk kegunaan OKU sememangnya tidak dapat menampung keperluan OKU. Sebarang reka bentuk untuk kegunaan OKU sepatutnya selaras dengan keperluan mereka. Namun, di Malaysia, sebarang reka bentuk adalah untuk kegunaan pihak pemilik bangunan sahaja.
Ketidakcapaian kepada persekitaran yang mesra OKU ini menunjukkan ketidakupayaan pihak berkuasa untuk memenuhi keperluan OKU. Walaupun kerajaan telah meratifikasikan Konvensyen untuk Hak Orang Kurang Upaya, tetapi sehingga kini keperluan untuk OKU masih belum dipenuhi.
Oleh itu, kerajaan perlu memandangkan serius terhadap keperluan OKU selaras dengan Konvensyen untuk Hak Orang Kurang Upaya agar golongan ini dapat diterima dalam masyarakat dan kualiti hidup mereka dapat dipertingkatkan.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
20 April 2010
Pengangkutan awam merupakan unsur utama bagi seseorang untuk menerokai sesebuah Bandar. Sistem pengangkutan awam adalah perkhidmatan pengangkutan penumpang bersama yang sedia untuk digunakan oleh masyarakat umum, di antaranya teksi, bas, LRT, keretapi, feri dan kapal terbang.
Pengangkutan awam tidak dapat dielakkan bagi kemajuan sesebuah Negara. Ia penting kepada semua orang terutamanya bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Pengangkutan awam juga merupakan satu aspek yang penting bagi industri pelancongan di sesebuah negara sedang membangun seperti Malaysia. Pelancong bergantung kepada pengangkutan awam untuk menjelajahi sekitar Malaysia.
Satu faktor yang penting berkaitan pengangkutan awam bagi pengguna ialah kebolehaksesan, iaitu sistem pengangkutan awam yang boleh diguna dan diakses oleh semua orang, termasuk OKU, wanita mengandung, warga emas, orang berjalan dengan troli atau kereta bayi.
Di Malaysia, kebolehaksesan menjadi halangan utama bagi golongan OKU untuk menyertai aktiviti sosial dan ekonomi seharian, seperti bekerja, membeli-belah, bersenaman atau berekreasi. Kekurangan ini menjejas kualiti hidup golongan OKU.
Kebolehaksesan sistem pengangkutan awam tidak terhad pada bas sahaja, tetapi perlu mempertimbangkan infrastruktur yang sedia ada. Infrastruktur yang berkaitan adalah seperti pejalan kaki, stesen bas dan hub pengangkutan.
Sebagai contoh, walaupun bas menyediakan kemudahan bagi pengguna OKU yang berkerusi roda, tetapi pengguna kerusi roda masih tidak dapat menggunakan perkhidmatan bas itu, kerana mereka tidak dapat keluar dari rumah akibat keadaan persekitaran yang tidak mesra OKU.
Perjalanan seseorang bermula dari:
- Rumah
- Pengangkutan awam
- Destinasi
- Pengangkutan awam
- Rumah
Bermula dari rumah, beliau memerlukan pengangkutan awam untuk sampai ke destinasi. Kemudian dari destinasi tersebut, beliau sekali lagi menggunakan pengangkutan awam untuk balik ke rumah. Ini menunjukkan betapa pentingnya pengangkutan awam kepada seseorang sama ada OKU ataupun orang biasa.
Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, OKU yang berdaftar adalah kira-kira 280 ribu orang, dan terdapat ramai lagi yang tidak berdaftar. Untuk menaikkan taraf hidup golongan OKU, mereka perlu berdikari dan pengangkutan awam memainkan peranan yang penting dalam kehidupan OKU.
Kesimpulannya, kepentingan kebolehaksesan pengangkutan awam memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat, khususnya OKU bagi membolehkan mereka dapat turut serta dan memainkan peranan berkesan dalam masyarakat. Oleh itu, tanggungjawab kerajaan untuk menaiktaraf sistem pengangkutan awam yang sedia ada bagi manampung keperluan semua orang.
Sam Wong Chin Kah
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
8 Jun 2010
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan 10 peratus daripada jumlah penduduk di dunia ini. 80 peratus daripada golongan OKU ini berada di negara-negara membangun.
Malaysia mempunyai penduduk seramai lebih kurang 28 juta orang. Berdasarkan statistik PBB itu, jumlah OKU di Malaysia dianggarkan seramai 2.8 juta orang. Namun begitu, OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 280 ribu sahaja, 10% daripada anggaran penduduk OKU di negara kita.
Jumlah ini tidak menggambarkan keadaan yang sebenar bagi golongan OKU di negara kita. Sebahagian besar golongan OKU diabaikan oleh pihak kerajaan, yang keperluan mereka tidak dipertimbangkan. Oleh itu, mereka tidak dapat menikmati kemajuan negara.
Golongan OKU perlu diberikan keutamaan, namun dalam konteks Malaysia, golongan OKU tidak didahulukan, malah sering diketepikan. Malaysia telah menandatangani Konvensyen Mengenai Hak OKU Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi hak OKU tidak diberikan dengan sama rata.
Konvensyen ini menjamin golongan OKU menikmati peluang yang setara dengan orang upaya serta penyertaan penuh serta efektif dalam masyarakat di semua aspek kehidupan - aksesibiliti, mobiliti, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, pemulihan dan penyertaan dalam bidang politik, ekonomi dan sosio budaya. Biarpun begitu, keadaan ini berbeza di Malaysia, OKU tidak diberi peluang untuk memajukan mereka.
Apabila jumlah OKU di sesuatu kawasan tidak diketahui, sememangnya kita telah gagal merancang untuk mereka. Sebagai contoh, sekolah-sekolah khas tidak dapat disediakan, kemudahan-kemudahan mesra OKU juga tidak dapat dibekalkan dan peluang pekerjaan tidak dapat memenuhi keperluan jumlah OKU yang berkemampuan untuk bekerja.
Pendaftaran OKU adalah secara sukarela, dan usaha JKM untuk mendaftarkan OKU pun secara sukarela. Justeru, statistik yang diperolehi adalah tidak tepat. Apabila jumlah OKU tidak dapat dikenal pasti, maka pelan pembangunan negara tidak dapat memenuhi keperluan mereka.
Kesimpulannya, pendaftaran OKU adalah penting. Dengan berpandukan kepada data yang sedia ada, kerajaan dapat merancang pembangunan negara dengan mempertimbangkan keperluan OKU, dan OKU dapat menyumbangkan tenaga mereka dalam kemajuan Negara.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
14 April 2010
Page 1 of 2
