Berita Harian, Khamis, 22 March 2018, 6:56pm

PETALING JAYA: Forum Air Malaysia (FAM) menggesa semua pengusaha air memperbaiki kualiti pengurusan dan perancangan bekalan air untuk pengguna. Perkara itu dinyatakan bersempena sambutan Hari Air Sedunia yang berlangsung hari ini. Presidennya, Saral James, berkata akses kepada air di seluruh negara perlu berterusan, dipercayai dan selamat serta perlu dicapai melalui kerjasama semua pihak berkepentingan. "Kami mahu menekankan bahawa akses kepada air sebagai keperluan asas mesti diperbaiki. Pengguna membayar air supaya mereka mempunyai hak mendapatkan perkhidmatan terbaik.

"Ini juga membabitkan isu air yang berlaku di Selangor baru-baru ini. Jelas terlihat kita perlu melakukan lebih lagi bagi melindungi hak orang awam sebagai pengguna," katanya pada sidang media Hari Air Sedunia, yang diadakan, di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman. Saral berkata, bagi isi rumah di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor, kebanyakan sumber air disediakan tidak boleh dipercayai menyebabkan persatuan itu menerima banyak aduan mengenai isu air.

"Melalui masalah isu air di Selangor, kami mendapat aduan walaupun sesetengah isi rumah mendapat akses kepada bekalan air selepas pemotongan air, sesetengah pengguna di kawasan itu masih mengadu mereka mendapat bekalan air rendah. "Kami menyedari pengguna air melalui perjalanan sukar apabila pemotongan air berlaku selama empat hari di Selangor, selain aduan masalah tekanan air rendah selepas mendapat bekalan air," katanya. Katanya, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) juga gagal menyediakan jadual masa kepada pengguna berhubung bantuan tangki air di kawasan tiada air itu.

"Mereka gagal berkomunikasi dengan orang ramai apabila pemotongan air berlaku dan langkah tidak diambil dengan betul. Ini bermakna pengurusan dan perancangan pengendali air di seluruh negara perlu diperbaiki. "Dalam memorandum, kami mencadangkan semua operator air mewujudkan 'pelan komunikasi pelanggan' untuk komunikasi lebih baik antara pengguna dan pembekal air. "Ini akan membolehkan pengguna mendapat maklumat lebih baik supaya mereka boleh mengambil tindakan sewajarnya apabila pemotongan air berlaku, "katanya. FAM turut mencadangkan agensi Persekutuan dan negeri meletakkan perbezaan mereka dan menumpukan kepada keperluan menyediakan bekalan air boleh dipercayai, selamat serta mampu dimiliki pengguna dengan mengambil pendekatan holistik untuk menyelesaikan isu air.